70

Romance Completed 28168

SETELAH diperiksa dan dijaga dengan rapi, Aina akhirnya dibenarkan discaj oleh Hafizi. Keadaannya yang mulai stabil dan membaik membuatkan Ainida menarik nafas lega dan tersenyum ceria. Melihatkan wajah Aina yang ceria tanpa sebaris duka, hatinya bertambah bahagia.
"Kena selalu makan ubat. Dan jaga makanan.Kalau boleh, jangan bagi Aina stress atau terlampau depress. Risau keadaan dia kembali macam dulu" nasihat Hafizi seraya mencatatkan sesuatu dalam laporan kesihatan Aina.
Ainida mengangguk laju. Setakat menjaga Aina, itu adalah tanggungjawab dan kewajipannya. Lagipula, Aina dilihatnya tampak lebih ceria sejak akhir-akhir ini.
"Terima kasih doktor" ucap Ainida ikhlas.
Hafizi mengangguk. Matanya masih lekap pada laporan kesihatan Aina. Ada sesuatu yang masih membelenggu fikirannya. Terasa ringan mulutnya hendak meluahkan, namun apabila melihat kedua beradik itu gembira, dia membatalkan saja niatnya. Lain kali sajalah!
"Doktor, saya fully recover kan? Kanser tu dah mati kan?" Wajah mengharap Aina membuatkan Hafizi serba salah. Dipandang pula wajah polos Ainida. Tampak gayanya, dia terpaksa menyembunyikan kebenarannya terlebih dahulu.
"In Shaa Allah. Sebab tu awak kena jaga diri awak baik-baik" Hafizi mengukir senyum.
"Akak, Aina dah baik! Aina dah boleh kawen dengan Fir kan?"
Mati terus senyuman Ainida apabila disapa sebegitu oleh Aina. Fikirnya, Aina akan melupakan hasratnya yang satu itu. Ternyata sangkaannya meleset sama sekali.
Hafizi menelan liur. Rupa-rupanya, Aina masih menaruh harapan pada Firdaus. Kenapa dia tak insaf lagi? Masa dia cuma tinggal... Hafizi menggeleng kepala.
"Aina nak pakai cantik-cantik. Lepas tu nak jumpa Fir! Akak hantarkan Aina ye?"
Ainida memusatkan pandangan pada Hafizi. Dia meminta pendapat lelaki itu dari sorotan matanya. Apabila Hafizi hanya mengangguk sambil tersenyum nipis, Ainida turut memberikan respons yang sama pada Aina.
"Yeayyyy!!" Aina melonjak kegembiraan. Dia tahu, dia bakal menang. Dia pasti dapat menewaskan Rossa. Dan akan dia pastikan Firdaus menjadi miliknya juga. Titik!

TERDENGAR keluhan hampa dimuntahkan dari bibirnya. Punggung dihenyak di atas kerusi. Wajahnya ketat. Perasaannya bercelaru. Dia sudah silap menuturkan kata-kata. Kini, dia bukan sahaja kehilangan bayinya, bahkan dia juga bakal kehilangan Rossa.
Firdaus meraup wajah. Kemudian, matanya terpejam rapat dengan kepalanya tersandar di dada kerusi. Wajah Rossa yang tersenyum manja muncul dalam bayangan. Dia terkenang kembali saat-saat manis mereka dahulu. Betapa bahagianya mereka meniti hari-hari berdua. Pernah juga mereka bertengkar, namun hanya hal yang kecil saja. Tetapi kali ini, pertelingkaran ini telah menjadi masalah dan bencana besar dalam hidupnya.
Kerasnya hati Rossa kali ini. Sehingga dia benar-benar sudah kehilangan idea untuk memujuk. Memang silap dia kerana menuduh Rossa curang dan tidak mengakui anak dalam kandungannya. Dia bersalah dan berdosa! Umi Za dan Datin Qasry juga seolah sengaja protes dengannya. Nabilah juga seperti itu. Tidak mahu langsung bercakap dengannya ketika mereka berpampasan di rumah agam Datin Qasry pagi tadi. Hanya Farah yang masih tidak berubah. Walaupun agak marah, namun dia tetap selitkan kata-kata dorongan dan nasihat untuk dirinya.
"Tolong lepaskan saya. Mungkin jodoh kita sampai di sini saja" Terngiang-ngiang permintaan Rossa di hujung telinga. Pagi tadi, Rossa tidak mahu dihantar oleh dia tetapi lebih memilih untuk bersama Taufiq. Hancur hatinya diperlakukan Rossa seperti itu. Namun dia tidak boleh mengeluh. Kerana semua yang berlaku berpunca dari dirinya sendiri.
"Macam mana abang nak lepaskan Rossa? Hati ni masih milik Rossa dan takkan pernah tergantikan sampai bila-bila" keluh Firdaus dalam tangisan.
Sejak semalam juga, Datin Qasry lancarkan perang dingin dengannya. Mama enggan bercakap dan bermesra dengannya. Bahkan dengan selambanya mama menuduh dia yang bukan-bukan. Tak habis dengan isu rumah tangganya, kini dia disoal pula dengan isu yang lain.
"Kalau kamu tak buat salah, kenapa Rossa sampai nak tuntut cerai? Kamu ada simpan perempuan lain ke? Atau perangai lama kamu datang balik?"
"Ma! Jahat sangat ke Fir ni sampai mama cakap macam tu? Fir dah buang semua perangai lama tu. Dan Fir tak simpan mana-mana perempuan pun"
"Dah tu kenapa Rossa sampai mintak cerai? Kalau kamu tak buat kesalahan besar, takkan sampai nak bercerai-berai?"
Firdaus mengunci bibir. Dia tidak punya jawapan untuk soalan itu. Hati Rossa yang sekeras tembok batu itu amat sukar untuk dilembutkan. Rayulah macam mana sekalipun, hati itu takkan pernah lembut seperti dulu. Apa yang harus dia lakukan jika Rossa benar-benar menuntut fasakh kerana kedegilannya melepaskan Rossa?

PINTU bilik diketuk. Firdaus tersedar dari lamuan panjangnya lalu membetulkan posisinya. Kemudian, suara garaunya kedengaran mengarahkan pekerjanya masuk.
"Boss, ada orang nak jumpa boss!"
"Siapa?"
"Perempuan hari tu. Tapi kali ni dia datang berteman"
Dahi Firdaus berkerut. Dia sedaya upaya mengingati gerangan yang dimaksudkan oleh Yunus itu. Ainida ke? Dia datang berteman? Dengan Aina ke?
"Okey, panggil diorang masuk"
Yunus berlalu dan melakukan seperti apa yang diarahkan oleh Firdaus. Tidak lama kemudian, Aina muncul seorang diri sambil tersenyum manja kepada Firdaus.
Tercengang Firdaus menerima kedatangan yang tak diduga itu. Apatah lagi setelah Aina dilihatnya sangat ayu berbaju kurung dan wajahnya ditempel dengan sedikit mekap.Pantas sajalah Yunus tidak mengenali Aina padahal gadis itu juga merupakan bekas pekerjanya.
"Ai..Aina.."
"Abang..."
Terpana Firdaus tatkala Aina membahasakan dirinya dengan panggilan itu. Dia menelan liur. Dah kenapa pulak dia ni?
"Aina rindukan abang!" Serta-merta Aina menerpa ke arah Firdaus dan memaut leher itu.
Firdaus spontan bangkit lalu menolak tubuh Aina ke sisi. Wajahnya berang. Tidak pernah terduga olehnya akan sikap Aina seperti itu. Kalau saja adegan tadi disaksikan oleh Rossa, mahunya tak perang dunia ketiga! Tambah-tambah lagi kalau ada Umi Za atau Datin Qasry. Memang kena cincang lumat-lumatlah dia!
"Kenapa dengan awak ni Aina? Tolong jangan buat hal kat sini boleh tak?!"
Aina memuncungkan bibirnya. Kemudian, Firdaus dirapati lantas lengan itu dipaut manja. "Buat hal apa? Kita kan nak kawen"
"Siapa cakap?" tolak Firdaus sambil menepis pautan Aina. Seriau betul dia dengan gadis yang satu ini.
"Ainalah yang cakap! Abang dah janji kan nak kawen dengan Aina? Tengok apa dah jadi kat Rossa semalam? Tak takut ke? Tu baru sikit, kalau...."
"Apa yang kau buat?" Firdaus memusingkan tangan Aina ke belakang. Baran hatinya mendengar pengakuan berani Aina tersebut.
"Aina tak buat apa-apalah! Dia yang derhaka pada suami sendiri. Memang padanlah muka dia kena balasan macam tu!" Wajah Aina sedikit redup.
Terkilan hati Firdaus mendengar kata-kata Aina. Dilepaskan gadis itu ke sisi. Dia meraup wajahnya berkali-kali. Masalah tak habis-habis datang! Lepas satu, satu yang muncul! Kenapa Aina harus muncul di saat-saat genting seperti ini? Gadis itu hanya menambah tekanan dalam hidupnya saja!
"Go out now!" jerkah Firdaus dengan wajah yang memerah menahan amarah. Semakin lama dia berhadapan dengan Aina, semakin tipis tiang keimanannya.
"Aina akan keluar tapi ingat, Aina takkan berhenti. Kalau abang tak nak kawen dengan Aina, jangan harap Rossa akan dapat abang! Kalau Aina menderita, Rossa mesti rasa benda yang sama! Bahkan lebih teruk dari apa yang Aina alami. Tapi kalau abang nak Rossa selamat, abang kena kawen dengan Aina. Dan Aina janji, Aina takkan apa-apakan Rossa. Aina tak kisah kalau abang nak jadikan Aina isteri kedua. Asalkan Aina dapat jadi isteri abang, Aina sanggup hadap semua tu" ujar Aina lantas menapak keluar dari bilik Firdaus.
Tiba saja di hadapan pintu, dia tersenyum sinis. Akal jahatnya mulai menguasai. "Ingat aku bodoh ke nak biarkan Rossa jadi orang tengah? Tunggulah lepas je kau kawen dengan aku, jangan harap Rossa dapat hak dia!"
Langkah kaki dihayun menuju ke lif. Wajahnya sengaja dinaikkan, seolah-olah berasa bangga kerana dia bakal menumpaskan Rossa.
Nizam mengerut dahi mendengar kata-kata Aina. Dia bingung bercampur hairan. Apa maksud kata-kata Aina sebentar tadi?

"KAMU dah fikir masak-masak ke Rossa? Umi tak nak Rossa buat keputusan terburu-buru. Kita sebagai manusia ni, kalau tengah gembira, jangan terlampau berjanji. Dan kalau sedang marah, jangan terdesak dalam membuat keputusan. Takut menyesal di kemudian hari" Nasihat Umi Za hanya Rossa balas dengan kesenyapan. Dia masih bungkam dalam pelukan Mak Nab.Dari tadi, tubuh genit Mak Nab didakap erat. Dia memang kalau sedang merajuk atau dirundung kesedihan, Mak Nablah tempatnya bermanja.
"Rossa tak sayangkan Fir lagi ke?" Giliran Mak Nab pula mengambil alih tugas umi. Digosok lembut bahu Rossa. Dia tahu, Rossa sedang dalam kesedihan. Tetapi membuat keputusan untuk bercerai bukanlah satu penyelesaiannya saat ini. Rossa harus bertenang dan mandiri terlebih dahulu.
"Dah lupa semua perkara dan benda yang pernah Rossa hadap dulu masa bersama Firdaus? Dah lupa sejauh mana kesabaran dan keikhlasan Firdaus melayan Rossa? Dan yang paling penting, Rossa dah lupa ke atas sebab apa Rossa kawen dengan Fir?"
Rossa terdiam. Mana mungkin dia melupakan semua itu. Setiap satunya masih tersimpan rapi dalam kotak ingatan. Detik-detik bersama Firdaus tidak pernah sekalipun dia lupakan.Kesabaran lelaki itu meladeni setiap karenahnya cukup mencuit hatinya. Namun dia benar-benar kecewa dengan sikap Firdaus. Dan dia menyalahkan Firdaus di atas keguguran yang dialaminya tempoh hari. Dan untuk itu, hatinya belum cukup kuat untuk memaafkan Firdaus!
"Mak Nab dan umi tak pernah kongkong Rossa dalam membuat keputusan.Tapi Rossa kenalah fikir baik-baik. Perkara halal yang dibenci oleh Allah ialah penceraian. Sebab lebih banyak buruk berbanding baiknya kalau berlaku penceraian ni" Mak Nab menyambung lagi sekaligus memberikan kata dua kepada Rossa. Dia sayangkan Rossa, dia juga sayangkan Firdaus. Oleh itu, dia inginkan kedua mereka kembali seperti biasa.
Tiada jawapan balas daripada Rossa. Tubuh Mak Nab didakap erat. Kepalanya dibenamkan ke dada wanita tua itu bagi menyembunyikan air mata yang mulai memunculkan diri. Dia sedih, kecewa, merajuk dan segala aura negatif lebih menguasai dirinya saat ini!
Umi Za menghenyak punggung di hadapan Mak Nab dan Rossa. Dia memicit kepalanya yang terasa pening. Risau dia memikirkan masalah rumah tangga Rossa itu. Dia tidak mahu perkara buruk menimpa hubungan mereka namun hati keras Rossa tidak mungkin bisa dileburkan.

SEPI. SUNYI. KOSONG.
Itulah perasaannya kala ini.Setiap pelosok ruang di kondo itu mengingatkan dia pada Rossa. Segala kenangan tercipta di situ. Haruman dan wangian Rossa masih melekat pada setiap ruang kondonya.
Dia rindukan Rossa. Dia ingin memeluk tubuh itu dan membisikkan ke telinganya betapa takutnya dia menghadapi hari-hari mendatang tanpa Rossa di sisi. Seumur hidupnya, baru kali ini dia merasa takut. Baru saat ini dia merasa keseorangan.
Firdaus terduduk di sebalik sofa. Briefcase dan suit hitamnya dicampakkan saja di atas lantai.Dia tiada mood. Selera makannya juga hilang entah ke mana. Dalam sedar, ada mutiara jernih mula tampilkan diri di wajah. Firdaus tidak dapat menahan diri. Pecah juga tangisannya malam itu.Hatinya tidak mampu menahan sebak lagi.
"Rossa, abang rindu sayang!" Firdaus berbaring di atas lantai dengan kepala mencium dada lantai marmar itu. Dia melepaskan tangisan di situ juga. "Abang rindu sayang sangat-sangat! Tolonglah jangan tinggalkan abang!" Dia menggumpal penumbuk lalu menumbuk lantai marmar itu. "Rossa!!!" Dan jeritannya bergema di setiap pelosok kondo itu.
Firdaus mengongoi bak anak kecil. Dia memerah otak bagi memikirkan cara untuk memastikan Rossa kekal di sisi. Namun dia hampa. Otaknya benar-benar tepu.Dia tidak mampu berfikir dengan tenang dan waras.
"Bak, apa yang aku kena buat?!" Firdaus terjerit kecil. Wajah Bakri yang sedang tersenyum bermain di tubir mata. "Aku dah gagal Bak! Aku dah gagal bahagiakan orang yang paling kita sayang! Maafkan aku. Maafkan aku. Maafkan aku Bak!" Merayu dalam tangisan seolah-olah Bakri ada di hadapan mata.
"Rossa nak tinggalkan aku. Dia dah benci aku. Dia tak nak tengok muka aku lagi! Dia nak aku kawen dengan Aina!!"
Keadaan sunyi seketika. Tiba-tiba saja, Firdaus mendapat idea. Otaknya mulai berfungsi secara baik. Kini, dia mendapat idea untuk mengikat Rossa kembali. Dalam tangisan tersebut, ada sebuah senyuman tergaris pada wajah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience