“Ya Adam, akhirnya saya datang,” Alara menjawab sambil berdiri berpeluk tubuh menghadap ke arah tingkap.
“Kali terakhir awak jadi begini, seingat saya ketika awak jatuh cinta dengan suspek utama kes penjualan senjata haram di Timur Tengah. Prestasi awak semakin menurun sejak akhir-akhir ini, Alara,” Adam bersuara sambil berjalan menghampiri Alara. Adam kini berdiri betul-betul di belakang Alara.
“Awak adalah ejen latihan saya yang terbaik. Saya pilih awak daripada ratusan rekrut akademi polis di seluruh Eropah. Jika awak berterusan begini, saya terpaksa menghentikan perkhidmatan awak di Interpol dan hantar awak ke Belgium semula untuk menjadi polis biasa, mungkin hanya sebagai polis yang memberi saman kereta di Brussels,” Adam membisikkan kata-kata ini ke telinga Alara.
Walaupun suaranya perlahan, Alara tahu ini adalah amaran keras daripada ketuanya. Alara hanya mendiamkan diri.
“Saya tak nampak apa kelebihannya lelaki Melayu bernama Benji itu, cuma seorang pekerja biasa di syarikat antarabangsa. Saya tak tahu apa yang telah berlaku semasa awak berdua tinggal serumah di Brussels,” Adam meneruskan leterannya.
Alara hanya membiarkan sahaja Adam memarahinya.
“Menurut pesanan Sergio, tuan mahu berjumpa dengan saya selewat-lewatnya hari ini kerana Notarbartolo mahu menukar rancangannya. Saya rasa saya masih belum melanggar apa-apa protokol lagi,” Alara berpaling dan mula menjawab.
Adam yang agak marah pada mulanya duduk kembali di atas kerusi sambil membuka sebuah fail di atas mejanya. Ruang bilik Hotel Matahari ini telah dijadikan markas sementara skuad Alpha untuk tugasan mereka kali ini.
“Notarbartolo mahu memendekkan masa lawatannya di Kuala Lumpur. Dia mahu pulang ke Brussels minggu hadapan. Kita akan cuba memerangkapnya di Brussels. Awak akan naik pesawat ke Brussels secepat mungkin dan awak perlu dapatkan akses tempat kediamannya di Brussels nanti,” Adam memberi arahan. Adam kemudiannya memanggil tiga orang pegawai bawahannya lagi masuk ke bilik itu untuk berbincang tentang rancangan mereka seterusnya.
Alara berasa sedikit hampa kerana terpaksa kembali semula ke Brussels setelah dia menemui Benji semula di Kuala Lumpur. Inilah nasib seorang ejen perisikan Interpol, terpaksa melupakan keluarga dan kekasih atas dasar kerja, setiap masa!
Benji terjaga ketika sinar matahari mula masuk ke biliknya. Dia bangun dan duduk di atas katil sambil terkebil-kebil memandang matahari yang semakin meninggi. Dia menguap dan menggeliat. Matanya masih mahu tidur tetapi perutnya terasa amat lapar.
Benji mencapai alat kawalan jauh radio di atas meja kecil di sebelah katilnya. Dia perlukan sedikit alunan muzik untuk membantunya bangun pada pagi Sabtu itu. Ibunya, Puan Maria sudah memberitahu kepada Benji semalam bahawa dia akan keluar rumah selepas subuh pada pagi Sabtu untuk menghadiri satu majlis di Johor. Mungkin itulah sebabnya Benji susah sedikit untuk bangun pagi itu, ibunya tidak ada untuk bersarapan bersama.
...bersambung
Bab akan datang:
Apakah rancangan mereka untuk menangkap Notarbartolo akan berjaya?
Share this novel