Bab 38

Romance Completed 41738

Benji keluar dari kereta lantas berjalan melalui lorong kecil ke rumah Zahra. Para hadirin yang datang sudahpun mula duduk di bawah khemah untuk menikmati hidangan tengah hari bersama pengantin.

Benji berdiri menghadap meja pengantin di belakang beberapa hadirin lain sambil menyaksikan Zahra makan bersama suaminya, Ustaz Amir. Pertama kali dia melihat Zahra memakai tudung seperti seorang muslimah solehah. Senyuman Zahra lebih manis pada hari perkahwinannya. Senyuman Ustaz Amir juga lebih tampan daripada biasa. Kadangkala Ustaz Amir dan Zahra bertemu mata. Kelihatan nur kasih sayang yang ikhlas terpancar daripada kedua-dua mereka semasa mereka berpandangan.

Sudah lama dia menyintai Zahra tetapi ternyata Zahra akhirnya tidak menjadi miliknya. Cinta Zahra adalah milik Ustaz Amir!

Benji tiba di rumahnya di Taman Permata ketika senja mula berlabuh. Sayup-sayup kedengaran alunan azan Maghrib dari masjid yang berdekatan sebagai ingatan untuk menunaikan solat.

Sebaik sahaja selesai menunaikan solat di biliknya, Benji keluar ke balkoni untuk menghirup angin malam. Ibunya masih belum pulang. Semasa kenduri di rumah Zahra tadi, ibunya ada menghantar pesanan ringkas menyatakan dia mungkin akan balik agak lambat malam ini.

Dari balkoni, kelihatan sebuah kereta polis berhenti di luar pagar rumahnya. Sudah tiga kali kes rompakan dilaporkan di kawasan itu sejak akhir-akhir ini, mungkin ada kes yang berlaku lagi.

Seorang lelaki berpakaian biasa dan dua orang lelaki berpakaian polis menunggu di hadapan pagar rumah Benji. Lelaki berpakaian biasa itu melambaikan tangan kepada Benji. Benji meneliti susuk tubuh dan pergerakan lelaki berpakaian biasa itu, dirasakan pernah dikenalinya sebelum ini. Inspektor Jalil rupanya!

Benji masih ingat akan Inspektor Jalil. Beliau pernah menyiasat kes pembunuhan yang berlaku di sekitar kawasan itu setahun yang lalu.

Benji bergegas turun ke tingkat bawah, membuka pagar lalu membenarkan mereka masuk. Benji mengiringi mereka hingga ke ruang tamu.

“Benji, sudah banyak kali saya cuba menghubungi awak melalui telefon bimbit tapi semuanya tak berjawab. Saya ingatkan awak outstation ke luar negara,” Inspektor Jalil memulakan bicara.

“Saya menghadiri majlis perkahwinan kawan baik saya. Agak sibuk tadi. Saya nampak banyak missed call tadi. Maaf, Inspektor. Saya sepatutnya menelefon kembali,” Benji menjawab.

“Kami sebenarnya datang ke sini untuk menyiasat kes kematian.” Inspektor Jalil berhenti seketika seolah-olah menunggu reaksi daripada Benji.

“Ada lagi kes bunuh di Taman Permata, Inspektor?”

“Ya, ada satu kes kematian, tapi bukan di sini. Wanita yang terbunuh ini adalah kenalan awak, Benji. Namanya Alara,” Inspektor Jalil menjawab sambil meneliti perlakuan Benji.

“Alara terbunuh?” Benji memandang Inspektor Jalil dengan pandangan yang penuh dengan kejutan. Jantung Benji berdegup kencang. Perasaannya bercampur baur setelah nama itu disebut. Dia benar-benar terkejut dengan berita itu.

...bersambung

Bab akan datang:
Benarkah Alara terbunuh? Siapa yang membunuhnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience