SATU PERSATU buku disusunkan di atas meja. Dari buku tentang cinta sehinggalah ke buku tentang lelaki, semuanya mengambil posisi masing-masing. Petang itu kedai agak lengang. Rossa mengambil peluang tersebut untuk mengajak Fahmi menyertainya.
"Banyak ni Rossa. Macam mana saya nak baca?" adu Fahmi. Dia tersentak apabila melihat begitu banyak buku yang tersusun di atas meja. Sudahlah dia memang alergi dengan buku. Rossa pulak suruh dia bermanja-manja dengan benda alah itu.
"Kata nak faham cinta? Kenalah tahu cinta tu macam mana. Macam awak suka Aina jugak. Awak nakkan dia kan? So awak kena fahamlah dia tu macam mana. Nak faham dia, awak kena belajar. Nak belajar, kena melalui buku. Dan buku-buku ni semua akan tolong awak!" jelas Rossa panjang lebar.
"Perlu ke nak baca semua ni?"
"Heyy, perlulah! Saya bukan boleh sangat nak tolong awak. Sebab saya pun tak tahu sangat pasal cinta. Tapi buku ni boleh tolong awak, boleh tolong saya jugak. Kena baca tau? Ingat, kena baca"
Fahmi mengangguk tanda faham. Dia melabuh duduk di atas kerusi lalu mencapai sebuah buku yang bertajuk 'Memahami Wanita'.
Sejak dari hari itu, jika ada masa terluang, dia akan membaca buku-buku yang dibelikan oleh Rossa untuknya, baik di rumah mahupun di kedai. Dalam masa itu juga, dia dan Rossa selalu curi-curi mengintip Aina. Sampai satu masa mereka hampir ketahuan. Segera melarikan diri dari terus diperhatikan oleh Aina sehingga sampai ke kereta, mereka tergelak dengan kebodohan masing-masing.
Dalam kesempatan itu juga, Rossa tetap cuba mendail nombor Bakri tetapi usahanya tetap tidak berhasil. Selain itu, dia juga pernah meletakkan kontena makanan di atas bumbung kereta Bakri kerana dia tidak tahu lelaki itu bekerja di mana. Bahkan, dia juga pernah meletakkan sekuntum mawar merah di atas wiper kereta lelaki itu tetapi dari jauh dia melihat Bakri membuang kuntuman bunga tersebut. Rossa hampir hilang akal. Keras jugak hati seketul Bakri itu! Bagaimana dia mahu menghulurkan tangan untuk membantu jika dari awal lagi Bakri sudah enggan memberi peluang?
Sesekali, Rossa setuju apabila diajak keluar bersama oleh Fahmi. Mereka menonton wayang dan berjalan-jalan menghabiskan masa berdua. Dalam pada itu, Rossa sempat memberikan tazkirah percuma kepada Fahmi mengenai soal hati dan perasaan.
"Hati ni macam kertas. Senang untuk dikoyakkan, dironyokkan, tetapi nak kembalikan ia ke asal, itu tak mungkin. Walau ditampung atau ditutupi dengan apa-apa benda sekalipun, hasilnya takkan mungkin sama dengan yang asal. Sebab tu hati kita ni mahal. Tak boleh disamakan dengan harta ringgit sekalipun. Awak kena jaga hati tu baik-baik"
Pesanan itu sentiasa Fahmi cernakan dalam otak dan hatinya. Kini apabila dia sudah mampu memahami apa ertinya cinta, dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan Aina dan meluahkan perasaannya. Sempat juga Rossa, Mak Ayu dan Kak Siti memberikan kata-kata semangat kepadanya.
"Rasa-rasanya berjaya tak Fahmi dapat pikat hati si Aina tu?" tanya Kak Siti, was-was.
"Mestilah dapat. Tengoklah siapa guru dia" Rossa sempat memuji diri sendiri, sekadar berseloroh. Dalam hati dia berdoa semoga semuanya dipermudahkan dan dia dapat kehidupannya semula tanpa ada gangguan dari Fahmi!
Mak Ayu dan Kak Siti tergelak. Rossa, gadis berada yang ada-ada saja!
FAIL KUNING di atas meja tidak berkutik. Sedari tadi, fail itu diserahkan oleh Zaid kepadanya. Sudah dua jam dia begitu. Hanya duduk mengeras diatas kerusi sambil termenung. Apabila Zaid mengajak untuk makan tengah hari bersama, dia hanya menggelengkan kepala.
Sejak akhir-akhir ini, dia selalu menerima panggilan telefon daripada Rossa. Terbaru, dia terkejut apabila menerima sekuntum mawar merah yang diselitkan di sebalik wiper kereta. Dia tahu itu kerja Rossa.
Buntu dia memikirkan gadis itu. Apabila dia mengelak, Rossa pula mencuba mendekati. Dia bukan sengaja hendak bermain tarik tali tetapi memang niatnya untuk
tidak langsung mengganggu Rossa dan kehidupannya. Apa yang Rossa inginkan dari dia sebenarnya? Perhatian? Cinta? Atau sekadar hendak mempermainkan dia?
Bakri memicit-micit kepalanya. Sudahlah kes Hamid ini tidak pernah sampai ke penghujung! Dia sudah menggunakan begitu banyak cara untuk memerangkap Hamid tetapi usahanya hanya sia-sia. Ternyata Hamid lebih bijak bertindak.
Fail kuning itu dia buka isinya. Menarik keluar beberapa keping foto dari dalam. Dahinya mengerut. Foto Rossa diambil dari pelbagai tempat dan posisi. Satu persatu foto itu dia teliti dengan sebaik mungkin. Kemudian, dia ternampak ada sekeping nota kecil diklipkan bersama dengan foto Rossa.
'Kalau kau nak wanita kesayangan kau selamat, kau kena hentikan siasatan ke atas kami. Biarkan kami buat kerja kami. Kalau tak, perempuan ni akan mati depan mata kau!'
Bakri bergetar. Sedikit sebanyak peristiwa yang menimpa Marlia bergentayangan di udara. Apa yang ditakutinya kini menjadi nyata. Walau tanpa harus memiliki Rossa, nyawa gadis itu tetap menjadi taruhan. Tanpa sedar, air matanya mengalir laju. Pandangannya tiba-tiba gelap. Seluruh anggota badannya terasa longgar. Dia rebah ke lantai.
"ABANG awak keras hati betullah! Saya called banyak kali, siap bagi bunga lagi. Pakej hantar makanan sekali , walaupun saya letak atas bumbung kereta dia. Tapi satu pun dia tak layan! Hishhh, pening tau?!" Rossa sudah mengadu kepada Hafizi. Malu dia apabila diabaikan oleh Bakri seperti itu. Mana nak sorokkan wajah selepas ini kalau bertembung dengan lelaki hati batu itu?
"Saya memang dah agak! Along tu memang keras hati. Saya tak taulah nak cakap apa, tapi saya harap usaha awak takkan berhenti takat ni. Please, do more Rossa" Hafizi separuh merayu. Tubuh Rossa yang menyandar ke pintu kereta ditilik. Kemudian, dia turut melakukan hal yang sama.
"Along dah lama tak bercinta. 10 years is not a short period of time! He lost so many things in such years. Selain hilang arwah Kak Lia, dia jugak hilang sahabat baik dia"
Rossa menoleh ke sisi. Pandangannya bersabung dengan mata Hafizi.
"Abang Azhan berkawan baik dengan along. Tapi persahabatan dorang tu dah lebih macam adik-beradik. Rapat sangat sampai along sanggup berkorban apa saja untuk abang Az. Begitu jugak abang Az. Dorang tu satu team. Satu tempat kerja. Mana-mana pergi sentiasa berdua. Tapi disebabkan satu peristiwa, abang Az pergi membawa diri. Dan sampai sekarang dia tak balik-balik. Kami tak pernah tahu mana keberadaan dia. Tak satu jejak pun dia tinggalkan" Keluhan termuntah jua dari bibir Hafizi. Mengingat kembali betapa cerianya wajah Azhan menghiburkan mereka. Terngiang-ngiang di cuping telinganya akan gurau senda dan kata-kata falsafah lelaki itu.
"Dan itu jugak salah satu punca kenapa along hampir gila. Lepas kehilangan arwah Kak Lia, dia hilang kawan baik dia. Jadi dari situ along tak mampu nak percaya dengan cinta. Sebab bila terlalu sayang atau cintakan seseorang, dia kecewa sendiri. So awak boleh faham ka kenapa along macam tu"
Rossa membatukan diri. Kata-kata Hafizi cuba dihadam sebaik mungkin. Pada zahirnya dia menyetujui kata-kata lelaki itu, tetapi tidak pula terluah dari bibirnya. Terlalu awal untuk menyerah, tetapi tidak juga lambat untuk memulakan semuanya kembali.
"Habis tu saya nak buat apa? Awak tak boleh ke fikirkan apa-apa cara?"
Belum sempat Hafizi hendak menyahut, deringan telefon dari dalam kocek seluar bernyanyi-nyanyi minta diangkat.
"Waalaikummussalam mama" Sahutnya setelah bertembung dengan suara mama di hujung sana. Hafizi mengerutkan dahi kemudian memandang Rossa yang turut sama memandangnya.
"Rossa, ikut saya!" arah Hafizi sesudah mematikan panggilan. Bagaikan lembu dicucuk hidung, Rossa membontoti langkah Hafizi ke keretanya.
"Along pengsan. Dia ada kat rumah sekarang. Awak ikut sekali ye?"
Rossa serba salah. Dia masih malu juga untuk berdepan dengan lelaki itu. Tetapi untuk menolak juga tidak mungkin. Bimbang pula jika Hafizi mempunyai tanggapan buruk terhadap dirinya.
"Okey" Putusnya setelah menimbang-tara keputusan.
"ALONG cuma pengsan je. Takde apa-apa yang serius. Kau stress kan long?" tanya Hafizi sambil menyimpan stetoskopnya di dalam beg.
Wajah Bakri dia tatap selepas itu. Wajah yang menyimpan terlalu banyak derita dan kesakitan. Kenapa tidak kau lepaskan saja semuanya long? Tanpa sedar, dia mengeluh berat.
"Aik, aku yang sakit. Kau pulak yang mengeluh?"
"Aku mengeluh tengok kau sakit. Kau ni tak boleh nak uruskan diri sendirilah long"
"Sebab tu mama suruh along kawen. Tapi sampai sekarang, topik tu aje dia selalu elak" sahut Datin Suhada dari pintu bilik. Dia membawa dulang berisi air putih kepada Bakri. Di sebelahnya, terpacak Rossa yang kelihatan malu-malu untuk berdepan dalam situasi itu.
Bakri tidak ambil pusing. Fokusnya hanya pada gadis manis itu. Bagaimana pula Rossa ada di situ? Tidak habis fikir dia.Agaknya dia datang berdua dengan Hafizi. Tapi mereka berdua kan sudah tidak berhubung lagi. Tempoh hari, bukan main lagi keduanya mengelak untuk dijodohkan. Takkan sekarang sudah berubah hati? Bakri ditimpa perasaan tidak enak.
"Minum air ni" ujar Hafizi. Serentak itu, tangannya menyerahkan gelas tadi kepada Bakri. "Pil ni jugak" sambungnya lagi. Bakri hanya menurut saja. Dia sudah tidak punya tenaga untuk melawan. Bibirnya kering dan pucat.
"Duduk Rossa. Jangan segan" pelawa Datin Suhada. Rossa akur lalu mendaratkan punggung di sebelah wanita itu. "Umi sihat ke?" tanyanya lagi. Entah kenapa, apabila matanya bertembung dengan wajah Rossa, hatinya cukup tenang. Rossa punya aura tersendiri. Dia jadi sebak kerana tidak dapat bermenantukan gadis itu kerana Hafizi sudah mempunyai calonnya sendiri. Lain cerita pula dengan anak sulungnya itu. Sudah awal-awal lagi menyatatakan hasrat untuk tidak mahu berkahwin lagi.
"Alhamdulillah auntie. Umi sihat. Mak Nab pun sihat. Rossa pun sama" Tanpa sedar, dia bercerita pula sambil tersengih.
Bakri tergelak kecil melihat gelagat Rossa. Nampak lurus bendul, tetapi comel!
"Alhamdulillah. Baguslah. Nanti kirim salam kat dorang ye? Auntie sibuk, tak sempat nak jumpa dorang"
"Aah. Auntie tak payah risau. Nanti Rossa tolong sampaikan. Umi pun selalu sibuk kat kedai dia. Kadang takde masa sangat" Ramah. Tetapi di dalam hati dia sedang berdebar. Dia dapat melihat dari ekor mata akan pandangan Bakri terhadapnya. Apabila dia mengangkat wajah memandang lelaki itu, Bakri masih tidak mahu menundukkan pandangan. Wajahnya terus-terusan dijamah oleh lelaki itu.
'Aduhhh, dia marah aku ke pasal hari tu?'
"Rossa makan sini nanti ye? Auntie dah masak"
"Ehh takpelah auntie. Lagipun tadi Rossa tumpang Fizi. Kejap lagi dia nak balik hospital"
"Alaa takpelah. Kalau Fizi tak dapat hantar Rossa balik, Bakri kan ada?"
Rossa kaget. Jangann!! Dia tidak mahu berduaan dengan lelaki itu. Rasanya seperti tidak mampu hendak bernafas, apatah lagi setelah apa yang berlaku.
"Tapi Bakri kan tak sihat? Rossa tak nak susahkan sesiapa"
"Takdenya along tak sihat. Saya dah bagi ubat dah. Along pengsan je, bukan koma terus" sampuk Hafizi pula. Tiba-tiba, dia mempunyai akal!
Bakri meluku kepala Hafizi. Selamba badak dia cakap aku koma! Namun Hafizi hanya membalas dengan sengihan.
"Bak dapat kan hantar Rossa balik nanti?" Datin Suhada inginkan kepastian. Wajah Bakri ditenung. Dalam hati, dia berharap agar Bakri tidak menolak. Terdetik di hati untuk menyunting Rossa buat Bakri. Manalah tahu...Keajaiban bakal berlaku.
Rossa menjamah wajah Bakri. Dalam hati dia berdoa agar lelaki itu tidak bersetuju. Dia masih segan dengan lelaki itu.Namun harapannya punah apabila Bakri mengangguk laju tanpa berkata apa-apa. Rossa mengeluh perlahan. Tidak dapat mengelak lagi!
SESUDAH menghabiskan makan tengah hari di rumah Bakri, dia pamit untuk pulang. Risau jika umi mencarinya di kedai atau di rumah.Jam sudah pun berganjak ke angka 4.
"Nak hantar kat mana? Rumah atau kedai?"
Suara garau Bakri memecah kesunyian di antara mereka. Rossa berpaling. Dia mengerutkan dahi dengan persoalan Bakri.
"Kalau awak tak kerja kat kedai, saya dah hantar ke rumah terus. Tapi awak tolong umi di kedai kan? So mana satu destinasi awak?" Mendatar dan serius wajahnya.
Rossa menelan liur. Lagi elok berada berdekatan Fahmi yang lurus bendul dan kadang merimaskan dia. Daripada berdampingan dengan si serius muka ketat ini! Huhh! Boleh hilang keupayaan untuk bernafas rasanya!
"Mana awak tahu saya tolong umi kat kedai? Saya tak pernah cakap pun"
Bakri mendiamkan diri. Dia sebenarnya selalu melihat Rossa di kedai. Menghantar pesanan, mengemas, menyapu dan kadangkala dia di bahagian kaunter pembayaran. Dan dia dapat mengagak kalau gadis itu bekerja di situ. Tidak mungkin dia bermain-main pula!
"Kedai tutup pukul 7 kan? Sekarang dah pukul 4.28. Awak masih ada lagi 2 jam lebih untuk dihabiskan di kedai. Awak tak solat Asar lagi kan? Tadi cuma sempat berjemaah Zohor di rumah saya. Saya hantar awak balik terus. So awak dapat tunaikan Asar dan dapat ketenangan hati sekaligus" Bakri pula memberikan cadangan.
Rossa malas hendak menjawab. Soalan yang dijawab denga soalan! Dia sudah penat bermain tarik-tali dengan lelaki itu. Tidak pernah ke lelaki itu berfikir kenapa dia bertindak sedemikian? Hari-hari menghubunginya, mengirim bunga, bahkan kadang-kadang menghantar makanan kepadanya. Kata bijak sangat! Takkan tak mampu nak menebak alasan dia berbuat sedemikian. Aihh! Susah betul nak melembutkan kerasnya hati batu Bakri bak tembok besar itu!
Sudahnya, keadaan di dalam kereta kembali sunyi.
SETELAH selesai menunaikan solat Isyak, Rossa menapak ke balkoni biliknya. Pintu gelangsar dibuka. Dia membiarkan saja angin sepoi-sepoi bahasa menampar lembut wajahnya. Lama dia begitu sehingga lenguh kaki dirasakannya berdiri. Lantas, dia mendaratkan punggung di atas kerusi kayu di situ. Duduk bersila lalu menarik nafas. Kemudian, dilepaskan perlahan-lahan.
Telefon bimbit yang berada di dalam kocek seluar diseluk. Dia berkira-kira hendak menghubungi Firdaus. Dengan lelaki itu sahaja dia selesa bercerita segala-galanya. Tanpa menunggu lama, nombor Firdaus yang sudah disimpannya didail. Tidak lama menunggu kerana panggilannya sudah terjawab.
"Hmmm?" Firdaus menggumam di hujung talian. Rossa mengerutkan dahi. Dia tidur ke?
"Siapa ni?" Suara serak basah Firdaus menggetarkan hatinya.
"Rossa" sahutnya sepatah.
"Ohh Mawar. Kejap ye?"
Seketika, keadaan sepi. Rossa tersenyum apabila mengingatkan nama barunya itu. Dulu, dia pernah bertanya kepada lelaki itu kenapa memanggilnya dengan panggilan itu. Dan seperti biasa jawapan Firdaus sungguh kompleks...
"Nama awak Rossa kan?" Gadis itu mengangguk, membuatkan senyuman di bibirnya tersungging. "Tapi saya panggil awak Mawar. Nak tahu kenapa?" Rossa dilihatnya mengangguk kembali.
Firdaus meletakkan dua jari di bawah dagu. Lagaknya tak ubah seperti sedang memikirkan sesuatu. Wajahnya juga serius. Kemudian, dia berpaling memandang Rossa.
"Saja je nak panggil awak macam tu!" usik Firdaus lalu mengekek di hujung bicara.
Rossa mendongkol. Dia ingin mencubit lelaki itu tetapi Firdaus awal-awal menegahnya.. "Kalau awak cubit saya lagi, saya bawak awak pergi jumpa tok kadi!"
Rossa merona. "Apasal pulak?" Sengaja bertanya untuk menutupi resah di hati.
"Sebab awak selalu sangat sentuh saya!"
"Hampeh!" gerutu Rossa. Firdaus sudah tergelak. "Cakaplah, kenapa awak panggil saya Mawar?" tanya Rossa lagi. Kali ini, wajahnya sedikit mencerut.
"Okey-okey. Saya bagitau. Nama awak Rossa kan. Kalau ambik kata dasar dari nama awak, bunyi dia Ros. Ros tu maksud dia mawar kan dalam English? Itulah sebabnya. Lagi satu, sebab awak cantik macam bunga mawar. Kelopak dan haruman mawar tak ubah seperti awak. Biar cantik mana pun bunga yang lain, pada saya bunga mawar sentiasa di hati. Lagi satu, lebah tak pernah hisap bunga mawar. Lebah hanya akan sedut madu dari bunga lain. Macam tu jugak harapan saya pada awak. Jangan biarkan diri awak jatuh ke tangan sebarangan orang dengan mudah. Awak cantik, dan dalam banyak-banyak kelompok bunga mawar, mata saya hanya akan cari awak. Mawar hidup. Sebab saya tak macam awak, obseskan benda tak bernyawa!"
Rossa tersenyum lebar saat mengingati kembali falsafah lelaki itu. Tetapi kali ini, dia mampu untuk faham.
"Rossa, are you there?" Suara garau Firdaus mengembalikan dia ke alam nyata.
"Ye. Masih kat sini. Awak pergi mana tadi?"
"Kenapa? Rindu eaa? Alaa, sweetlah awak ni Mawar. Dalam handphone lagi boleh rindu-rindu erk?" usik Firdaus. Ketika itu, dia sedang membayangkan pipi Rossa yang merona merah. Ha ha ha. Pasti lebih seronok mengenakan Rossa jika mereka bersua muka.
Rossa merona. "Eee menyampahnya! Kita tanya lain, dia tanya lain!"
Firdaus menghabiskan sisa tawanya. "Saya ke toilet tadi. Cuci muka. Masa awak called saya, saya sedang diulit mimpi, berkejaran dengan awak"
Rossa tergelak. Ahh! Firdaus selalu punya sesuatu bagi menghibur hati. "Sorry tau kalau saya ganggu awak? Saya tak tahu awak tengah tidur"
"Takpe. Kalau awak di sebelah, tak perlu minta maaf!" Firdaus bernada nakal.
"Maksud awak?" Rossa kurang mengerti.
"Takde apalah. Kenapa awak called ni? Ni mesti pasal budak Fahmi tu. Tak pun, pasal si kening awak tu" Firdaus cuba untuk menebak. Walaupun agak terancam dengan kehadiran dua watak baru dalam hidup Rossa, namun dia harus bijak mengawal perasaan. Dia tidak mahu perkara tersebut merosak persahabatan mereka.
Rossa mengeluh. Ini yang dia suka pasal Firdaus. Lelaki itu mampu memahami gelora hatinya. Walaupun banyak masalah lain, tetapi Firdaus bijak meneka yang satu itu. Tanpa berselindung, dia ceritakan segala-galanya kepada Firdaus. Kisah Fahmi yang sedang merangkak mengenali cinta, dan kisah Bakri yang keras hati seperti tembok besar! Tidak ada satu pun yang dia sembunyikan.
"Pasal Fahmi tu, kita tunggu macam mana ending dia. Kalau happy ending, awak kena belanja saya makan. Tapi kalau tak happy ending, awak tetap jugak kena belanja saya makan!" Firdaus sempat berseloroh. Kemudian dia menyambung kembali. "Kalau tak happy ending, dia mesti akan sedih, kecewa dan sentiasa nak berseorangan. Sebab dia perlukan masa untuk terima tamparan baru"
Rossa hanya mendiamkan diri. Tekun mendengar setiap bait-bait kata lelaki itu.
"Tapi kalau awak anggap dia kawan awak, awak kena bantu dia. Jangan biarkan dia sedih sorang-sorang. Kadangkala, orang yang tak mampu berdepan dengan masalah akan cari cara jalan lain untuk mengakhiri semuanya. Maybe...a commit suicide?" Suara Firdaus mengendur. Saat itu, dia terpandangkan pergelangan tangannya yang berbekas dengan kesan lecur. Dia juga pernah mencuba untuk membunuh diri setelah dituduh dan dibicarakan atas kes menembak mati seorang penduduk awam tanpa niat. Ketika itu, dunia dirasakannya kelam dan gelap!
"Takkan sampai nak bunuh diri?" Suara Rossa memecah lamunan lampau Firdaus.
"Itu untuk someone yang tak kuat pegangannya. Saya tak tahulah kalau Fahmi tu macam mana orangnya. Awak lebih mengenali dia. So you should know better"
Rossa mengangguk. Fahmi bukan seperti itu. Seburuk apa pun situasi itu, dia tahu yang Fahmi tidak akan bertindak bodoh seperti itu.
"Okey, we move to next case please" seloroh Firdaus.
Rossa menyungging senyum di bibir. Tak sabar nak tahu pulak dia ni!
"What say you? Pasal si kening tu?" Rossa memulang kembali pertanyaan.
"Dia tu ada masalah dalaman! A bit psycho, tapi taklah teruk macam si Fahmi tu" Dia sempat tergelak. "Rasanya dia memang tak nak babitkan awak dalam hal dia. Dia bukan tak suka awak. Tapi dia takut akan risikokan nyawa awak. He lost somebody he loved before! So rasa tu masih terkesan. Perlu masa untuk pulih atau mungkin dia tak perlukan langsung"
"Maksud awak?"
"Maksud saya, mungkin dia akan selamanya macam tu. Tetap beku dan keras hati. Dia tak perlukan sesiapa di sisi sampai akhir hayat dia. Cinta pada arwah isteri akan memekar sampai ke liang lahad. Awak tak boleh nak buat apa-apa. Tapi kalau dia tak tahan sunyi, dia akan belajar untuk terima cinta baru. Men. They can't live without women! Lelaki tak tahan sunyi. Trust me"
Huhh! Rossa melepaskan keluhan berat. Lelaki tak tahan sunyi? Mungkin lelaki lain tapi bukan si keras hati itu! Kalau betul dia tak tahan sunyi, kenapa dia sanggup membujang selama 10 tahun? Aduhhh, susahnya nak faham seketul Bakri itu!
"Tapi kalau dia ada hati, awak percayalah. Hati dia jauh di dasar laut dalam. Kailnya takkan cukup panjang, sauh juga tak cukup kuat dan ombak ganas yang menerjah perahunya pasti akan membuatkan dia karam. So awak fikir elok-eloklah! Nak teruskan perjuangan awak untuk bangkitkan dia dan awak akan berdepan dengan laut karam. Atau undur diri dan awak akan terselamat daripada dibadai taufan yang menggila"
Rossa semakin keliru. Kata-kata Firdaus mengandungi maksud tertentu. Terlalu bermadah dan berbunga tetapi dia seakan faham dengan kiasan tersebut. Tetapi apakah keputusan yang harus dia ambil?
Share this novel