MAZLAN mengatur langkah mendekati Fahmi. Niatnya selain ingin melawat Fahmi, dia juga ingin bertanyakan sesuatu kepada lelaki itu.
Fahmi sudah menanti di atas kerusi. Ada sebuah meja yang dipisahkan bagi menjaga jarak mereka. Wajahnya tenang, setenang air laut. Hari ini merupakan hari kedua dia memegang status banduan.
"Kau datang sini bersebab kan?" duga Fahmi. Dilihatnya Mazlan sudah mengambil posisi di hadapannya.
"Iya, selain datang melawat sebagai kawan" Mazlan pamer senyum. Kontena berisi makanan dia letak di atas meja. Sengaja dia masak lebih untuk diberikan kepada Fahmi.
Fahmi terdiam. Terharu dengan sikap prihatin Mazlan padanya. Fikirnya, setelah hukuman dijatuhkan ke atas dirinya, dia tidak akan menerima kedatangan lelaki itu. Namun sangkaannya meleset sama sekali. Mazlan tetap mengotakan janjinya sebagai seorang kawan.
"Kau nak tahu apa?" tebak Fahmi.
"Santailah dulu. Kita makan jap. Penat aku masak ni untuk kau" Kontena berisi nasi diletakkan di hadapan Fahmi. Kuah sup ayam dan isinya disimpan di dalam kontena nasi.
"Makanlah. Jangan risau, aku tak bubuh racun pun dalam ni"
Fahmi akur juga. Perlahan-lahan, dia menyuap nasi ke dalam mulut. Kebetulan pula perutnya memang lapar memandangkan makanan di dalam penjara tidak mampu menarik nafsu makannya.
"Kenapa kau buat semua ni untuk aku?"
"Kau kan kawan aku. Takkan kawan tak boleh tolong kawan?"
Hati Fahmi terusik. Pertama kali dia merasakan ada yang begitu mengambil berat akan dirinya. Dia tiada keluarga. Hidup sebatang kara, menumpang kasih pada selautan wanita namun tidak ada yang sudi menghulurkan kasih.
"Aku jahat. Banyak lagi orang baik kat dunia ni, kenapa aku jugak yang kau pilih?" Fahmi menyudahkan suapan terakhir. Masakan Mazlan memang sedap. Seleranya terbuka luas.
"Setiap orang layak diberi peluang kedua. Tapi gunakanlah sebaik mungkin. Hayat kau kat sini tak lama. Aku harap sangat kau mampu gunakan peluang ni untuk berubah" Kata-kata yang berunsur nasihat itu menusuk kalbu Fahmi. Dia tidak marah, bahkan senang menerima nasihat itu. Dan dia tahu, Mazlan ikhlas menyampaikannya. Tiada unsur sindiran mahupun amaran.
"Aku dah habis makan. Kenyang. Pandai kau masak. Makanan dalam penjara takde yang menyelerakan. Kau nak tahu apa?" Fahmi kembali ke topik asal mereka. Tidak mahu terlalu membuang masa.
"Aku nak tahu pasal nota yang kau tinggalkan pada setiap mangsa. Dan nota terakhir kau yang berbunyi..."
"Orang jahat akan terima balasannya. Dan orang jahat akan berhenti pada destinasi terakhir dia" Fahmi mencelah sebelum sempat Mazlan habiskan ayatnya.
Mazlan senyap. Menanti penjelasan Fahmi dengan penuh sabar.
"Rossa"
Mazlan mengangkat kening. Itu isteri Firdaus dan jugak antara gadis yang pernah dia culik.
"Dia destinasi terakhir aku. Dalam banyak-banyak perempuan, aku paling sayang dia. Dia lembut, ceria dan selalu hiburkan aku.Masalah dia cuma satu. Dia tak reti nak faham perasaan aku. Aku terbiar sendirian. Sunyi tanpa dia" Fahmi teringatkan kenangannya bersama Rossa. Betapa bahagianya mereka meniti hari bersama. Bergelak tawa dan bergurau senda. Namun semuanya hanya tinggal kenangan. Dan kenangan itu langsung tidak bermakna di hati Rossa. Dia bencikan sikap Rossa. Menolak dia jauh-jauh sehingga dia jatuh tersungkur. Terkapai-kapai mencari dahan untuk berteduh, namun pada akhirnya dia rapuh juga sendirian. Jika satu peluang saja bisa diberikan kepada dirinya oleh Rossa, pasti dia tidak akan melangkah sejauh ini. Dia bosan selalu dipergunakan oleh perempuan.
"Aku tertipu dengan sikap polos dia. Dia ada orang lain. Sebab tu aku ditinggalkan" sambung Fahmi lagi.
Mazlan hanya mendengar. Tidak berani memberikan komen apa-apa, risau jika emosi Fahmi terganggu.
"Let say, yang kau tak berjaya kami jumpa. Apa akan jadi pada Rossa? Dan Aina pulak macam mana?"
Fahmi menyungging sebuah senyuman. "Aku akan kawen dengan Rossa. Kalau dia tak nak, aku akan buat dia hamilkan benih aku. Jadi untuk tutup malu, dia kena jugak kawen dengan aku! Dan Aina pulak, aku bunuh. Tak pun, aku hantar ke rumah sakit jiwa. Dan aku akan tipu doktor atau petugas kat sana pasal keadaan dia. Lepas tu aku akan bawak Rossa jauh dari sini. Jauh dari semua orang"
Wajah Fahmi yang tenang dan tiada rasa bersalah menjadi tatapan Mazlan. Dalam hati, betapa bersyukurnya dia kerana pasukan mereka berjaya menyelamatkan Rossa dan Aina. Jika tidak, buruklah nasib yang akan menimpa mereka berdua.
"Dan lepas Rossa, kau takkan buru mangsa lain?"
Kepala Fahmi terangguk-angguk. "Aku buat semua ni pun sebab nak takutkan Rossa je. Tapi tak sangka pulak aku addict nak bunuh orang. Rasa seronok pulak dapat tengok darah orang"
Mazlan menelan liur. Fahmi memang psikik. Dia bakal berdepan dengan hukuman gantung sampai mati, namun kenapa rasa penyesalan seolah tidak terbit langsung dalam hatinya?
Sungguh, dia tidak faham dengan pemikiran Fahmi. Pertama kali dia berhadapan dengan penjenayah seperti itu. Mazlan menghela nafas. Menariknya dalam-dalam sebelum dihembus keluar.
Persoalan yang terbengkalai berjaya dirungkai!
"AINA tak nak jumpa orang lain. Dia nak jumpa Rossa je. Abang tunggu kat luar ye?" Rossa memandang wajah Firdaus. Berkerut wajah itu, seolah menyimpan seribu kepayahan. Hampir tergelak Rossa melihatnya. Tadi semasa masih di kondo mereka sempat bertengkar. Rossa ingin pergi sendiri tapi Firdaus menghalang. Katanya, walaupun Fahmi sudah ditangkap, tapi masih banyak lagi orang jahat di luar sana yang kita tak tahu niat dan muslihatnya. Risaunya untuk Rossa bukan sedikit. Apabila Rossa membantah, dia kenakan pula hukuman ke atas isterinya. Hukuman manja bak kata Firdaus!
"Takpe ke sayang masuk sorang? Aina tu okey ke? Tak sakit apa-apa ke?" Firdaus risau sekiranya Aina punya niat untuk mencederakan Rossa. Maklum sajalah, dia masih belum pulih dari trauma. Bimbang jika Rossa dijadikan tempat untuk melepas geram.
"Aina tu okeylah! Kalau tak okey, takdenya nurse nak lepas Rossa jumpa dia. Abang ni risau sangatlah"
"Mana tak risau? Rossa tu isteri abang. Abang tak nak jadi apa-apa pada Rossa" Pinggang Rossa sudah dipaut. Jari-jemari mereka bersatu. Dia menyalurkan cinta dengan cara begitu pula.
"Takde apa-apalah! Abang tunggu sini tau? Rossa masuk dalam kejap je" Rossa tunduk menyalami tangan Firdaus. Kemudian, menapak masuk ke dalam bilik yang menempatkan Aina.
Firdaus menggumam. Hmmm
SAAT bertentang mata dengan Aina, Rossa menarik nafas lega. Wajah itu tampak manis menyambut kedatangannya meskipun bibirnya pucat lesi. Rambut Aina yang separas bahu itu disanggul tinggi. Ainida yang duduk di sisi turut sama melemparkan senyuman.
"Thanks Rossa. Sebab sudi datang jumpa Aina" ucap Ainida perlahan. Dia memberikan ruang untuk Rossa duduk.
"Sama-sama. Rossa memang nak jumpa Aina" sahut Rossa pula. Dia sudah melabuh duduk di atas kerusi. Berhadapan dengan Aina yang turut sama memandangnya.
"Awak sihat ke?"
Aina mengangguk. "Getting better, in Shaa Allah"
"Alhamdulillah. What a relief!"
"Aina sunyi sebab takde kawan. Sebab tu ajak Rossa ke sini. Maaf kalau saya mengganggu masa awak"
"Ehh takdelah. Jangan cakap macam tu. Saya okey je. Senang hati saya tengok awak, Aina. Saya harap sangat yang awak akan cepat pulih dan keluar dari sini. Boleh kita jalan-jalan, kongsi cerita" Rossa memberi cadangan.
Aina mengorak senyum. Senang hati dapat berbual dengan Rossa. "Awak pulak sihat ke?"
Rossa tersenyum bahagia. "Terlebih sihat" Guraunya. Hari-hari dia dimanjakan oleh Firdaus, mana tak sihatnya?
Aina tergelak kecil. Mereka banyak berbual dan berkongsi cerita. Rossa dilihatnya tak kekok melayan karenah dan celoteh Aina. Sehinggalah Hafizi masuk dan menyuntik Aina dengan pil. Katanya, Aina harus berehat kerana kesihatannya masih dalam pemantauan pihak hospital.
Terkejut juga Hafizi melihat kemunculan Rossa di situ. Bermacam-macam yang berlegar di fikirannya. Namun apabila teringat kembali kisah mereka diculik, barulah Hafizi faham duduk perkara sebenar.
"Aina rehatlah. Nanti ada masa saya datang lagi" Rossa sempat berjanji sambil tersenyum. Dia hendak berlalu namun langkahnya terhenti apabila Aina menarik tangannya kembali.
Rossa menoleh dan menyoal dengan pandangan.
"Janji?"
Rossa mengangguk laju. Tubuh Aina diselimuti. "Rehatlah okey? You need more rest" Sesudah itu, Aina terlena dalam ketenangan.
"KITA nak ke mana lepas ni?" tanya Firdaus setelah mereka menaiki kereta.
"Kita ke rumah mama Su nak? Lama tak jumpa mama dengan papa. Mesti dia fikir Rossa dah lupakan dia" Rossa jadi teringat pada Datin Suhada dan Datuk Badrul. Sejak kes penculikan tempoh hari, dia sudah jarang hendak menghubungi mama angkatnya itu. Risau pula jika wanita itu berkecil hati.
"Tahu pun. Rossa ni sejak dapat abang, terus lupa yang lain kan?" usik Firdaus sambil tergelak.
"Mengada!" sahut Rossa. Dia melentokkan kepalanya ke bahu Firdaus. Sengaja hendak menguji keimanan suaminya itu. Dipeluk erat pinggang Firdaus lalu dibelai manja. Bahu Firdaus sudah dikucup berkali-kali.Bibirnya singgah pula pada pipi kiri suaminya.
Firdaus menelan liur dengan godaan Rossa. Hampir saja dia terbabas ke simpang jalan gara-gara digoda imannya. Rossa mengekek. Seronok dapat mengerjakan Firdaus.
"Saja kan? Nanti abang stop kat mana-mana kang" Firdaus pura-pura marah padahal dalam hati riang tak terkata.
"Sajalah. Abang pun suka sebenarnya kan? Eksen je lebih" Rossa membalas. Perlakuannya sudah terhenti. Kepalanya dilentokkan kembali ke bahu Firdaus.
Firdaus tenang dalam gelisah. Tenang di luar tetapi gelisah di dalam! Sejak akhir-akhir ini, dia perasan sikap Rossa yang terlebih manja. Kadang-kadang, manjanya tak bertempat! Padahal kalau dulu isterinya itulah yang banyak malu-malu. Namun Firdaus tetap bersyukur dengan kasih sayang tersebut. Semuanya kerana arwah Bakri. Jika bukan kerana Bakri, dia tidak tahu apa akan jadi pada laluan hidupnya. Dia berubah sebegitu rupa kerana inginkan penghormatan dari Rossa.
"Abang rindukan Bakri" Suara garau Firdaus memecah kesunyian di dalam kereta. Hatinya sebak tatkala teringatkan sahabat baiknya itu. Terlalu banyak ihsan yang telah Bakri curahkan kepada dirinya. Sehinggakan ke saat ini, dia tak putus-putus mengucap syukur pada Yang Maha Esa.
Hati Rossa disayat pilu tatkala mendengarkan omongan Firdaus. Sudah lama dia tidak ke kubur Bakri. Dia juga rindukan sebaris nama itu. Insan yang telah banyak berkorban dan memberikan nafas baru kepada jiwanya. Melalui Bakri, dia mulai memahami erti cinta. Dan kerana Bakri juga, dia dipertemukan jodoh dengan Firdaus, lelaki yang betul-betul melindungi dan mencintai dirinya. Tak salah lagi, setiap kejadian itu ada hikmahnya tersendiri. Syaratnya, hati harus belajar menelan yang pahit sebelum pada akhirnya bertemu kemanisan.
"Rossa pun rindukan arwah. Lama dah kita tak jenguk kubur arwah" Suara Rossa mengendur, menahan sebak yang bukan sedikit.
"Balik dari rumah mama Su nanti, kita ke kubur arwah ye?" cadang Firdaus.
Rossa mengangguk kepala.
KEDATANGAN Rossa dan Firdaus bagaikan pucuk dicita ulam pun tiba! Wajah manis Rossa yang sentiasa mengorak senyuman membuatkan rindu Datin Suhada tak pernah surut. Bertentang dengan mata redup itu, rindu di hati terlerai juga.
Lama dia mendakap tubuh Rossa dalam linangan airmata.Diusap lembut belakang Rossa. Tumpahnya kasih dan sayangnya pada gadis itu. Dulu dia berangan-angan untuk bermenantukan Rossa. Dilamar Rossa untuk Hafizi, namun takdir tidak menemukan keduanya. Disunting pula untuk Bakri, dan jodoh hampir bertaut. Tetapi kekuasaan Allah, tiada siapa dapat menduga.Bakri pergi menghadap Ilahi beberapa jam sebelum mereka diijabkabulkan.
Namun dia tetap bersyukur apabila Allah melakar jodoh Rossa di sebalik kanvas hidup Firdaus. Walaupun Firdaus bukan anak kandungnya, tetapi dia tetap menyayangi lelaki itu seperti anak kandung sendiri. Sungguh tak percaya jodoh keduanya masih panjang.
Dan dia antara orang yang paling bahagia melihat keakraban Rossa dan Firdaus.
"Sudahlah tu. Tak bernafas budak tu awak peluk!" tegur Datuk Badrul apabila melihat Datin Suhada tidak melepaskan Rossa dari pelukan.
Firdaus tergelak kecil. Rindunya mama Su pada Rossa! Dia faham perasaan itu. Dia sudah menyalami tangan Datuk Badrul.
"Abang ni, orang nak bermanja sikit dengan Rossa pun tak boleh! Bukan selalu nak jumpa Rossa. Dia dah kawen, takkan saya nak ganggu dia?" Datin Suhada membalas setelah melepaskan Rossa. Airmata dikesat perlahan.
Rossa tertawa. Bahagia melihat gurau senda kedua mereka. "Maaflah, Rossa dah jarang jenguk mama dan papa. Call pun jarang. Banyak sangat benda berlaku akhir-akhir ni, sampai Rossa tak tertangani semua tu"
"Takpe. Kami faham. Tengok Rossa sihat dan bahagia pun mama dah happy. Yang lain tu, tak penting sangat" balas Datin Suhada, ramah.
Melihatkan Rossa dan Datin Suhada galak berborak, tubuh Firdaus ditarik ke sisi. Datuk Badrul membawa Firdaus jauh dari dua wanita itu. Mereka berjalan beriringan.
"Fir bahagia?" tanya Datuk Badrul.
Firdaus tersengih. "Alhamdulillah, sangat-sangat bahagia. Semakin bahagia"
Datuk Badrul tertawa. Faham dengan maksud kata-kata Firdaus. Dia tumpang gembira dengan berita itu.
"Pernah ada masalah ke sebelum ni?"
"Dulu tu adalah papa. Sekarang, takde pulak. Harap-harap berkekalan macam tulah" Sebelum Rossa diculik, selalu saja mereka bertekak. Ada saja perbuatan dan percakapan Firdaus yang salah pada mata Rossa. Dia mengerti sikap dan hati Rossa ketika itu.
"Perempuan ni complicated! Kalau dia cakap dia okey, sebenarnya dia tak okey. Dan kalau dia tak okey tu, adalah salah kita ni pada mata mereka" Datuk Badrul melabuh punggung di atas buaian sambil mempelawa Firdaus untuk duduk bersamanya.
Firdaus akur. Dia faham akan nasihat Datuk Badrul itu. Bahkan dia juga sudah menyiapkan diri sebaik mungkin untuk menjadi imam kepada makmum dan jemaahnya.
"Kalau ada salah faham, kena duduk berbincang. Jangan biarkan salah faham tu menjarakkan hubungan suami isteri. Masa tu, akan ada pihak ketiga yang mengapi-apikan keadaan. Kita sebagai suami kena sentiasa faham isteri. Emosi perempuan ni tak macam kita" Nasihat Datuk Badrul lagi. Berharap agar nasihat itu dapat diterima pakai oleh Firdaus.
"In Shaa Allah pa.Fir akan ingat sampai bila-bila. Terima kasih untuk nasihat papa"
Sungguh dia terharu kerana papa masih sudi berkongsi tips dengannya. Walaupun dia dan Rossa tidak bergaduh sejak kes tempoh hari, namun dia harus tetap menerima nasihat dan setiap teguran dari yang lebih tua. Kata orang-orang, terlebih makan garam dari mereka!
SETELAH mengaminkan bacaan Yasin, air mawar ditabur di atas pusara Bakri. Batu nisan yang terukir nama Bakri dipandang Rossa sayu. Jatuh juga airmata apabila teringat kembali kenangan mereka. Dia akan sentiasa sayangkan insan yang bernama Akhbar Bakri kerana insan itulah, dia ditakdirkan menemui bahagia bersama Firdaus. Rossa juga sempat menziarahi kubur Marlia, isteri dua jam Bakri yang pernah diceritakan oleh Hafizi suatu masa dulu. Kubur Bakri dan Marlia bersebelahan, itupun atas permintaan Rossa sendiri. Biarlah cinta mereka bersemadi bersama. Dan kerana cinta mereka, dia sempat mengenali Bakri walaupun dalam tempoh yang pendek.
Setelah selesai semuanya, dia dan Firdaus beriringan menuju ke kereta. Rossa menyandarkan tubuh ke badan kereta. Mengeluh dan termenung jauh.
"Menung apa isteri abang ni? Hmmm?" Tudung Rossa dicuitnya. Dia turut berdiri di sebelah Rossa.
"Rossa teringatkan arwah"
"Kenapa dengan arwah?"
"Arwah yang nak kita kawen. Mulanya Rossa tak mampu nak terima keputusan dia. Pada Rossa, dia sengaja nak buat Rossa sakit hati. Masa tu Rossa fikir, kenapa nak jodohkan Rossa dengan kawan baik dia? Apa motif dia? Masa tu, Rossa memang tak sukakan abang. Sebab abang ni menyakitkan hati dan penuh rahsia" Rossa meluah perasaan dengan jujur. Wajah Firdaus dia kerling sejenak. Suaminya itu hanya berlagak tenang, seolah mampu menerima kata-katanya.
"Rossa tak pernah tahu keperibadian abang. Tapi bila Rossa mula belajar mengenali abang, baru Rossa tahu kenapa Bakri nak sangat kita kawen. You're too special to him, aren't you? Bakri terlalu faham abang luar dan dalam, sama seperti abang yang mampu faham dia dari segala aspek. Dia percayakan abang, sebab tu dia berani serahkan Rossa pada abang"
Wajah Firdaus tampak tenang. Dia bersandar sambil memeluk tubuh. Surat yang pernah Bakri tinggalkan untuknya suatu masa dulu menyatakan segala-galanya. Dia tahu segala-galanya pasal Rossa melalui surat Bakri. Disebabkan itulah dia mampu bertahan sehingga ke hari ini.
"Tahu tak surat yang arwah tinggalkan untuk abang
banyak bercerita pasal Rossa?"
Mendengarkan saja itu, kepala Rossa berpusing memandang suaminya.
"He wrote too much about you sayang! Sampaikan abang cemburu sebab arwah lebih faham Rossa berbanding abang. Padahal masa tu kita dah kawen. Abang baca surat tu seminggu lepas kita kawen. Kalau abang baca sebelum kita kawen, taklah cemburu sangat" Firdaus tergelak dengan sikapnya sendiri.
"Apa yang arwah tulis pasal Rossa?" Ingin juga hati Rossa merisik-risik, mana tahu ada kelemahannya yang sengaja ditonjolkan dalam surat tersebut.
"Macam-macam! Rossa ni kuat merajuk, suka membebel, suka jeling-jeling..."
"Haaa? Apasal yang buruk-buruk je? Yang baik-baik takde ke?" cantas Rossa. Wajahnya cemberut.
Firdaus tergelak. Usikannya mengena. Melihatkan wajah Rossa yang cemberut, hatinya mula dipapah kegelian. Salah satu sikap Rossa yang baru dia ketahui, Rossa suka tayang wajah cemberut setiap kali marah atau merajuk! Dan itu, tiada dalam senarai yang Bakri ceritakan.
"Mengadalah abang ni! Suka kenakan Rossa" Bibir Rossa mencebik.
"Buat lagi bibir macam tu, abang cium karang" Firdaus main ugut. Geram tak sudah dengan mimik muka tersebut.
"Abang tak cerita lagi pasal surat tu. Rossa nak tahu" rengek Rossa.
"Kat rumahlah. Surat tu kat rumah.Nanti sayang baca. Tapi...." Firdaus layangkan jari telunjuknya ke kanan dan ke kiri. Mata Rossa mengikut pergerakan jari suaminya.
"Tapi?"
"Kena ada upah" Sengihan nakal terpancar pada raut wajah Firdaus.
"Alaa, sikit-sikit upah! Hmmm" Rossa membebel.
"Haaa membantah! Okey, I want royalty, comes with penalty!"
Rossa buat muncung sedepa. Royalty ke penalty ke, yang pasti keduanya menguntungkan Firdaus!
"Yelah-yelah" Rossa kibar bendera putih. Tidak berani hendak melawan lagi. Bimbang dengan hukuman tak semenggah Firdaus itu.
Share this novel