Sudah hampir tiga tahun Adam cuba mencari bukti kegiatan rompakan barang kemas dan berlian yang dilakukan oleh Notarbartolo di Eropah dan Asia. Notarbartolo juga mempunyai rangkaian kedai barang kemas yang menjual semula harta-harta rompakan tersebut, cuma Adam masih belum mendapat bukti yang kukuh untuk mengheretnya ke muka pengadilan.
Notarbartolo adalah antara perompak barang kemas yang paling licik di dunia. Notarbartolo pernah dipenjarakan selama sepuluh tahun di Belgium atas tuduhan merancang rompakan di Antwerp Diamond Centre. Malangnya, kesemua harta rompakan tidak berjaya ditemui. Agak sukar untuk menjejak berlian yang dicuri itu kerana kebanyakannya adalah berlian mentah yang belum digilap dan tidak ada cara untuk mengenalinya.
Hanya sebutir berlian bernama Noor Chenta yang berjaya ditemui semula setelah Alara memulakan penyiasatan di Brussels. Sebuah replika Noor Chenta kini berada dalam jagaan Alara. Alara telah ditugaskan untuk menukar berlian itu dengan berlian yang sebenar. Dia sedang menyusun rancangan itu dengan teliti.
Adam masuk semula ke dalam keretanya, menghidupkan enjin dan meluncur ke jalan utama. Maklumat yang diterimanya daripada lelaki Melayu itu memerlukan perancangan semula seluruh skuad Alpha yang dibawanya ke Kuala Lumpur. Skuad Alpha adalah sebahagian daripada unit di bawah selenggaraan Interpol, pertubuhan polis antarabangsa yang berpusat di Lyon, Perancis.
Alara masuk ke pintu utama Hotel Matahari dan terus menaiki lif untuk ke tingkat lima belas. Alara melangkah keluar sebaik sahaja lif terbuka. Kelihatan seorang lelaki yang memakai kot serba hitam yang berdiri beberapa meter dari lif tersebut memberikan tabik hormat kepadanya. Alara membalas dengan tunduk sedikit. Di sepanjang laluan bilik-bilik di tingkat itu, dua lagi lelaki berpakaian yang sama berdiri selang beberapa meter antara satu sama lain. Kedua-dua mereka juga memberikan tabik hormat kepada Alara.
Setibanya di bilik nombor lima belas, seorang lelaki membuka pintu.
“Saya mahu berjumpa dengan Tuan Adam, seperti yang diarahkan,” Alara bersuara sebaik sahaja pintu dibuka.
Tanpa bersuara, lelaki yang membuka pintu itu meluaskan bukaan pintu untuk Alara masuk.
Ruang bilik itu kelihatan agak besar untuk sebuah bilik hotel. Ia mempunyai ruang tamu yang luas dan tiga buah bilik kecil. Terdapat tiga orang pekerja yang sedang sibuk bekerja dengan beberapa buah komputer riba di ruang tamu. Dinding ruang tamu itu pula diletakkan sebuah skrin LCD yang besar dan dipenuhi dengan beberapa visual kamera hitam putih yang dipancarkan dari beberapa tempat di Kuala Lumpur. Alara terus sahaja membuka pintu salah sebuah bilik di situ.
“Akhirnya awak datang setelah lama saya panggil awak,” Adam menyambut Alara dengan kata-kata yang agak sinis. Mereka berbicara dalam bahasa Perancis.
...bersambung
Bab akan datang:
Apa yang akan Adam katakan pada Alara? Adakah dia akan melarang Alara daripada terlibat dengan kes ini?
Share this novel