PENGGERA jam berbunyi lalu mengejutkan sekujur tubuh yang terlena itu. Matanya terpisat-pisat sambil nafas dihela perlahan. Telefon bimbit di sisi katil digapai lalu ditilik skrinnya. Ada 10 panggilan tidak terjawab dari sang suami. Hati Rossa terpujuk sedikit dengan tingkah Firdaus yang menghubunginya sebanyak itu. Bibirnya yang pucat mengukir senyum.
Tubuh yang masih tersisa lemah digagahi juga menuju ke bilik air. Dia tidak boleh selamanya terlena seperti itu. Badannya perlukan tenaga meski hati dan fikiran sedari semalam tidak mampu tenang.
Rossa menapak perlahan ke bilik air. Perutnya juga sudah berbunyi kerana semalaman dia tidak menjamah apa-apa makanan. Dia harus segera membersihkan diri dan mengisi perut kosongnya. Rasa berdosa pula membiarkan janin yang mula menumpang di dalam rahimnya itu kelaparan juga.
BIBIR Rossa tersenyum sendiri tatkala menerima sekeping nota kecil dari Nani yang dilekatkan di pintu peti sejuk.
'Aku keluar kejap. Beli barang. Jgn lupa breakfast tau? Aku dah masakkan sup sayur dan nasi goreng utk kau'
Tersengih Rossa dibuatnya. Dalam kasarnya sifat Nani, hati itu ada kalanya berbunga kelembutan dalam diam. Untung siapa yang dapat memikat hati sahabatnya itu. Teringatkan itu, ingatannya tiba-tiba menerawang kepada Umar. Apa agaknya status hubungan Umar dan Nani? Nani sendiri juga seolah-olah tidak mahu berkongsi cerita dengannya lagi. Apa sudah jadi dengan hubungan mereka? Jangan-jangan, dek kerana masalah rumah tangganya dengan Firdaus, Nani beralah dengan menyembunyikan rasa dan masalahnya daripada pengetahuan dia? Hmm, mesti Nani terseksa kerana harus menanggung semua ini seorang diri.
Rossa dijerut rasa bersalah tiba-tiba. Setiap kali mereka ketemu, hanya dia yang meluah rasa kepada Nani. Sedangkan Nani tidak diberikan peluang untuk berkongsi masalah tersebut kepadanya. Ya Allah, sahabat jenis apa aku ni?
Bunyi ketukan di pintu menyentakkan lamunan Rossa. Nani ke? Tetapi Nani mempunyai kunci pendua. Kenapa nak mengetuk lagi? Walaupun diterjah dengan persoalan tersebut, tetap juga kakinya melangkah ke arah pintu. Tombol pintu dipusing dan pintu terbuka luas.
Seorang lelaki berseluar jeans dan berbaju lengan paras bahu sedang berdiri membelakanginya. Di sebelah lelaki itu, ada dua buah luggage. Gayanya tak ubah seperti seorang pelancong. Rossa tertanya-tanya. Siapa dia?
"I'm back Nani!"
Tubuh itu memusing menghadap Rossa dengan senyuman memekar di wajah. Namun saat mata mereka bertentang, ada seribu rasa mulai bermain dalam jiwa. Keadaan sunyi sepi.
Rossa terpana, dan si dia terkesima!
NAFAS dihela panjang. Matanya meliar memandang sekeliling ruang. Sepi hidupnya tanpa Rossa di sisi. Di setiap sudut, terungkap senyuman dan suara manja Rossa. Betapa dia terseksa merindui sang isteri seperti ini. Malam semalam, setelah pulang dari berjumpa Ainida dia ada menelefon Rossa banyak kali. Namun panggilannya tak dijawab. Dia buntu harus mencari Rossa ke mana. Pilihan yang dia ada hanyalah Nani. Dihubungi gadis tersebut bagi mencari tahu keberadaan isterinya. Mulanya, Nani enggan berkongsi maklumat kerana tidak mahu dianggap belot oleh Rossa. Sementelah dia telah berjanji kepada Rossa untuk merahsiakan keberadaannya.Namun setelah dipaksa dan didesak oleh Firdaus, serta dipsiko beberapa kali, akhirnya Nani terpaksa buka mulut juga.
Kesedihan dan tekanan yang dihadapi oleh Rossa juga sempat Nani ceritakan pada dirinya. Mendengarkan itu, hati Firdaus bagai ditusuk sembilu. Betapa dia kejam kerana Rossa telah menganggap dia mengabaikan isterinya. Walhal bukan niatnya seperti itu.Dia hanya ingin mengendalikan emosinya sendiri selain menguruskan permintaan Aina yang tidak masuk akal itu.
Kini, baru dia sedar. Rossa tertekan dan kerap kali marah-marah kerana sikapnya yang mengabaikan isterinya itu.Ditambah pula dengan kondisi Rossa yang saat ini sedang menghamilkan janinnya. Ya Allah, kejamnya aku!
Setelah mengetahui keadaan dan keberadaan Rossa, sedikit sebanyak dia mampu menghela nafas lega. Setidak-tidaknya dia tahu Rossa selamat dengan Nani. Pun begitu, dia tetap akan membawa Rossa pulang ke kondo mereka. Kerana di sinilah cinta mereka bermula. Dia tidak sanggup kehilangan Rossa.
"Aku boleh settlekan banyak kes sebelum ni. Aku mampu baca fikiran orang lain. Aku boleh tumpaskan banyak musuh. Tapi kenapa seorang wanita tak mampu aku fahami?"
Firdaus menangis. Dia sudah kalah. Dia juga sudah penat untuk terus berjuang. Agaknya, dia sudah lama 'mati' di tengah pertempuran. Jasadnya saja yang masih bernyawa tanpa sedar.
BAGAIKAN terkena renjatan elektrik, hati dan cinta Taufiq seolah kembali lagi. Wajah yang dirindui dan nama yang pernah menapak dalam hati 4 tahun lalu masih mampu mencuri tumpuannya.Sungguh tidak diduga, pertemuan mereka diatur sekali lagi setelah 4 tahun terpisah dek jarak dan egonya sendiri.
Taufiq terkelu. Dia kehilangan kata-kata. Seakan tak mahu lari matanya saat menatap wajah indah Rossa yang manis bertudung di hadapannya saat ini.Tetapi wajah itu tampak pucat dan tidak bermaya. Kenapa dia?
Geraham Rossa bergerak-gerak saat menerima tetamu tak diundang itu. Siapa Taufiq pada Nani sebenarnya? Dan atas tujuan apa Taufiq ke kondo itu? Perit hatinya saat teringat kembali kisah duka mereka suatu ketika dulu. Seakan tak mampu dia maafkan perbuatan Taufiq yang pernah membuatnya merana suatu ketika dahulu. Namun segera dia beristighfar. Siapalah dia yang hendak menghukum sesama manusia?
"Kau dah sampai Fiq?" Teguran Nani mencantaskan lamunan keduanya. Nani bergerak mendekati Taufiq. Tangannya sibuk menjinjit beg plastik berisi makanan dan sayuran.
"Aah. Setengah jam yang lalu" sahut Taufiq tanpa memandang ke arah Nani. Pusat matanya hanya tertumpu pada Rossa.
Dahi Nani berkerut. Setengah jam lepas? Namun dia bertambah pelik kerana Taufiq tak lepas-lepas memandang wajah Rossa yang sedang dalam keresahan itu.
"Setengah jam jugak ke kau berdiri kat sini?"
Seolah tersedar, Taufiq segera memusatkan pandangannya ke arah Nani. "Tak! Maksud aku, setengah jam aku dari terminal tadi. Sampai sini tak sampai 10 minit"
"Ohh macam tu" Nani mengangguk kepala. Buntu pula dia dengan perlakuan dua makhluk di hadapannya sekarang. "Haa masuklah. Yang kau tercegat lagi kat luar tu pasal apa?" sergah Nani sesudah menuntun langkah Rossa dari belakang.
Taufiq menggaru belakang tengkuknya. Kantoi sudah dengan Nani! Kejap lagi memang kena soal siasatlah dia dengan sepupu mulut becoknya itu!
"BAIK kau bagitau aku sekarang" Nani mengecilkan mata memandang Taufiq yang ketika itu sedang sibuk menggantung baju di dalam almari.
Mata Taufiq menjerling dalam diam. Tu diaa!! Mampuslah aku nak jawab soalan dia! Dilihatnya Nani sudah terduduk di hujung katil, bersebelahan dengan luggagenya.
"Bagitau kau apa?" Malas-malas Taufiq bertanya. Padahal dia sudah tahu maksud soalan Nani itu.
"Pasal Rossalah!"
"Kenapa dengan Rossa?"
Terdiam sekejap Nani dibuatnya. Hmmm, macam dah selesa sangat dia dengan panggilan Rossa tu! Sah, ada something wrong ni!
"Apa?" sergah Taufiq tatkala wajahnya dijamah oleh Nani tak berkelip.
"Kau kan.. baru je first time jumpa Rossa. Bila aku tanya pasal Rossa, kau selamba je jawab, 'kenapa dengan Rossa?' Tapi tak pulak kau tanya, 'siapa Rossa?' Pelik"
Terjerat Taufiq dengan kecuaian sendiri. Tapi takkanlah dia nak buka cerita mengenai kisah silamnya dengan Rossa 4 tahun lalu? Buatnya Rossa tak mengaku dengan kisah dia, tak ke malu dia sendiri? Dia tahu, Rossa masih tak mampu maafkan dia setelah apa yang dia lakukan. Mungkin ruang kemaafan itu sudah tertutup rapat buat dirinya. Hmmm...
"Apa yang nak peliknya? Kau ni kalau jadi PI, ngam sangatlah!"
"PI?" Nani mengerut dahi, kurang faham dengan kata-kata Taufiq.
"Private Investigator!"
"Sengal!" tukas Nani sambil menampar bahu Taufiq. "Baik kau bagitau aku. Siapa Rossa sebenarnya?"
"Laaa, Rossa tu kan kawan kau. Yang menumpang kondo aku ni. Dan..." Taufiq berjeda. Dia teringat perbualannya dengan Nani di dalam telefon tempoh hari. Menurut Nani, mereka menumpang di kondonya kerana kawan Nani tersebut ada masalah dengan suaminya. Kawan yang Nani maksudkan itu, adakah Rossa orangnya? Dan yang paling penting, betulkah Rossa sudah berkahwin? Tetapi dengan siapa?
"Aku tahulah Rossa tu kawan aku. Tapi yang aku nak tahu sekarang, siapa Rossa pada kau?" bidas Nani lagi. Nama je doktor, tapi satu hapak pun tak faham! Haishhh!
"Kawan kau tu dah kawen ke?" Taufiq alih soalan. Soalan Nani sebentar tadi langsung tidak memasuki ruang mindanya.
"Dahlah! Kau jangan nak mengorat dia pulak!" Amaran keras Nani berikan awal-awal lagi. Cukup sudah si sengal Aina itu buat hal. Jangan si dungu sepupunya ini pulak tambah perencah! "Soalan aku tadi, kau jangan buat-buat lupa pulak!" Nani sudah berpeluk tubuh, memandang wajah Taufiq dengan serius.
"Haishhh! Perempuan ni memang semua kena ikut cakap dia ke?" rungut Taufiq lantas mengeluarkan sesuatu dari dalam luggagenya. Sebuah kotak perhiasan berwarna merah diletakkan di atas katil. Dibuka kotak tersebut lalu ditarik keluar seutas rantai.
"Cantiknya! Kau nak bagi aku ke?" Mata Nani sudah bersinar-sinar memandang keindahan itu.
"Jangan nak perasan ye?!"
Wajah Nani kembali muram. "Habis tu, yang kau keluarkan rantai ni buat apa?"
"Tadi kata nak tahu sangat pasal Rossa!"
Terdiam Nani. Apa kaitannya Rossa dengan rantai tersebut?
"Rantai ni sepatutnya menjadi milik Rossa. Memang niat aku nak bagi dia pada tahun ketiga kami bercinta. Tapi..."
"What??"
Share this novel