“Untuk back up plan, Freddie. Jangan cepat panik. Semua akan selamat,” Notarbartolo cuba menenangkan Freddie.
Mereka bertiga masuk ke dalam ruang legar gudang itu dan mula berkenalan dengan tiga orang lagi yang sedang menunggu di situ.
Freddie melihat ke arah ketiga-tiga yang menunggu itu. Dia meneliti seorang demi seorang. Lelaki yang dikatakan pembuka kunci itu nampak sudah berumur, mungkin melebihi umur 50 tahun. Rambutnya dipenuhi uban dan dia berbangsa Cina.
Lelaki yang dikatakan pakar sistem penggera itu nampak seperti seorang peninju. Otot tangannya besar dan berulas-ulas. Tubuhnya sasa dan dia selalu menggenggam tangannya seolah-olah sentiasa bersedia untuk menumbuk sesiapa yang tidak elok dalam hatinya. Dia tidak dapat meneka sama ada lelaki ini berbangsa Melayu atau India.
Lelaki yang ketiga itu berbangsa Eropah, mungkin berasal dari Itali atau Perancis. Rambutnya ikal separas bahu. Dahinya sentiasa nampak kerutan walaupun dia tersenyum. Freddie merasakan dia pernah nampak lelaki ini dahulu tetapi dia tidak ingat di mana.
Notarbartolo membuka beberapa helai kertas kajang berwarna putih yang dibawanya bersama. Dia berkongsi lakaran reka bentuk butik berlian yang berada di Jalan Telawi, Bangsar. Ini adalah pertemuan pertama dan masih banyak lagi yang perlu mereka kaji sebelum membuat perancangan akhir.
Notarbartolo membahagi-bahagikan tugas kajian kepada semua yang datang sebelum pulang.
BENJI menemui Inspektor Jalil sebaik sahaja taklimat pagi itu selesai untuk bertanyakan perkembangan kes kematian Alara. Kes kematian Alara rupa-rupanya telah diserahkan sepenuhnya kepada Adam dan Skuad Alpha. Inspektor Jalil hanya akan membantu jika ada keperluan nanti.
Sebaik sahaja Inspektor Jalil keluar dari bilik itu, Benji meneliti beberapa keping gambar yang sedang ditunjukkan pada skrin projektor. Beberapa orang peserta taklimat masih lagi berada di situ untuk mengenal pasti beberapa imej gambar yang dikumpul oleh Alara sebelum kematiannya.
Satu imej gambar berjaya menarik perhatian Benji. Lelaki dalam gambar itu mempunyai rambut ikal separas bahu dan kerutan pada dahi yang nampak keras walaupun mukanya bersahaja.
“Tunggu!” suara Benji keluar dengan lantang secara tiba-tiba.
Adam yang sedang asyik memandang ke arah skrin projektor agak terkejut dengan permintaan Benji. Mereka berbicara dalam bahasa Inggeris.
“Boleh tolong ulang balik tayangan imej sebelum ini?” Benji membuat permintaan secara terbuka. Imej sebelum itu ditayangkan semula.
“Saya pernah nampak lelaki ini. Dua kali. Sekali di Brussels dan sekali lagi di lobi hotel ini.” Benji bergerak mendekati Adam.
“Awak pasti?”
“Ya, saya pasti. Semasa dia di Brussels, dia menjadi pengemis dan memberikan sesuatu kepada Alara. Sebutir berlian yang belum digilap berwarna kuning. Dia dibelasah selepas menyerahkan berlian itu kepada Alara. Siapa sebenarnya lelaki ini, Adam?”
...bersambung
Bab akan datang:
Siapakah lelaki yang pernah dilihat Benji itu sebelum ini?
Share this novel