AIR pancutan dibuka. Punggung dihenyak di atas lantai marmar itu. Dibiarkan saja air dari pancutan itu membasahi tubuhnya yang sudah lemah.
Rossa menangis sepuas hati. Dia ingin menjerit namun suaranya seakan tersekat di hujung kerongkong. Peristiwa malam semalam masih lagi membayangi fikirannya. Selepas saja dia dan Firdaus 'bersama', dia ditinggalkan di atas katil bersama sebuah kucupan hangat dari suaminya itu.
"Maafkan abang, sayang. Maafkan abang"
Ucapan itu terngiang-ngiang di cuping telinganya.Rossa menekup kedua telinganya. Dia bencikan suara itu. Dia bencikan Firdaus. Lelaki itu memang berhak ke atas dirinya kerana mereka masih lagi suami isteri. Tetapi dia tetap tidak punya hak untuk mengasari tubuhnya tanpa rela.
Semalam, selepas Firdaus beredar, Rossa turut sama keluar dari rumah sewa Nani tanpa memberi pesan apa-apa. Dia tergopoh-gapah keluar dari rumah dengan esakannya. Dia belum bersedia untuk berhadapan dengan Nani dan Taufiq dengan keadaannya begitu. Nani dan Taufiq masing-masing ada menghubunginya tetapi dia segera matikan telefon bimbitnya kerana tidak mahu diganggu terlebih dahulu. Dia masih perlu bertenang.
"Rossa, kenapa lama sangat dalam bilik air tu? Ni Mak Nab nak bagitau. Firdaus ada kat bawah tu, tengah tunggu Rossa"
Tercengang Rossa seketika. Apa yang dia buat kat sini? Tak cukup-cukup lagi ke? Rossa tidak mahu ketemu lelaki itu. Hatinya masih panas dengan apa yang telah berlaku semalam.
"Rossa, dengar tak? Cepatlah berkemas. Mak Nab keluar dulu ya?"
Rossa menjerit namun hanya dia saja yang mendengarnya. Betap sakit hatinya saat ini. Dia benar-benar tidak mahu berjumpa dengan Firdaus. Bahkan mendengarkan nama itu juga bisa membuat sekeping hatinya lara.
"Rossa benci abang!!"
PERISTIWA semalam masih segar dalam ingatan Firdaus. Dia tahu, dia telah bertindak di luar kawalan tetapi dia tidak pernah menyesalinya. Kerana Rossa masih lagi isterinya yang sah. Dan hubungan mereka halal di sisi undang-undang dan agama. Rossa juga tidak ada hak untuk mempersoalkan kemahuannya.
Semalam selepas dia beredar, dia masih lagi menunggu di dalam kereta bagi memastikan keselamatan Rossa terjamin. Dia risau jika Rossa bertindak di luar akal fikirannya. Tetapi nasibnya baik kerana Rossa tidak berkelakuan seperti itu. Dia sempat mengekori Rossa sehingga ke vila Umi Za. Setelah memastikan Rossa benar-benar telah memasuki kawasan rumahnya, dia terus memecut laju ke kondonya.
Semalaman dia tidak mampu melelapkan mata dek kerana memikirkan perihal Rossa. Dia juga hanyut dalam asmara rindu. Dek kerana lewat tidur, pagi itu dia telat ke tempat kerja. Jadi dia memutuskan untuk MC saja pagi itu dan berjumpa dengan Rossa untuk menguruskan soal hubungan mereka.
"Tak puas lagi ke apa yang awak dah buat semalam?" Suara serak-serak basah Rossa mematikan lamunan Firdaus. Dia menoleh lantas meneliti setiap inci wajah yang dirinduinya itu.
Tubuh Rossa didekati lantas didakap erat. "Maafkan abang" Tangisannya berlabuh.
Rossa menolak kasar tubuh Firdaus. Jijik dia melihat wajah polos itu. Hanya tahu meminta maaf setiap kali berbuat kesalahan. Tetapi penyesalannya tak pernah ada sama sekali.
"Cakap je lah apa yang awak nak! Tak perlu nak peluk bagai!!" Suara Rossa meninggi, sekaligus mempamerkan reaksi kurang senang.
"Okey... "Firdaus menggumam. Sakitnya bila harus mengakhiri semuanya seperti ini. Tetapi dia tidak bodoh. Dan dia tidak mahu melepaskan Rossa dengan cara penuh kebencian ini.
"Kalau itu yang Rossa nak.. hmmm... awak nak, abang... hmmm... saya akan turutkan"
Tersentak hati Rossa tatkala Firdaus mula membahasakan diri dengan kata ganti nama 'saya-awak'. Namun dia kawal riak wajahnya itu.
"Saya akan lepaskan awak seperti yang awak nak. Tapi seandainya terbukti awak mengandung..."
"Saya takkan mengandung!" potong Rossa sebelum Firdaus menghabiskan ayatnya. Matanya mencerlung tajam memerhati Firdaus.
Firdaus tersenyum sinis. Dia merapati Rossa. "Awak tahu apa yang terjadi malam tadi Rossa. Sebab kita sama-sama merasainya. So, jangan buat-buat tak tahu!"
Keruh muka Rossa tiba-tiba. Semakin meluap rasa bencinya pada lelaki itu.
"Listen to what I'm gonna say" Bahu Rossa dipaut dengan wajahnya didongakkan. "Kalau nanti awak mengandung, tolong jangan bagi anak tu pada sesiapa"
"Saya tak nak anak ni!" celah Rossa dalam keadaan marah.
"Kalau marahkan saya sekalipun, takkan sampai hambur pada anak yang tak berdosa ni?" Giliran Firdaus pula diamuk kemarahan. Bercakap dengan Rossa memang selalu menguji kesabarannya.
Rossa berpeluk tubuh sambil mendengus. 'Kalau aku mengandung sekalipun, jangan harap aku nak jaga anak ni!'
"Okey-okey" Akhirnya Rossa mengalah juga. Malas hendak bertekak dengan lelaki yang satu ini.
"Kalau awak tak nak anak tu, bagi saya jaga" Wajah Firdaus kelihatan serius. Dia benar-benar memaksudkannya.
Riak Rossa hanya bersahaja tetapi kepalanya tetap terangguk-angguk. Dia malas hendak bertekak panjang dengan lelaki itu. Nak sangat jaga, jagalah!
"Saya akan lepaskan awak but in one condition" sambung Firdaus lagi.
"Apa syaratnya?" Walaupun hatinya agak berat, namun dia ringankan juga mulutnya untuk bertanya.
"Saya nak lepaskan awak dengan cara baik. Tanpa ada rasa benci dan dendam dalam hati awak. Jadi tolong stay dengan saya, only for a month!"
Permintaan Firdaus pantas Rossa tolak. Dia tidak mahu duduk serumah lagi dengan Firdaus. Satu hari saja sudah cukup buat dia rimas, apatah lagi tempoh masa sebulan.
"Nope! I disagree!"
"Terpulang. Tapi kalau awak tak setuju, saya takkan ceraikan awak. Tapi saya akan gantung awak tak bertali. So, you choose"
Terpempan Rossa mendengarnya. "Sampai hati awak buat saya macam ni kan?"
"Habis tu, awak tak sampai hati ke buat saya macam ni? Seksa saya macam ni?"
Terdiam Rossa seketika. Dia ingin menangis namun ditahan saja air matanya itu. Firdaus benar-benar menguji tahap keimanannya dan seakan tidak memberikan dia ruang untuk membuat keputusan.
"Okey, saya turuti kemahuan awak kali ni. Tapi cuma sebulan je"
Firdaus pamer senyum kemenangan. "Dan ada satu lagi yang awak perlu tahu"
Kening Rossa terangkat.
"Saya akan kawen dengan Aina. And you will have to stay with us"
Kali ini, Rossa benar-benar terpempan. Terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Firdaus. Hatinya berkecamuk. Fikirannya bercelaru. Betapa peritnya rasa yang harus dia tanggung sedalam ini.
UPACARA akad nikah hanya berlangsung ala kadar sahaja. Walaupun berat hati Rossa untuk menerima semua ini, namun dia tetap mampu mengukir senyum palsu. Dia yakinkan hatinya bahawa tiada tempat lagi untuk Firdaus di situ. Tetapi entah kenapa sakit rasanya melihat Firdaus melafazkan akad terhadap Aina.
Datin Qasry pada mulanya enggan memberikan persetujuan terhadap keputusan Firdaus tetapi anak yang satu itu boleh tahan juga degilnya. Walaupun ditentang 100% oleh Datin Qasry, tetapi Firdaus tetap tidak peduli. Dan kini, dia sudah sah menjadi suami kepada Aina.
Rossa ingin berlalu tetapi tangannya ditarik oleh Nabilah. Terkebil-kebil Rossa memandang adik iparnya itu.
"Kaklong. Abel tak sukalah along kawen dengan perempuan tu. Tengok tu, gedik semacam je. Menyampah betul!" rungut Nabilah sambil matanya galak memerhatikan gelagat Aina yang sedari tadi berkepit dengan Firdaus. Muak pula dia dengan adegan tersebut. Kalau diikutkan hati, memang dia tidak sudi hendak menghadiri majlis perkahwinan kedua Firdaus itu. Namun pujukan dan desakan mama mematikan niatnya. Ditambah pula dengan rayuan Rossa, makinlah dia tak sampai hati nak menolak! Huhh!
Rossa tersenyum hambar. "Biarlah. Tu suami dia jugak" Matanya turut sama melihat adegan mesra Aina dan Firdaus. Sakit benar rasa hatinya saat itu. Kau kuat Rossa!
"Kaklong tak jealous ke?" Pelik Nabilah dengan sikap selamba kakak iparnya itu. Masakan dia tidak terkesan dengan keputusan Firdaus itu. Sedangkan dia dan mama agak keberatan untuk menerima permintaan Firdaus.
"Dah jodoh diorang" sahut Rossa selamba. Sakit hati? Cemburu? Agaknya, Allah saja yang mengerti saat ini.
"Tu bukan jawapan yang Abel nak!"
"Kenapa Nabilah emo sangat ni?"
"Emolah! Orang tak sukalah kat perempuan tu"
Rossa terdiam. Dia juga tidak sukakan Aina, tetapi dia lebih bencikan Firdaus. Gara-gara lelaki itu, hidupnya terumbang-ambing kini. Takpe Rossa! Kau kena hadap dia sebulan je lagi. Lepas tu, kau bebas!!
"Tak baik cakap macam tu. Nabilah kena ingat, tu kakak ipar awak jugak. Nak tak nak, kena terima dia jugak" nasihat Rossa yang entahkan ikhlas atau tidak. Soal hati, tiada siapa yang mengerti.
Nabilah mencebikkan bibir.Baginya, hanya Rossa seorang saja kakak iparnya. Dia hanya menerima Rossa dalam hidupnya. Seribu Aina sekalipun tidak akan mampu menggantikan Rossa.
"Susahlah nak cakap dengan kaklong ni! Orang bagitau dia, dia cakap kita balik!" dengus Nabilah dengan keluhan di bibir.
Rossa tergelak. Lengan Nabilah dipaut mesra. "Alaa, tu pun nak merajuk. Kan dah tak cantik muka ni.Kalau merajuk macam ni, kaklong balik jelah"
"Kaklong ni, orang yang merajuk, dia pulak yang buat hal!"
Rossa tertawa halus. Senang dengan reaksi Nabilah. Sekurang-kurangnya ada juga yang menghiburkan hati di kala duka lara ini.
FIRDAUS meletakkan songkok di atas meja tepi katil. Kemudian, punggungnya dihenyakkan di atas katil sambil bibirnya memuntahkan keluhan kecil. Hari ini, dia sudah sah menjadi suami kepada Aina. Walaupun puas ditentang permintaan tersebut, pada akhirnya dia harus mengalah pada suratan takdir. Tetapi semua itu juga kerana Rossa. Dia inginkan Rossa kembali, tetapi harus mengorbankan kebahagiaan mereka sejenak. Teringat dia akan tentangan mama dan Nabilah tempoh hari.
"Mama takkan izinkan Fir kawen dengan perempuan tu! Fir dah sakitkan hati Rossa, sekarang Fir nak tambahkan lagi rasa sakit tu?" Datin Qasry berpeluk tubuh sambil wajahnya serius memandang ke luar jendela. Dia terlalu marahkan Firdaus sehinggakan wajah itu juga tidak mahu dia pandang.
"Abel tak fahamlah dengan along ni! Kurang apa kak Rossa tu? Nak cakap dia tak mampu bagi zuriat, dah 2 kali dia pregnant. Cuma rezeki je takde sebab gugur. Apa je yang along nak cari lagi?" Nabilah menggeleng kepala. Dia juga seperti mama, tidak bersetuju dengan rancangan Firdaus untuk mengahwini Aina.
Firdaus melepaskan keluhan kecil. Sudah diagak reaksi mereka seperti ini. Namun dia tetap dengan keputusannya. Walau apa pun yang terjadi, inilah jalan yang dia pilih.
"Kenapa kamu nak kawen dengan Aina? Kamu dah buntingkan dia ke?" tuduh Datin Qasry setelah wajah itu hinggap pada pandangannya.
Firdaus mengucap panjang. Masakan dia sejahat itu. Dia tidak akan sewenang-wenangnya menyentuh wanita yang bukan sah miliknya. Dia masih tahu halal haram, dosa pahala.
"Ma, Fir tak sejahat tu! Kenapa mama fikir macam tu?"
Datin Qasry mendengus. Keputusan yang diambil oleh Firdaus sungguh membuatkan dia kecewa. Sudahlah hubungannya dengan Rossa belum membaik, kini dia menambah pula masalah baru. Semakin bertambah malu dia untuk bersemuka dengan Umi Za.
"Along tak fikir ke perasaan kaklong macam mana? Tak berharga ke perasaan kaklong tu?" Nabilah menggumam. Dia kemudiannya berpeluk tubuh. "Abel tak suka dengan keputusan along. Dan Abel takkan pergi majlis along!" putus Nabilah lantas menaiki anak tangga menuju ke biliknya. Dia sudah bosan untuk terus mendengar hujah-hujah Firdaus yang seakan membela dirinya sendiri.
"Abel!" Firdaus menjerit memanggil nama Nabilah namun gadis itu hanya buat tak tahu sahaja. Terdengar bunyi hempasan pintu dengan kuat dari biliknya. Lagaknya, betul-betul marah dengan Firdaus.
"Tengok, Abel lagi faham perasaan Rossa berbanding Fir sendiri! Fir nilailah, kalau keputusan ni mampu bahagiakan semua orang, Fir buatlah apa yang Fir suka. Mama takde hak nak halang. Tapi jangan salahkan mama kalau benda tak diingini berlaku suatu hari nanti"
PINTU bilik terkuak luas sekaligus mematikan lamunan Firdaus. Dia membuang pandang ke arah sosok tubuh yang semakin mengecil itu.
"Rossa tak sihat ke?" Didekatinya Rossa lantas meletakkan belakang telapak tangannya ke dahi Rossa.
"Tak" Rossa menepis tangan Firdaus. Dia bergerak ke almari baju lantas menarik keluar baju panjang. Dia berfikir untuk menukar baju dan membantu apa-apa yang patut di bawah sana. Meskipun ini majlis perkahwinan suaminya dan dia sama sekali tidak menyukainya, namun nampak tidak manis jika dia hanya goyang kaki tanpa menolong.
"Nak pergi mana dengan baju panjang tu?" Tegur Firdaus tatkala Rossa hendak melangkah keluar dari bilik.
"Nak tukar baju"
"Tahu, tapi nak tukar baju ke mana?"
"Bilik Nabilah"
"Kenapa tak tukar kat sini?"
"Tak selesa"
Firdaus mengeluh. Ditariknya tubuh Rossa rapat ke sisi. Kemudian, dagu itu dipagut. Mata mereka saling bertentangan. "Kita masih lagi suami isteri yang sah. Kenapa rasa tak selesa? Awak masih boleh tukar baju kat sini. Kenapa nak ke bilik Abel?"
"Ni bilik awak dengan Aina. Saya tak nak ganggu privasi awak berdua" Ada sedikit getaran dalam suaranya. Sedih? Ya, itu yang dia rasakan ini. Dia terpaksa mengakui semua itu. Cemburu pula hatinya memikirkan yang dia akan berkongsi suami dengan Aina. Lagi tertekan tatkala memikirkan betapa romantisnya Firdaus meladeni Aina.
"Lagipun, kalau saya lama-lama kat dalam bilik ni, nanti Aina jealous pulak" tokok Rossa lagi.
"Aina je jealous? Awak tak ke?" sindir Firdaus sinis.
Ternyata sindiran itu meresap masuk ke dalam hati Rossa. Dia sudah kehilangan kata-kata untuk menjawab lagi.
"Saya nak tukar baju" Alih Rossa dengan keruh di wajah.
"Tukar je kat sini" ulas Firdaus lantas menutup pintu bilik.
"Tapi..."
"Berdosa besar melawan cakap suami, meskipun awak tak suka suami awak tu" tempelak Firdaus sekaligus mematikan bicara Rossa. Nak tak nak, terpaksa juga dia turuti kehendak suaminya yang serba psiko itu!
AINA menggenggam penumbuk. Bibirnya diketap. Sakit hatinya melihat apa yang berlaku sebentar tadi. Firdaus dan Rossa berada di dalam bilik peraduannya, bilik yang sepatutnya dihuni oleh dia dan Firdaus. Kenapa Firdaus memperlakukan dia seperti itu? Mereka baru sahaja berkahwin. Tetapi dia terlebih dahulu diabaikan.
Aina mengatur langkah mendekati pintu bilik. Dia ingin mengetuk pintu bilik, tetapi hatinya ragu-ragu. Apa akan terjadi sekiranya pintu terbuka? Bermacam-macam sedang bermain di dalam fikirannya. Sebolehnya, dia tidak mahu berhadapan dengan Rossa meskipun dia tahu wanita itu juga akan tinggal bersama mereka. Itu yang Firdaus khabarkan pada dia sehari sebelum perkahwinan mereka. Dia hanya bersetuju tanpa sepatah bicara. Asalkan dia dapat memiliki Firdaus secara sah, dia tidak pedulikan hal lain. Dan soal Rossa, akan dia uruskan kemudian hari.
"Aina.."
Wajah Aina berpaling saat namanya diseru lembut oleh seseorang. Dia mengukir senyum tatkala Datin Qasry menghadiahkan sebuah senyuman padanya.
"Kenapa berdiri kat sini? Masuklah kat dalam" tegur Datin Qasry sesudah berdiri di hadapan Aina.
Aina kelam kabut. Takkan dia nak ketuk pintu? Nanti kantoi pulak dia menghendap Firdaus dan Rossa.
"Err aaa mama. Kejap lagi Aina masuk dalam"
"Fir mana?" Sejak tadi, dia tidak perasan kelibat anaknya yang satu itu. Selesai saja majlis akad nikah, Firdaus hilang entah ke mana. Rossa juga tidak kelihatan. Menantu yang satu itu hanya sempat menjenguk dapur sebelum berangkat naik ke bilik.
"Errr, Aina pun tengah cari dia"
"Laa yeke? Dia takde kat dalam bilik ke?" Datin Qasry ingin mengetuk pintu bilik namun niatnya terbatal apabila pintu bilik terbuka sendiri. Terjengul wajah Rossa dan Firdaus dari situ.
"Rossa!" Datin Qasry sedikit terkejut. Apatah lagi setelah melihat penampilan Rossa sedikit kusut. Dengan hanya mengenakan kain batik dan baju panjang yang disinsing sehingga ke lengan. Manakala Firdaus hanya bersamping dan bersinglet putih. Rambutnya juga kusut-masai.
Wajah Aina mengeruh. Cemburunya mula menguasai tangkai hati. Penampilan Rossa dan Firdaus benar-benar mencurigakan. Takkanlah mereka?? Aina sempat berfikir yang bukan-bukan.
"Rossa ke dapur dulu" Rossa pamit diri setelah perasan riak wajah mama dan Aina yang semacam saja. Aduii, mesti diorang fikir lain!
Firdaus mengerut dahi sambil menghantar langkah Rossa dengan pandangan mata. Sehinggalah bayang-bayang Rossa dari situ, dan mama sempat berdehem.
"Kenapa tak bawak Aina masuk bilik? Bagilah dia tengok-tengok bilik kamu tu" ujar Datin Qasry.
"Aah. Ye mama" akur Firdaus.
"Mama nak ke bilik dulu. Kejap lagi, nak turun bawah tolong apa yang patut untuk majlis kenduri kamu berdua" kata Datin Qasry seraya menghayun langkah ke biliknya. Atas permintaan Firdaus sendiri, dia tidak mahu bersanding lagi. Cukuplah sekadar majlis akad nikah dan kenduri menjemput sanak-saudara bagi meraikan kehadiran Aina dalam kehidupan mereka. Datin Qasry tidak banyak bunyi. Hanya mengiakan saja kata-kata Firdaus.
"Masuklah" pelawa Firdaus sambil meluaskan pintu bilik. Sejujurnya, dia tiada mood hendak berduaan dengan Aina. Namun apakan daya. Semua ini adalah kehendak dan permainan dia sendiri. Jadi dia harus redha dan terima saja!
Share this novel