PIPI yang masih terasa hangat ditampar tadi, disentuh perlahan. Sakit juga rasanya tamparan Rossa. Namun tidak mengapalah! Dia puas hati kerana kesakitannya berbayar. Sekurang-kurangnya, Firdaus sudah berada di pihaknya. Jelas pada pandangan mata lelaki itu betapa jahat dan liciknya Rossa pada dia.
Aina mengulum senyuman sinis. Puas hatinya dapat menyakitkan hati Rossa. Dia yakin, pasti saat ini Rossa sedang dimarahi kaw-kaw oleh Firdaus kerana perlakuan kasarnya sebentar tadi.
"Tapi itu tak cukup untuk buatkan Firdaus jadi milik aku sorang!" Otak Aina ligat memikirkan cara untuk menghapuskan Rossa. Lama dia berfikir cara yang paling berkesan untuk terus menjauhkan Rossa dari kehidupan Firdaus.
"Kalau bercerai dan saling membenci tak dapat nak pisahkan diorang, agak-agaknya mungkin kematian dapat kot?"
Bibirnya mengukir senyuman sinis.
"KENAPA Rossa suka cari pasal dengan Aina?"
Rossa berdiri membelakangkan Firdaus. Dia berpeluk tubuh. Dia tidak bersalah. Aina yang memulai semuanya. Firdaus hanya nampak setakat itu saja, bukan keseluruhannya. Air matanya laju saja mengalir keluar.
Helaan nafas Firdaus kedengaran berat sekali. Seketika, kata-kata Nizam bermain di udara. Dia tahu, dia terlalu menyakiti hati Rossa sejak akhir-akhir ini. Dia tidak tahu hendak mendamaikan hati kedua isterinya. Masakan tidak, hatinya kini lebih berpihak kepada Rossa meskipun dia tahu, dia tidak boleh berat sebelah.
"Abang dah gagal sebagai seorang suami" keluh Firdaus sesudah melabuh punggung di birai katil. Dan sejujurnya, dia keliru hendak berbuat apa-apa. Jalan yang cuba dicari seakan menemui jalan buntu. Dia tidak mahu melepaskan Rossa tetapi dia juga tidak boleh tutup sebelah mata terhadap kehadiran Aina.
Kelu seketika Rossa dengan kata-kata Firdaus. Kini, dia merasakan kesalahan semuanya berpunca dari dirinya. Jika Firdaus gagal sebagai suami, dia seharusnya mendukung Firdaus agar menjadi lebih baik. Bukannya sebaliknya dan berbuat angkara. Sedikit demi sedikit egonya menurun.
"Maafkan abang" bisik Firdaus ke telinga Rossa. Tubuh itu didakap dari arah belakang. Dia tidak sanggup untuk terus bergaduh dan bermasam muka dengan Rossa.
Tersentak Rossa dengan sikap Firdaus. Dinikmatinya belaian lembut Firdaus pada tubuh badannya. Sungguh, dia rindu pada semua itu.
"Abang masih sayangkan Rossa. Tak pernah berkurang sedikit pun!" Bahu Rossa dikucup. Haruman Rossa sungguh menenangkan jiwanya. "Please, jangan tinggalkan abang untuk Taufiq"
"Tapi kenapa abang buat semua ni pada Rossa? Kenapa abang kawen dengan Aina kalau abang masih sayangkan Rossa? Kenapa abang mesra dengan Aina kalau abang masih sayangkan Rossa? Dan kenapa abang selalu sakitkan hati Rossa dengan kata-kata abang? Abang tahu tak, Rossa sedih sebab abang buat Rossa macam tu!" Rossa sudah dibanjiri dengan air mata. Sudah tak tertahankan rasa sakit itu. Kini, dia diberi peluang untuk meluahkan semua rasa tersebut. Walau apapun jawapan dan keputusan Firdaus, kali ini dia akan tetap menerimanya dengan hati yang terbuka.
Wajah Firdaus keruh. Nampak gayanya, dia harus menjelaskan semuanya kepada Rossa. Tubuh Rossa dipusing menghadapnya. Kemudian, tangan itu ditarik untuk duduk di birai katil bersebelahan dengannya.
"I did it because I was out of anger" Dari duduk di sisi, kini tubuh Rossa ditarik agar duduk di atas ribanya. "Abang marah bila dapat tahu bekas kekasih Rossa cari Rossa lagi. Abang tak boleh terima semua tu. Lagilah bila abang tahu yang Taufiq tu bukan sembarangan orang. Abang rasa tercabar" Pipi Rossa dielus lembut. "Dan abang kawen dengan Aina sebab abang nak bagi pengajaran pada Rossa. Abang tahu Rossa kuat cemburu. Abang fikir, kalau kawen dengan Aina dapat buatkan ego Rossa menurun dan Rossa sedar kesalahan Rossa, abang sanggup hadap semua tu. Tapi abang silap. Itu buatkan Rossa semakin jauh dari abang"
Rossa bungkam. Dia menyepi. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Rupa-rupanya selama ini perkahwinan itu hanyalah sekadar atas kertas, dan bukannya atas dasar cinta. Selama ini, dia fikirkan Firdaus sudah berubah hati. Tetapi sebaliknya pula. Ya Allah, kenapalah aku ni cemerkap sangat?!!
"Kenapa diam? Hmmm?" Pipi Rossa dikucup mesra. Sudah lama dia tidak bermanja seperti itu dengan Rossa.
"Rossa rasa bersalah. Rossa selalu fikir yang abang dah tak sayangkan Rossa lagi"
"Selalu fikir macam tu"
"Betullah, dah abang selalu sangat prihatin kat Aina. Pastu selalu tidur dengan dia. Sakitlah hati Rossa fikir apa yang jadi pada abang dengan dia tiap-tiap malam" akui Rossa jujur. Setiap malam dia menangis, membayangkan betapa bahagianya Aina diperlakukan oleh Firdaus.
Tergelak Firdaus mendengarnya. Hidung mancung Rossa dicuit. Bahagianya bila ada yang cemburu. Cemburukan tanda sayang!
"Gelak!"
"Benda lawak, gelaklah! Takkan nak nangis pula"
"Mana ada Rossa buat lawak!"
"Yang Rossa fikir abang ada buat tu dengan Aina tu apa?"
Rossa terdiam. Dia cemburu sebenarnya. Yelah, masih sayangkan? Wajarlah dia dihantui dengan perasaan seperti itu.
"Abang tak pernah pun sentuh Aina dari mula kawen sampai sekarang"
Kata-kata itu membuatkan Rossa memandang wajah Firdaus. Dari ekor matanya, dia inginkan penjelasan.
"Betul" akui Firdaus setelah riak wajah Rossa seakan tidak mempercayainya. "Abang memang tidur dengan Aina. Tapi kita orang tak buat apa-apa pun. Kadang, Aina dah tidur awal. Abang masih lagi kat meja kerja, buat kerja abang. Sedar-sedar je, dah tertidur dengan paperwork"
"Tak cayalah!" tukas Rossa. "Kucing kalau dah nampak ikan, takkan nak biarkan je? Mesti dia sambar kan?"
"Itu kucing lain. Abang kucing lain. Kucing ni.." Firdaus tunding jari pada dadanya. "Nak ikan yang ni je" Bibir Rossa ditindih. Betapa dia rindu pada kucupan itu yang menjadikan dia lelaki berahi pada sang isteri.
"Abang, nanti Aina nampaklah!" Rossa menolak lembut bibir Firdaus.
"Hmmm, Aina lagi" keluh Firdaus pula.
Rossa tertawa halus. Lapang rasa dadanya. "Siapa suruh kawen dengan Aina?"
"Dah orang tu jual mahal"
"Mana ada!" nafi Rossa, pantas. Tiba-tiba, pipinya merona saat Firdaus tersenyum nakal padanya. Pelukan di pinggangnya diperketatkan.
"Abang jangannnn" ujar Rossa tatkala tangan Firdaus hinggap pada bahagian belakangnya. "Nanti Aina nampaklah!"
"Nak mesra dengan isteri sendiri pun tak boleh!" adu Firdaus.
"Bukan tak boleh, nanti Aina nampak. Bertambahlah marah dia tu. Rossa tak sukalah!"
"Abang nak tanya. Kenapa sayang tampar Aina tadi?"
"Dialah! Yang provoke Rossa dulu. Dia cakap, Rossa tak pandai jaga suami. Lepas tu, dia cakap yang abang tak sayangkan Rossa lagi. Sebab kalau abang sayang, abang takkan ada yang kedua. Rossa marahlah. Rossa cakaplah yang kita ni dah tahu apa dah jadi pada tubuh badan dia. Terus dia mengamuk, dia tolak badan Rossa"
"Lepas tu, sayang tampar dia?" duga Firdaus. Laju saja Rossa mengangguk dengan esak tangis yang kian berkurang.
"Kalau boleh, lepas ni jangan berkasar pada dia. Dia masih sakit"
"Tapi Hafizi cakap..."
"Hafizi tipu dia" celah Firdaus dalam keluhan.
Kening Rossa bertaut. "Kenapa Hafizi tipu dia? Tu kan tak boleh. Aina tu pesakit dia. Seteruk apa pun keadaan Aina, dia kena jugak bagitau Aina hal sebenar"
"Hafizi tak sampai hati bila tengok riak Aina yang happy tu. Bila Hafizi cakap pasal keadaan dia dah membaik, dia terus happy tak ingat dunia. Padahal Hafizi baru je nak jelaskan kondisi kanser dalam badan dia tu" jelas Firdaus. Itu yang Hafizi ceritakan pada dia. Agak-agaknya, kalau dia di tempat Hafizi pun, pasti dia akan melakukan perkara yang sama. Hanya memerlukan saat dan masa yang sesuai untuk dikhabarkan berita sebenarnya. "You know right? Kanser tahap 4 takde penawar dia. It's a critical stage" Bahu Rossa dikucup bagi meredakan gelojak di hati. Bersatu dengan tubuh Rossa cukup menenangkan ketidakcelaruannya saat itu.
"Sebab tu, abang cakap. Kalau boleh, lepas ni try berlembut dengan dia. Aina tak boleh terlalu stress. Sayang mesti dah tengok keadaan dia ketika marah kan?"
Rossa terdiam. Mengiyakan tidak, menafikan juga tidak. Hatinya keliru. Jikalau Aina berkasar padanya, masakan dia harus mendiamkan diri sahaja?
"Yelah, Rossa cuba. Tapi kalau dia tak berkasar dengan Rossa atau provoke Rossa macam-macam. Kalau dia sakitkan hati Rossa secara sengaja, Rossa takkan duduk diam" Rossa mengingatkan. Dia bukan gadis lemah yang bisa duduk diam ketika dikasari atau disakiti secara sengaja. Dia punya hak untuk mempertahankan dirinya sendiri.
"Iye.. Tapi kalau boleh, elakkanlah dari semua tu. Boleh?"
Rossa mengangguk kepala. Bersetuju dengan kata-kata Firdaus. "Tapi Rossa ada satu kemusykilan"
"Apa dia?"
"Kenapa abang suruh Rossa kerja?"
Soalan Rossa dibiarkan tidak berjawab. Otak Firdaus sedang berfungsi bagi menjelaskan duduk perkara sebenar.
"Saja. Abang tak boleh jauh dari sayang" Tubuh Rossa dipeluk mesra.
"Tipu!" sangkal Rossa dengan mimik wajah kecewa. Dia tahu, ada sesuatu yang Firdaus sedang sembunyikan. Adakah ianya juga berkaitan dengan Aina? Tiba-tiba, dia teringatkan perbualannya dengan Che Mon tempoh hari.
"Abang. Hari tu Che Mon bagitau sesuatu pasal Aina"
Mendengarkan itu, wajah Firdaus berubah kelat. Pelukan dilonggarkan. Wajah Rossa dijamah.
"Kenapa dengan Aina?"
"Che Mon cakap, Aina ada niat nak cederakan Rossa. Che Mon suruh Rossa hati-hati. Abang rasa betul tak apa yang Che Mon cakap? Manalah tau, kot-kot Che Mon salah dengar ke?"
Firdaus terdiam. Apa yang disampaikan oleh Rossa, sama seperti apa yang disampaikan oleh Che Mon kepadanya. Bermakna Che Mon tidak main-main. Dan tidak mungkin juga Che Mon menipu kerana selama ini, dia kenal peribadi dan watak wanita itu.
"Che Mon pun pernah bagitau abang macam tu"
Terbeliak biji mata Rossa. Wajah Firdaus dipegang. Jadi selama ini Firdaus sudah mengetahuinya melalui Che Mon?
"Betullah! Abang tak tipu" ujar Firdaus seraya membawa tangan Rossa ke bahunya. "Lama abang fikir, macam tak nak je percaya kalau Aina ada niat busuk macam tu. Tapi tak mustahil jugak. Sebab dulu pun dia pernah ugut abang"
Tersentak Rossa seketika. Dia semakin tidak mengerti dengan apa yang sedang berlaku. Kenapa dia selalu ketinggalan dalam banyak hal?
"Aina ugut akan cederakan sayang kalau abang tak nak kawen dengan dia"
Rossa bungkam. Hatinya walang. Betullah dugaannya selama ini. Pasti ada alasan yang munasabah di atas perkahwinan yang terjalin di antara Aina dan suaminya. Tidak mungkin Firdaus sewenangnya melukakan perasaannya seperti itu. Dia kenal Firdaus luar dan dalam. Cuma selama ini egonya saja yang lebih mendominasi akal dan hatinya.
"Sebab tu abang setuju kawen dengan Aina? Sebab abang nak lindungi Rossa?" duga Rossa lagi. Saat bibir Firdaus mengulum senyum dengan anggukan di kepala, saat itu juga Rossa mendakap erat tubuh suaminya. Tanpa sedar, laju saja air matanya jatuh ke pipi. Betapa berdosanya dia terhadap Firdaus selama ini. Dia selalu buruk sangka pada Firdaus walhal suaminya itu sanggup mengorbankan segala-galanya untuk dirinya.
Pelukan Rossa dibalas erat. Kini, terbukti sudah cinta itu masih milik mereka. Mereka terpisah kerana ego yang meninggi di tuntas hati. Firdaus berjanji tidak akan melepaskan Rossa pergi lagi dari hidupnya. Segala permasalahan yang berlaku akan dihadapi mereka bersama-sama.
"Tu ke sebabnya abang nak Rossa kembali kerja? Sebab abang tak nak tinggalkan Rossa berdua dengan Aina di rumah ni?" teka Rossa lagi sesudah melepaskan pelukan.
Laju saja Firdaus mengangguk kepala. Dia sudah tidak larat hendak merahsiakan segala-galanya daripada Rossa. Biarlah Rossa mengerti agar cinta mereka kembali bertaut.
"Tapi abang masih gagal. Walaupun abang dah kawen dengan Aina, abang masih gagal lindungi sayang" Dahi Rossa dikucup. "Abang tahu, kemalangan yang berlaku bulan lepas angkara Aina. Cuma abang belum ada bukti. Kalau terbukti semuanya, abang takkan lepaskan dia. Sekarang ni, abang masih lagi siasat pasal accident tu"
"Abangggggg!" Rossa sudah menangis. Terlalu banyak yang sudah dikorbankan Firdaus ke atas dirinya. Bagaimana bisa dia hidup tanpa lelaki ini?
"Janganlah nangis"
"Kenapa abang baik sangat pada Rossa?"
"Kenapa sayang suka buat abang jatuh cinta?"
Rossa menggigit bibir. Didakap kembali tubuh sasa itu. Sesungguhnya, dia begitu merindui saat-saat seperti ini bersama Firdaus. Kini, dia mengerti betapa penting dan berharganya Firdaus di dalam hidupnya.
"So lepas ni, takde tempoh sebulan, dua bulan, tiga bulan and so on" bisik Firdaus manja ke telinga Rossa. Mendengarkan itu, bibir Rossa mengulum senyum manis sambil melepaskan pelukan. Wajah Firdaus ditenung manja.
"Because I want you forever" ungkap Firdaus lalu mengucup bibir mungil Rossa. Kucupan dan pelukan mereka bersatu dalam cinta yang begitu mendalam.
UMAR merenung skrin telefon bimbit sedari tadi. Dia kegelisahan sejak dikhabarkan berita gembira oleh Puan Julia beberapa hari yang lepas.
"Nanti kamu jumpalah calon isteri kamu tu. Mama dah aturkan date kamu dengan dia"
Tersedak Umar saat menerima berita itu. Dia tidak mengenali siapa gerangannya calon isteri yang mama maksudkan. Menurut mama, dia sudah ditunangkan secara tak rasmi dengan gadis misteri itu. Sehingga ke saat ini, dia tidak mengenali bahkan tidak mengetahui wajah sebenar calon isterinya itu.
Namun, sejak dua hari yang lepas, dia sudah dapat mengagak calon isteri yang mama maksudkan selama ini. Baru semalam dia menghantar mama ke rumah bakal mertuanya itu. Gembira bercampur bahagia hatinya saat mengetahui siapa gerangan tersebut. Kini, dia berdebar pula setiap kali melihat telefon bimbitnya kerana pada saat itu dia sedang menimbang-tara sama ada hendak menghubungi si gadis misteri atau sebaliknya.
Bibirnya mengulum senyum. Mendung wajahnya beberapa bulan yang lalu kini berubah cerah. Dia sudah mampu bernafas lega dan bersorak gembira. Tidak disangka, jodoh itu memang milik mereka. Tidak sia-sia dia menyemai benih cinta pada gadis itu selama ini.
Nani Nur Iman! Kau akan jadi milik aku jugak tak lama lagi. Tetapi takkan semudah itu dia harus mendedahkan dirinya yang sebenar. Dia akan mengenakan Nani untuk seketika.
Tunggu saja!
PAGI itu, Rossa sudah terpacak di dapur bagi menyediakan sarapan pagi untuk Firdaus. Jarum jam baru saja berganjak ke jam 6.30 pagi. Biasanya waktu-waktu begini penghuni kondo itu belum bangun lagi. Dilihatnya bilik tidur Aina masih gelap. Itu bermakna gadis itu juga masih belum sedarkan diri.
Rossa baru saja selesai menyiapkan sarapan pagi. Dia berdiri di sinki sambil mencuci pinggan mangkuk. Tersengih-sengih dia mengingati peristiwa semalam. Belaian dan kucupan hangat Firdaus masih lagi terasa. Betapa hatinya begitu merindui saat-saat romantis mereka bersama. Setelah jam 4 pagi, dia melepaskan Firdaus untuk ke kamar bersama Aina. Masakan tidak, mereka sama-sama risau sekiranya Aina membuat olah setelah mengetahui keberadaan Firdaus di dalam biliknya. Menurut Firdaus, kemesraan mereka tidak harus dipamerkan di hadapan Aina. Kondisi Aina yang belum membaik membataskan pergaulan mereka.
"Haaa, termenung jauh ye?" Tubuh Rossa didakap dari arah belakang. Hampir saja dia terjerit dek kerana sergahan Firdaus. Ditampar lembut tangan Firdaus yang melingkari pinggangnya.
"Abang, nanti Aina nampaklah!" ujar Rossa sambil melepaskan diri dari Firdaus.
"Aina masih tidurlah sayang! Bagilah abang manja puas-puas dulu" Leher Rossa diciumnya ghairah. Tergelak kecil Rossa dibuatnya.
"Takkan tak puas lagi?"
"Tak!" sahut Firdaus lalu tunduk mencium bahu Rossa pula.
"Confirm ke Rossa kembali ke office ni?" tanya Rossa, sekadar inginkan kepastian.
"Sayang tak nak ke? Kalau tak nak, takpe. Stay rumah umi dulu nak?" Firdaus menyusul cadangan setelah melepaskan Rossa dari pelukan. Dia bergerak ke meja makan lalu melabuh punggung di situ.
Wajah Rossa mencuka. Nak hantar dia ke rumah umi buat apa? Makinlah dia tak tenang gara-gara terpaksa berjauhan lagi dari Firdaus.
"Sukalah tu, jauh-jauh dari kita!" rungut Rossa. Dia sudah berdiri di sisi Firdaus sambil menyedok nasi goreng ke dalam pinggan.
"Ehhh, mana ada!" Pinggang Rossa dipeluk kejap.
"Tak cayalah! Nak hantar Rossa rumah umi buat apa?" adu Rossa setelah selesai meyediakan makanan buat Firdaus.
"Abang bagi cadangan je. Manalah tau, sayang tak nak kerja lagi. Nanti cakap abang bagi status mem besar dekat Aina sorang"
"Mengadalah abang ni! Rossa nak kerjalah. Dah janji dengan Nani, nak kerja dengan dia. Tapi Rossa dah terlanjur cakap, yang Rossa tak nak under abang" Tiba-tiba, Rossa menyesali percakapan sendiri. Buatnya dia berada di bawah pengurusan Firdaus, tak ke merah mukanya menahan malu gara-gara diusik Nani?
"Itulah, siapa suruh cakap macam tu? Kan dah susah" rungut Firdaus. "Sayang tak nak bekerja dengan abang ke? Confirm ni?"
Laju saja Rossa mengangguk.
"Habis tu, nak bahagian mana?"
"Terpulanglah. Abang kan bos"
"Kalau ikut abang, memang nak sayang satu office dengan abang. Tapi sayang tak nak. Takpelah. Kalau ada kosong, cuma bahagian gudang je. Sayang okey ke bekerja dengan mat bangla kat situ?" Risau pula hatinya tatkala mengenangkan nasib Rossa nanti. Terpaksa bergaul dengan lelaki lain di sana. Sudahlah hanya beberapa orang saja pekerja perempuan. Selebihnya pula pekerja lelaki. Umar pun diletakkan di bahagian gudang. Rasanya dia boleh meletakkan harapan ke atas Umar untuk menjaga isterinya.
"Okey je. Lagipun, Umar kan ada kat sana? Kalau Rossa kerja satu office dengan abang, karang si Aina tu dapat tahu. Makinlah meragam dia nanti" Itu yang bermain di fikiran Rossa saat Firdaus memberi keizinannya untuk kembali bekerja.
"Are you sure about this?"
Rossa mengangguk lagi.
"Okay then. I'll put you there. Tapi kalau ada apa-apa yang tak kena, jangan sorokkan dari abang"
Sekali lagi, Rossa mengangguk kepala.
"That's my girl" Firdaus menundukkan sedikit kepalanya lalu mencium bahagian perut Rossa. Kemudian, tersengih-sengih dia menayangkan gigi putihnya itu.
Pipi Rossa membahang. Dia faham maksud Firdaus. Namun rezeki mereka belum sampai. Walaupun sudah dua kali keguguran, tetapi perasaan ingin mengandung lagi begitu menebal dalam diri Rossa. Arghh! Tidak sabar rasanya hendak punya anak lagi! Kali ini, jika ditakdirkan dia mengandung, dia akan menjaga sebaik mungkin kandungan tersebut.
"ABANG, abang kat mana?" Suara Aina menjerit-jerit mencari kelibat Firdaus.
Mendengarkan saja suara Aina, tergopoh-gapah Rossa melepaskan diri daripada pelukan Firdaus. Geli hati Firdaus dengan sikap isterinya itu. Takut sangat kemesraan mereka dapat dihidu oleh Aina.
"Abang.. buat apa.." Kata-kata Aina terhenti saat bebola matanya terpandangkan sekujur tubuh Rossa di sisi Firdaus. Bertambah pelik apabila Rossa menolak lembut tangan Firdaus yang melinggari pinggangnya. Dia musykil tiba-tiba. Apa dah jadi? Takkan mereka dah berbaik semula?
"Morning" sapa Firdaus girang. Wajah Aina yang cemberut tidak dipedulikan. Penuh berselera dia menikmati nasi gorengnya pagi itu.
"Rossa pergi kemas-kemas. Kejap lagi kita nak ke office" arah Firdaus.
Rossa hanya akur lantas bergerak menuju ke biliknya. Aina mengerling tajam langkah Rossa yang semakin menghilang itu.
"Abang makan apa?" tanya Aina sambil memanjangkan leher ke arah dalam pinggan Firdaus.
"Nasi goreng. Rossa buatkan. Nak ke?" pelawa Firdaus.
Laju saja kepala Aina menggeleng. Dia tidak sukakan Rossa, oleh itu dia tidak akan sesekali menjamah masakan Rossa.
"Kenyang ke?" tanya Firdaus lagi. "Awak tak makan apa-apa lagi sejak semalam kan?"
Aina mengangguk kepala. Dilihatnya Firdaus bangkit dari posisi lantas menyibukkan diri menyiapkan sesuatu.
"Abang nak buat apa?"
"Spagetti"
Terliur Aina mendengarnya. "Untuk siapa?"
"Untuk Ainalah!"
Berlagu girang hati Aina mendengarnya. Berbunga bahagia tatkala Firdaus sanggup memasak untuknya pagi itu.
"Aina sorang je yang bertekak orang puteh kat sini kan?" sindir Firdaus selamba.
Terdiam Aina sesudahnya. Mati senyumannya tiba-tiba. Dia perli betul-betul ke? Atau main-main dengan aku?
"TAK sangka pulak awak bekerja di bawah saya. Seganlah dengan isteri bos" akui Umar sambil tersengih. Setelah dimaklumkan oleh Firdaus mengenai perkara tersebut, hatinya agak keberatan kerana Rossa merupakan isteri kepada majikannya.
"Ehh apa pulak cakap macam tu! Saya masih lagi pekerja bawahan, tak kiralah isteri bos ataupun tak" Rossa merendah diri. Baginya, dia tidak pedulikan semua itu. Dia kembali bekerja kerana rancangan Firdaus sendiri. Alang-alang sudah terbabit sekali, ada baiknya jika dia meneruskan saja rancangan tersebut sehinggalah Aina terbukti bersalah dan terlibat di dalam kemalangan yang menimpa dirinya.
Umar tersenyum. Salah satu ciri yang dikaguminya pada Rossa, gadis itu sentiasa merendah diri! Wajar sajalah Firdaus begitu menggilainya. Suatu masa dulu pun dia hampir tertarik pada pesona Rossa, namun mendengarkan desas desus mengenai status perhubungan Rossa dan Firdaus, dia terus membatalkan hasrat tersebut. Kini, dia hanya ingin bersama Nani.
"Apa yang saya kena buat?" tanya Rossa setelah mereka tiba di hadapan sebuah meja. Di atas meja, lengkap tersedia PC dan beberapa kertas kerja. Rossa mengerut dahi. Takkan kerja aku kat sini?
"This is your table" ujar Umar sambil tersenyum.
"Kenapa ada satu table je?" Leher Rossa dipanjangkan, melilau matanya melihat keadaan sekeliling.
Umar tertawa halus. "Bos tak bagitau ke awak kena buat apa?"
Soalan Umar dijawab dengan gelengan. Sungguh, Rossa keliru dan buntu.
"Nampaknya, saya kena terangkan skop kerja awaklah ni" Umar menggaru kepala. Fikirnya, Firdaus sudah menjelaskan segala-galanya kepada Rossa sekaligus akan memudahkan kerjanya. Tetapi lain pula sangkaannya. "Kerja awak macam clerk. Catat apa yang patut, kira stok dan total up all the amount yang keluar masuk. Pastu, kena key in dalam PC and as a prove for our profits for every month. Faham?"
Perlahan-lahan Rossa mengangguk kepalanya tanda mengerti.
"Kalau ada apa-apa yang awak tak faham, awak boleh tanya saya" Umar lihat Rossa mengangguk kepala. Lega hatinya Rossa memahami arahannya dengan mudah.
"Okay, saya nak kenalkan awak pada staf lain. Jom" tukas Umar. Langkah Umar dibontoti Rossa dari arah belakang.
Share this novel