AINA menyungging senyuman sinis. Selesai sudah tugasnya. Kereta Honda City milik Rossa sudah siap 'dioperasi' . Kali ini, Rossa tidak akan terlepas lagi! Esok pagi, dia akan mengajak Firdaus untuk menemaninya ke klinik. Dia akan berpura-pura sakit untuk meraih simpati suaminya. Dan pasti Firdaus akan menurut kerana lelaki itu tidak tahan jika melihat dia berada dalam kesakitan.
Dan ketika mereka ke klinik, Rossa pasti akan ke tempat kerja dengan menaiki Honda Citynya itu kerana dia tidak akan sesekali membenarkan Rossa menumpang mereka. Brek pada kereta Honda City itu telah dimatikan fungsinya. Dan ketika Rossa hendak menekan brek, yang dia hadapi hanyalah kesulitan. Dan tidak lama selepas itu, pasti nyawa Rossa akan melayang.
Tak sabarnya! Dia akan memiliki Firdaus tidak lama lagi. Segala kasih sayang dan perhatian Firdaus akan menjadi miliknya seorang.
"Kau tunggulah nasib kau Rossa! Nilah padahnya kalau cari pasal dengan aku" Wajahnya terukir senyuman sinis. Dia sakit hati ketika dibayangi peristiwa tengah hari tadi. Sepanjang perjalanan, Firdaus tak lepas-lepas menggenggam tangan Rossa. Bahkan sebelum menapak keluar dari kereta juga Firdaus sempat mengucup dahi Rossa di hadapannya. Berbuku rasa sakit hati dan bencinya pada Rossa. Kemesraan yang terjalin di antara mereka telah mencucuh bara api di dalam hatinya. Dia dapat mengagak kedua mereka sudah berbaik. Tidak mungkin mereka berpura-pura kerana sinar cinta Firdaus pada Rossa sangat menyerlah melalui perbuatannya. Arghh! Menjengkelkan betul!
Aina menarik keluar telefon bimbit dari dalam poket seluarnya. Dia mendail nombor Ainida. Tidak lama selepas itu, panggilannya berjawab.
"Kak..." Aina memanggil dengan sayu. "Lepas ni,akak tak perlu risau dengan Aina lagi. Dan lepas ni, Fir akan jadi milik Aina seorang"
"Dek, kenapa ni? Aina okey tak ni? Akak pergi sana ya?" Risau hati Ainida dengan sikap Aina itu. Lebih-lebih lagi dengan suaranya yang semacam itu. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena bakal berlaku.
"Kak, Aina dah rosakkan brek kereta Rossa. Honda City! Dia bangga sangat dengan kereta tu sebab Fir belikan untuk dia. Tapi lepas ni, kereta yang dia bangga tu akan bunuh dia perlahan-lahan"
Ainida tersentak. Dia menekup mulut dengan air mata yang kian merembes keluar. "Aina! Ya Allah! Apa yang Aina dah buat ni dek? Mengucap dek, mengucap!"
Aina menarik rambutnya sendiri. "Arghh, akak tak faham! Aina cintakan Firdaus. Tapi kehadiran Aina macam tak wujud dalam kehidupan dia. Semua ni sebab Rossa! Tapi semuanya akan berakhir tak lama lagi! Lepas je Rossa mati, Fir akan sayangkan Aina seorang!"
Panggilan dimatikan. Aina tertawa kecil. Dia puas hati dapat mengenakan Rossa. Tidak lama lagi, nyawa Rossa akan melayang. Dan dia, pasti akan menang!
Ainida sudah keresahan. Didailnya nombor Aina lagi, tetapi panggilannya ditolak. Dia mencuba lagi, namun hasilnya tetap sama. Aina menolak panggilannya. Dia mendail nombor Rossa pula, tetapi tidak berjawab. Berkali-kali dia mencuba namun tetap tiada sahutan.
Ainida tiada pilihan melainkan memandu ke Apartment Crystal dan memberitahu perkara sebenar kepada Rossa. Dia risaukan keselamatan Rossa. Ya Allah, kenapa Aina boleh berfikir dan bertindak sejauh ini?
PANGGILAN telefon daripada Aziz diterimanya seusai solat Isyak. Kening Firdaus bertaut. Dia berasa hairan kerana jarang-jarang Aziz menelefonnya waktu-waktu begini.
"Siapa bang?" tanya Rossa yang sudah selesai melipat sejadah dan telekungnya.
"Aziz" jawab Firdaus. Punggungnya dihenyak ke sofa, serentak itu, panggilan Aziz dijawab. Rossa hendak duduk di sisi Firdaus namun terlebih dahulu Firdaus menariknya untuk duduk di riba. Terjerit kecil Rossa, namun Firdaus hanya ketawa senang hati.
"Hmmm? Ada apa Ziz?" sapanya terlebih dahulu.
"Bos, laporan forensik dah keluar. Kita dah dapat cap jari pada stereng kereta tu" Maklumat yang disampaikan oleh Aziz mendebarkan hati Firdaus. Wajah Rossa ditenung. Ada kedamaian dalam riak yang lembut itu.
"Okay, tell me who was that person"
"ABANG, sabar dulu. Let's talk first" Rossa menghalangi Firdaus yang disambar kemarahan itu. Setelah menerima panggilan telefon daripada Aziz dan dikhabarkan berita oleh Aziz, Firdaus kelihatan hilang sabar. Dia menapak keluar dari bilik, dan sempat menyambar sekeping envelop bersaiz A4 dari atas meja. Rossa tidak mengetahui apa-apa, hanya sempat mendengar nama Aina disebut Aziz berkali-kali. Dari situ, Rossa dapat mengagak punca kemarahan Firdaus apatah lagi setelah langkah kakinya menuju laju ke bilik Aina.
Pintu bilik Aina diketuk bertalu-talu. Wajahnya menerit ketat dengan menahan sejuta kemarahan dalam hati. Selepas menerima berita daripada Aziz, dia sudah tidak mampu berfikir dengan waras melainkan berhadapan dengan Aina dan menyelesaikan segala-galanya malam itu juga. Terlalu banyak sudah kejahatan yang Aina ciptakan. Terbukti segala-galanya, dan dia tidak akan melepaskan Aina sebegitu sahaja. Ditambah pula dengan kehadiran anting-anting tanpa pasangan itu, gen suspek sudah ditemui di situ.
"Abang!" Tersentak Aina dengan wajah sugul Firdaus di hadapan pintu biliknya. Mulanya dia hendak senyum tetapi melihatkan Rossa di sisi, senyumannya mati serta-merta. Asyik menempel je dengan laki aku!
"We must talk! Now!" jerkah Firdaus lalu berlalu ke ruang tamu. Aina mula tidak sedap hati. Namun laju saja derap kakinya menuruti langkah Firdaus.
Rossa turut sama sehingga ke ruang tamu. Dia tidak akan berganjak dari situ kerana risau Firdaus akan hilang kawalan dan mengapa-apakan Aina. Sempat dia melihat skrin telefon bimbitnya yang tertera nama Kak Ainida di situ. Ada 4 panggilan tak terjawab dari dia. Rossa mengerutkan dahi. Hatinya berasa kurang senang. Segera didail nombor Ainida namun tiada sahutan. Rossa ingin mendail lagi, namun melihatkan keadaan antara Aina dan suaminya yang kian kepanasan, dibatalkan saja niatnya. Lepas nilah, call kak Aini! Bisiknya dalam hati.
"Tell me what you did to Rossa last month!" Anak mata Firdaus tajam merenung Aina yang terduduk di hadapannya. Dapat dia lihat ketakutan yang jelas terpancar pada wajah pucat lesi itu. Apatah lagi setelah Aina bermain-main dengan jari-jemarinya, menunjukkan bahasa badan yang menjelaskan ketakutan yang tersirat dalam dirinya.
Aina meneguk air liur. Matilanak! Dia dah tahu ke? Peluh mulai membanjiri wajah Aina. Dia benar-benar ketakutan saat ini. Tampang Firdaus yang bengis itu membuatkan dia kecut perut untuk bertentang mata dengannya.
Kening Rossa bersambung. Apa yang Aina dah buat pada dia? Dia betul-betul tidak faham maksud Firdaus. Tubuhnya hanya mengeras di sisi meja bulat, tidak jauh dari tempat Firdaus berdiri.
"Tell me Aina!!" jerkah Firdaus dengan suara yang lantang. Bergema seisi rumah dengan suaranya sehinggakan Che Mon yang berada di dalam bilik, segera keluar untuk mengetahui perkara sebenar. Dia hanya lengkap bertelekung kerana baru selesai menunaikan solat Isyak. Tubuh Rossa dirapati. Dicuit lengan tersebut. Namun Rossa hanya menjawab dengan gelengan kerana sejujurnya dia masih buntu dengan apa yang sedang berlaku.
"Ai.. Aina tak faham abang cakap apa" nafi Aina sambil menelan liur. "A.. apa yang Aina dah buat pada Rossa? Aina tak buat apa-apa" sangkal Aina lagi, mencuba untuk membela diri.
"Kau jangan nak tipu aku! Aku ada bukti segala kejahatan kau pada Rossa!" Firdaus mencampakkan envelop bersaiz A4 di atas meja di hadapan Aina. Yang sebenarnya, envelop itu mengandungi kertas kosong, sekadar untuk menakutkan Aina agar dia mengakui kesalahannya. Serangan psikologi!
Peluh yang merembes keluar kini membasahi belakangnya pula. Dia semakin ketakutan saat segala bukti kejahatannya terbuka di hadapan mata. Suara Firdaus yang mengeras dan kasar turut membuatkan dia seriau.
"Abang.." Rossa menapak selangkah namun dihalang oleh Firdaus.
"No! Don't come closer! You stay out of this" arah Firdaus dengan wajah yang bengis. Dia tidak mahu Rossa masuk campur.
Langkah Rossa mati. Sepanjang pergaduhan mereka, inilah kali pertama dia melihat Firdaus berperwatakan begitu. Dia pula yang ketakutan.
"Fir kalau tengah diamuk kemarahan yang meluap-luap, dia takkan benarkan sesiapa pun masuk campur. Takut nanti kemarahannya terkena tempias orang sekeliling. Jadi, kita tak payah masuk campur. Biar dia uruskan perkara ni dengan Aina" Bisik Che Mon ke telinga Rossa. Dia faham benar fiil dan perangai Firdaus itu kerana dia yang menjaga Firdaus dari usia dua hari lagi. Maka secara langsungnya segala kemarahan lelaki itu dapat dia agak dan baca bahasa badannya.
Rossa tidak mampu berbuat apa-apa. Setelah ditegah oleh Firdaus, dan dihasut oleh Che Mon, dia terpaksa akur pada keadaan.
"Cakap Aina! Kau yang langgar Rossa hari tu kan?!"
Terpempan Rossa dengan apa yang barusan keluar dari bibir Firdaus. Benarkah itu? Wajah polos Aina dipandang. Dia tidak mempercayainya. Tidak mungkin sejauh itu Aina membencinya. Padahal sewaktu kemalangan itu berlaku, Aina belum lagi menjadi isteri Firdaus.
Air mata Aina jatuh juga satu-persatu. Saat ini, dia terbayangkan wajah Ainida. Kalau Ainida ada bersama, pasti kakaknya akan melindungi dirinya.
Firdaus menapak langkah demi langkah sehingga tubuhnya bertembung dengan tubuh Aina. Kemudian, dia membongkokkan sedikit tubuhnya lalu kedua bahu Aina direntap dengan kasar.
"Cakaplah! Semua bukti dah ada. Rakaman CCTV pun ada. Cap jari pada stereng kereta yang kau guna untuk langgar Rossa jugak merupakan cap jari kau! Dan semua ujian DNA tu pun ada. Bahkan sebutir anting-anting yang dijumpai dalam kereta Myvi tu jugak ads kesan peluh kau. Dan ujian DNA yang membuktikannya! Kau nak nafikan apa lagi haaa?" Bahu Aina digoncang dengan kuat. Saat menerima kesemua bukti tersebut melalui emel yang dihantar oleh Aziz, hatinya mula diserang berjuta kemarahan. Hanya menunggu untuk diletupkan saja. Dan Aina memang benar-benar sedang menempah maut!
Teresak-esak Aina menangis menahan kesakitan akibat genggaman Firdaus pada bahunya. Bibirnya kelu untuk berkata-kata. Dia sudah menggigil ketakutan. Sungguh, dia tidak punya daya upaya untuk melawan lagi.
"Abang! Dahlah. Jangan buat Aina macam tu" tegah Rossa. Dia ingin melangkah mendekati mereka namun jelingan Firdaus membatalkan niatnya. Sungguh dia ketakutan ketika itu.
Melihatkan sikap Rossa, hati Aina meluat. Dia tahu Rossa sengaja hendak menunjukkan kebaikannya di hadapan Firdaus. Agar jelas terbukti kejahatan itu berpihak pada dirinya. Hebat permainan kau Rossa!
"Aina tak buat pun semua tu pada Rossa! Rossa kena langgar dengan orang lain, bukan Aina yang buat! Kenapa abang tak percayakan Aina?" Dada Firdaus dipukul sekuat hati, seiring dengan esakannya. Akibat terlalu kuat pukulan Aina, Firdaus terjatuh ke lantai dan belakang badannya tepat mengenai bucu meja yang tajam.
Rossa berlari mendapatkan Firdaus. "Abang!" Dilihatnya wajah Firdaus kelat menahan kesakitan. Aina yang melihat kejadian itu mulai menyampah dengan kebaikan Rossa. Dia radang lantas tanpa berfikir panjang, tubuh Rossa ditolak kuat. Ketika itulah, dahi Rossa terkena bucu meja. Darah pekat mula mengalir keluar.
"Aina!!" Berang dengan sikap Aina, Firdaus mencekik leher Aina sehingga tubuh itu berada di awangan. Aina menyeringai kesakitan dan minta dilepaskan.
"Abang! Mengucap bang! Mengucap panjang. Lepaskan Aina" Rossa sudah berdiri menggapai tangan Firdaus. Namun Firdaus mengabaikan rayuan Rossa. "Abang, abang nak bunuh Aina ke? Abang nak masuk penjara ke? Abang tak kesian ke dengan Rossa? Dengan anak dalam perut Rossa?"
Terkedu Firdaus. Spontan, dia melepaskan Aina ke atas sofa. Dipandang wajah Rossa dengan air mata yang mengalir laju. Gara-gara diamuk kemarahan, dia dihasut syaitan untuk bertindak di luar kawalan.
"Abang, Rossa mengandung. Please think of our child" rayu Rossa sambil memeluk tubuh Firdaus. Dia juga sudah menangis apabila melihat kelakuan Firdaus yang seakan dirasuk syaitan itu.
Tubuh Firdaus kaku. Dia tidak pernah terfikir sikapnya yang menyasar terlalu jauh itu. Dan paling tak tersangkakan oleh akalnya dengan berita gembira yang Rossa sampaikan.
"Abang memang tak pernah sayangkan Aina!" Aina mula meluah perasaan. Ditenungnya wajah Rossa dan Firdaus silih berganti. Betapa terlukanya hati dan perasaannya menerima layanan Firdaus seperti itu. Rasanya lebih bagus mati dari hidup dengan kebencian Firdaus padanya. Apatah lagi setelah mendengar khabar kehamilan Rossa, dia cemburu, sakit hati dan berbuak-buak perasaan dalam dirinya ketika itu.
"Untuk apa abang kawen dengan Aina kalau hati abang tak pernah mampu nak terima Aina? Aina tak mintak banyak, Aina cuma nakkan hak Aina sebagai isteri. Ye, Aina tak boleh mengandung lagi tapi hak Aina sebagai isteri untuk dimanja dan bermanja juga masih wajib abang bagi! Abang tak adil! Abang cuma sayangkan Rossa. Abang tak layak dipanggil suami! Abang kejam! Abang dayus! Abang jahat!!" Aina sudah meronta-ronta di atas sofa. Kepala yang berpusing cuba ditahan sebaik mungkin. Tidak! Dia tidak akan benarkan Rossa menang! Firdaus miliknya, bukan milik Rossa!
"Kau!!" Aina menerpa ke arah Rossa dan mencuba memisahkan Rossa daripada pelukan Firdaus. Namun kudrat Firdaus jauh lebih kuat jika dibandingkan dirinya. Dia tidak mahu mengalah, dan Firdaus pula kelihatannya seperti tidak ingin beralah!
"Ye! Aku yang langgar kau! Aku guna kereta Fahmi untuk langgar kau! Aku nak kau mati supaya aku dapat Firdaus! Aku benci kau Rossa, aku benci kau! Dari dulu sampai sekarang! Kau perampas, kau perempuan tak guna!" cemuh Aina sambil tangannya menggapai rambut Rossa.
Che Mon pantas bertindak. Dipeluk tubuh Aina dari arah belakang bagi menenangkan gadis tersebut. Dia risau jika Rossa keguguran lagi dek kerana pergaduhan ini. Firdaus memeluk Rossa erat. Hatinya juga walang seandainya Rossa tercedera lagi gara-gara Aina. Dia tidak sanggup kehilangan Rossa dan anak dalam kandungannya untuk kali yang ketiga.
"Lepas! Lepaskan akulah orang tua!" Ditolak tubuh Che Mon dengan kasar sehingga tubuh Che Mon bertembung dengan dada sofa.
"Rossa bukan perampas!" sangkal Firdaus. Dia cintakan Rossa, dan perampas sebenarnya adalah Aina. Kerana gadis itu dari awal-awal lagi mencuba memisahkan kasih sayang dan ikatan antara mereka.
"Kau perampas!" sambung Firdaus lagi.
"Arghhhh!!" Jeritan Aina bergema satu ruang. Dia benar-benar bencikan Rossa. "Kenapa abang buat Aina macam ni? Kenapa?? Kenapa abang sakitkan Aina macam ni sekali? Kenapa abang kawen dengan Aina?"
"Sebab kau satu-satunya alat untuk buat Rossa cemburu!" sahut Firdaus dengan suara yang lantang. Dia sudah hampir mampu bertenang, namun Aina sekali lagi menguji kesabarannya. Kini, dia tidak mahu menyimpan rahsia lagi. Biarlah kebenaran terdedah malam itu juga!
Share this novel