17

Romance Completed 28168

UMI ZA dan Mak Nab rancak berbual di dapur. Umi Za baru punya kesempatan untuk menjejakkan kaki ke dapur setelah sekian lama sibuk menguruskan Selera Kampung miliknya. Walaupun sudah ada Rossa yang membantu, namun dia tetap tidak mahu terlepas pandang.
Mak Nab berlalu ke sinki lalu mencuci ikan. Sebentar tadi, dia menerima khabar daripada Umi Za berkenaan kedatangan Datin Suhada sekeluarga ke rumah. Tetapi tidak pula dia tahu tujuan kedatangan mereka ke situ.
"Za tak tahu ke kenapa Su nak datang sini?"
Umi Za yang sedang memotong sayur kailan, sempat berfikir. Dia sendiri kurang pasti mengenai itu. Tadi semasa berbual di dalam telefon, Datin Suhada hanya memberitahu akan kedatangan mereka. Untuk tujuan atau maksud kedatangan, tidak pula dinyatakan.
"Za pun kurang yakinlah Mak Nab! Su pun tak cakap apa-apa" sahut Umi Za. Bekas sayur ditolak ke tepi. Bawang dicincang halus bersama 3 biji cili.
Mak Nab sudah berdiri di sebelah Umi Za. Mencuit bahu wanita itu. "Mak Nab rasa, dorang datang nak meminang Rossa kot!"
Umi Za terkejut. Takkanlah? "Tapi Fizi kan dah ada kekasih. Dia pun tak sukalah kat Rossa"
"Su kan ada dua anak lelaki. Yang bongsu memanglah dah kena sambar orang. Masalahnya masih ada yang sulung"
Umi Za menoleh memandang Mak Nab yang sudah bermain dengan keningnya. "Ishh, takkanlah! Kalau betul pun, takkanlah Rossa nak? Bakri tu dah tualah Mak Nab!"
"Tapi dia masih single! Kalau dia yang masuk meminang, kamu terima tak?" Terbayang-bayang pula Mak Nab wajah si ketat Bakri itu. Dulu pun pernah Rossa komplen. Katanya Bakri itu bengis dan tidak pandai senyum. Kalau betul ada jodoh antara mereka, rasanya bagaimana nasib Rossa ya? Tapi Bakri itu baik orangnya. Dia tahu. Kerana dia dapat melihat ketulusan pada mata itu.
Umi Za mengukir senyum. Gila tak nak? Setelah tidak ada jodoh di antara Rossa dan Hafizi, dia sempat berfikir untuk menjodohkan Rossa dengan Bakri pula. Tetapi apabila dilihat tidak ada semacam chemistry antara keduanya, dia terus membatalkan niatnya. "Za ni ikut je Mak Nab. Kalau ikut kata hati ni, nak sangat bermenantukan si Bakri tu. Za tak pernah kisah pun umur dia. Yang penting, dia mampu jaga Rossa"
"Memang dia mampu jaga Rossa. Bakri tu baik orangnya"
Umi Za tergelak. "Mana Mak Nab tahu dia baik?"
"Tengok muka pun dah tahu"
"Umi... Mak Nab.. buat apa?" tegur Rossa yang baru tiba dan terus saja menghantar punggung ke kerusi.
"Main masak-masak! Rossa tak nak join ke?" seloroh Mak Nab.
Rossa tergelak. "Apalah Mak Nab ni!"
Umi Za berlalu ke sinki lalu mencuci tangan. Kemudian, dia kembali ke Rossa dan duduk di hadapannya.
"Ikan ni nak masak apa umi?" tanya Rossa apabila matanya menangkap ada beberapa ekor ikan keli di dalam bekas pink.
"Masak lemak cili api" sahut Umi Za.
"Wahh sedapnya!" Rossa sudah terliur. Sudah tertayang di hadapan matanya ikan keli masak lemak cili api. Dimakan dengan nasi panas. Perghh! Berkepul-kepul asapnya berterbangan di udara.
"Rossa tak keluar ke mana-mana kan hari ni?"
"Tak umi" Dia sebenarnya sedang menunggu novel dari si pengirim misteri. Lagipula, hari ini hari Ahad. Malas rasanya hendak keluar. Lebih selesa menghabiskan masa di rumah saja sementelah selama enam hari tulang empat keratnya digunakan sepenuh masa.
"Haa baguslah. Stay je kat rumah. Auntie Su nak datang rumah kejap lagi"
"Haaa?" Rossa sedikit kaget. Dahinya mengerut. Kenapa auntie Su nak datang rumah? Takkan nak meminang dia pulak? Rasanya, Hafizi sudah ambil alih untuk menjelaskan duduk perkara sebenar akan hubungan dan perasaan mereka. Takkan nak pinang dia untuk Bakri pulak? Rossa menggeleng kepala berkali-kali. Eihh!! Pergi jauh-jauh kau!
"Rossa ni kenapa?" soal Mak Nab pula. Pelik dengan kelakuan gadis itu.
"Takde! Hmm, kenapa auntie Su datang sini?" Rossa sudah buat muka.
"Nak pinangkan kamu!" usik Mak Nab lagi.
"Eeee Mak Nab ni kannn!" Wajah Rossa sudah cemberut. Mak Nab tergelak. Dia tau persis, gadis itu tidak sukakan Bakri.
Umi Za turut tergelak. Dengarkan perkataan 'meminang' atau yang sewaktu dengannya, Rossa sudah menggelabah tak tentu pasal. Kalau betul-betul si Suhada tu masuk meminang, rasanya pengsan sudah anak gadisnya itu!
"Dah-dah! Tolong umi dengan Mak Nab masak. Kena masak lebih sikit. Katanya ramai rombongan nak datang"
Rossa terasa bulu tengkuk, segala pak nenek bulu sudah meremang tatkala perkataan 'rombongan' itu menyapa telinganya. Ditambah pula dengan senyuman mengejek Mak Nab dan sinis Umi Za, Rossa jadi tidak betah. Kuat hatinya berbisik, 'ada sesuatu yang tak kena!'

SETELAH puas dengan pilihan yang dibuat, Bakri menapak ke BMWnya. Menutup pintu kereta lalu meletakkan kotak kecil berbentuk bunga mawar itu di sebelah. Dia menyandarkan kepala ke badan kerusi. Matanya terpejam. Terbayangkan wajah comel Rossa, dia tersedar semula. Wajah diraup berkali-kali. Bakri tergelak dengan sikap sendiri. Dia sudah gila bayang. Wajah comel itu ada di mana-mana. Menjadikan hidupnya yang sentiasa menegak pada paksi bumi tiba-tiba melintang, tak terpijakkan oleh ratanya bumi! Bakri tidak sanggup untuk terus menahan rasa seperti itu. Hati Rossa harus dipikat kembali. Dia tahu Rossa malu dengan sikap acuh tak acuhnya. Disebabkan itulah, gadis itu sudah berhenti mengirim atau menghantar apa-apa makanan dan bunga kepadanya.
Dan sejak dari hari itu, hati Bakri tidak tenang. Ada saja perkara buruk yang difikirnya menimpa gadis itu. Lebih-lebih lagi setelah menerima kiriman berbaur ancaman tempoh hari. Dia sudah sedaya upaya mengelak diri dari bersama Rossa agar nyawa gadis itu selamat. Tetapi lain pula jadinya. Nyawa Rossa tetap menjadi taruhan meski tiada dia di dalam hidup gadis itu. Jadi untuk apa dia berundur? Biarlah kali ini dia yang menjaga dan melindungi Rossa kerana apapun keputusan yang diambilnya, nyawa Rossa tetap menjadi tebusan!
Bakri melepaskan keluhan berat. Selama tempoh dua minggu ini, dia sering mengirimkan pelbagai bentuk hadiah kepada Rossa, di samping bait-bait kata indah untuk meyakinkan hati gadis itu. Fikirnya Rossa akan menyukai hadiah tersebut. Tetapi dia silap. Rossa bahkan acuh tak acuh dengan semua itu. Kemudian, dia mengirim novel pula kerana dia tahu seobses apa Rossa dengan novel. Dan kali ini taktiknya berhasil. Rossa bagaikan tak sabar menunggu novel selanjutnya dari dia. Dia tahu semua itu kerana dalam diam-diam dia ada mengintip Rossa tanpa diketahui oleh sesiapa. Lantaran itu, dia mengajak mama dan satu keluarga untuk bertandang ke rumah Rossa dengan membawa niat yang suci. Dia sedar keputusannya telah mengejutkan banyak pihak, lebih-lebih lagi mama dan Hafizi.
"Along tak main-mainkan?" Persoalan pertama mama yang sudah dijangkanya. Namun tidak pula mampu dipersalahkan wanita itu. 10 tahun menyepi tanpa seorang wanita di sisi. Apabila keputusan ini dibuat dengan sebulat hati, ibu mana yang tidak terkejut?
"Kau... dengan Rossa?" Hafizi pula menagih jawapan. Serentak itu, dua jari telunjuknya dibawa bersama. Hampir tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya, namun dia tetap bersyukur kerana Bakri telah membuat pilihan yang bijak. Barangkali kata-katanya tempoh hari telah meresap jauh ke lubuk hati lelaki itu.
Bakri mengangguk laju dengan persoalan dari mama dan Hafizi. Tiada apa yang harus disembunyikan. Kerana rasa itu semakin hari semakin kuat buat seorang gadis bernama Rossa.
"Along bukan nak prankkan kami kan?" Datuk Badrul pula menyampuk setelah lama mematungkan diri.
"Prank apa papa? Along serius! Pernah ke along main-main selama ni?"
"Okey. Mama percaya yang along tak main-main" Datin Suhada pula bersuara, sekaligus mendapat kepercayaan daripada anak sulungnya itu. "Mama akan call Umi Za dan bagitau dia pasal kedatangan kita. Tapi kita datang ni nak merisik-risik je kan?"
"No!" Bakri segera mencelah. Tiga pasang mata memandang wajahnya membuatkan dia sedikit berbahang. "Maksud along, kita tetapkan terus tarikh kawen" akhirnya terkeluar juga perkataan itu. Dia tahu, dia telah mempermalukan diri sendiri. Tetapi demi untuk memiliki Rossa, dia rela menahan hati.
Hafizi menyimpul senyum. Bahu Bakri dipaut. "Nampaknya ada yang tak sabar nak peluk bini!" Usikan tersebut memanaskan lagi wajahnya yang kian berbahang.
Trrr.. trrr...trrr.. Bunyi deringan telefon mematikan lamunannya. Terpampar nama mama di screen telefon. Seketika, panggilan bersambung. "Waalaikummussalam. Ye ma? Aah, along on the way balik ni. Dah, along dah beli dah" Matanya mengerling ke sebelah, di mana kotak kecil itu berada. "Ye mama. Along tahu. Okey ma. Along letak dulu"
Mematikan panggilan lantas bibirnya merekah dengan senyuman. Wajah Rossa yang tersenyum manja dia gunakan sebagai wallpaper handphonenya. Bersatu dengan mata itu, ada berbagai rasa yang bercampur baur dalam diri.

DENGAN perasaan yang teruja, dia membuka kotak besar tersebut. Sebuah novel dibawa keluar. Ketika itu, Rossa menumpang duduk di buaian yang terletak di tepi air terjun. Mengambil udara segar sekaligus menunggu kiriman daripada si pengirim misteri.
Aku Telah Jatuh Cinta! Novel yang berwarna merah terang itu ditatap lama. Kemudian, dia mencium harumannya. Terlalu asyik sehingga tidak sedar dia diperhatikan seseorang melalui jarak jauh. Lelaki berbadan kurus itu tersenyum sinis. Binokular yang tergantung di leher dibetulkan semula. Kemudian, dia mengambil beberapa gambar Rossa lalu berlalu pergi dari situ. Modal baru untuk mengaut keuntungan!
Rossa tersenyum riang. Itu novel ketujuh yang diterimanya dari si pengirim misteri.Sebuah nota kecil menjadi tatapannya. Dibaca seperti selalu.
"If I ever fall into a dream, let it be you. Be my arms and I'll be your shoulder. We hold the world together and this, Aku Telah Jatuh Cinta, will it count on you too?"
Merekah bibirnya dengan senyuman manja. Semakin hari, semakin dia berharap untuk menemui si pengirim misteri itu. Menanyakan niat sebenarnya menghantar novel-novel dan kata puitis itu. Namun sehingga sekarang, si pengirim hanya menaut rindu melalui novelnya.
Rossa merenung novel dan bait-bait kata tersebut. "Siapa engkau?"

JAM di dinding dikerling. Sudah pukul 7.30 malam. Menurut umi, keluarga Auntie Su akan datang ke rumah seawal jam 8 malam. Masih berbaki 30 minit lagi. Jubah biru laut dan tudung litup berwarna hitam mencantikkan si pemakai. Rossa menggayakannya di hadapan cermin solek. Teringat pula pesan umi petang tadi.
"Ni kali kedua keluarga Auntie Su bertandang. Rossa jangan nak buat hal pulak macam dulu. Jangan nak malukan umi lagi kali ni"
Rossa tersengih di hadapan cermin. Apalah umi tu! Itu dulu, saat dia tahu dirinya akan diperkenalkan dengan calon suami tak jadinya itu! Kini, dia tidak risau kerana perkara itu tidak akan berlaku lagi. Sedang dia menggayakan jubah tersebut, matanya tertangkap sebuah kotak besar yang terletak di hujung katil. Langkah diatur ke situ. Menarik kotak itu di tengah ruang lalu membukanya. Satu persatu hadiah itu melintasi ruang matanya. Hadiah yang diterimanya daripada si pengirim misteri. Jam, kotak muzik, boneka kecil, bunga dan macam-macam lagi. Yang pastinya, barang-barang tersebut bukan rendah nilainya.
Rossa sengaja mengumpulkan barang tersebut di dalam satu kotak. Dia berniat untuk mengembalikan semula kepada pemilik asalnya jika ditakdirkan mereka bertemu. Dia tidak mahu menerima barang tersebut. Cukuplah sekadar menghiasi harinya dengan novel-novel kirimannya.
Rossa menapak ke jendela tatkala ruang dengarnya menangkap bunyi enjin kereta. Ada dua buah kereta sedang parkir di sebelah keretanya. Dia melihat Datin Suhada dan Bakri menggunakan satu kereta. Kemudian, muncul pula Hafizi dan Datuk Badrul serta beberapa orang yang lain dari kereta Nissan Almera. Dia menghitung satu persatu jumlah mereka. Ada 7 orang semuanya.
"Banyaknya! Agaknyalah kan, auntie Su memang suka kot bawak satu kampung ke rumah ni" Dia sempat mengomel lantas mengekek sendiri.

ROSSA menuruni anak tangga dengan perlahan-lahan. Ruang tamu sudah dipenuhi dengan tetamu yang datang. Terlalu riuh bunyinya sehingga dia dapat mendengar dari atas.
"Haaa Rossa. Sini. Salam dengan auntie dan uncle ni" arah Umi Za apabila terpandangkan sesusuk tubuh Rossa yang tercegat di tepi anak tangga. Rossa menurut tanpa bantahan.
Saat mendengar nama Rossa, jiwa lelakinya mulai hilang rentak. Duduknya mulai tak betul. Debaran kian terasa sedari dari dalam kereta lagi. Matanya curi-curi pandang wajah comel itu. Rindunya terlerai juga. Kalau Rossa itu sudah sah miliknya, tidak akan dia lepaskan gadis itu dari dakapannya. Oh hati! Sabarlah!
Apabila Rossa melimpasinya, dilihatnya gadis itu menunduk badan dan wajah, tanda menghormatinya. Kemudian, gadis itu melabuh duduk di sebelah mama apabila digamit oleh mama.
"Rossa sihat ke?" Berkenan betul hatinya dengan wajah manis Rossa. Syukur walaupun pada mulanya Hafizi menolak perjodohan ini, kini gadis itu akan tetap menjadi menantunya.
"Alhamdulillah auntie. Rossa sihat. Auntie?"
"Auntie pun sihat. Kenapa Rossa tak main ke rumah?"
Haaa? Main? Aku ni budak kecik ke? "Rossa sibuk lately ni. Sebab tolong umi kat kedai"
"Dia je satu-satunya anak aku Su. Jadi dia aje lah harapan aku"
"Takpelah. Nanti dah berbesan, kau tak payahlah risau. Kau gaji je berapa orang pekerja, aku dan Bakri boleh tolong" Datin Suhada sudah mula merancang masa hadapan.
Rossa tersentak. Berbesan? Besan tu maksudnya anak umi dengan anak auntie Su kawen. Anak umi tu aku, dan anak auntie Su pulak... Rossa menjamah wajah Bakri dan Hafizi silih berganti. Siapa yang kawen dengan aku? Takkan Bakri. Dia kan tak suka aku! Hafizi lagilah! Dia sendiri yang tolak perkahwinan kami dulu. Ehh apa dah jadi ni?!
Rossa bertemu mata dengan Hafizi. Lelaki itu hanya mengukir senyuman lantas bermain dengan telefon bimbitnya. Dia larikan anak mata tepat ke wajah Bakri. Sudah! Lelaki ketat itu memandangnya tak berkelip. Rossa terasa pipinya merona. Pandangan Bakri semacam saja.
"Lama sangat dah borak ni. Ada baiknya kita makan dulu" pelawa Umi Za lalu mengangkat punggung. Datin Suhada dan semua tetamu yang lain menurut juga.

DENGAN tangan yang menyeluk poket seluar, dia beranikan diri menghampiri Rossa yang sedang termenung jauh di luar rumah. Entah ke mana agaknya fikiran Rossa melayang sehingga tidak sedar dia sudah berdiri rapat di sisi.
"Don't blame the weather if you caught a cold!"
Rossa menoleh. Saat menyedari jarak mereka terlalu dekat, Rossa berundur dua tapak ke belakang.
Bibir Bakri meleret dengan senyuman. Penolakan pertama dari pujaan hati. Dia sabarkan diri. Sebentar lagi, kau jadi milik aku! Jauh mana je kau nak lari Rossa?!
"Buat apa kat luar ni? Tak takut ke?"
"Saja ambik angin.Nak takut kenapa? Bukannya ada hantu kat sini!"
"Cabulnya mulut. Karang betul-betul hantu tu depan awak, baru tahu!"
Rossa memusing badan menghadap Bakri. "Yelah, hantu tu tengah berdiri depan saya sekarang!"
Bakri tergelak kecil. Mood dia tengah tak baik! Jangan dijolok sarang tebuan Bakri, risau menyengat diri sendiri!
"Jomlah masuk. Saya ada benda nak bagi ni" gesa Bakri sambil langkah kakinya bergerak ke sudut paling dalam, jauh sedikit dari riuh rendah mereka di ruang tamu.
"Benda apa?" geram pula Rossa tapi dia turutkan juga langkah Bakri. Dilihatnya Bakri seolah selesa dengan keadaan rumahnya. Ehh ni rumah akulah! Dia buat macam rumah sendiri pulak!
Rossa sudah berdiri di hadapan Bakri. Tersengih lelaki itu sambil di tangannya sedang memegang satu objek bersaiz segi empat.
Bakri menggenggam novel tersebut. Dia ingin melamar Rossa tetapi tidak tahu bagaimana caranya. Kehebatannya sebagai jejaka pilihan gadis suatu masa dulu sudah ranap gara-gara kisah silamnya. Apabila sudah mampu menenangkan hati dan diri, dengan perlahan-lahan Bakri menyerahkan novel tersebut kepada Rossa.
Kerutan di dahi Rossa kian jelas. Melihatkan perlakuan lelaki itu, dia bertambah pening. Apa sebenarnya niat Bakri? Namun Rossa sambut juga novel tersebut. Judulnya meniti di bibir mungilnya. 'Marry Me, Rose!' Dia kaget. Rose? Seketika ingatan kembali ke nota-nota yang pernah diterimanya baru-baru ini. Takkanlah si pengirim misteri itu adalah sebenarnya Bakri?
Resah di hati Rossa kian bercambah tatkala sebuah nota kecil diselitkan di antara helaian muka surat. Hatinya berdebar. Kejutan apakah ini? Ditarik perlahan nota tersebut. Kemudian, dia membacanya...
"Saya pernah Jauh Dari Cinta kerana masa silam yang mengerikan buat saya. Pada saya, itulah Epilog Cinta Duka yang takkan ada satu hati mampu untuk memahami. My Pieces of Heart told me to stay hold, but still I'm breathless! Tapi kehadiran awak mula menunggang-terbalikkan dunia saya. Walau acapkali saya bertahan, bimbang kapal hati akan karam, namun tetap juga jiwa saya Dibadai Rindu Asmara. Tapi saya masih ego, seringkali menidakkan perasaan indah yang mula menuntaskan bunga-bunga cinta. Kehadiran awak dalam mimpi lena saya mula menjadi Teka-Teki Cinta dalam seharian. Saya berusaha mengumpulkan kepingan teka-teki tersebut namun bayang-bayang awak merayu-rayu untuk Utuskan Aku Rindu dalam diam. Setelah berjaya menemui kepingan demi kepingan teka-teki itu, saya sedar satu benda, Aku Telah Jatuh Cinta. Now that I've told it all to you. Marry Me, Rose?"
Rossa kaget. Perasaannya bercampur-baur kala itu. Terungkap sudah kisah di sebalik pengirim misteri. Benarlah tekaannya selama ini. Bakrilah dalang di sebalik keterujaannya. Apa yang harus diperkatakannya? Nota itu cukup menjelaskan tentang perasaan Bakri terhadapnya.
"Sorry if I suprised you.."
Rossa diam, dia juga diam. Marahkah Rossa?
"Saya tak pandai nak berjiwang bagai. Dan saya tak tahu macam mana nak ungkapkan perasaan saya pada awak. Saya tak tahu hadiah apa yang awak suka. That's why I bought you novels. Dan cuba kaitkan tajuk dia dengan perasaan saya"
Rossa masih mematung. Dibiarkan saja Bakri menghambur segala perasaan. Dia ingin mendengar lebih lagi dari lelaki itu.
"I can't stay longer in this way! Awak wanita pertama yang berjaya mencuri hati saya selepas arwah Marlia. Tipulah kalau saya cakap saya tak sunyi. Padahal setiap lelaki di dunia ni perlukan seorang wanita di sisi. Begitu jugak sebaliknya. We need each other! Seperti mana setiap manusia di dunia ni perlukan oksigen untuk hidup, begitu jugak saya yang perlukan awak untuk terus berjuang! Rossa, kawen dengan saya?"
Rossa terasa ingin membalas tetapi suaranya seakan tidak mahu keluar. Dia juga tidak mampu untuk terus menipu hati sendiri. Walaupun Bakri memikat dengan cara yang tidak pernah terfikir dek akal, namun pada dia ianya tetap romantik.
Dengan hati yang ditahan geloranya, Rossa mengangguk perlahan. "But, with one condition!" Bakri sudah senyum sampai ke telinga. Tidak disangka dia akan menerima respon positif dari gadis pujaannya. "Apa syaratnya?"
"Tolong jangan bengiskan wajah sangat! Saya tak boleh tahan!"
Bakri mengekek lantas mengangguk laju.Dia sudah mendapatkan cintanya kembali. Dua minggu dari sekarang, bersatulah mereka di dalam ikatan yang sah dan diredhai Allah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience