SEBELUM dibenarkan discaj, Rossa sempat menerima kehadiran Datin Qasry bersama Firdaus di situ. Ternyata, mama mertuanya cukup terkejut apabila dimaklumkan mengenai kandungan Rossa. Tak putus-putus kata-kata yang berupa nasihat diberikan oleh mama kepada kedua mereka.Rossa terasa betapa dirinya begitu disayangi oleh sekeliling.Terpujuk seketika hatinya dengan cerita yang dibawa oleh Umi Za semalam.
Dan apabila Rossa diberi keizinan untuk discaj, dia tidak berlengah lagi untuk memberitahu Umi Za mengenai itu. Semalaman juga dia berfikir untuk menyiasat dahulu kebenaran di sebalik cerita umi. Dia tidak mahu tergopoh-gapah dalam mengambil keputusan dengan meninggalkan Firdaus. Selagi perkara dan kebenaran tidak terdedah dengan sendiri, selagi itulah dia akan terus berada di sisi Firdaus. Dia percayakan Firdaus seperti mana Bakri mempercayainya. Kata-kata Bakri masih terngiang-ngiang di cuping telinganya. "Apa pun yang terjadi, awak kena percayakan Firdaus. He's a nice guy. Sama ada saya masih di sini atau tidak, awak kena percayakan dia. Seperti mana saya percayakan dia.." Dan omongan itu masih Rossa pegang sehingga ke detik ini. Dia tekad, dia akan merahsiakan perkara ini dari pengetahuan Firdaus dan mencari tahu kebenarannya sendiri.
"Dah siap?" Suara Firdaus yang baru keluar dari bilik air, mematikan lamunannya. Rossa mengangguk sambil tersenyum manja. Lihatlah bagaimana lelaki itu sudah mencuri hatinya. Betul-betul dia tidak sanggup untuk kehilangan Firdaus.
"Suka senyum menggoda macam tu!" Hidung mancung Rossa dicuit.
"Abang tergoda ke?" Wajah keanak-anakan Rossa ditatap. Firdaus semakin geram.
"Maunya tak tergoda! Haihhh..." Pinggang Rossa dipeluk erat.
"Tapi tak boleh dulu. Abang kena cuti. Rossa masih lagi dalam pantang" Pipi Firdaus dikucup manja.
"Sayang ni..." Firdaus mengeluh, pura-pura merajuk. "Dah tu, jangan suka goda abang macam tu! Iman tak kuat ni"
Rossa tergelak. Leher Firdaus sudah dipaut. "Kalau Rossa nak goda jugak?"
"Mengada kan isteri abang ni?" Dia melagakan hidung mereka bersama. Seketika, Rossa memejam mata. Mengingat kembali kata-kata Umi Za semalam. Sungguh dia takut untuk berhadapan dengan kenyataan itu. Jika kebenaran sudah terungkap dan ditakdirkan Firdauslah punca semuanya, tegakah dia meninggalkan Firdaus? Hati Rossa diserbu ketakutan yang bukan sedikit. Sejak Umi Za mendedahkan cerita tersebut, sejak itulah dia tidak tenang. Hatinya mulai terpesong. Berdayakah dia berhadapan dengan segala kemungkinan? Airmata Rossa terbit lagi. Dan itu yang membuatkan Firdaus diburu gelisah.
"Sayang..kenapa ni?"
Rossa mencelikkan mata. Tidak sedar dia terlalu hanyut dalam khayalan sehingga menitiskan airmata.
"Abang.. Rossa lapar" Itu saja alasan yang sempat Rossa cipta untuk mengelak dari terus-menerus ditanya.
Tawa Firdaus bergema. Dahi Rossa dikucup. "Aihh, lapar sangat ke sampai menangis ni?"
Rossa mengangguk dengan airmata masih bersisa di tubir mata. Ketawa Firdaus menyenangkan hatinya.Cukup untuk mengusir ketakutan yang sempat beraja sebentar tadi.
"Okey, jom kita makan! Sayang abang dah lapar" Pinggang Rossa dilepaskan. Beg berisi pakaian Rossa dijinjit keluar.
"Rossa nak abang masak"
Langkah Firdaus terhenti. Wajah isterinya ditatap. "Seriuosly? Kenapa tiba-tiba ni?"
"Saja. Bolehlah bang" Lengan Firdaus sudah dipeluk.
"Okey, tapi bagi upah dulu" Firdaus menayangkan pipi di hadapan Rossa. "Cepattt. Abang tunggu ni!" Gesaan Firdaus membuatkan Rossa akur. Dicium bertalu-talu pipi kiri suaminya. Firdaus senang hati.
"Okey, jom. Sayang nak makan apa?"
"Apa-apa je. Asalkan abang yang masak"
"Okey, kita pergi Tesco dulu. Cari barang dapur"
"Kenapa Tesco?" Rossa garu kepala.
"Ikut saranan Mak Nab. Tambahkan kekayaan tauke Tesco"
Serentak, ketawa mereka bergabung.
TROLI yang berisi barang dapur ditolak Firdaus manakala Rossa memilih bahan-bahannya. Atas permintaan Rossa, terpaksa juga Firdaus menjadi chef hari itu.
"Lupa pulak abang nak bagitau. Che Mon dah sampai dari Sarawak"
"Yeke?" Wajah Rossa bersinar-sinar. Laju saja tangannya meletakkan sayur sawi dan timun di dalam troli.
"Amboii, dengar je nama Che Mon terus suka ye?"
"Yelah, ada jugak orang temankan Rossa berbual kalau abang pergi office. Taklah sunyi sangat"
"Tapi nanti kita tak dapat berkepit. Payahlahh" Firdaus buat muka.
Rossa tergelak. Pinggang Firdaus dicubit. Mengekek Firdaus mengelak sehingga tubuhnya terlanggar seseorang.
"Ehh Fir!" Seorang perempuan bertudung menegurnya. Wajahnya ceria saat terserempak dengan Firdaus.
Firdaus mengerut dahi. Sedaya upaya cuba diingati wajah tersebut. Rossa sudah menapak di sebelah Firdaus.
"You tak kenal I ke? Monicalah! Junior you masa kat U dulu"
"Ohh ya-ya. Baru I ingat. You dah bertudung sekarang?"
Monica tersipu. "Aah. Islam tarik I untuk kenal dia lebih dalam. I dah 3 tahun mualaf"
"Wahhh, tahniah! Semoga istiqamah"
"In Shaa Allah. You buat apa sekarang?" Terujanya hati Monica saat bertembung Firdaus. Seingat dia, itulah crush pertama dia dulu sehingga sanggup dia duduk di tepi tasik bagi menyaksikan perlawanan bola sepak yang diketuai oleh Firdaus.
"I kerja. Bisnes. You pulak?"
"Woww, a football player turned into a businessman! So interesting" Wajah Monica bersinar-sinar. "I lawyer. Ambik kes orang"
"Wahh, a model back then, now is a lawyer. So interesting" Firdaus mengajuk kata-kata Monica.
Rossa terasa disisihkan. Bahang hatinya melihat kemesraan mereka. Firdaus ini, pergi mana-mana saja pasti ada yang mengenali! Rossa tarik muka. Bencinyaaa!
"You ni lawaklah!" Bahu Firdaus ditepuk manja. Tidak sempat Firdaus mengelak. Buntang mata Rossa terbeliak. Tak sedar ke aku kat sini?
Firdaus tersentak lalu berundur setapak. Ketika itu, dia tersedar wajah Rossa yang mencuka. Masaklahh! Rossa kalau buat muka begitu, pasti sedang merajuk..
"Oh ye. This is my wife, my lovely woman and my forever partner. Madam Rossa aka Mrs Firdaus" Firdaus memperkenalkan Rossa kepada Monica.
"Waa cantiknya wife you! Padanlah korang berdua" Monica ikhlas memuji. Dia bersalaman dengan Rossa kemudian berlaga pipi. Rossa memalsukan senyuman. Cemburunya masih bersisa.
"Pandai you pilih wife" Wajah Firdaus dipandang. Kemudian, berkalih pula kepada Rossa. "Fir ni dulu famous kat U. Banyak perempuan nakkan dia. But lucky, he chose you!" Senyuman di bibir Monica membuatkan Rossa naik menyampah. Entahkan ye entahkan tidak dia ikhlas! Rossa mengetap bibir.
"Tu kisah lama. I dah ada pilihan hidup, suri hati. Anyway, I nak kena gerak dulu. Isteri I, tak boleh lama-lama berangin. Dia dalam pantang"
Monica mengangguk kepala. Sempat dia serahkan kad nama pada Firdaus. Serba salah, namun Firdaus sambut juga huluran Monica. Dan mereka berpisah di situ.
"Amboii, dah dapat Cik Mon, terus lupa pada Rossa!" Sindiran Rossa memecahbelahkan sekeping hati Firdaus.Troli yang Firdaus tarik, Rossa tarik kembali. Cemburunya berbukit-bukit!
"SAYANG nak makan apa? Nanti abang masakkan" Suasana di dalam kereta sangat sunyi. Melihatkan keadaan itu, Firdaus serba salah. Sedaya upaya dia mengambil hati Rossa dan menghidupkan suasana, namun Rossa hanya mematungkan diri.
"Kenapa ni? Tadi okey je" Firdaus dipagut kerisauan. Susahnya nak pujuk seketul Rossa!
"Rossa nak balik. Penat. Lepas tu nak tidur"
Keluhan berat termuntah dari bibir Firdaus. Sah, Rossa sedang merajuk.
"Tadi kata lapar? Balik nanti lepas mandi, solat, kita makan ya?" Suara Firdaus masih lembut. Dia harus mengalah dengan keadaan Rossa. Teringat akan pesanan Hafizi sebelum Rossa discaj tadi. Katanya, perasaan dan emosi Rossa akan cepat berubah-ubah kerana hormon selain dari tekanan selepas keguguran. Rossa tidak boleh terlalu tertekan dan dibiarkan keseorangan. Risau akan memberi kesan kepada kesembuhannya.
"Rossa kata apa tadi? Rossa nak balik, mandi, nak tidur kan? Kenapa susah sangat nak ikut cakap Rossa? Tahulah lepas jumpa dengan Monica!" bentak Rossa. Benci dia melihat wajah ceria Monica, seolah sengaja mengapi-apikan hatinya. Dan bertambah benci hatinya apabila mengingatkan betapa mesranya Firdaus melayan.
Firdaus tersentak. Rossa sudah naik radang. Dia buntu. Rossa sudah salah faham dengan kemesraan mereka tadi.
"Dah jumpa Monica, mesra bukan main lagi. Depan Rossa pulak tu! Kalau belakang Rossa, entahkan memang tak ingat langsung dengan isteri kat rumah! Tulah sikap lelaki! Pantang betul jumpa dahi licin!" Kemarahan Rossa sudah meletus. Tertekan dengan cerita yang dibawa oleh umi, dan tambah tertekan dengan kemesraan Monica dan Firdaus!
Firdaus menekan pedal brek secara mengejut. Nasib baik tiada kereta di belakang mereka. Jika tidak, huru-hara jadinya.
"Rossa ni kenapa? Tiba-tiba nak marah, bentak-bentak abang ni kenapa?" Emosi Firdaus juga sudah di hujung batasan. Dia paling pantang kalau kesetiaannya dipersoalkan. "Abang takde apa-apa pun dengan Monica tu! Kitorang sama U je dulu. Kisah lama kan, semua orang ada kisah silam. Tapi Monica tu tak pernah pun ada ciri-ciri yang abang nak sebagai seorang isteri. Kalau abang nakkan Monica, dah lama abang cari dia! Dan satu lagi, abang tak seburuk yang Rossa fikirkan! I know my limits! I know my rules, and I am aware of your feelings! And I never think of cheating on you!"
Segala yang terbuku di hati sudah terluah juga. Sebolehnya Firdaus menahan sabar namun Rossa tetap tidak mampu memahami. Semakin dia bersabar, semakin berani pula Rossa membentak dan mengumpan api kemarahannya.
Tersentap Rossa dibuatnya. Dia tidak berani menoleh ke arah Firdaus. Dapat dia rasakan aura dan api kemarahan Firdaus meletus ketika itu. Memang khilafnya yang menuduh bukan-bukan. Namun dia seorang wanita, dan juga seorang isteri. Dia terlalu mencintai Firdaus. Gara-gara itulah dia gagal mengawal emosi dan amarahnya. Sudahnya, dia menangis dan Firdaus buat pertama kalinya hanya membiarkan saja. Tidak mahu memujuk kerana hatinya juga sudah terjeruk!
SEUSAI solat Isyak, Firdaus terus memanjat katil dan berbaring di situ. Matanya terpejam rapi.Kehadiran Rossa yang sedang berdiri di hujung katil tidak diendahkannya. Terluka benar dia dengan kata-kata Rossa sehingga enggan untuk menatap wajah sang isteri.
Rossa membuka telekung lantas menyidai di besi penyidai. Puas juga dia meminta maaf kepada Firdaus sesudah Isyak tadi. Namun Firdaus hanya beku sambil akur pada tindakan Rossa yang tunduk menyalami tangannya. Rossa terasa disisihkan. Berkurangkah kasih sayang Firdaus terhadapnya? Begini rasanya apabila tidak dihiraukan oleh orang tersayang. Suatu masa dulu, dia juga pernah mengabaikan Firdaus tetapi lelaki itu tetap sabar menahan karenahnya. Kini, dia merasakan apa yang Firdaus pernah alami. Sungguh, dia berdosa!
Lantaran dihimpit dosa terhadap sang suami, Rossa mendekati sekujur tubuh Firdaus yang sedang berbaring di atas katil. Diraih tangan Firdaus. "Abang, maafkan Rossa! Rossa betul-betul menyesal. Rossa dah salah sangka pada abang" Tangisannya jelas kedengaran. Namun Firdaus tetap kaku.Membiarkan Rossa terus-menerus ditelan dosa.
"Ampunkan Rossa bang! Rossa betul-betul salah! Rossa tak baik pada abang. Rossa jahat"
Firdaus hanya memasang telinga. Entah kenapa, hatinya bagai disiat-siat dengan tuduhan Rossa. Dia lelaki dan juga seorang suami. Di mana harga dirinya setelah diinjak-injak oleh Rossa? Dia faham perasaan dan emosi Rossa. Tetapi kenapa Rossa tidak pernah mahu belajar untuk memahami dirinya? Adakah dalam hubungan mereka, hanya Rossa yang selayaknya difahami dan dia enggan dimengerti?
"Abang..."
"Abang penat. Rossa pergilah makan. Abang dah masak tadi. Goodnight" Firdaus memalingkan tubuh. Tidak mahu lama-lama menatap wajah polos Rossa. Dia tahu, dia akan kalah dengan seraut wajah itu.
Rossa semakin terjerat. Pedih hatinya diperlakukan Firdaus sebegitu. Dia mahu menangis seperti selalu dan Firdaus akan memujuknya. Namun kali ini, ego Firdaus seperti sengaja disanjung tinggi membuatkan dia semakin terasa. Rossa panar!
LANGKAH kaki diatur mendekati Che Mon. Sejak balik dari Tesco, dia hanya sempat bertanya khabar saja dengan wanita tua itu. Tidak sempat hendak berbual panjang kerana situasinya dengan Firdaus yang keruh sebentar tadi.
"Che Mon buat apa tu?" tegur Rossa saat tiba di dapur.
"Ni haa, buat rempah untuk sup herba"
"Untuk siapa?"
"Laa untuk Rossalah! Kan Rossa baru lepas gugur. Orang yang gugur ni sama macam orang baru lepas bersalin. Kena jaga makan, pantang.. kalau tak susah nanti"
Rossa melihat saja tangan Che Mon yang sibuk dengan rempahnya. Entah apa nama setiap rempah, tidak pula dia hendak bertanya.
"Mana Che Mon tahu Rossa gugur?"
"Fir yang cakap!Dia jugak yang suruh Che Mon sediakan semua ni untuk Rossa"
Iya tak iya jugak! Kalau bukan Firdaus, siapa lagi yang tahu keadaannya? Hatinya juga sedikit terpujuk dengan cara Firdaus menjaganya. Terbukti suaminya itu memang lelaki mithali. Dia saja yang terlalu mengikut kata hati..
"Untung Rossa dapat Fir tau? Dia tu kalau dah sayangkan seseorang, dia jaga sepenuh hati. Susah nak tengok dia berubah hati"
Rossa menyetujui kata-kata Che Mon. Dia dapat merasakan semua itu dari cara Firdaus melayannya. Memang dia beruntung, tetapi dia saja yang tak sedar dek untung!
"Che Mon. Boleh tak Rossa nak tanya sesuatu?" Hati Rossa bagaikan dikorek untuk menanyakan perihal Firdaus.
Che Mon sudah berdiri menghadap Rossa. Setelah selesai dengan kerjanya ,dia turut melabuh duduk di hadapan gadis itu. "Haa apa dia?"
"Che Mon jaga abang dari dia kecik kan?" Melihatkan anggukan Che Mon, Rossa meneruskan sesi soal jawab selanjutnya.
"Abang tu orang dia macam mana? Maksud Rossa, perwatakan dia..."
Che Mon tersenyum nipis. "Hmm, Fir tu baik. Dia lasak sikit, sukakan cabaran. Manja tapi dengan orang yang dia rapat dan percaya je. Dia tak banyak kawan. Arwah Bakri tu jelah kawan baik dia. Ke hulu ke hilir asyik berkepit sampaikan Che Mon kadang-kadang fikir diorang tu macam pasangan kekasih pulak!"
Che Mon sempat tergelak, diikuti oleh Rossa. Dia akui semua itu ada pada Firdaus.
"Abang pernah bercinta ke sebelum ni?" Rossa terpanggil untuk bertanya perihal peribadi Firdaus.
"Bercinta erk?" Che Mon berfikir sejenak. " Pernah" Dia tayang senyum membuatkan Rossa sedikit kecewa. Semakin membuak-buak pula rasa ingin tahunya. "Tapi dengan Rossalah!" Sambung Che Mon lagi sambil tersenyum sinis. Rossa tersengih. Che Mon dapat menangkap riak wajahnya. Tersipu-sipu dia!
"Kalau sebelum kawen dengan Rossa, seingat Che Mon tak pernah pulak! Kalau cinta monyet tu pernahlah. Tapi sekadar suka-suka je. Tapi kalau sampai nak bercinta bagai nak rak, tak pernah lagilah! Fir tu orangnya kuat kerja. Perempuan-perempuan ni, dia tak pandang. Sebab dia obses sangat pada kerja dia dulu. Ada jugak perempuan taruh hati, tapi dia tak layan"
Cerita Che Mon, Rossa angguk-angguk saja. Hatinya kembang-kecup dengan cerita tersebut. Ternyata, dialah wanita yang ada dalam hati Firdaus. Dan itu membuatkan Rossa semakin rasa bersalah!
"Rossa ni special tau pada Fir?"
Kening Rossa terangkat. Dia menyoal Che Mon dengan pandangan mata.
"Fir tu tak pernah nak sibuk pasal perempuan. Bila Che Mon dapat tahu Fir nak kawen, Che Mon dah agak memang isteri dia tu special orangnya. Che Mon tahu kenapa Fir kawen dengan Rossa. Sebab amanat Bakri kan?"
Rossa angguk kepala.
"Tapi Rossa tahu tak yang Fir tu memang dah jatuh cinta dengan Rossa sebelum ni? Dia selalu called Che Mon, bercerita pasal Rossa. Dari cara dia bercerita tu, Che Mon tahu yang dia betul-betul sayangkan Rossa. Tapi tulah, Che Mon rasa bersalah pulak pada arwah Bakri"Che Mon mengeluh panjang. Wajah Bakri terbayang-bayang di tubir mata.
Dahi Rossa mengerut. "Kenapa pulak Che Mon rasa macam tu?"
"Che Mon yang bagitau Bakri pasal perasaan Firdaus pada Rossa. Masa tu Che Mon tak tahu yang Bakri nak kawen dengan Rossa. Sebab Bakri tu selalu cerita pasal seorang perempuan yang dia panggil dengan gelaran Budak Kecik. Dan Che Mon betul-betul tak sangka yang Budak Kecik tu rupa-rupanya Rossa. Bila Che Mon dah tau, Bakri pulak tak suruh Che Mon bukak mulut. Rasa bersalah tu menebal sangat sampai sekarang. Tapi syukur Alhamdulillah, Che Mon boleh nampak yang Firdaus betul-betul sayangkan Rossa"
Cerita yang dibawa oleh Che Mon kali ini benar-benar memeranjatkan Rossa. Rupa-rupanya, Che Monlah yang memberitahu perkara tersebut kepada Bakri. Pantas saja Bakri meluahkan rasa di dalam suratnya. Tidak disangka, sejauh itu namanya menjadi sebutan!
"Rossa bahagia kan dengan Fir?"
"Bahagia sangat-sangat Che Mon! Abang memang jaga Rossa dengan baik sangat. Rossa tak tahu sama ada Rossa boleh hidup tanpa abang di sisi ataupun tak" Gumam Rossa. Terkenangkan pergaduhan mereka dan ugutan umi, hati Rossa mula berdetak hebat!
"Sebab tu Rossa kena jaga hubungan ni sebaik mungkin. Fir tu nampak je biasa dari luar, tapi dalam hati dia, terlalu banyak yang dia pendam. Kadang, Che Mon pun tak mampu nak selam sedalam mana dasar hati dia"
Itu Rossa setuju! Dia sebagai isteri pun sukar untuk memahami kata hati lelaki itu. Firdaus itu adakalanya terlalu banyak berahsia.
"Che Mon. Rossa nak tahu sesuatu lagi, boleh?"
Kepala Che Mon terangguk-angguk.
"Dulu abang pernah jadi polis kan? Kenapa dia berhenti dari jadi polis sedangkan pada Rossa, itukan kerja mulia?" Rossa mula memancing, tak mahu tampak terlalu jelas. Risau jika pertanyaan tersebut membawa Che Mon ke alam fikiran lain.
"Fir tak pernah cerita ke?"
Rossa mengangguk. Setahu dia, memang tidak pernah cerita itu sampai pada pendengarannya. Hanya dari pihak umi yang dia tahu ceritanya, itupun masih kurang jelas kebenarannya.
"Hmm, kalau tak silap Che Mon, Fir diberhentikan kerja sebab melanggar seseorang sehingga menyebabkan kematian. Isteri arwah failkan kes"
Pakkk! Rossa terasa seperti terpukul. Benarlah umi tidak berbohong. Hati Rossa menangis. Ingin saja rasanya dia menjerit sepuas-puasnya agar segala kesedihan ini dapat terhapus.
"Tapi Che Mon tak percaya. Sebab masa tu, Bakri pun ada jugak dalam kereta. Boleh jadi Bakri yang memandu masa tu. Tapi tak tahulah. Cerita ni berbelit-belit pulak"
Hati Rossa tersentak. Bakri ada dalam kereta? Jadi kemungkinan Firdaus melanggar arwah abah adalah tidak benar. Tapi seandainya benar Bakri yang melakukan kecuaian tersebut, kenapa Firdaus yang dipersalahkan? Rossa buntu..
JAM di dinding dikerling. Sudah pukul 1 pagi. Mata Firdaus masih tidak mahu lelap.Dari tadi, dia menunggu kehadiran Rossa di sisi. Namun sejak Isyak sehinggalah sekarang, Rossa tidak juga munculkan diri. Benar hatinya marahkan Rossa tetapi untuk menghukum, hatinya tidak sanggup. Walaupun dia terasa hati dengan sikap Rossa yang seolah-olah menjatuhkan hukuman kepadanya, namun dia masih inginkan wanita itu untuk terus mendampinginya. Dan tidurnya tidak akan aman selagi tiada Rossa di sebelah. Wangian Rossa mendamaikan hati dan lenanya selama ini.
Firdaus semakin gelisah kerana tampang Rossa tidak kelihatan. Ke mana agaknya isterinya itu? Merajuk jugakkah? Keluhan termuntah jua.Seharusnya dia lebih memahami Rossa. Walaupun seharusnya Rossa juga memahami keadaan dirinya, tetapi dia tidak boleh bersikap pentingkan diri. Rossa baru saja mengalami keguguran. Sedikit sebanyak, emosi Rossa terganggu apatah lagi setelah melihat kemesraannya dengan wanita lain. Mungkin itu perkara remeh bagi dia, tetapi tidak bagi Rossa. Rossa cemburu, dan itu bererti Rossa benar-benar menyayanginya. Hmm.. Firdaus merasa bersalah. Cinta Rossa dia pandang enteng padahal gadis itulah yang selalu membuat tidurnya tak lena suatu masa dulu. Dia sebenarnya tertekan sejak didatangi Zaid ke pejabat tempoh hari. Kes Bakri masih dalam siasatan. Dan dia juga tidak bisa hanya berpeluk tubuh. Jika tidak campur tangan, siapa yang akan membela kematian Bakri? Ditambah lagi dengan cerita yang melanda diri Rossa, walaupun sudah dijelaskan, dia tetap berdosa kerana membiarkan nama Rossa terpalit juga. Dan apabila Rossa mengalami keguguran dan kandungan Rossa tidak sempat diketahuinya, dia meletakkan 100% kesalahan itu ke atas dirinya. Dia sebenarnya benar-benar menginginkan seorang zuriat dari hubungannya dengan Rossa. Namun apakan daya, Allah lebih menyayangi janin tersebut. Dia redha walaupun masih dalam keadaan terkilan.
Tidak mahu menunggu terlalu lama, ditambah lagi dengan rasa bersalah yang membuak-buak pada Rossa, Firdaus gagahi jua langkah ke ruang tamu. Mencari keberadaan Rossa. Belum pernah mereka berpisah tidur sejak hubungan mereka kembali pulih. Dia merasa kosong jika tiada tubuh Rossa dalam pelukannya.
Firdaus mengeluh saat melihatkan tubuh Rossa terbaring lesu di atas sofa dengan televisyen terbuka. Dirapatinya Rossa lalu duduk melutut di hadapan isterinya. Dengan helaan nafas, dahi Rossa menjadi sasaran bibirnya. Agak lama sehingga dia tidak sedar airmatanya menitik satu-persatu.
"Tolong jaga Rossa untuk aku tak kira apa pun yang terjadi" Tiba-tiba kata-kata Bakri melimpasi cuping telinganya. Firdaus tidak amanah pada pesanan terakhir Bakri. Teganya dia membiarkan Rossa tenggelam dengan dosa padahal bertalu-talu kemaafan yang Rossa pohon sebentar tadi.
Selepas puas mengucup dahi Rossa, dia beralih ke pipi kanannya pula. Dikucupnya lama. Sejak akhir-akhir ini, selalu saja pipi tembam itu membuatkan dia kegeraman sehingga dia hilang minat pada wanita lain. Asyik sangat terbayangkan wajah Rossa yang comel dengan pipinya yang sentiasa menggebu itu.
Firdaus layangkan kucupan lama di tubir mata Rossa. Dia perasan, mata itulah yang sering menggodanya namun sentiasa mengalirkan airmata bagi menzahirkan emosinya yang kerap kali terganggu. Apabila Rossa menangis, dia ikutan menangis. Namun tangisan Rossa di dalam kereta petang tadi tidak dihiraukannya dan itu membuatkan hatinya semakin mencucuh dengan rasa bersalah!
"Abang.."
Firdaus tersentak dengan panggilan syahdu daripada Rossa. Lantas dikalihkan bibirnya ke bibir Rossa. Agak lama bibir mereka bertaut sehingga Firdaus sendiri yang melepaskan kucupan.
"Lama dah abang tak belai bibir ni" Disentuh bibir Rossa dengan ibu jari. Bibir yang tak kering dengan senyuman setiap kali mata mereka bertaut. Dan bibir itu juga yang sentiasa menaikkan getaran lelakinya.
"Hmmm" Rossa menggumam dalam tangisan. Hari ini saja sudah berapa kali mata itu mengalirkan mutiara jernih.
"Maafkan abang sayang" Firdaus merendahkan ego terlebih dahulu. Terlalu banyak dalam fikirannya sehingga dia tega melepaskan kemarahan tersebut kepada Rossa.
"Abang khilaf. Abang tak reti jaga perasaan sayang. Abang fikirkan diri abang sampai abang lupa pada sayang" Suaranya mengendur. Benar-benar dia menyesali kesalahan diri.
Rossa semakin lemas dalam tangisan. Dia kehilangan kata-kata. Seharusnya dia yang meminta maaf kerana semua berpunca daripada perasaan cemburunya. Dan apabila Firdaus sudah menuturkan kemaafan, dia semakin dihimpit dengan rasa bersalah.
"Abang bodoh! Abang tak faham sayang. Abang selalu pandang ringan pada diri sayang. Abang pentingkan diri sendiri" Firdaus juga sudah hanyut dalam tangisan. Sebagai suami, dialah yang seharusnya membentuk Rossa. Rossa jadi begitu kerana olahannya sendiri. Apa-apa perubahan dalam diri Rossa adalah kerana dirinya juga.
Apabila Rossa hanya mendiamkan diri, Firdaus semakin dicucuk dengan jarum dosa. Dia rindukan suara itu. Suara yang selalu memanggilnya dengan manja.
"Kenapa sayang diam? Sayang marahkan abang ke? Abang rindu dengan suara sayang. Please say something"
Rossa tidak mampu menahan sebak di hati. Laju saja tubuhnya memanjat ke atas tubuh Firdaus yang sedang duduk melutut di hadapannya. Didakap erat tubuh itu dalam tangisan.
"Kita banyak sangat memendam rasa sejak akhir-akhir ni sayang. Lepas ni, kalau ada apa-apa kemusykilan, kita luahkan aje ye?" Ujar Firdaus sambil membalas pelukan Rossa.
Hati Rossa terpujuk dengan suara dan kata-kata Firdaus.Dia mengangguk lemah. Dan pelukan semakin diperketatkan.
DALAM tempoh tiga minggu ini, Rossa dan Firdaus seperti pengantin baru. Sejak peristiwa tempoh hari, mereka seakan tersipu dengan diri masing-masing. Dan perubahan ketara itu tampaknya lebih memihak kepada Rossa! Jika Firdaus di ruang tamu, Rossa akan segera berlalu ke bilik. Dan jika Firdaus sudah menapak ke dalam bilik, Rossa akan berpura-pura tidur. Tetapi dalam kepuraan tersebut, dia dapat merasakan pelukan erat yang melingkari pinggangnya.
Dalam tempoh itu juga, kemesraan mereka terbatas dek kerana keadaan Rossa yang masih lagi dalam pantang. Che Mon benar-benar menjaga Rossa sehinggakan sudah dua minggu kebelakangan ini mereka tidak tidur sebilik. Dan itu membuatkan jiwa lelaki Firdaus resah. Beradu tanpa Rossa di sisi, ibarat membunuh separa dari jiwanya.
Rossa banyak mendiamkan diri jika berduaan dengan Firdaus. Dia selalu dihubungi oleh Umi Za dan akan ditanya mengenai keputusannya. Sesungguhnya, Rossa tidak mampu untuk memilih. Tetapi umi tetap selalu mengugutnya dengan bermacam-macam ancaman. Benci benar Umi Za dengan Firdaus.
Pernah juga dia dan Firdaus menziarahi umi di rumah. Tetapi Umi Za melayan Firdaus acuh tak acuh saja. Adakalanya satu patah perkataan pun tidak terkeluar dari bibir itu. Rossa buntu melihat perubahan mendadak uminya itu. Dia tahu Firdaus berkecil hati tetapi tidak pula pernah Firdaus mengadu kepadanya. Rossa sendiri tidak tahu bagaimana mahu meyakinkan umi bahawa Firdaus tidak bersalah. Dan kalau benar sekalipun Firdaus bersalah, sudah tiada apa yang harus dilakukan. Nasi sudah menjadi bubur.Dan Firdaus juga sudah menerima hukumannya sebelum ini. Tidakkah umi sedar bahawa Firdaus juga terseksa selama ini?
Pada siapa lagi harus Rossa tanyakan hal tersebut? Pada Firdaus? Dia tidak berani untuk membuka kisah itu kerana risau dengan perasaan Firdaus yang bakal tersakiti.
Bunyi mesej memasuki ruang telefon Rossa. Ditiliknya telefon bimbit. Dia tersenyum kala menerima mesej dari Firdaus.
'Sayang, seronok ke tidur dengan Che Mon sampai lupakan abang?'
Rossa menggeleng kepala. Mesej masuk lagi.
'I love you. Jomlah teman abang tidur. Takkan nak biarkan abang tidur sorang2?'
"Rossa, kenapa tak tidur lagi? Dah dekat nak pukul 12 ni" Rossa tersentak saat disapa oleh Che Mon yang sedang berbaring di atas katil. Kelu lidahnya hendak menjawab.
"Err kejap lagi Che Mon. Rossa belum ngantok lagi" Che Mon terus diam. Agaknya sudah lena dibuai mimpi. Bunyi
mesej masuk lagi. Kali ini, Firdaus menghantar gambar katil pula.
'Ni tempat sebelah abang. Kosong macam kosongnya hati abang sekarang. Mana sayang ni?'
Geli hati Rossa membaca mesej Firdaus apatah lagi setelah di hujung mesej tersebut, Firdaus selitkan emoji sedih.
Rossa berfikir sejenak. Matanya memandang ke arah Che Mon yang sedang berkeruh tidur. Hmmm, lena betul Che Mon! Masa yang sesuai ni...
Rossa berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu bilik. Dengan berhati-hati, dia memusing tombol pintu. Belum sempat keluar, langkahnya mati lagi apabila mendengar Che Mon berdehem.
Rossa mati kutu. Nampak gayanya, tidur asing lagilah dia dan Firdaus malam ini. Perlahan-lahan, dia memusing badan namun peluangnya kembali cerah apabila Che Mon masih terlelap. Rupa-rupanya, Che Mon mengigau sebentar tadi.
Rossa senyum kemenangan. Yes! Langkahnya dipercepatkan...
FIRDAUS memusing tubuh ke kiri dan ke kanan. WhatsApp yang dihantar kepada Rossa hanya dibluetick saja. Hampa rasa hatinya. Sudah dua minggu ini mereka tidur berasingan. Bahkan dalam tempoh tersebut, dia tidak menyentuh Rossa sekalipun. Che Mon memang sengaja hendak menguji hati mereka.
Baru saja hendak melelapkan mata, ketukan di pintu bilik kedengaran. Firdaus segera menuju ke pintu dan membukanya.
Lebar saja senyumannya saat terpandangkan wajah comel Rossa sedang merona merah di hadapannya. Dia pantas menarik Rossa ke dalam pelukannya. Rindunya pada Rossa bukan kepalang lagi.
"Abang, tutuplah pintu dulu. Nanti Che Mon masuk, tengok kita buat apa" omel Rossa, geram. Eishh, tak menyempat betul!
Firdaus melepaskan pelukan sambil sebuah sengihan terpamer di wajah. Kemudian, laju saja tangannya menutup pintu lantas menguncinya. Dia tidak mahu ada gangguan sepanjang dia bersama Rossa.
"Rindu.." luahnya sepatah tatkala wajah itu dibelek lama.
"Rossa pun rindu abang" Hanyut dalam emosi masing-masing, terus saja tubuh Rossa dibawa dalam dakapan.
Agak lama mereka berpelukan sehingga Rossa sendiri melepaskan diri. Wajah Firdaus ditatap manja. Dia sudah lupa cara untuk menggoda lelaki itu.
"Kenapa pandang abang macam tu?" Bergetar juga hatinya melihat cara pandangan Rossa malam itu.
Rossa hanya menggeleng kepala sambil mengatur langkah menuju ke katil. Kemudian, dibaringkannya tubuhnya ke situ. Firdaus hanya galak memerhati. Sedikit kecewa kerana Rossa tidak mengerti keinginan hatinya.
"Abang..." Suara Rossa sudah meleret-leret sambil senyuman nakal tersungging di bibir. "Rossa dah lupa macam mana nak goda abang!" Polosnya wajah itu mengundang tawa di bibir Firdaus.
Tubuh Rossa didekati. Wangian rambut dan badan Rossa sungguh menggetarkan jiwa lelakinya. Walau tanpa lenggokan badan, tetapi wangian tersebut sudah cukup menggiurkan hatinya!
Tanpa menunggu pelawaan dari Rossa, Firdaus membaringkan diri di sebelah isterinya. Seketika, pandangan mereka bersabung. Hebatnya getaran cinta pada sinaran mata masing-masing.
Rossa mendekatkan jarak mereka. Dipeluk tubuh Firdaus dengan manja. "Abang, bila Rossa boleh kembali kerja?"
"Sayang nak kerja lagi ke?"
"Aah" Jari-jemari Rossa menari-nari di atas dada Firdaus yang sasa itu.
Firdaus menahan gelojak hati dengan perlakuan Rossa. Sungguh, hatinya kepinginkan kemanjaan itu.
"Tak payahlah kerja. Abang dah pernah cakap kan, abang boleh sara sayang.Abang risau emosi sayang terganggu lagi dengan suasana kerja" Dahi Rossa dikucup sebagai langkah pertama.
"Tapi Rossa bosan duk rumah!" adu Rossa.
"Che Mon kan ada? Hari tu sayang cakap kalau Che Mon ada sayang tak bosan sangat. Kenapa sayang nak kerja sangat ni?"
"Rossa nak cari duitlah bang! Nak belikan apa yang Rossa nak"
"Sayang nak beli apa? Say it. Abang boleh beli selagi termampu.Kalau sayang nak cari duit, tiap bulan abang ada bank in duit untuk sayang kan?"
Rossa senyap. Sejujurnya, itu bukan alasan kenapa dia hendak sangat bekerja. Dia tidak bisa jauh dari Firdaus dan risau jika ada sesiapa yang cuba menaruh niat tak elok pada suaminya. Dia serik!
"Ke...Sayang tak nak jauh dari abang ni?" Firdaus cuba menebak. Dulu pun Rossa pernah mengaku sebegitu padanya.
Rossa kaget. Bijaknya Firdaus membaca isi hatinya. Wajahnya dibenamkan ke leher Firdaus. Deruan nafasnya yang menampar manja leher Firdaus menjadikan gelora hati Firdaus mula berdetak hebat.
"Lupakan kerja tu. Ada kerja lagi baik yang sayang boleh buat.."
Bibir Rossa dikucup. Serentak dengan belaian dan sentuhan Firdaus pada seluruh tubuh Rossa. Mereka hanyut dalam asmara cinta yang meleraikan sebuah rindu!
Share this novel