KEPALA yang terasa pening direbahkan semula ke bantal. Bibirnya pucat lesi dan seluruh anggota badannya terasa lemah. Dia tidak berdaya hendak bangun lantas mula memejam mata kembali. Meskipun jam sudah menjangkau ke pukul 7, namun tiada tanda-tanda dia hendak bangun.
"Aina! Kenapa tak bangun lagi ni? Dah pukul 7 ni haa. Nanti lambat nak ke office" Ainida sudah berdiri di sisi adiknya. Dia bercekak pinggang memandang kelakuan Aina. Tidak pernah Aina berbuat hal seperti ini.Bahkan sejak bekerja di bawah pengurusan Firdaus, Aina dilihatnya sungguh aktif dan wajah pula sentiasa ceria. Kadangkala, belum pukul 7, Aina sudah terpacak di hadapan pejabat.
"Aina!! Bangunlah" Tubuh Aina digoncang sekuat hati. Tiada tindak balas. Aina masih seperti tadi. Lena dalam tidur. Ainida mengerut dahi. Bibir Aina yang pucat ditilik. Dia mula ditimpa keresahan melihat keadaan Aina.
"Dek" Kali ini, suaranya lebih lembut. "Tak nak pergi office ke? Kata nak jumpa dengan Firdaus" Ainida memancing minat. Biasanya, Aina akan kalah pada sebaris nama itu.
"Hmmm" Aina hanya menggumam tanpa mencelikkan mata. Entah kenapa dia terasa berat hendak bangkit.
"Bangunlah. Akak dah siapkan sarapan"
Senyuman di bibir Ainida memekar tatkala Aina mula memberikan tindakan positif. Tubuh Aina yang sudah bangkit dari pembaringan dipandangnya. Wajahnya sedikit mengerut.
"Kenapa pucat sangat ni?" tegur Ainida.
"Kak, Aina letihlah. Letih sangat-sangat" Bibir Aina mula mengadu. Matanya sekejap terbuka sekejap terpejam.
"Banyak kerja ke semalam?"
"Tak. Tapi Aina rasa letih je. Rasa nak tidur je mata ni"
Ainida mula diburu gelisah. Dia meletakkan belakang telapak tangan ke dahi Aina. Suhu badan Aina normal. Tangannya bergerak ke leher Aina pula. Sama juga. Namun kenapa Aina kelihatan cukup letih dan wajahnya pucat?
"Kalau macam tu, Aina rest jelah ye? Tak payah pergi office. Nanti akak call office, bagitau yang Aina tak sihat" Ainida memberi cadangan.
Aina pantas menggeleng. "Tak! Aina nak masuk office jugak! Nanti Fir marahkan Aina!! Aina tak suka tengok dia marah. Lagipun, sekarang ni dia tengah runsing dengan hal rumahtangga dia. Kalau ada orang lain yang ambik berat pasal dia, susahlah Aina nanti"
Ainida mengeluh sambil melihat gelagat Aina yang menggapai tuala di tepi bilik mandi. Terburu-buru adiknya mengejar masa. Setelah Aina berlalu ke bilik mandi, ruangan kamar itu sepi. Ainida mula berfikir mengenai keadaan Aina. Sedih bukan kepalang tatkala mengetahui Aina menyimpan rasa pada suami orang. Dia tahu, itu tidak betul tetapi siapalah dia hendak menghalang kehendak hati Aina? Walau berbuih sekalipun bibirnya menitipkan nasihat, tetapi jika Aina berdegil, tetap juga tidak akan membuahkan hasil. Agaknya bagaimana perasaan dan penerimaan Rossa jika mengetahui kisah sebenar? Dan bagaimana pula dengan hati Firdaus? Apabila teringatkan Rossa dan Firdaus, hatinya tiba-tiba tertanya mengenai rumahtangga mereka yang sempat Aina khabarkan sebentar tadi. Apakah yang sudah terjadi? Ainakah penyebabnya?
"DEK, akak nak tanya ni"
Aina yang sedang menyuakan kuih karipap ke dalam mulut lantas memaling wajah memandang Ainida. Dia hanya menyoal dengan pandangan mata.
"Hmm..."Ainida berjeda. Dia menggigit bibir. "Kenapa dengan Firdaus dan Rossa? Tadi Aina kata, Fir runsing dengan rumahtangga dia. Kenapa erk?"
Aina mengorak senyum. Wajah Firdaus yang sedang tersenyum dan penuh aura tiba-tiba terbayang di tubir mata. Bagaimana harus dia gambarkan perasaannya saat ini? Bergembira dengan penderitaan Rossa dan Firdaus atau menumpang sedih sekali? Dia sendiri kurang pasti namun apa yang boleh dikatakan, jalannya untuk mendekati Firdaus sedang terbuka luas.
"Macam mana erkk Aina nak cakap? Hmmm" Aina memegang dagu, seolah sedang memikirkan sesuatu. Kemudian, bibirnya melebar dengan senyuman. "Pagi yang indah untuk mengetahui apabila kita dapat peluang untuk bersama dengan orang yang kita sayang tanpa halangan"
Ainida semakin tidak mengerti. Apa yang hendak disampaikan oleh Aina sebetulnya?
"Hishhh... akak ni! Tak faham-faham!" gerutu Aina. Jelik melihat riak wajah Ainida yang dungu itu! "Rossa tak duduk satu rumah dengan suami dia! Dan yang paling seronok, bila umi Rossa sendiri tak nak Rossa bersama dengan Firdaus. Maksudnya, diorang bakal bercerai tak lama lagi"
Ainida terlopong menerima berita itu.Dia segera mengurut dada sambil mengucap panjang. Walaupun lega menerima berita tersebut kerana Aina bukanlah punca pergaduhan rumahtangga mereka, namun hatinya tetap sedih mengenangkan nasib Rossa.
"Tapi kenapa? Rossa tu gadis yang baik"
Aina mencebir bibir mendengar pujian terhadap Rossa. Hatinya mula membenci kebaikan Rossa. "Manalah Aina tahu! Tapi bagus jugak kan kak? Adalah peluang Aina nak dekat dengan Fir! Eee tak sabarnya nak jadi isteri dia"
"Aina!" Hampir terjerit Ainida mendengar omongan Aina itu.Sungguh tak beradabnya pemikiran Aina! "Dek, arwah mak dan ayah tak pernah ajar kita untuk ambik hak orang. Apatah lagi hak yang telah diikat dengan perhubungan yang sah! Banyak lagi lelaki lain. Kenapa nak kacau Fir jugak?"
Aina mencerlung mata memandang Ainida. Panas hatinya dengan bicara kakaknya itu. "Aina kan dah cakap?! Aina tak kisah status dia! Yang penting, Aina nak kawen jugak dengan Fir!! Aina pernah 'mati' sebelum ni. Dan Aina tak takut untuk mati sekali lagi! Kalau akak cuba nak halang Aina, akak pun akan mati sama!!!" bentak Aina lantas berlalu meninggalkan Ainida yang terjatuh duduk di lantai marmar itu.
Ainida menangis mengenangkan kata-kata Aina. Dia sudah ketakutan membayangkan tindakan Aina yang selanjutnya. Tubuh badannya menggeletar melihat perlakuan Aina yang berubah secara drastik itu. Dia harus melakukan sesuatu sebelum Aina jauh tersesat.
SETELAH berpuas hati dengan pilihannya, langkah kaki diatur menuju ke kereta. Dia tersenyum bahagia kerana dapat menunaikan hajat hatinya dan permintaan Rossa yang tak ingin mereka jauh. Walaupun terpisah oleh jarak, namun mereka tetap bersatu dalam apa keadaan sekalipun.
Firdaus membuka pintu kereta lalu memboloskan diri ke situ. Beg plastik yang berisi kotak telefon bimbit diletakkan di tempat duduk sebelah. Barusan dia telah membeli sebuah telefon bimbit jenama Huawei dan sekeping simkad untuk diberikan kepada Rossa. Dengan hadiah tersebut, dapatlah mereka terus-terusan melepas rindu walau sekadar mendengar suara.
Telefon bimbit di dalam kocek seluar ditarik keluar. Nombor Zaid dia dail. Tidak menunggu lama, panggilannya menembusi di talian hujung sana.
"Sorry call kau pagi-pagi ni. Just wanna know if Tuan Ihsan is coming back to Malaysia"
"Belum lagilah Az! Lagi seminggu dia kat sana. Kenapa kau nak sangat jumpa dia? Is something urgent?"
Lama Firdaus menyepi.Mula menyusun kata-kata agar masalah rumahtangganya tidak dapat dihidu oleh Zaid. Dia tidak mahu memperbesarkan hal tersebut. Cukuplah Nizam sebagai pendengar setianya. Kalau sampai ke pengetahuan Zaid, malu juga dia hendak berhadapan dengan lelaki itu. Sedangkan dia begitu disegani oleh Zaid dan anggota polis yang lain.
"Ya. Something urgent. Takpelah. Kalau Tuan Ihsan dah balik..."
"I'll put you on line! Don't worry" cantas Zaid.
"Thanks. Aku sangat-sangat hargainya"
Panggilan dimatikan. Lagi seminggu Tuan Ihsan bakal kembali ke Malaysia. Dan dia pula, tengah hari nanti harus ke Indonesia untuk menguruskan projek kerjasama dengan pihak di sana. Menetap di Indonesia selama dua minggu. Itu bererti dia punya satu minggu extra untuk membenarkan Tuan Ihsan berehat dahulu. Huuu...Kalau begitu kisahnya, dia terpaksa menunda semula rancangan hendak berbaik dengan umi dan mengambil Rossa kembali.
Firdaus mengeluh...
p/s: hai readers. lepas ni akan selalu slow update sebab sy sibuk mengajar. thanks pd yg sentiasa membaca karya ini ;)
Share this novel