"KAU nak ke mana ni?" tegur Nani saat melihat Rossa kemas berpakaian dan menjinjit beg tangannya.
"Aku nak balik" Ujar Rossa. Dia sudah membuat keputusan untuk kembali ke Apartment Crystal. Dia tidak sanggup untuk terus berhadapan dengan Taufiq.
Nani menggaru kepalanya. Punggung segera dia labuhkan di hujung katil. Digamit Rossa untuk duduk bersebelahannya.
"Dah tak merajuk lagi ke dengan bos?" tempelak Nani, sekadar hendak bergurau. Namun gurauan tersebut dibalas jelingan oleh Rossa.
"Kau tak payahlah nak sindir aku" rajuk Rossa dengan muncung di bibir. Dia sudah duduk menghampiri Nani. Hampir tergelak Nani dibuatnya. Hishh, ibu mengandung ni, tak habis-habis dengan rajuk dia!
"Ala, gurau sikit je. Tu pun nak sentap!"
"Tu bukan gurau! Tu sindiran" sahut Rossa, masih lagi dalam rajuknya.
Mengeluh juga Nani dibuatnya. Muka je comel, tapi kuat merajuk! Kutuk Nani dalam hati. Teringat kembali perbualannya dengan Taufiq sebentar tadi. Hampir tidak percaya bahawa Rossa pernah menjalin hubungan cinta dengan sepupunya. Kalau bukan gara-gara Mak Lang Inas, pasti saat ini Rossa sudah bergelar sepupunya. Tapi mungkin bukan jodoh mereka barangkali.
'Allah dah temukan aku balik dengan Rossa. Agaknya, mungkin dia jodoh aku yang abadi'. Seram sejuk Nani mengingatkan kata-kata Taufiq itu.
"Kenapa kau tiba-tiba nak balik ni?"
"Saja" jawab Rossa sambil kakinya menguis-nguis karpet lantai. Takkan nak bagitau Nani yang dia kurang senang dengan kehadiran Taufiq? Buatnya si Nani dapat menghidu kisah silam mereka suatu ketika dulu, tak ke malu dia? Namun dia pelik. Siapa Taufiq pada Nani? Itu ke sepupu Nani yang selalu Nani ceritakan?
"Laa takkan saja-saja kau nak pindah.Dah tengok sepupu aku sampai, terus je kau nak pindah. Tak boleh tunggu esok-esok ke?"
"Kau ni peliklah! Hari tu aku tak balik kondo, kau cakap aku tak boleh tinggalkan suami aku sesuka hati camtu je. Sekarang bila aku nak balik, kau larang pulak" gerutu Rossa.
"Ehh takdelah sampai macam tu. Aku nak tahu je, kenapa kau tiba-tiba nak balik? Tapi takpelah. Tu bukan persoalannya. Kau balik dengan apa ni? Nak aku hantarkan tak?" Nani mengalih topik perbualan. Risau pula dengan emosi Rossa yang serba tak menentu itu.
"Boleh ke kau hantar aku? Aku mana drive semalam"
"Ala boleh jelah. Jom"
"NAK ke mana ni?" tanya Taufiq ketika melihat Rossa dan Nani hendak menapak keluar dari ruang tamu. Siaran di kaca televisyen segera dia ketepikan. Merenung wajah manis Rossa membuatkan cintanya seakan berputik kembali. Namun wajah itu tetap beku dan dingin setiap kali mereka berpampasan.
"Nak hantar Rossa balik rumah suami dia" Sengaja Nani tekankan perkataan 'suami' itu agar Taufiq sedar diri.
"Ohhh" Taufiq mula serba salah. Punggung diangkat, dan siaran televisyen ditutup. "Jomlah, aku hantarkan" pelawa Taufiq. Dia sudah berdiri di sisi Rossa.
Wajah Nani berubah mendadak. Alamak! Dia ni tak tahu ke Rossa ni dah kawen?
"Tak payahlah. Aku boleh je hantarkan Rossa. Kau kan penat, baru balik dari Sabah kan? Rest jelah kau" tolak Nani sambil tersengih. Dia sudah selesai memakai kasut.
"Ala penat apanya? Lagipun, kalau aku ada, selamatlah sikit kau berdua kan? Dah malam ni. Kau tak takut jadi apa-apa ke? Kau orang tu perempuan. Buatnya jadi apa-apa, aku jugak yang susah"
Bibir Nani terkunci juga. Alasan yang diberikan oleh Taufiq masuk dek akal juga. Tetapi bukanlah bererti dia sewenangnya membenarkan Taufiq mendekati Rossa lagi. Kalau Rossa masih lagi anak dara dan tidak dimiliki oleh sesiapapun, sungguh dia berbesar hati menyatukan Taufiq dan sahabat baiknya itu. Tetapi takdir pula melakar yang sebaliknya. Kalau dia bersetuju dengan penerimaan Taufiq, risau pula sekiranya Rossa yang tidak selesa.
"Jommm" Desak Taufiq sesudah menggapai kunci di tepi pintu.
Rossa hendak menolak, tetapi apa alasan yang harus diberikan sekiranya Nani menanyakan penolakan tersebut? Hmmmm
FIRDAUS memicit kepalanya yang terasa pening. Dia tertekan dengan semua yang berlaku saat ini. Dengan rajuk Rossa yang tak pernah surut, ugutan Aina yang tak pernah pudar dan desakan Ainida memaksanya menimbang tara keputusan membuatkan dia berada di persimpangan. Namun antara semua itu, dia lebih gerunkan ugutan Aina kerana ianya bersangkut paut dengan nyawa Rossa.
Telefon bimbit digapai lalu nombor Rossa didail. Hanya deringan panggilan yang kedengaran namun tiada sahutan dari pihak sana. Firdaus semakin tertekan. Kenapa harus begini pengakhiran rumah tangganya?
"Rossa, pick up the phone please. Kenapa nak seksa abang macam ni?!" Bosan mencuba, dia mengambil keputusan untuk melepak di dalam keretanya yang diparkir di basement. Dia harus menjauh sebentar dari ruangan bilik itu yang mengingatkan dia akan Rossa.
MATA Taufiq tidak lekang dari memandang wajah Rossa yang duduk di bahagian belakang. Melalui cermin pandang belakang itu, dapat dia perhatikan ekor mata Rossa menjeling ke arah telefon bimbitnya yang sedari tadi berdering. Dahi Taufiq berkerut. Dia hairan dengan sikap Rossa yang seakan tidak mempedulikan panggilan tersebut. Siapa yang call dia? Laki dia ke?
"Ehemm.." Sengaja Nani berdehem setelah agak lama dia perhatikan gerak geri Taufiq itu. Menggelabah Taufiq dibuatnya.
"Drive tu tengok depan!" tegur Nani sambil mengerling ekor matanya ke arah Taufiq.
"Mana ada aku tengok belakang! Tengok depanlah ni!" sangkal Taufiq seraya membalas jelingan Nani yang elok duduk di sebelahnya.
"Aku tak cakap pun kau tengok belakang!" Nani mengecilkan mata memandang Taufiq. Jenuh sudah bibirnya melarang Taufiq dari terus-terusan 'mengusha' Rossa. Tapi sepupunya itu buat pekak saja.
Wajah Taufiq terasa membahang. Alamakkk! Kantoi! "Takdelah. Manalah tahu, kau cakap aku tengok belakang ke kan? Kau kan suka nak marah-marah aku!" Taufiq bela diri.
"Dah kau buat salah, aku marahlah!" sergah Nani. Dia menoleh ke belakang pula. "Kau ni pun satu! Kalau tak nak angkat call dari bos, kau silentlah hp tu! Sengal tau tak?" gusar Nani pada Rossa.
Belum pun sempat panggilan dimatikan, Nani bertindak cepat dengan menjawab panggilan tersebut. Bertembung suaranya dengan suara Firdaus yang serak-serak basah di hujung sana. "Kami on the way nak hantar Rossa balik. Boss jangan risau okay?"
"Nani..."
"Nah! Aku dah jawab bagi pihak kau! Kan senang macam tu. Takdelah boss nak call banyak kali. Mana nak call kau lagi, pastu nak deal dengan kedegilan tahap gaban kau tu! Ee semaklaah!" tukas Nani lantas menyerahkan kembali telefon bimbit tersebut kepada Rossa.
Rossa membatukan diri. Dia belum bersedia untuk bersemuka dengan Firdaus. Tetapi untuk terus berhadapan dengan Taufiq, itu juga tidak mungkin.
'Apa masalah Rossa?' Hati Taufiq berteka-teki sendiri.
'KAMI?' Siapa kami yang Nani maksudkan? Ada orang lain ke yang bersama diorang masa ni?
Firdaus meraup wajah. Barusan, Nani menjawab panggilannya sekaligus memancakkan kembali semangatnya yang hampir pupus dek ego Rossa yang enggan bertemu dengannya. Syukurlah, Nani masih mampu memujuk hati keras Rossa untuk kembali ke sisinya.
Sebuah kereta parking betul-betul di hadapan keretanya. Saat figura itu menapak keluar dari kereta, Firdaus terkejut. Rossa! Lantas, dia keluar dari kereta dan bergerak mendekati isterinya.
"Sayang!" Tubuh Rossa dirangkul dalam kerinduan. Tercengang Rossa dibuatnya. Dia berusaha untuk meloloskan diri namun pelukan Firdaus seakan tak ingin berenggang darinya.
Nani dan Taufiq sudah menapak keluar dari dalam perut kereta. Terkedu Taufiq dengan adegan itu. Cemburunya mula menapak sedikit demi sedikit.
"Lepaslah! Malulah Nani tengok" tutur Rossa sambil menolak lembut tubuh Firdaus. Rimas dia dengan kemanjaan Firdaus. Ingatkan sibuk dengan perempuan tu! Ishhh! Firdaus mengalah juga.
"Tak malu pun! Dah biasa sangat tengok drama mesra macam ni" usik Nani sambil tergelak.
Rossa mencubit pinggang Nani. "Mengadalah kau ni!"
Firdaus menarik tubuh Rossa rapat ke sisi. Seketika, matanya lekap pada sosok seorang lelaki yang berdiri di sisi Nani. Dan mata lelaki itu tidak lari dari terus-terusan memandang wajah isterinya. Dek cemburu, pelukannya diperketatkan sehingga keruh pada wajah lelaki itu jelas kelihatan. Firdaus ketawa besar dalam hati. Ni isteri akulah!
"Thanks Nani. Sebab dah bawak balik nyawa saya"
"Sama-sama boss. Takde hallah. Lepas ni, kena ikat ketat-ketat si Rossa ni. Takut ada yang nak mencuba nasib" Ayat yang terakhir itu dia perlahankan agar tidak didengari sesiapa pun. Namun Firdaus cukup pantas untuk menebak. Hatinya mulai berlagu walang. Tambah-tambah lagi dengan kehadiran lelaki di sebelah Nani itu.
"By the way, who is this?" Firdaus memusatkan pandangannya pada Taufiq.
"Oh. Ni Taufiq. Sepupu saya. Fiq, ni Encik Firdaus. Boss aku, dan suami Rossa" Sengaja Nani tekankan perkataan suami itu. Taufiq berlagak selamba sambil tersenyum. Dia menghulur tangan untuk bersalaman.
Firdaus mengukir senyum sambil menyambut huluran tersebut. "Thanks once again to both of you. Lepas ni, saya akan pastikan yang nyawa saya ni akan saya ikat ketat-ketat"
Nani tergelak. "Should be. Okaylah, boss. Kita orang gerak dulu. Dah malam ni" Nani menghampiri Rossa dan membisikkan sesuatu. "Bincang elok-elok dengan boss. Jangan nak ego sangat. Lepas ni, kalau kau lari lagi, aku tak nak dah komplot sama!"
Pelukan terlerai. "Yelah-yelah"
"SIAPA Taufiq tu?" tanya Firdaus sesudah mereka tiba di kondo. Rossa tercengang. Haihhh.. Taufiq lagi!
"Sepupu Nani" jawab Rossa acuh tak acuh. Dia sudah penat seharian ini. Dia mahu rehat dan tidur secukupnya. Kepala diletakkan di atas bantal.
"Ye, abang tahu dia sepupu Nani. But the way he stared at you, it was something" Wajah Firdaus keruh.
Rossa mengeluh lalu duduk di hadapan suaminya. "Something apa pulak? Rossa penatlah!"
Nada suara Rossa yang kasar itu menyentakkan hati Firdaus. Dia tahu Rossa penat. Tapi dia juga penat. Dan Rossa tak pernah mampu untuk memahaminya.
"Penat Rossa je yang Rossa fikir. Penat abang? Pernah ke Rossa fikir? Ambik tahu? Rossa hilangkan diri macam tu je, Rossa buat abang macam tunggul, Rossa layan abang acuh tak acuh! Lepas tu, larikan diri kat lelaki nama Taufiq tu! Jangan layan abang macam orang bodoh boleh tak?!" Lava kemarahan Firdaus sudah meletus. Sepenat apa pun dia, namun dia masih sabarkan hati untuk melayan setiap karenah Rossa. Tetapi Rossa tak pernah hendak memahami jiwa dia. Siapa dia sebenarnya dalam hati Rossa?
Tersentak Rossa dengan suara meninggi Firdaus itu. Seumur hidupnya, inilah kali pertama Firdaus meninggi suara padanya. Dan itu pun gara-gara dia. Tetapi dia tidak pernah melarikan diri kepada Taufiq. Ya, dia mengaku dia keluar tanpa izin Firdaus. Tetapi dia keluar menemui Nani, dan bukannya Taufiq! Dan pertemuannya dengan Taufiq juga bukanlah disengajakan.
"Rossa tak nak gaduh. Please.. " Suara Rossa separuh merintih. Ada sebuah kesedihan yang seolah disembunyikan dari situ.
Firdaus terdiam. Nafasnya turun naik. Mudah saja jiwanya terusik, walhal Taufiq itu bukannya siapa-siapa pada Rossa. Tetapi kenapa dia merasa kurang senang dengan kehadiran Taufiq?
Share this novel