79

Romance Completed 28168

PINTU bilik diketuk bertalu-talu. Lagaknya tidak sabar sahaja hendak bertemu dengan Umran dan mengetahui semacam apa pertemuannya dengan Nani semalam.
Saat pintu bilik terkuak, Umar segera menapak masuk ke dalam bilik. Dibontoti langkah Umran yang bergerak menuju ke katil. Kemudian, tubuh tersebut dihempas ke atas katil. Menarik selimut semula dan berkira-kira hendak menyambung tidurnya.
"Woii, bangunlah! Dah nak pukul 11 ni" sergah Umar seraya menarik kembali selimut yang membungkus tubuh Umran.
"Ngantoklah!" rungut Umran seraya menarik kembali selimutnya.
"Kejap lagi kau sambung tidur. Cerita dekat aku dulu" gesa Umar, tidak sabar. Semalaman dia menunggu khabar daripada Umran. Tetapi adik lelakinya itu balik lewat malam semalam. Terpaksalah dia lelap dahulu kerana matanya tidak tertahankan mengantuk.
"Cerita apa?" tanya Umran malas-malas. Bibirnya saja yang bersuara namun matanya masih terlelap. Semalam dia balik lewat kerana usai saja menghantar Nani pulang, dia terus ke kelab malam atas ajakan Paul, sahabat karibnya. Natijahnya, dia terkandas di kelab malam tersebut sehingga jam 3 pagi.
"Pasal date kau semalamlah!"
"Ohh pasal kakak ipar aku tu ke?" Umran bangkit dari tidur lalu menggeliat. Ditonyehnya mata sambil memandang Umar yang sudah pun melabuh punggung di hadapannya. Eiii, tak menyabar betullah!
"Apa kes semalam?" tanya Umar lagi.
"She's okay. But a bit rough! Kenapa kau nakkan dia? Banyak lagi kot perempuan lain. Cantik memang cantik, tapi kasar bro!" komen Umran sambil menguap. Teringat dia akan sikap kasar dan selamba Nani semalam. Kalau dia dijodohkan mama dengan Nani, tidak akan sesekali dia bersetuju. Meskipun dia tidaklah sebaik mana, tetapi sebagai seorang lelaki dia tetap inginkan wanita terbaik untuk dijadikan isteri. Dan baginya, Nani belum cukup terbaik untuk bergelar seorang isteri. Apatah lagi isteri kepada abangnya yang sangat lemah lembut dan baik budi bicara itu.
"Apasal kau cakap macam tu?" Berang Umar dengan kenyataan Umran. Memanglah Nani kasar. Tetapi sekasar-kasar gadis itu, dia tahu hati budinya bagaimana. Jika tidak, masakan dia jatuh cinta pada Nani.
"She.. is...a.. bit..rough!" komen Umran satu-persatu. "Tak padan langsung dengan kau. Kau layak dapat yang lagi bagus. Macam..ala.. siapa nama kawan dia tu? Yang kau cakap bini bos kau tu?"
"Rossa?" Mata Umar tajam menjeling Umran. Mula tidak sedap hati dengan pemikiran dan percakapan Umran.
"Haaa, yes! Rossa. She is beautiful! Lemah lembut and, very naive! I like her" Umran tersenyum lebar. Teringatkan wajah Rossa, hatinya bertambah syok pulak!
"Aku tak suruh kau usik Rossa kan?!" Mencerlung mata Umar memandang Umran. Dia risau sekiranya Rossa diapa-apakan. Apatah lagi Umran itu memang terkenal dengan sikap playboynya! "Lagi satu, lepas ni kau tak payahlah nak dekat-dekat dengan Nani tu! Biar aku sendiru yang uruskan macam mana" Bingung juga hati Umar apabila Umran menyuarakan hasrat yang bukan-bukan mengenai Rossa. Sudah cukup adiknya itu menambah masalah mereka, janganlah dicipta masalah lain pula. Bukan dia tidak kenal siapa Firdaus. Silap haribulan, lumat tubuh Umran dikerjakannya.
Tergelak Umran dengan ketakutan yang terpancar pada wajah Umar. "Rilekslah bro! Kau ni kan. Baru je nak best kenakan Nani, kau dah takut macam ni"
"Masalahnya kau heret Rossa sekali! Aku tak suka. Aku nak kau tolong aku dalam hal Nani saja. Bukannya Rossa sekali!"
"Yelah-yelah!" Umran menggaru belakang tengkuknya. Kemudian, wajah Umar ditatap. "Serius aaa? Kau tak nak aku tolong lagi?"
"Thanks but no thanks!" jerkah Umar lantas menapak keluar dari bilik Umran.
"Hari tu syok pulak dia nak kenakan si Nani tu. Sekarang, tak jadi pulak!" Umran menggeleng kepala dengan sikap Umar itu. "Arghh, lantaklah! Tidur lagi bagus!" Umran baring semula dan menarik kembali selimut sehingga ke atas kepala.

HARI minggu begitu memang hari yang cukup bagus untuk merehatkan minda dan hati. Rossa mengikat rambut ikalnya tinggi-tinggi. Dia berencana hendak membersih rumah sahaja. Vacuum yang disimpan di dalam stor dibawa keluar. Ditekan suis On lalu dibawa ke ruang tamu.
Di situ, dia memulakan kerjanya. Dibersihkan segala ruang dan tempat dengan tekun sekali. Aina sedari tadi masih berkurung di dalam bilik. Sejak peristiwa ditampar Rossa tempoh hari, hubungan kedua mereka seakan retak. Aina sebolehnya tidak mahu langsung memandang wajah Rossa. Jika berpampasan dengannya sekalipun, Aina terlebih dahulu menunduk wajah. Benci sungguh dia dengan Rossa.
Jika Firdaus ada bersama, Aina dengan sengajanya menunjukkan kemesraannya di hadapan Rossa. Walaupun Rossa akui dia memang cemburu, namun segera dia beristighfar dalam hati. Aina berhak juga ke atas kasih sayang Firdaus. Setelah apa yang berlaku, Rossa tampaknya lebih matang dan berfikiran terbuka. Dia risau jika hubungannya dengan Firdaus renggang gara-gara mengikut ego hati. Oleh itu, dia akan berusaha untuk mengalah dalam apa jua situasi.
"Menung jauh isteri abang ni" Pipi Rossa dikucup serentak dengan pelukan dari arah belakang. Dari tadi, Firdaus perhatikan saja gelagat Rossa itu.
"Abang!" Rossa terkejut lantas menolak tubuh Firdaus. Risau sekiranya Aina menyaksikan kemesraan mereka. Matanya melilau memandang sekeliling, bimbang jika Aina turut ada bersama.
"Aina dalam biliklah! Apa takut sangat ni?" Sekali lagi, pipi Rossa dikucup mesra. Leher jinjang Rossa turut menjadi sasaran bibirnya.
"Abang!!" Rossa terjerit kecil. Ditolak tubuh Firdaus yang melekap dengan tubuhnya. "Rossa tengah buat kerja ni"
Firdaus mengekek lantas melepaskan Rossa. Dia menghenyak punggung di atas sofa bertentangan Rossa. Wajah cemberut Rossa dimamah dalam pandangan.
"Kenapa tu?" tegur Firdaus.
"Abanglah!"
"Abang tak buat apa-apa pun!" Firdaus pamer senyum nakal.
"Mengada-ngada betullah!" omel Rossa lantas meneruskan kerjanya.
Firdaus tertawa senang. "Mengada-ngada pun suami sayang jugak"
Rossa menyahut dengan tawa kecil. Dia bergerak ke almari buku dan membersihkan kawasan tersebut. Sedang dia ralat dengan kerjanya, tiba-tiba matanya tertangkap sebingkai foto yang tergantung di dinding. Wajah Bakri dan Firdaus yang sama-sama sedang tersenyum lebar seolah sedang meraikan sesuatu kejayaan. Mereka lengkap berpakaian uniform.
Vacuum disimpan ke tepi. Bingkai foto tersebut digapai. Wajah Bakri diusap. Air matanya tiba-tiba mengalir. Dia benar-benar merindui sahabat itu. Terbayang-bayang wajah serius dan mata redup si Bakri, menambahkan kerinduan yang tiada penghujungnya.
"Abang pun rindu Bakri" tegur Firdaus yang sedia terpacak di sisi Rossa. Dari tadi, dia perhatikan gelagat Rossa itu. Wajah Rossa yang sudah sembam dengan air mata disekanya perlahan. "We give him do'a. That's the best thing we can do for him"
Laju saja Rossa mengangguk kepala. Dia lihat, mata Firdaus juga sudah penuh dengan air mata. Ternyata, rindu pada yang telah tiada lebih menyiksakan daripada merindui yang masih di sisi.
"Lepas ni kita lawat kubur Bakri" Firdaus aju cadangan.
"Hmmm" Rossa mengangguk. Bingkai foto tersebut berpindah ke tangan Firdaus. Lama dia merenung waah Bakri sebelum pandangannya berkalih ke arah Rossa.
"Masa ni, kita orang tengah happy sebab dapat tumpaskan sindiket pelacuran dan pemerdagangan manusia sekaligus. Operasi yang memakan masa lebih tiga bulan ni, akhirnya tewas pada tangan kami. Gabungan yang sangat hebat" Air matanya diseka perlahan. Masih terbayang saat-saat kejayaan mereka suatu masa dahulu.Dia dan Bakri digelar 'supercops' kerana tidak pernah ada operasi yang gagal di tangan mereka.
"Kami rapat sangat dulu. Sampaikan ke mana je abang pergi, arwah mesti ada. Dan begitu jugak sebaliknya. Sampaikan ada orang cakap kami ni gay" Sempat Firdaus tergelak, diiringi dengan tawa kecil dari bibir Rossa. "But we both knew who we were"
"Dan abang sanggup korbankan apa saja untuk arwah kan kalau dia masih hidup?"
Pertanyaan Rossa dijawab dengan anggukan kepala. Dia sangat sayangkan Bakri, oleh itu dia sanggup melakukan apa saja untuk sahabat baiknya itu.
"Dan sebab tu jugak abang sanggup korbankan nama abang untuk kesalahan Bakri"
Anak mata Rossa tepat menikam ke dalam bebola mata Firdaus.Dia teringatkan kisah Firdaus yang pernah berkorban untuk Bakri 12 tahun lalu ketika kes melanggar arwah abahnya. Sehinggakan ketika itu umi salah faham dan hubungan mereka juga hampir berantakan gara-gara fitnah tersebut.
Firdaus tidak mengerti maksud kata-kata Rossa. Dia menyoal dengan pandangan.
"Rossa maksudkan, kes abang melanggar arwah abah dulu" jawab Rossa setelah Firdaus diam tak berkutik. Senyuman kecil terlakar pada wajah Firdaus. Baru dia mengerti maksud Rossa yang sebenarnya.
"Abang tak menyesal pun buat semua tu"
"Tapi Rossa yang terseksa masa tu. Disebabkan salah faham tu, kita hampir berpisah"
"Benda dah lepas sayang. Apa yang berlaku, kita ambik sebagai iktibar. Jadikan pengajaran untuk masa mendatang" Firdaus mengingatkan.
"Baiklah abang" akur Rossa.

SETELAH selesai membaca Yasin, Rossa dan Firdaus duduk termangu di atas tikar yang dihamparkan di atas tanah. Lama mereka mendiamkan diri sambil masing-masing merenung batu nisan Bakri. Perasaan rindu yang kian lama terbuku tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Sesungguhnya, hanya Allah yang mengerti akan perasaan tersebut.
"Dah lama kan kita tak jenguk arwah" Suara serak-serak basah Rossa memecahkan kesunyian antara mereka. Batu nisan tersebut diusap lembut. Tangannya berhenti pada nama Bakri. Laju saja air matanya mengalir.
Firdaus diam memerhati. Dia tahu dan faham perasaan Rossa. Merindui arwah Bakri yang sama pentingnya dalam kehidupannya.
"Lepas ni kita akan sentiasa jenguk dia. In Shaa Allah" Itu janji Firdaus kepada Rossa.
Mata keduanya bersabung. Rossa mengukir senyum lantas mengangguk kepala. Kemudian, pandangannya berpusat pula pada kereta Audi milik Firdaus. Aina turut bersama mereka. Tetapi dia lebih rela menunggu di dalam kereta. Katanya, dia tidak mahu lama-lama kepanasan di luar. Biar sajalah, Rossa malas hendak ambil pusing.
"Kenapa?" tanya Firdaus seraya memandang ke arah yang sama.
"Aina" Rossa mengeluh. "Abang pergilah tengok dia. Risau pula Rossa kalau dia bosan ke apa"
"Biarlah. Siapa suruh nak ikut sangat?" Hairan juga Firdaus dengan sikap Aina itu. Tadi, setelah Firdaus dan Rossa bersiap-siap hendak keluar, Aina pula tiba-tiba ingin menyusul. Katanya, dia tidak mahu ditinggalkan keseorangan di dalam rumah. Bosan menunggu katanya. Mahu tak mahu, terpaksa juga Firdaus turutkan kehendak Aina, lebih-lebih lagi setelah Rossa juga tidak membantah. Kini, dia perasan yang sikap Rossa agak terbuka dengan kehadiran Aina. Berbeza pula dengan penerimaan Aina. Dia seakan-akan lebih mendominasi segala-galanya.
"Kalau macam tu, jomlah kita balik. Nanti kita lawat Bakri lagi" ujar Rossa sambil mengangkat punggung. Dia tidak senang hati pula melihat keadaan Aina yang seperti kurang senang dengan semua ini.
Lambat-lambat Firdaus mengikut langkah Rossa. Bukan apa, dia tidak sukakan sikap Aina yang terlalu mementingkan diri itu. Terhegeh-hegeh sangat nak ikut, bila dah sampai, tak pulak nak keluar sama! Sempat Firdaus mengutuk dalam hati.
"Dah ke?" tanya Aina dengan wajah ceria. Baguslah kalau dah selesai. Boleh juga mereka balik. Dia tidak tahan dengan suasana sekeliling kubur itu.
"Hmmm, dah" sahut Rossa apabila Firdaus mendiamkan diri.
Firdaus sudah pun duduk di kerusi pemandu. Enjin kereta dihidupkan. Tersentak dia apabila melihat Aina duduk di sebelah. Sedangkan semasa dalam perjalanan tadi, Aina terlebih dahulu mengambil tempat di belakang.
"Aina duduk sini ye? Dapat dekat dengan abang" Lengan Firdaus dipaut.
Rossa sudah menapak ke tempat duduk belakang. Wajahnya dipalingkan. Cemburunya mula menguasai. Dia tidak mahu melihat adegan itu, menambahkan kedukaan dalam hatinya.
"Hmmm mana-manalah" jawab Firdaus acuh tak acuh lalu menutup pintu kereta. Tidak lama kemudian, keretanya laju saja memecut meninggalkan kawasan perkuburan.
Sepanjang pemanduan, Aina hanya melekap pada lengannya. Elok saja lengan itu berada dalam pelukan Aina. Firdaus sempat mengerling Rossa melalui cermin pandang belakang. Wajahnya cemberut sahaja. Geli hati juga Firdaus melihatnya. Dia tahu Rossa cemburu. Namun sejak akhir-akhir ini Rossa seperti banyak beralah dengan Aina.
"Abang, Aina laparlah. Kita singgah makan dulu nak tak?" Aina sengaja memanjakan suaranya.
"Rossa nak singgah tak?" Soalan Aina dibiarkan sepi, malah pertanyaan itu diajukan pula pada Rossa. Mendongkol hati Aina dibuatnya. Kita tanya dia, dia tanya perempuan tu balik!
Terkebil-kebil Rossa dengan pertanyaan daripada Firdaus. Sempat dia mengerling ke arah lengan Firdaus yang elok dalam pelukan Aina.Sabarlah hati!
"Yang lapar tu Aina, bukannya Rossa!" dengus Aina kasar. "Kalau tanya Rossa dan dia cakap tak, takkan abang nak dengar cakap dia? Dan biarkan Aina kelaparan? Macam tu ke?" Radang Aina sudah sampai ke tahap maksima.
"Apa benda Aina ni? Saya tanya Rossa je, tak salahkan?" Hangat juga hati Firdaus dibuatnya.
"Salah sebab abang lebih pentingkan Rossa berbanding Aina! Ingat sikit ye, Aina ni pun isteri abang! Dan Aina nak hak Aina juga!" Aina sudah separuh menjerit.
Terkedu Firdaus. Seumur hidupnya, itulah pertama kali dia mendengar Aina menjerit begitu. Luluh hatinya dengan teriakan Aina.
Rossa rasa bersalah. Gara-gara dia, Aina melenting dan hilang hormat pada Firdaus. Pucat lesi wajahnya oleh teriakan Aina.
"Okey, kita pergi makan. Aina nak makan kat mana? Tell me. I'll bring you there" Akhirnya Firdaus mengalah. Dia harus bijak mengawal keadaan. Jika tidak kerana Rossa, pasti sudah lama dia 'bahasakan' Aina.
Aina senyum puas hati. Tidak dipedulikan apa dalam fikiran Firdaus. Yang dia inginkan cuma Firdaus memakbulkan permintaannya dan Rossa beralah. Dan kini, dia menang dan Rossa kalah!

SETELAH selesai pesanan dihantar, mereka menjamu makanan dengan begitu berselera, lebih-lebih lagi Aina kerana permintaan yang ditunaikan, ibarat dia menang loteri! Dia suka apabila Firdaus menuruti permintaannya, lebih-lebih lagi di hadapan Rossa.
"Hmmmm sedapnyaaa" komen Aina dengan ayam yang masih penuh di mulut.
Rossa dari tadi mendiamkan diri. Dia tidak mahu bersuara, bimbang akan membangkitkan kemarahan Aina yang adakalanya suka meroyan itu. Dinikmati saja ayam penyet bakar yang dipesannya sebentar tadi.
"Rossa try rasa ni pulak" Firdaus meletakkan isi sotong sumbat ke dalam pinggan Rossa. Terkedu seketika Rossa sambil matanya memihak kepada Aina. Mencuka saja wajah itu.
"Aina nak jugak!" rungut Aina setelah dilihatnya Firdaus enak saja menikmati makanannya. Sakit benar hatinya melihat perlakuan Firdaus yang melebihkan Rossa dan mengabaikan dirinya.
"Awak ambiklah ni" Rossa meletakkan isi sotong tadi ke dalam pinggan Aina.
"Saya nak Firdaus yang bagikan. Bukan dari pinggan awak!" bentak Aina tiba-tiba. Berang hatinya dengan perlakuan Rossa itu. Sengaja nak tunjuk baiklah tu!
Terpempan Rossa dengan suara kasar Aina. Lebih-lebih lagi setelah semua mata memandang mereka.
"Slow down sikit suara tu boleh?" Radang Firdaus dengan wajah yang bengis. "Awak boleh je cakap baik-baik dengan Rossa kan? Kenapa nak kena jerit?"
Aina buat muka. Benci betul dia apabila Firdaus menyebelahi Rossa. Berbahang wajahnya sat dimarahi Firdaus.
Pada masa yang sama, Firdaus meletakkan isi sotong sumbat dan beberapa ekor udang ke dalam pinggan Aina. Dengan harapan, Aina akan berpuas hati dan tidak mencari pasal lagi!
Tersenyum lebar Aina saat Firdaus memperlakukannya seperti itu. Bahagia rasa hatinya apatah lagi sedari tadi, Firdau hanya menempel di sebelahnya. Menjadikan dia maju setapak lagi dari Rossa.
"Ehh Rossa!" tegur seseorang dengan ramah.
Rossa mendongak, begitu juga dengan Firdaus dan Aina. Siapa lelaki ni? Firdaus menyoal dalam hati. Dilihatnya mata lelaki itu tak berkedip memandang Rossa yang ternyata terkejut dengan kehadirannya.
"Um..Umran.." Takut-takut Rossa menyapa, risau jika Firdaus tersalah anggap.
"Hi" sapa Umran dengan mesra. Senang hatinya melihat wajah manis Rossa. "Makan ke?"
"Tak, tengah masak!" jawab Firdaus pula, sengaja menyindir. Umran menoleh ke arah Firdaus. Keningnya terangkat. Diperhatikan riak Firdaus yang ketat itu.
"Firdaus, suami Rossa" Huluran tangan diajukan, segaja memperkenalkan diri sebagai suami Rossa.
Dengan senang hati Umran menyambut huluran tersebut. "Umran Aqeel"
"Dia calon suami Nani" Rossa menambah.
Firdaus merenung wajah Umran. Terdetik di hatinya akan penampilan lelaki itu. Tampan dan segak! Inilah bakal suami Nani rupanya,lelaki yang sempat dia salah faham sebelum ini.
"And she is?" Dipandang wajah Aina yang terukir dengan senyuman itu.
"Aina. Firdaus's second wife" Bangga Aina memperkenalkan diri. Dalam fikiran, bermacam persoalan mengenai Umran dan perkaitannya dengan Rossa. Tidak mungkin sekadar memegang status 'calon suami' Nani sedangkan kalau dari pengamatannya, Umran seolah lebih tertarik kepada Rossa.
"Wowww, second wife?" Teruja Umran mendengar berita itu. Tidak disangka, sehebat itu Firdaus bergelar lelaki.
"Yeah, and of course, saya yang paling dia sayang" Aina memaut lengan Firdaus, romantis.
Rossa membuang pandang ke tempat lain. Sudahlah kepalanya berdenyut-denyut dari tadi, kini Umran pula munculkan diri. Ditambah pula dengan kata-kata yang menyakitkan dari Aina, sungguh dia tertekan!
"Good to hear that" Umran senyum lebar. Wajah Rossa terus-terusan ditilik. "Mind if I join?"
"Kita orang dah nak balik ni" sahut Firdaus,mendatar.
"Alaa, Aina masih laparlah. Kejap lagilah balik" ngongoi Aina dengan manja. "It's okay. You can join us" Pandangannya berkalih ke arah Umran.
Firdaus merenung Aina dengan tajam. Dia tidak berpuas hati dengan tindakan spontan Aina itu. Umran tersengih lantas melabuh punggung di sebelah Rossa. Pucuk dicita ulam mendatang!
"Awak kerja apa?" tanya Aina tidak sabar hendak tahu.
"Arkitek" jawab Umran laju.
"Wowww, bestnya! Sepadanlah dengan Rossa. She just loves creating building and something like, art" Teruja Aina bercerita.
Wajah Rossa berkeruh. Bila masa pulak aku suka seni bina?
"Aina!" Firdaus terjerit kecil. Dia tidak gemarkan sikap Aina yang terlalu terbuka itu.
"Betullah kan? Rossa kan suka mengemas rumah" jawab Aina selamba.
"So apa kaitannya?" soal Firdaus tidak puas hati.
"Yelah! Kemas rumah cantik-cantik, susun perabot, alat elektrik, kan macam seni tu"
"That doesn't make any sense!" cemuh Firdaus.
"Whatever!" sahut Aina, namun dalam suara yang cukup perlahan.

SEUSAI menjamu selera, mereka mengambil keputusan untuk pulang. Umran menawarkan diri untuk membayar semua makanan mereka. Walang hati Firdaus kerana dia tidak ingin melibatkan Umran. Tetapi lelaki itu terlebih dahulu menghulur bantuan.
"Thanks sebab dah bayarkan makanan kami" ucap Rossa sambil tersenyum manis. Dia sudah sampai di tempat parking. Begitu juga dengan Firdaus dan Aina.
"Not a big deal, sweetheart!" sahut Umran selamba, membahangkan wajah Rossa tiba-tiba.
Mendongkol geram hati Firdaus dengan kata-kata yang keluar dari bibir Umran. Baginya, Umran langsung tidak menghormati dirinya sebagai suami Rossa. Bahkan selambanya dia mengorat Ross di hadapannya.
Bagi Aina pula, itulah peluang keemasannya untuk menjarakkan Rossa dari Firdaus. Dia boleh lihat kalau Umran seakan berminat dengan Rossa. Huhh! Dasar perempuan jalang! Suami kawan baik sendiri pun nak dikebas! Cemuh Aina dalam hati.
"Dah lewat ni. Kita balik sekarang" sampuk Firdaus.
"Okay then" Umran menghulur tangan untuk bersalam. Firdaus menyambutnya namun dengan riak yang ketat pada wajahnya. "Thanks a lot! Ada masa, jumpa lagi" sambung Umran namun kata-kata tersebut lebih ditujukan kepada Rossa.
"Okey, nanti kita jumpa lagi" sahut Aina pula. Girang hatinya dengan kehadiran Umran itu.
Firdaus berlalu ke tempat pemandu sambil menjeling ke arah Aina. Dia tahu, Aina sengaja memancing kemarahannya, sekaligus menambahkan rasa cemburu di hatinya. Mana mungkin dia membiarkan Rossa menemui lelaki lain. Rossa isterinya. Dan tidak akan dilepaskannya keluar begitu sahaja!
"Kita orang balik dulu" pamit Rossa dengan senyuman manis di wajah.
Ketika itu, idea jahat Aina mula mengasak dalam minda. Dilihatnya jarak Umran sangat dekat dengan Rossa. Apabila Rossa hendak membuka pintu kereta, dengan sengajanya Aina menolak tubuh Rossa membuatkan Rossa hampir hilang kawalan. Melihatkan itu, Umran segera menarik tubuh Rossa rapat dengannya. Pinggang Rossa digapai, manakala lehernya dipaut oleh gadis itu. Tersenyum puas Aina melihat aksi itu apatah lagi setelah wajah Firdaus bertukar keruh.
"Are you okay?" tanya Umran.
Rossa mengangguk dengan wajah yang penuh kemerahan.
"Rossa!" Firdaus mendekat lantas menarik Rossa dari pelukan Umran. Sakitnya hati melihat Rossa berada dalam dakapan lelaki lain, meski bukan secara sengaja.
"You pushed her!" bisik Firdaus ke arah Aina. Dia tahu, kerana dia menyaksikan semua adegan itu. Aina memang sengaja menempah maut!
Wajah Aina berubah kelat. Dia menelan liur. Gerun hatinya melihat wajah bengis Firdaus ketika itu. Dia tahu, pasti ada perhitungan antara mereka sebentar lagi.
"Thanks sebab dah selamatkan isteri aku. But, I hope you can at least understand that she is my wife. Officially my wife. Do bear that in your mind" tukas Firdaus seraya menarik Rossa untuk masuk ke dalam kereta. Kali ini, dibawanya Rossa duduk bersebelahannya. Tidak dihiraukan wajah Aina yang masam mencuka itu.
Umran menggaru belakang tengkuknya. Berdiri bulu romanya ketika disergah Firdaus seperti itu. Dia mula sukakan Rossa tetapi kata-kata kasar Firdaus seakan menghalanginya. Sudahnya, dia hanya mampu mengeluh sambil memerhatikan saja kereta Audi tersebut meluncur laju meninggalkannya.

TIDAK selesa duduk Aina di belakang dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh Firdaus dan Rossa di hadapannya. Mana tidaknya, Firdaus dari tadi menggenggam tangan Rossa sambil memandu. Pegangan yang erat seakan tidak mahu dilepaskan.
"Abang" panggil Rossa dengan matanya melekap terus pada wajah itu.
"Hmm?" sahut Firdaus. Dia merajuk dengan peristiwa tadi. Namun dia sedar itu bukanlah salah Rossa sepenuhnya. Semua itu gara-gara akal busuk Aina. Tidak mengapa, akan ada perhitungan antara mereka nanti.
"Sampai bila abang nak genggam tangan Rossa?" tanya Rossa, polos. Dia tahu Aina sedang menjeruk rasa dengan keintiman mereka. Pelik juga dia dengan sikap Firdaus. Sebelum ini, suaminya itu melarang mereka menunjukkan kemesraan di hadapan Aina. Bimbang sekiranya radang Aina menggila. Tetapi kini, dia sendiri yang melanggari janji mereka.
"Sampai bila-bila" ucap Firdaus lalu tunduk mencium tangan Rossa. Dia sudah penat hendak berpura-pura di hadapan Aina lagi. Biarlah Aina mengetahui betapa cintanya dia pada Rossa.
"A...abang..." Seriau hati Rossa dengan kelakuan Firdaus, apatah lagi dengan mimik muka Aina yang memerah seakan hendak meletus itu.
Tunggulah kau Rossa! Aina mengukir dendam pada taman hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience