33

Romance Completed 28168

PERKARANGAN banglo agam milik Firdaus dipenuhi dengan pihak polis dan pasukan forensik. Setelah mendapat panggilan telefon daripada Firdaus, Zaid mengarahkan pasukannya untuk ke tempat Firdaus. Berita yang diterimanya daripada Firdaus menambahkan kegerunannya saat ini. Ternyata benar dugaan Firdaus. Terdapat mayat yang disembunyikan di atas siling tandas. Setelah hampir dua jam, mayat itu berjaya dikeluarkan.
"Mayat seorang perempuan. Tapi kali ni, dia dibunuh dengan lebih kejam" Erika menyampaikan informasi.
"Dia ditetak" sampuk Zaid pula. Dia melihat kerja pembungkusan mayat sedang dilakukan oleh pihak forensik.
"Ditetak? You mean, break into pieces?" duga Firdaus.
Zaid mengangguk laju. "Patutlah dia dapat sembunyikan mayat tu atas siling. Dia dah kerat dulu badan mangsa, letak dalam plastik dan simpan atas siling. Bijak betul dia!"
"Zaid, pihak kita jumpa sesuatu!" ujar Mazlan. Dia sudah berdiri di hadapan Zaid lantas menyerahkan sesuatu kepada Zaid.
"Nota tu lagi" Sempat Firdaus mengeluh. Dia semakin takut dengan permainan pembunuh. Ini kes yang keenam, sekaligus menyaksikan enam mayat menjadi korban. Dan kesemuanya adalah perempuan.
"Awak..."Hujung baju Firdaus ditarik Rossa. Wajahnya sudah pucat dan ketakutan.
"Kenapa ni?" tanya Firdaus,lembut. Wajah Rossa sempat dibelai dengan kasih sayang. Dia faham ketakutan pada wajah itu kerana saat ini mereka sedang berkongsi rasa yang sama.
"Apa dah berlaku? Kenapa ada mayat kat bilik kita?" Rossa separuh merengek. Terimbau kembali saat pihak polis meroboh siling tandas mereka tadi. Beberapa bungkusan plastik hitam tercampak keluar. Tambah mengejutkan apabila isi dalam plastik itu mengandungi bahagian badan manusia yang telah dipotong. Rossa hampir pengsan namun sempat dipapah oleh Erika sebentar tadi. Selepas itu, dia terus diselubungi kesunyian kerana tidak mampu untuk bertanya apa-apa kepada suaminya.
"Everything will be fine" ujar Firdaus lalu memeluk tubuh Rossa, menyalurkan segala kekuatan yang dia punya meski saat ini dia juga sudah tersungkur.
Firdaus sempat melihat mama dan Kak Pah yang duduk di atas sofa. Mereka turut kaget menerima berita tersebut. Namun nasibnya baik kerana mereka mampu bertenang sebaik menerima khabar tersebut. Siapa saja yang tidak terkejut saat mengetahui ada mayat yang disembunyikan di dalam rumah? Akal logiknya masih tidak mampu untuk menerima semua kejadian ini. Terlalu banyak persoalan yang membelenggu ruang minda saat ini.
"Tapi kenapa mayat tu ada kat rumah kita?" Rossa mengasak Firdaus dengan soalan yang sama lagi. Sungguh hatinya tidak berpuas hati selagi tidak menemui jawapan yang mampu merungkai belenggu di jiwa.
"Nanti abang cerita. Kes ni dah menjadi semakin rumit" Suara Firdaus mengendur di hujung bicara.
Rossa melepaskan pelukan. Wajah Firdaus ditatap. Dia inginkan jawapannya sekarang.
"Tell me" desak Rossa. Empangan matanya hampir pecah. Dia tidak mampu tenang selagi Firdaus tidak membuka cerita sebenar.
"Az, ada sesuatu yang kau kena tengok" Zaid menyampuk sekaligus menangguhkan perbualan mereka.
"Abang pergi jumpa Zaid kejap. Lepas ni, abang terangkan segala-galanya" Firdaus melepaskan Rossa di situ namun langkahnya terhenti apabila tangannya enggan berpisah dari Rossa.
"Rossa takut" Setitik demi setitik airmata Rossa membanjiri pipi. Entah kenapa hatinya bergoncang kuat saat itu. Tidak sedap hati!
Firdaus terkesima. Pertama kali dia mendengar Rossa membahasakan diri dengan namanya sendiri. Biasanya dia hanya menggunakan 'saya' ketika mereka berbicara.
"Rossa nampak bayang-bayang kat tepi pagar petang tadi. Kat situlah Rossa jumpa mawar tu. Lepas tu, tadi masa nak ke toilet bawah, Rossa nampak ada bayang-bayang lagi. Rossa takut"
Firdaus menghela nafas. Cerita Rossa menguatkan lagi naluri dan kenyataan itu. Hakikat yang paling digeruninya saat ini.
"I try my best to protect you. Tapi Rossa kena janji. You have to stay here. Don't go anywhere. Lepas abang jumpa Zaid, kita cerita okey?" Lembut nadanya menenangkan si isteri.
Rossa mengangguk lantas mendakap tubuh Firdaus. Hangat dakapan suaminya, mengembalikan kekuatannya yang sempat hilang sebentar tadi.
Firdaus kaget namun tetap dibalas pelukan Rossa. Sebuah kucupan dilayangkan ke dahi Rossa. "I love you"
Berat hatinya melepaskan Rossa dari sisi. Namun dia tidak akan berlama-lama. Tidak mungkin pembunuh akan bertindak saat-saat begini. Lagipula, anggota polis sudah ramai yang memenuhi kawasan banglonya. Peratusan untuk pembunuh memunculkan diri agak tipis.
Dia yakin itu!

"KAU tengok ni!" Zaid menyerahkan sekeping foto kepada Firdaus. Saat foto tersebut bertukar tangan, hati Firdaus semakin tidak tenteram. Jiwanya kacau-bilau.
"Mana dia dapat gambar Rossa?" Firdaus semakin tidak puas hati. Foto Rossa yang sedang tersenyum riang ditatap lagi. Dia takut untuk kehilangan Rossa. Bagaimana pembunuh bisa menyasarkan isterinya? Apa salah Rossa?
"Foto ni Mazlan jumpa pada cebisan kaki mangsa yang dah dipotong. Mulanya kami agak terkejut bila tengok gambar ni. Dalam fikiran dah terlintas yang dia akan jadikan Rossa sebagai mangsa seterusnya" terang Erika pula.
"Dan semua ni terbukti bila aku ingat pasal perbualan kita tadi. Kau cakap Rossa adalah mangsa seterusnya. Aku nak tahu, macam mana kau boleh agak benda ni?" sampuk Zaid pula.
Firdaus mengerutkan dahi. Wajahnya serius. Otaknya tepu. Dia tidak mampu untuk berfikir secara waras saat ini. Hanya terbayang wajah cemas dan ketakutan Rossa ketika ini.
"Kau ada bawak laporan forensik Ainul?"
Zaid mengangguk.
"Bagi aku tengok" arah Firdaus. Zaid memberi isyarat kepada Erika. Memahami dengan isyarat tersebut, Erika bergegas mendapatkan laporan tersebut. Saat itu, dia sempat melintasi sofa kecil di sudut tepi tingkap balkoni. Ehh tadikan Rossa duduk sini? Mana dia pergi?
"Ini laporannya" Erika menyerahkan kepada Firdaus.
Firdaus meneliti setiap perincian laporan tersebut. Sedikit informasi mampu menyelamatkan Rossa dan mangsa yang lainnya.
"Mangsa bernama Ainul Zaira bt Abdul Karim. Berumur 28 tahun. Seorang kakitangan di Pejabat Pendaftaran Negara. Anak yatim piatu. Meninggal dunia 4 hari yang lepas" Firdaus menghentikan pembacaan. Benar dugaannya. Mayat sudah lama dibunuh. Tetapi baru dijumpai semalam dalam keadaan mengerikan.
"Mayat Ainul sama macam mayat-mayat sebelum ni. Diperkosa, diseksa dan dibunuh.Kesan gigitan terdapat pada beberapa tempat. Itu terjadi sebab Ainul melawan dan memberontak. Pembunuh membunuh dengan kejam dan dalam keadaan yang tidak terkawal" sambung Firdaus lagi. Dia mengurut dahinya yang mulai terasa pening.
"What has happened? Ini petunjuk atau malapetaka?" ujar Firdaus lagi. "Mawar yang sama Ainul terima sebelum dia meninggal.." Firdaus berjeda. Menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembusnya keluar. "Mawar tu jugak yang Rossa terima petang tadi!"
Zaid dan Erika sama-sama kaget dengan penerangan Firdaus. Tidak salah lagi! Rossa adalah mangsa seterusnya.
"Dan aku jumpa ni kat tepi katil" Firdaus mengajukan sekuntum mawar yang sudah layu kepada Zaid.
"Busuk!" adu Erika setelah mawar tersebut beralih ke tangannya.
"Kelopak dia hanya tinggal beberapa kuntum. Aku tak tahu apa maksud dia hantar benda ni pada Rossa. Tapi aku tahu satu benda. Rossa memang sasaran dia!" jelas Firdaus. Dia mulai merisaukan keselamatan Rossa.
Erika yang mendengar, lantas mencelah. "Tuan, tadi saya tak nampak Rossa kat mana-mana. Dia..."
Firdaus terus menoleh ke arah posisi Rossa. Namun tiada bayang-bayang Rossa di situ. Hatinya semakin berdebar. Mana Rossa? Dia menggeledah seluruh ruangan namun tidak ketemu. Langkah kaki diatur ke luar bilik. Dia mula mencari di setiap ruang dan bilik di rumah agamnya. Tidak mahu terlepas pandang walaupun di dalam stor kecil di sudut paling bawah tangga.
"Rossa!" Firdaus menjerit memanggil. Bergema seisi rumah dengan suara garaunya. Berkali-kali dia memanggil namun tiada sahutan. Dia kembali ke bilik dan mulai diserang amarah.
Satu persatu anggota polis disoal siasat. Bahkan dia turut menyoal mama, papa dan Kak Pah dengan soalan yang sama. Namun semuanya memberikan jawapan yang sama.
"Takkan dalam berpuluh orang kat sini, takde seorang pun yang tahu mana Rossa pergi?!" jerkah Firdaus. Dadanya berombak menahan amarah yang bukan sedikit. Ditambah pula dengan kehilangan Rossa yang tanpa jejak!
"Kita akan cuba cari Rossa..."
"Where to? Rossa, isteri aku.. Dia hilang. Dalam bilik ni. And nobody knows where she is!"
Deringan telefon bimbit Zaid menjerit minta diangkat. Dia memandang skrin telefon. Tertera nama Shahrul, pegawai yang bertugas di bahagian kecemasan di situ.
"What?? Berapa orang?" Zaid sudah memicit kepalanya.Sesak nafasnya menerima laporan daripada Shahrul. Panggilan ditamatkan lantas pandangannya bertembung dengan Mazlan dan Erika.
"Ada 7 orang hilang sekaligus! Kalau termasuk Rossa, maksudnya ada 8 orang dalam pencarian kita sekarang!" Berita yang disampaikan oleh Zaid memuncakkan kegusaran mereka. Kes menjadi semakin rumit dan sulit. Bahkan jumlah mangsa juga semakin bertambah.
"Pembunuh memang sengaja cari pasal! Erika, hantar mayat pada pihak forensik. Pastikan tidak ada satu pun yang terlepas. Mazlan, kau pergi kumpul maklumat mereka yang hilang. Zaid, kau ikut aku!" arahan Firdaus diterima baik oleh mereka semua.
Nampaknya, kesabaran Firdaus memang sengaja diuji. Dia tidak akan berdiam diri jika pembunuh mencederakan Rossa!

PANDANGANNYA gelap. Sedaya upaya cuba dicelikkan mata yang terkatup berat. Dia cuba untuk mengingati kembali apa yang telah terjadi.
"Dah sedar dah sayang saya ni"
Suara garau dan berlunak lembut itu menyapa gegendang telinganya. Rossa mencelikkan mata perlahan-lahan. Dia berada di dalam sebuah bilik yang lampunya malap. Penglihatannya juga terbatas.
"Rossa. Rossa. Cantiknya nama, secantik orangnya. Tapi sayang, hidup dia tak seindah nama dan wajah" Lelaki itu bergerak mendekati Rossa. Wajah Rossa dibelai. Tudung Rossa dicampakkan dengan rakus.
"Ingat saya lagi?" Dia menarik rambut Rossa lantas mendongakkan wajah Rossa untuk memandangnya.
Rossa menggigil ketakutan. Dia sudah dibasahi dengan airmata. Dia takut untuk menatap wajah yang berbaur nafsu itu.
"Fah...Fahmi..."
"Iya, akuu! Seorang lelaki biasa yang kau dah mainkan hati dan perasaannya! Ingat lagi tak, kau pernah cakap. Hati ni macam kertas. Sekali dah ronyok, takkan mampu dikembalikan ke bentuk asal! Macam tulah perasaan aku!" Rambut Rossa ditarik kuat.
"Fahmi, maafkan saya. Jangan buat saya macam ni! Saya tak pernah ada niat nak mainkan perasaan awak. Percayalah!"
"Diamlah!!" jerkah Fahmi seraya melepaskan rambut Rossa. Dia berganjak ke sudut paling tepi lantas menyepak sesuatu.
Rossa melihat objek tersebut bergerak-gerak. Dia diterjah dengan kekagetan saat objek itu mencuba untuk bangkit dari pembaringan. Puas ditelitinya wajah perempuan itu. Wajah yang dipenuhi lebam dan sebahagian tubuhnya terdedah. Aina?
"Perempuan ni ligat betul nak bangun! Nak aku kiss jugak ke baru bangun haa??!!" Fahmi separuh menjerit. Namun kakinya masih bekerja, disepak tubuh badan Aina sepuas hati.
Aina mengaduh kesakitan sambil mendudukkan diri. Tubuhnya sudah separa lemah. Dia tidak mampu hendak bergerak namun digagahkan juga. Risau sekiranya kaki Fahmi 'bekerja' lagi.
"Good girl! Macam tu lah" Fahmi menunduk lalu mencium dahi Aina. "Aku dah puas dengan kau. Dah berapa malam ni aku syok 'pakai' kau. Kau memang superb! Lepas ni, kau tak kisah kan kalau berkongsi dengan Rossa?" Fahmi memandang Rossa dengan senyuman sinis. Dia diasak dengan hawa nafsu dan keghairahan.
Rossa sudah menangis. Saat itu, wajah Firdaus terakam dalam ruang memori.
"Abangggg! Tolong Rossa! Rossa takut"
Fahmi tergelak besar. Dia bergerak mendekati Rossa pula. Wajah Rossa ditatap.
"Ish.. ish.. ish. Takut ye? Buat apa panggil Firdaus? Awak kan tak suka dia. Awak tak pernah hormat dia sebagai suami pun. Lagipun, dia takkan dengar kalau awak panggil. Jerit sampai nak terkeluar anak tekak pun takde siapa yang akan dengar" Galak Fahmi menghabiskan saki baki gelaknya.
Rossa menelan liur. Kata-kata Fahmi menembak terus ke dasar hati. Iya, dia memang tidak pernah hormatkan Firdaus. Setiap sentuhan dan kucupan lelaki itu ditolak dengan alasan dia belum cukup bersedia. Dia menjerit, bercakap kasar bahkan pernah menganggap Firdaus sebagai orang asing dalam hidupnya. Namun lelaki itu tak pernah jemu mendekati dan mengambil hatinya. Rossa menyesal! Dia benar-benar menyesal di atas tindakannya selama ini terhadap suami sendiri. Jika diberi peluang, dia mahu meraih kembali cinta dan saat romantis mereka bersama.
"Anggap jelah ini hukuman seorang isteri terhadap suami kerana derhaka pada suami. Dan juga hukuman seorang wanita sebab dah mainkan perasaan seorang lelaki lain!" Fahmi menarik rambut Rossa. Dia menundukkan wajah dan hendak mengucup bibir mungil itu. Namun Rossa pantas bertindak. Disepaknya perut Fahmi sehingga lelaki itu terdorong sedikit ke belakang.
"Kau sepak aku??! Kurang ajar punya perempuan!" Didekati tubuh Rossa lantas ditampar berkali-kali pipi gebu itu. Rossa mengaduh kesakitan. Pipinya sudah lebam dan bibirnya dipenuhi darah.
"Takpe. Kita masih ada banyak masa lagi! Lepas ni, baru kita bermain okey sayang?" Dibelainya wajah Rossa sambil bibirnya ketawa tak henti. Puas dapat mengerjakan Rossa. Namun dendamnya belum terbalas. Gadis itu harus dinikmati seperti mangsa-mangsa sebelumnya!

FIRDAUS memicit dahinya. Puas dia dan Zaid mencari keberadaan Rossa dan menjejaki tempat kemungkinan Rossa diculik tetapi hampa bertandang. Tidak ada satu pun yang menunjukkan kesan positif.
Getaran pada kocek seluar menyentakkan dia. Ditarik keluar telefon bimbitnya. Terpampang nama Umi Za di situ. Firdaus menghela nafas. Dia sedia maklum akan keadaan itu. Tadi dia sempat menghubungi Umi Za untuk mengkhabarkan berita itu tetapi panggilannya tidak terjawab. Dia menghantar mesej pula. Rasanya mesejnya diterima kerana itu agaknya Umi Za menelefon.
"Waalaikummussalam umi" sahut Firdaus setelah Umi Za memberi salam.
"Fir, umi nak tahu. Betul ke Rossa kena culik?" Suara Umi Za kedengaran kendur. Saat menerima berita tersebut, tak habis-habis dia mengalirkan airmata. Otaknya berfikir yang bukan-bukan. Dia mulai khuatir akan keselamatan Rossa.
"Kami akan selamatkan Rossa, umi. Umi tak payah risau. Banyakkan berdoa agar Allah permudahkan semuanya"
"Macam mana benda ni boleh berlaku? Siapa yang culik Rossa?"
"Tuan, ini laporan..." Erika mencelah namun pantas mendiamkan diri apabila Firdaus memberikan isyarat senyap.
"Umi, nanti Fir singgah rumah. Masa ni, Fir tengah sibuk untuk cari dan kumpul seberapa banyak maklumat mengenai kes ni. Umi jangan fikir banyak sangat. In Shaa Allah, Rossa tak apa-apa.Banyakkan berdoa" Selesai menyampaikan itu dan memberi salam, panggilan ditamatkan. Dia kembali kepada Erika yang setia menunggu di sisi.
"What's up Erika?"
"This is the report of the victim" Laporan bertukar tangan.
"Cepat diaorang buat kerja" puji Firdaus sambil matanya meneliti setiap kandungan laporan.
Erika senyum. "Post mortem yang berlangsung selama 5 jam cukup memudahkan kerja mereka. Lagipun, diaorang kena desak dengan Tuan Zaid" Erika tersengih apabila mengingatkan pegawai atasannya yang tak pernah mampu duduk dengan tenang itu. Berkali-kali dia mendesak pihak forensik untuk menjalankan bedah siasat ke atas mayat keenam itu.
Firdaus mengangkat kening. "Desak?"
Erika mengangguk. "Tuan Zaid stress sebab Tuan Ihsan dan pihak atasan menekan dia disebabkan kes ni. Sekarang semua media melaporkan kes yang sama saban hari. Kebanyakan aduan yang kami terima jugak dari orang ramai. Katanya, mereka takut nak keluar ke mana-mana. Risau benda yang sama terjadi ke atas diri mereka. Sebab tu Tuan Zaid desak pihak forensik untuk menyegerakan kes ni"
Firdaus mengangguk kepala. Faham benar dengan cerita yang disampaikan oleh Erika. Wajar untuk Zaid merasa tertekan kerana perkara ini sudah menjadi semakin besar. Bahkan mereka tidak punya kuasa untuk mengawali semua ini. Permainan yang dimulakan oleh pembunuh, tetapi merekalah yang harus menamatkannya.
"Az!" Suara Zaid kelihatan termengah. Dia berlari mendapatkan Firdaus.
"Kenapa ni?"
"Mazlan dah siasat semua kes yang hilang tu. Dan, semua mangsa adalah perempuan!"
Firdaus dan Erika tercengang.
"What the???"
Firdaus meraup wajahnya. Kini, dia turut merasakan tekanan yang dihadapi oleh Zaid.
"Are you sure?" tanya Firdaus lagi.
"Positive sure! Dan yang menariknya, lokasi terakhir setiap dari mangsa ada ditinggalkan satu nota" tokok Zaid lagi.
"The same notes?" sampuk Erika pula.
"Yup. Tapi untuk nota kali ni, dia sampaikan pesan yang lain pula" Zaid keluarkan sekeping gambar daripada envelop kuning. Lantas diserahkan kepada Firdaus.
"Orang yang jahat akan menerima balasannya. Tapi orang jahat tu akan berhenti sebab dah sampai ke destinasi terakhir dia"
Firdaus bingung. Apa maksud nota tersebut? Siapa destinasi terakhir dia?
"Aku tak faham. Apa yang dia maksudkan sebenarnya? Apa yang dia cuba nak sampaikan?" Zaid pula dirundung kebingungan.
Firdaus mula menimbang-tara semua kejadian. Dari kejadian pertama sehinggalah yang terakhir, di mana pembunuh menculik Rossa. Nota yang ditinggalkan kali ini pula lain mesejnya. Rossa adalah mangsa terbarunya. Adakah itu bererti Rossa adalah destinasi terakhirnya? Justeru apakah yang akan terjadi kepada nasib Rossa nanti?
Tanpa berlengah, Firdaus membuka fail yang mengandungi maklumat mangsa sebelumnya. Satu persatu diteliti sehinggalah dia menemui sesuatu. Matanya berulang kali membaca maklumat tersebut. Seakan tidak percaya, namun itulah hakikat. Dan itulah petunjuk selanjutnya.
"Kau jumpa sesuatu pada laporan tu?" Zaid cuba menebak.
Firdaus mempamerkan riak bersahaja. Serentak itu matanya mengangguk laju.
"Mayat yang dijumpai di rumah aku tu mangsa yang keenam kan? Nama dia Balqis binti Ameer. Umur baru 21 tahun. Masih belajar lagi di UUM. Anak yatim jugak. Dan kawan kepada mangsa sebelumnya"
"Maksud tuan, Ainul?" sampuk Erika.
Firdaus mengangguk. "Tapi mangsa kali ni sangat bijak. Kau tahu dia ambik bidang apa?"
Wajah keduanya dipandang. Namun segera mereka menggeleng membuatkan Firdaus tersenyum.
"Bahagian forensik. And she left us with a clue!"
"What clue?" sahut Zaid.
"Biasanya dalam bidang forensik, kita akan kenalpasti badan dan darah dalam mangsa dengan bedah siasat kan? Itu yang memudahkan kita untuk menjejak suspek. Sama macam kali ni. Mangsa tinggalkan kita dengan clue..." Firdaus berjeda sambil menyerahkan laporan tersebut kepada Zaid dan Erika. Keduanya tertunduk membaca apa yang ditunjukkan oleh Firdaus.
"Umarul Fahmi bin Usmar?" Zaid baca nama yang tertera.
"Who is he?" tanya Erika pula.
"A guy that we're looking for!" jawab Firdaus sambil tersenyum. Dia tahu siapa Fahmi. Seingat dia, Rossa pernah bercerita mengenai lelaki itu suatu masa dulu. Fahmi yang tak pernah bercinta dan pernah ditolak oleh seramai 13 orang gadis. Ehhh? 13 orang gadis? Firdaus terkesima. Dia hampir dapat menangkap sesuatu.
"Total up mayat yang kita jumpa hari tu, jumlahnya semua 6 orang kan?"
Zaid mengangguk.
"Mangsa yang hilang termasuk Rossa, 8 orang kan?"
Zaid mengangguk lagi. Namun dia masih tidak mampu untuk menangkap dan memahami akal Firdaus.
"6 campur 8 jadi 14. Hmmm 14 orang"
"Kira-kira apa yang kau buat? Kau ni main-mainlah! Kita tengah bincang pasal kes ni, kau buat kerja Matematik pulak kat sini" rungut Zaid.
"Korang tau tak siapa Umarul Fahmi tu?"
"Az, boleh tak kau straight to the point? Aku bukan macam kau, boleh baca fikiran orang sesuka hati!" Zaid hampir meletus. Sudahlah otaknya memberat dengan masalah yang menimpa, sekarang Firdaus pula bermain tarik tali dengannya. Lenanya juga dicuri beberapa minggu ini. Dia hanya mampu melelapkan mata selama 2 ke 3 jam.
"Relaks. Kita dah jumpa petunjuk seterusnya! Tapi sebelum tu, aku nak Erika tolong sesuatu"
"Apa dia tuan?" soal Erika.
"Siasat kesemua mangsa, jika mereka ada berkaitan dengan Fahmi. But exclude Rossa. Lepas tu, kita berkumpul kat sini. Bersama team yang lain. Do it now!"
Erika akur. Firdaus tersenyum sinis. Fahmi....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience