Mata Benji terpaku melihat gambar tersebut. Mata si pemakai yang galak dan berwarna biru menyerlahkan lagi keindahan batu permata yang dipakai pada lehernya.
“Jangan tengok lama-lama gambar tu, Benji. Kata orang, berlian yang dipakainya ada sumpahan.” Kata-kata Alara mengejutkan Benji daripada lamunannya.
“Sumpahan?”
“Itu adalah Hope Diamond, sesiapa yang pernah memilikinya mati berdarah atau jatuh bankrap. Ia pernah diinsuranskan setinggi USD250 juta. Berlian ini dipamerkan di Amerika Syarikat sekarang.”
Benji hampir tersedak. “250 juta dolar Amerika? Untuk sebutir berlian yang hanya sebesar bola pingpong?”
“Mungkin kerana sejarahnya yang unik, Benji. Berlian ini menjadi rebutan semenjak kurun ke-17 lagi,” Alara menjawab.
“Saya tak pernah faham mengapa ada orang yang sanggup membayar harga yang amat tinggi untuk barang-barang lama dan antik. Barang yang sudah lama sepatutnya dilupuskan saja dan digantikan dengan barang-barang berteknologi baru. Apa yang menarik sangat mengenai berlian ini hingga dinilai sampai berjuta-juta ringgit?”
“Berlian biru ini berasal dari India. Sekitar tahun 1600, ia dibawa ke Perancis oleh pedagang Perancis bernama Tavernier. Ia dijual kepada Raja Perancis ketika itu, King Louis dan menjadi milik kerajaan Perancis selama hampir seratus tahun. Semasa ia mula dibawa ke Perancis, saiznya adalah tiga kali ganda daripada saiz sekarang.”
“Tiga kali ganda? Sebesar bola tenis? Saya tak pernah jumpa permata sebesar itu.”
“King Louis telah memotongnya menjadi Barang Perhiasan Diraja digelar Emblem of The Golden Fleece.”
“Jika ia berada dalam simpanan keluarga Diraja Perancis, bagaimana ia boleh berada di Amerika Syarikat sekarang?”
“Berlian ini telah dicuri semasa Revolusi Perancis pada tahun 1792 dan hanya berjaya dijejak semula di London antara tahun 1800 hingga 1900. Pada waktu ini, saiznya telah berkurangan kepada sepertiga daripada berlian yang mula-mula dijual oleh Tavernier. Ia berada dalam koleksi Henry Philip Hope.”
“Dari sinilah berlian ini mendapat gelaran Hope Diamond, sempena nama Henry Philip Hope?”
“Pandai awak meneka. Selepas keluarga Hope jatuh bankrap, ia bertukar tangan kepada beberapa orang di Amerika Syarikat dan akhirnya didermakan kepada Smithsonian Institute, Washington D.C.”
“Didermakan? Bukankah Hope Diamond ini nilainya berjuta-juta dolar? Mengapa ia didermakan?”
“Mungkin kerana sumpahan yang dibawanya kepada sesiapa yang pernah memilikinya.”
“Sumpahan yang bagaimana, Alara?”
“King Louise dan permaisurinya, Marie Antoinette, digantung semasa mereka memiliki berlian ini. Keluarga Hope akhirnya jatuh bankrap dan akhirnya terpaksa menjual berlian ini. Pemilik terakhir mendermakan berlian ini kepada Smithsonian Institute hanya dengan menghantarnya dengan sampul surat berwarna coklat melalui pejabat pos.”
“Harganya USD250 juta dan ia hanya dihantar melalui pos?”
“Entahlah, Benji. Mungkin dia terdesak atau takut terkena sumpahan.”
...bersambung
Bab akan datang:
Mengapa berlian itu dihantar melalui pos?
Share this novel