Bab 78

Romance Completed 41738

Perlukah dia memberitahu Alara sebenarnya adalah sebahagian daripada Skuad Alpha di bawah seliaan Interpol?

Benji masuk ke restoran itu dan terus menuju ke kaunter bayaran seperti yang dikatakan dalam surat tersebut.

“Saya mahu bertemu dengan Cik Aishar,” Benji bersuara sebaik sahaja salah seorang pelayan lelaki mula berpaling ke arahnya.

“Maksud encik, Cik Aishar, tuan empunya restoran ini?” pelayan itu bertanya.

“Ada orang lain lagi yang bekerja dengan nama Aishar di sini?” Benji membalas dengan pertanyaan.

“Tidak ada. Encik ada janji temu dengan Cik Aishar?”

“Tidak ada, saya sebenarnya datang ke sini atas pesanan seorang sahabat saya.” Benji mengeluarkan patung kertas Jepun yang disertakan oleh Alara bersama suratnya. “Mungkin awak boleh tunjukkan kepadanya.” Benji menyerahkan patung kertas tersebut kepada pelayan itu.

“Siapa nama encik?” tanya pelayan itu.

“Benji,” jawab Benji ringkas.

“Baiklah, encik duduk dulu. Saya akan serahkan ini kepada Cik Aishar,” jawab pelayan itu dan terus naik ke tingkat atas restoran itu.

Benji cuba mencari meja yang sesuai untuk pertemuan itu. Debaran hatinya masih belum reda. Pada masa yang sama, dia masih belum faham bagaimana Alara menyusun masa agar surat-surat tersebut sampai pada waktu yang tepat. Pasti Alara telah mengupah seseorang untuk memastikan semua surat itu sampai kepadanya. Mungkin Nasaruddin, lelaki yang ditemuinya di Jalan Petaling yang memastikan semua surat itu sampai atau mungkin kawan-kawannya yang lain.

“Benji,” kedengaran suara seorang wanita memanggil namanya.

Suara itu seakan-akan suara Alara, tetapi setelah dia membaca surat yang baru diterimanya beberapa hari lepas, dia tahu itu bukan Alara. Alara sudah tidak ada.

Benji berpaling melihat wajah yang menyapanya. Dahinya berkerut melihat wajah yang berada di hadapannya. Gadis itu bukan Alara tetapi dia pernah bertemu dengan gadis itu sebelum ini.

“Saya Aishar. Kita pernah bertemu dahulu di taman rekreasi.” Gadis yang memperkenalkan dirinya itu duduk di hadapannya sambil memegang patung kertas Jepun yang dibawa oleh Benji tadi.

“Ya, saya ingat. Suara awak hampir sama dengan Alara. Rupanya awak berdua ada pertalian darah,” Benji menjawab.

“Bagaimana dengan Alara?”

Benji tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan itu.

“Bila kali terakhir awak bertemu dengannya?” Aishar bertanya lagi.

“Empat bulan lepas,” Benji menjawab tetapi terhenti di situ.

“Dia pernah bercerita mengenai seorang lelaki bernama Benji. Jadi, awaklah orangnya.”

“Mungkin saya orangnya,” Benji menjawab sambil tersipu-sipu malu.

“Awak cintakan Alara, saya nampak daripada anak mata awak,” Aishar cuba menduga.

Benji menutup matanya dengan beberapa batang jarinya. Air panas luruh sedikit daripada kelopak matanya.

“Awak sangat-sangat menyintainya,” Aishar menambah.

Benji hanya mengangguk sedikit. Air matanya gugur lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience