"MENUNG jauh nampak?" tegur Mak Nab apabila melihat gelagat Umi Za yang termenung di atas buaian itu. Terlalu leka sehingga tidak sedar Mak Nab sudah bersimpuh di sebelah.
"Banyak yang saya fikirkan Mak Nab" Umi Za mengeluh. Risau dengan keadaan Rossa itu. Semakin hari, semakin dia tidak mengenali siapa anaknya itu.
"Pasal Rossa ke?" teka Mak Nab. Dan tekaannya mengena apabila Umi Za mengangguk lemah.
"Saya tengok dia menangis. Saya dengar dia menangis. Tapi saya tak mampu nak buat apa-apa" adu Umi Za. Serentak itu, esak tangisnya mulai kedengaran. "Rumah yang sepatutnya meriah dengan kehadiran menantu berubah mendung bila acara perkahwinan bertukar ke majlis tahlil. Remuk hati Rossa, remuk lagi hati saya!"
Mak Nab mengusap lembut belakang Umi Za. "Sabarlah Za. Mak Nab pun rasa benda yang sama. Tapi semua ni dah ketentuan Ilahi. Siapa kita nak menidakkan takdir Dia? Mak Nab percaya, ada hikmah di sebalik semua ni" lembut intonasi suara Mak Nab.
"Saya risaukan Rossa je Mak Nab! Apa akan jadi pada dia lepas ni? Dia tak pernah terima kejutan macam ni sebelum ni. Saya risau kalau dia buat yang bukan-bukan" Umi Za meluahkan kebimbangan.
"In Shaa Allah, takde apa-apa! Za dah didik dia dengan ilmu ugama. Dulu pun dia pernah kehilangan arwah Azman dengan adik dia kan? Tapi dia masih kuat. Mak Nab percaya, Rossa mampu hadap semua ni. Kita kena banyak berdoa" nasihat Mak Nab lagi.
Umi Za memeluk tubuh genit Mak Nab. Lalu dimuntahkan segala kerisauan yang terbuku di hati. Belum pernah dia sesedih ini. Dan semuanya gara-gara Rossa!
PINTU bilik diketuk. Suara garau Firdaus dari dalam bilik mengarahkan dia masuk.
"Mama..." sapa Firdaus mesra. Dia meletakkan kopiah di atas meja bersebelahan katil.
Datin Qasry tersenyum melihat kelakuan Firdaus. Senang hatinya melihat perubahan pada diri anak bujangnya itu. Didekatinya Firdaus lalu duduk di sebelahnya.
"Fir solat ke tadi?"
"Aah mama. And baru je lepas habis baca Yasin. Sedekah dekat arwah papa dengan arwah Bak"
Hampir menitis air mata Datin Qasry mendengarnya. Anak yang satu ini meski pernah melontarkan racun berbisa kepadanya, namun dia tetap kembali dengan membawa penawar.
"Mama happy sangat tengok Fir sekarang ni. Mama...speechless. Mama tak tahu nak cakap apa"
"Mama tak perlu cakap apa-apa. Sekarang, Fir dah kembali. Ke sisi mama. Ke sisi keluarga kita. Dan Fir janji, Fir akan hidupkan semula company papa"
Datin Qasry tidak dapat menahan air mata. Jatuh juga ke pipinya.
"Please pray for me. Semoga semua urusan Fir dipermudahkan" pinta Firdaus ikhlas, lantas mendakap tubuh tua itu.
Datin Qasry mengangguk.
Kedua mereka hanyut dalam airmata yang kian membanjiri kelopak mata. Yang pasti, airmata itu adalah airmata kesyukuran.
3 BULAN KEMUDIAN
ROSSA mengetik-ngetik papan kekunci komputer. Hari itu, terlalu banyak dokumen harus disiapkan dan akan segera dihantar ke pihak atasan. Terasa meja kerjanya bergoyang, dia mengangkat wajah lalu bertembung seraut bujur Nani yang tersengih memandangnya.
"Rossa, aku ada benda nak bagitau kau ni"
Rossa buat muka bosan. Sejak bekerja di situ, dia sudah lali dengan sikap ala-ala wartawan si Nani itu! Semua cerita dari seluruh pelosok tempat dia tahu.Kadangkala, dia sifatkan Nani itu tak ubah seperti cip computer, terlalu banyak menyimpan kisah dan cerita!
"Hmmm apa?" Rossa kembali memandang sreen komputer.
"Pasal bos baru kitalah...." Ayat Nani mulai meleret.
"Kenapa pulak?" Walau tangan sibuk bekerja, mulutnya tetap ringan untuk bertanya. Risau jika Nani berkecil hati dengan dirinya.
"Kau tahu tak, Datin Qasry dah tak jadi bos kita lagi?"
Cerita yang satu ini bikin Rossa senyap. Wajah Nani dia tatap kembali.
"Setahu aku, Datin Qas tu pemangku CEO kan?" tanya Rossa, inginkan kepastian.
Nani mengangguk laju. "Cepat kau tangkap jahh!"
"Dah tu, apa kaitan dengan aku?" Rossa tayang wajah polos. Nani menepuk dahi. Alahaiilah Rossa! Nasib comel, kalau tak aku luku-luku muka tu!
"Takde kaitan dengan kau, tapi ada kaitan dengan kita semua!" Nani bercerita penuh semangat. "Kau tahu, CEO baru kita tu anak dia. Hensemmmmm" Nani buat senyuman sinis.
"Mana kau tahu dia hensem? Pernah jumpa ke?" tebak Rossa.
"Tahulah! Aku stalk IG dia jahhh! Hensemmmm..." Nani puji lagi.
"Tengok boleh?"
"Tak boleh!"
"Ehh apasal pulak? Kata dia bos kita! Naklah jugak aku tahu macam mana rupa dia"
Nani mencerut. "Alaaa, nanti kau tengoklah dia sendiri. Sekarang tak boleh!"
"Kedekutt!" tukas Rossa sambil mengekek.
Nani tergelak. "Kedekutlah! Aku punya..."
"Amboii! Siap letak tanda SIRIM eaa?" cantas Rossa laju, sekadar hendak mengusik. Nani tu walaupun suka kepoh, tapi hati dia baik. Tak mudah terasa hati. Disebabkan itulah, dalam banyak-banyak orang, Rossa paling ngam dengan minah senget ni!
"Alaa, aku punya bosssslahh! Tak habis cakap lagi"
Rossa sambung gelak.
"Bila bos kita tu masuk?" Rossa ingin tahu. Dia menyandarkan tubuh ke dada kerusi. Sengal pula rasa tubuh badan setelah seharian duduk mengadap komputer. Boleh juling mata dibuatnya.
"Dengar-dengar esok kot. Tak pun, tengah hari nanti! Tak surelah"
"Siapa nama bos baru kita tu?" Rossa sudah menegakkan tubuh badan, menggeliat.
"Encik Azhan"
Rossa senyap. Nama itu seperti pernah singgah di cuping telinganya. Tapi takkanlah dia? Dah 3 bulan kot dia menyepikan diri. Hmmm...
"Ehh Rossa! Aku nak sambung balik kerja aku. Karang si sotong Umar tu sergah kita kat sini. Tak pasal-pasal, masuk buletin utama aku!" seloroh Nani lantas bergerak ke meja kerjanya.
Rossa tergelak kecil sambil menggeleng kepala. Ada-ada je si Nani tu! Senyumannya mati tatkala bertembung mata dengan senyuman Bakri di atas meja. Bingkai foto berbentuk hati itu dia gapai. Lantas dibawa ke dada. Matanya terpejam. Betapa dia rindukan seraut wajah itu. Betapa dia kepingin mendengar suara garau dan romantis itu. Yang mana saat ini tidak akan bisa dia gapai lagi.
Rossa mencelikkan mata. Mutiara jernih yang mengalir di pipi, diusapnya perlahan. Walaupun sudah 3 bulan berlalu, namun sedikit pun dia tidak mampu melupai Bakri. Bahkan lelaki itu akan sentiasa hidup dalam dirinya.
Dia teringat kembali saat-saat yang harus dihadapinya selama 3 bulan ini. Walaupun pada mulanya agak sukar dia menerima kenyataan itu, namun dek kerana sokongan dan doa dari orang sekeliling, dia berjaya bangkit untuk menyambut kehadiran kehidupan barunya. Disebabkan itulah, dia mengambil keputusan untuk bekerja di sebuah syarikat tekstil yang pernah dipohonnya dahulu atas bantuan Firdaus. Dan kini, sudah 3 bulan dia betah di situ. Sekaligus, dapat menghilangkan sedikit sebanyak kenangannya bersama Bakri. Dan selama itu juga, dia sudah tidak melihat bayang-bayang Firdaus di mana-mana. Dia agak, barangkali lelaki itu berkecil hati dengan tuduhannya dahulu.
Rossa mengeluh. Tiada niat sebenarnya hendak menyakiti atau menuduh Firdaus seperti itu. Apakan daya, dia terlalu dirasuk kecewa dan kesedihan sehingga tidak mampu untuk mengawal mulut sendiri. Foto Bakri dia simpan kembali di atas meja. Matanya kembali menjalar ke segenap ruang komputer. Ada kerja yang harus diselesaikan.
BUNYI riuh dari keadaan sekeliling menggamit pandangan Rossa. Tumpuannya terganggu. Dia menegakkan badan lalu menjengah leher ke bunyi tersebut. Dia melihat sekumpulan pekerja sedang bertepuk tangan sambil bersorak. Lagak mereka tak ubah seperti sedang mengadakan parti saja!
"Abang Man, ada apa tu?" tanya Rossa kepada Mansur yang kebetulan lalu di hadapannya.
"Ros, kau tak tahu ke bos baru kita masuk harini?"
Rossa kaget. Ya, dia ingat. Nani ada mengkhabarkan berita itu pagi tadi.
"Tahu. Nani ada cakap tadi"
"Tu, diorang tengah sambut bos barulah tu! Kau tak join ke?"
"Taklah bang. Rossa masih ada kerja lagi ni"
Mansur hanya mengangguk lalu menyertai mereka yang lain. Sedang Rossa hendak membetulkan posisi mejanya, dia terpana saat bersabung mata dengan wajah itu.
Wajah yang menyepi selama 3 bulan. Wajah yang menghilang tanpa khabar selama 3 bulan. Dan wajah yang terlalu banyak memberi teka-teki kepadanya. Rossa kaget!
Firdaus berdiri di sudut paling hujung sambil tak lepas-lepas memandangnya. Ada rasa yang terbuku di hati, namun hanya mata mengungkap semua perasaan.
Rossa tak berkutik. Firdaus diam sedetik!
Share this novel