SETELAH memesan makanan, Nani mengambil tempat paling hujung dan tersorok dari pandangan orang. Duduk melabuh punggung di situ sambil berbalas mesej dengan Rossa. Rindunya pada Rossa kerana sudah lama mereka tidak ketemu. Sejak Rossa discaj dari hospital, dia sudah jarang bertembung dengan Rossa.
'Aku ada cerita. Kau nak dengar tak?'
'Kau ni Nani, ada je cerita kau kan?'
Nani sudah tergelak. 'Mestilah. Ni Nanilah! Kalau tak kerana aku, mana nak riuh company ni?'
'Aahh! Riuh dengan gosip kau tu!'
Nani tersenyum panjang. Dia bukan sengaja mereka cerita, tetapi memang sudah sahih dan clear berita tersebut.
'Apa benda yang kau cerita dekat aku ni?'
'Kebanyakan staff dari department kita kena tukar ke department lain'
'Haaa? Kenapa pulak?'
'Errr bos takde cerita kat kau ke?'
Lama Nani menanti balasan Rossa. Hmm, takkan bos takde bagitau dia apa-apa? Bunyi notifikasi WhatsApp Nani berbunyi. Segera dia baca mesej dari Rossa itu.
'Takde pulak! Kenapa weyy?'
'Bos marahlah! Sebab diorang cerita yang bukan-bukan pasal kau. Mengamuk tak tentu pasal bos hari tu! Kitaorang semua tak berani nak bersuara. Dari pagi sampai ke petang! Eeee kecut perut aku! Macam mana kau boleh tahan dengan perangai bos?'
Nani geleng kepala pula. Terfikir pula dia kehidupan Rossa bersama Firdaus. Tetapi daripada pandangannya, dia tahu Firdaus sayangkan Rossa kerana dia dapat melihat semua itu. Cuma dia hanya penasaran bagaimana Rossa mengatasi masalah berdepan dengan kemarahan Firdaus!
'Eee mulut kau! Berani ea kutuk suami aku? Tapi kan babe, aku kesianlah dekat staff sama department kita tu. Kebanyakan dari diorang tu staff senior kan? Alih-alih kena pindah gara-gara aku'
Bibir Nani mengukir senyum manis. Ini yang dia suka mengenai Rossa. Mudah saja kasihan pada orang padahal orang itu yang telah menjahatinya.
'Alahh, biarlah babe! Diorang tu memang padan muka. Siapa suruh kutuk bini bos? Gosip yang Sheila sebarkan pun diorang percaya bulat-bulat! Ehh speaking of the devil. Sheila kena buang kerja tau?'
'What? Biar betul kau ni? Ni pasal aku jugak ke?'
Nani menepuk dahi. Seketika, pesanannya sudah sampai.Pelayan meletakkan pesanannya di atas meja sebelum berlalu. Nani mengeluh. Takkanlah cerita ni pun dia tak tahu?
'Eee kau ni Rossa! Nama je bini bos, takkan cerita macam ni pun kau tak tahu?'
'Serius weyy, aku tak tahu!'
'Haihhh kau ni! Seronok sangat ke bermadu asmara dengan bos sampai kau lupa nak tanya perkembangan company?'
'Eee mulut takdak insurans! Kau cer lah kawen dulu! Baru kau tau best ke tak?'
Nani tergelak. Nak kawen macam mana? Calon pun takde mak engkau!
'Calon takdelah! Tsk tsk tsk'
'Umar kan ada? He he he'
Wajah Nani cemberut. 'Eeee tak nak aku!'
"Senyum sorang nampak? Mesej dengan pakwe ke?" Lelaki berbadan sasa dan berkulit hitam manis itu menegurnya. Nani mendongak memandang, lantas sebuah senyuman manis dihadiahkan oleh lelaki itu kepadanya. Terserlah lesung pipit di kedua belah pipi lelaki itu. Jantung Nani berdebar. Tidak biasanya mereka berbalas senyum. Yang ada, hanyalah berbalas sindiran!
"Hello" Umar melayangkan tangan di hadapan Nani.
Mata Nani terkebil-kebil memandang reaksi Umar. Pantang disebut, ada je dia muncul!
"Hmmm" jawab Nani acuh tak acuh sambil menyimpan telefon bimbit di dalam tasnya.
"Boleh I duduk sini tak?"
Nani menyeringai. I? Eee buang tabiat ke apa dia ni? Tak pun, kena sampuk jin!
"Tak boleh! Dilarang duduk berduaan!"
Umar tersengih. Tidak mempedulikan kata-kata Nani, laju saja punggungnya dihantar ke kerusi itu. Dan selambanya, dia memulakan suapannya.
"Eh eh! Banyak lagi tempat kosong. Tempat ni jugak kau nak duduk?" Marah Nani dengan wajah mencukanya.
"Tadi you cakap, dilarang duduk berduaan. Tapi you tak cakap duduk berduaan dengan siapa!" Sahut Umar selamba.
Nani terasa tersindir. Haishh, dia ni!
"Makanlah! Tak baik dibiarkan lauk tu. Tak bertuan nanti!"
Nani sengal. Macam mana dia hendak makan dengan aman jika lelaki itu berada di hadapannya?
"Mak I pernah cakap kan, tak baik bermasam muka depan rezeki. Lagi-lagi depan bakal suami!" Umar mengenyitkan mata.
Wajah Nani merona. Usikan tersebut meresap masuk ke dalam lubuk hati. Teringat pulak mesejnya dengan Rossa tadi. 'Umar kan ada?' Erkkk!
"Makanlah! Ke you nak I suapkan?"
Laju saja tangan Nani menggapai sudu. Suapan pertama bermula dan gelagatnya diperhatikan oleh Umar sehinggalah ke suapan terakhir.
"Nani. I ada benda nak bagitau you"
Nani menyoal dengan pandangan. Serius pulak mamat ni!
"Nani, I sukakan you!"
Nani tersentak dengan pengakuan tersebut. Hampir saja mulutnya terlopong! Mimpikah dia? Seorang lelaki yang hampir sempurna mengungkapkan cinta pada gadis biasa dan kasar sepertinya? Namun melihatkan tampang serius Umar, dia tahu lelaki itu tidak bermain-main.
"Kau prank aku ke apa? Ada camera tersembunyi ke kat mana-mana?" Nani kawal gugup perasaannya. Dipandang sekeliling, namun tiada yang mencurigakan.
"Prank apa pulak?! I serius Nani! Kalau you setuju, I nak masuk meminang terus. I dah lama sukakan you. I harap you faham. I akan bagi you masa. Tapi tolong jangan kecewakan I"
Nani mengeluh. Pulak dah?!
SEUSAI berbalas mesej dengan Nani, Rossa membaringkan tubuh di atas sofa. Dia teringatkan mesej Nani sebentar tadi. Kenapa dia tidak diberitahu Firdaus akan hal itu? Dia berasa bersalah pulak kerana gara-gara dia, syarikat sudah banyak berubah. Patutlah Firdaus pernah melarangnya untuk kembali bekerja. Rupa-rupanya kerana itu.
"Hey sayang. Termenung apa tu?" tegur Firdaus dari arah dapur. Hari itu, dia memang sengaja mengambil cuti buat menemani Rossa.
"Hmmm" Rossa menggumam. Firdaus sudah mendekatinya. Ditarik kepala Rossa lantas dia melabuh punggung di sofa. Kemudian kepala Rossa dibaringkan ke ribanya.
"Something wrong?" duga Firdaus. Jari-jemarinya bermain-main dengan rambut ikal Rossa.
"Abang. Kenapa abang tak bagitau yang abang dah tukarkan staff abang ke department lain?"
Mendengarkan itu, bibir Firdaus mengorak senyum. "Saja"
"Eihhh jawapan! Seriuslah bang!" gerutu Rossa sambil menampar lembut lengan Firdaus.
"Diorang tu memang kena pun tukar department. Duduk satu department, kerja nak membawang aje! Sekarang ni, semua dah terpisah dan diletakkan under different management. Biar diorang merasa sikit macam mana bekerja dengan bosa baru"
"Anita? Abang tukarkan jugak?"
Firdaus mengangguk. "Semalam abang tukarkan dia under Nizam"
Rossa kaget lantas bangkit dari pembaringan. Wajah Firdaus diteleknya serius.
"Kenapa? Abang seriuslah!"
"Tapi kenapa tukarkan Anita jugak?"
"Saja" Kepala Rossa dia bawak semula ke riba. "Lagipun, everything needs to change! Abang tak suka kalau mulut yang sibuk bekerja, tangan pula duduk rileks! Anita is a good secretary, but not good enough for me!"
Rossa terkebil-kebil. "Habis tu, siapa secretary abang sekarang?"
"Yunus" Firdaus mengatur pita suaranya. "Dia dari bahagian pemasaran. Abang dah kaji kerja dan disiplin dia. Okay tapi ada a bit problem dengan tunang dia. Financial problem, I mean"
"Dia tengah usaha nak kumpul duit ke?"
"Aah. Nak kawen katakan. Tapi abang appointed dia bukan sebab tu. But because of his hardwork and determination!"
Rossa senyap. Perubahan baru dalam syarikat yang dirasakannya berpunca dari dirinya. Rasa bersalah tiba-tiba menjeruk hati dan jiwa Jika dia tahu begini keputusan Firdaus, pasti akan dipujuk agar lelaki itu mengubah keputusannya.
"Sheila? Abang pecat dia pasal Rossa jugak ke?"
Wajah Rossa, Firdaus tatap dengan penuh kasih sayang. Hidung Rossa dipicit perlahan. "Aah!"
"Sebab Rossa gugur gara-gara dia ke? Punca abang pecat dia?" Rossa cuba menebak. Jika betul kerana itu, maka Firdaus bukan seorang yang profesional. Itu hal peribadi, dan tidak bisa dicampur-aduk dengan hal kerja.
Bicara Rossa mengundang tawa di bibir Firdaus. Sedikit sebanyak, isterinya itu sudah pandai serkap jarang.
"Abang!" Rossa memukul lengan Firdaus. "Janganlah gelak! Rossa seriuslah"
Firdaus menyudahkan tawanya. "Sejak bila Rossa jadi detektif ni?"
Rossa baring dari pembaringan. Menatap wajah Firdaus sambil mengecilkan mata.
Melihatkan gelagat Rossa, Firdaus mengaku kalah. "Ye, abang pecat Sheila! Pasal sayang keguguran satu sebab. Tapi sebab lain, dia sebarkan benda tak betul pasal kita. Ingat lagi tak before kita kawen, dia ada sebar pasal kita masa kita dalam stor kat gudang haritu? Dia bagitau satu company yang kita buat benda tak elok dalam tu. Padahal masa tu abang cuma nak bercakap je dengan Rossa"
Wajah Rossa mati dalam senyuman. Dia ingat cerita itu. Dia ingat Nani pernah bertanyakan statusnya dengan Firdaus masa itu. Tidak disangka rupa-rupanya semua itu kerja Sheila.
"Kenapa dia buat semua tu?"
Bibir Firdaus terkunci. Dia teringat kata-kata Sheila buat kali terakhir sebelum dia dipecat. 'I did it because I love you!' Sungguh tak percaya, dia berada dalam pemerhatian Sheila selama ini. Pantas sajalah dia perasan Sheila adakalanya sengaja menggodanya. Namun imannya kuat. Kerana cinta pada Rossa, dia mampu menangkis segala godaan tersebut meskipun pada masa itu, hubungannya dengan Rossa tidak berjalan dengan cukup baik.
"Abang..." Rossa memanggil dengan cukup manja. Kebisuan Firdaus meletakkan dia di lembah kebingungan.
"Hmm?" Firdaus menggumam lantas menarik Rossa ke dalam pelukan.
"Kenapa Sheila buat macam tu?" Rossa ulang pertanyaan.
"Sebab dia tak sukakan Rossa" Sebolehnya, Firdaus cuba untuk berlapik namun Rossa mampu menangkap maksudnya.
"Because she loves you, isn't she?"
Firdaus diam. Dia tidak mahu Rossa salah faham dan memikirkan yang bukan-bukan. Cemburu Rossa bukannya dapat dikawal. Dan kalau Rossa sudah cemburu, dia hanya mampu berdoa kerana hati Rossa agak sukar untuk dipujuk!
"Abang!" Rossa membentak sedikit. Geram pula apabila Firdaus dari tadi seolah bermain tali dengannya.
Firdaus memuntahkan keluhan. Jika Rossa sudah berperangai begitu, dia harus berhati-hati dalam berkata-kata. "Ye" Lambat-lambat Firdaus menjawab.
Dahi Rossa berkerut. Dia mendongak wajah memandang Firdaus. "Ye untuk apa?"
"Ye, dia sukakan abang"
Wajah Rossa kendur. Mula berasa kurang enak dengan cerita yang disampaikan Firdaus. Dulu, dia merasa tergugat dengan kehadiran Aina, kemudian diperkenalkan pula dengan Monica sehingga cemburunya menjadi keretakan hubungan mereka. Kini, Sheila turut tersenarai sama. Haihhh! Inilah padahnya bersuamikan lelaki yang sempurna dari segala-galanya.
"But, I don't love her" Tubuh Rossa ditarik kembali. Seolah faham dengan gelojak hati Rossa, sebuah kucupan dia hadiahkan di dahi isterinya. "Dia tak menepati ciri-ciri yang abang nak. Kalau tepati sekalipun, abang takkan tertarik. Because I love you and I want you"
Rossa diam. Tiada respon. Meskipun dia yakin dengan luahan Firdaus, tetapi hatinya tetap tidak tenteram. Apatah lagi selepas ini mereka bakal berjauhan. Tidak mustahil untuk Aina, Monica bahkan Sheila sekalipun untuk hadir menggoda. Arghh! Dia cemburu!
"Kenapa senyap ni? Tak suka ke apa yang abang cakap?" Risau pula Firdaus apabila Rossa tidak mengendahkannya.
"Kenapa Rossa rasa jarak kita jauh padahal kita dekat? Bila Rossa peluk abang macam ni, Rossa tetap rasa ada ruang kosong yang cuba nak menembusi"
Tersentak Firdaus dibuatnya. Bertambah risau hatinya dengan kata-kata Rossa. Sudahlah mereka bakal berjauhan, Rossa pula buat hal seperti ini!
"Don't think too much! Rossa ni suka fikir yang bukan-bukan. Nanti stress" Emosi Firdaus mula kacau-bilau. Sebolehnya dia ingin mengelak dari terus memikirkan soal itu, namun apabila Rossa membangkitkan isu itu, hatinya pula diterpa kerisauan yang bukan sedikit.
Hati Rossa sebak. Tidak bisakah Firdaus memahami gelojak hatinya yang tak ingin mereka berjauhan? Saat ini, bermacam-macam masalah yang menimpa hubungan mereka. Dia tidak tahu, mampukah dia kuat tanpa Firdaus di sisi? Permintaan Umi Za menjauhkan lagi jarak mereka, dan dia tersepit untuk memilih. Tetapi Firdaus memberi keizinan untuknya lebih memihak kepada Umi Za. Sedangkan hatinya meronta-ronta ingin terus berada di sisi Firdaus.
"Abang tahu apa yang sayang fikirkan. Pasal Aina, Monica, Sheila pastu umi pulak. Semua ni tak mudah untuk abang. Bukan Rossa sorang je yang rasa. Tapi kita diberi pilihan untuk terus mempercayai satu sama lain. Kalau Rossa pilih untuk tak percaya pada abang, habislah hubungan kita.Abang sedaya upaya menepis semua dugaan dan godaan dunia, tapi kalau Rossa terus-menerus bersikap macam ni, kalutlah fikiran abang. Abang tahu Rossa cemburu, tapi percayalah abang takkan termakan atau masuk dalam perangkap penuh nafsu. All you have to do is only trust me"
Airmata Rossa terbit tanpa dipinta. Dia tidak perlu mengungkap kata-kata, kerana Firdaus memahami setiap apa yang bermain di fikirannya. Dia memeluk Firdaus erat sambil mengangguk kepala.
"Maafkan Rossa"
Dan Rossa terlelap dalam pelukan Firdaus.
Share this novel