“How do I look? Terlebih gaya atau selekeh sangat?” Alara bertanya.
Dia menggayakan pakaiannya di hadapan Benji. Dia memakai gaun separas lutut berwarna biru tanpa lengan. Potongan lehernya tinggi tetapi luas ke arah bahu, gaya gaun era enam puluhan. Dia juga memakai gelang perak yang dipadankan dengan anting-anting perak dan tas tangan kecil tanpa tali yang juga berwarna biru. Rambutnya yang berwarna emas disanggul tinggi.
“Ada date ke?” Benji bertanya.
“Taklah, cuma keluar makan saja.” Alara berdiri menghadap cermin semula dan membetulkan rambutnya sedikit.
“Makan di mana?”
“Restoran Itali.”
“Baju hitam atau merah lebih sesuai untuk makan di Restoran Itali,” Benji memberi komen.
“Really? Tapi saya suka warna biru, warna kegemaran saya.”
“Kalau awak sukakan lelaki tu, pakai warna merah. Pasti dia akan tertawan. Saya rasa awak nampak lebih cantik kalau awak pakai baju warna merah.”
Alara tersenyum. Dia masuk kembali ke biliknya.
Benji duduk di sofa dan mula memasang televisyen. Dia memicit-micit lehernya, cuba mengurangkan rasa penat. Saluran televisyen yang dibukanya menggunakan bahasa yang tidak difahaminya.
“Bagaimana?” Tanpa disedari, Alara sudah pun berada di ruang tamu semula memakai gaun berwarna merah darah.
Gaun itu juga separas lutut dan tanpa lengan tetapi lehernya berbentuk V. Rambut Alara yang tadi disanggul kini dilepaskan begitu sahaja. Alara masih memakai aksesori yang sama kecuali tas tangan yang kini berwarna hitam. Dia juga memakai sepasang kasut tumit tinggi berwarna hitam.
Hati Benji berdebar sedikit. Senyumannya semakin lebar. Dia mengambil beberapa minit untuk meneliti bentuk badan Alara yang menawan.
“Well?” Alara mahukan jawapan.
“Wah, cantiknya! Dia akan jatuh cinta dengan awak nanti!” Benji menjawab. Benar sangkaannya, Alara memang nampak lebih menawan dengan gaun berwarna merah.
Telefon bimbit di dalam tas tangan Alara berbunyi. Alara membuka tas tangannya dan terus menjawab panggilan. “Adam, just give me a minute, I’m coming out now,” Alara menjawab lantas terus menuju ke pintu utama.
“Terima kasih, Benji!” jerit Alara sebelum menutup pintu rumah.
Benji hanya tersenyum. Fikirannya tiba-tiba teringatkan Zahra. Zahra juga nampak lebih cantik jika memakai pakaian berwarna merah walaupun sebenarnya dia lebih suka memakai pakaian berwarna biru.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah Benji akan menghubungi Zahra dari Brussels untuk meluahkan rasa hatinya?
Share this novel