Bab 63

Romance Completed 41738

Sebelum bersemuka, seharian Adam melihat dari jauh kerja-kerja yang dilakukan oleh Alara. Kerja-kerja berkaitan saman kereta amat membosankan. Ada yang memberikan kerjasama, ada yang memaki-maki dan ada yang cuba melakukan rasuah agar tidak disaman.

Alara mewarisi asas kejituan ilmu senjata daripada ibunya. Ibunya adalah pembaling pisau tepat yang membuat persembahan di dalam sarkas utama di Eropah. Mungkin kerana sering mengikut ibunya menjelajah mengikut sarkas yang disertainya, Alara juga dapat bertutur dalam beberapa bahasa.

Selain itu, Alara juga ada meluangkan masa untuk mempelajari sedikit sebanyak mengenai perniagaan berlian daripada bapanya, seorang pakar batu permata dan pencanai berlian.

Pada waktu lepas kerja, hujung minggu dan cuti, Alara banyak mengambil kelas berasaskan senjata. Dia telah mencuba banyak kali memohon untuk menyertai skuad penembak tepat.

Melihat potensi yang tinggi dalam diri Alara, Adam mengambil keputusan untuk merekrutnya dalam unit barisan hadapan dan melatihnya hingga dia menjadi salah seorang ejen terbaik dalam skuad itu. Wajahnya yang manis juga selalu menjadi daya penarik dan dia selalu terpilih untuk menyelesaikan kes-kes yang melibatkan penjenayah-penjenayah yang mempunyai cita rasa yang tinggi.

Walaupun Alara mempunyai masa depan yang cerah dalam Interpol, dia mempunyai satu kelemahan. Dia mudah jatuh cinta!

Antara tugasan terawal Alara adalah untuk melumpuhkan satu kumpulan penyeludup di Baghdad. Entah bagaimana dia boleh jatuh cinta dengan ketua kumpulan penyeludup itu, orang yang sepatutnya dia bunuh. Oleh sebab perasaan cintanya terhadap lelaki itu, dia tidak menyampaikan maklumat-maklumat penting yang sepatutnya dia hantar kepada markas utamanya. Akhirnya, ketua kumpulan itu mengetahui identitinya yang sebenar dan dia telah dikurung dan diseksa. Satu unit penyelamat telah dihantar untuk menyelamatkan Alara dan akhirnya ketua kumpulan itu bersama konco-konconya berjaya ditangkap dan digantung.

Selepas itu, Alara dihantar ke unit psikiatri selama tiga bulan untuk memulihkan semangatnya kembali. Selepas rawatan tiga bulan itu, dia telah diberi tugasan lain tetapi daripada wajah dan renungannya, dia nampak tidak seceria dahulu lagi. Walaupun dia menjalankan tugasan-tugasannya dengan baik, tetapi dia selalu nampak murung, seolah-olah sebahagian daripada dirinya hilang di Baghdad.

“Semakin hari, dia menjadi semakin degil dan keras kepala sehinggalah dia duduk serumah dengan awak, Benji.” Cerita Adam terhenti seketika.

“Apa maksud awak, Adam?”

“Semenjak dia tinggal serumah dengan awak, walaupun hanya tiga bulan, senyumannya datang kembali. Saya tak tahu apa yang telah berlaku antara awak berdua di dalam rumah itu, tapi dia sudah mula tersenyum.” Adam memandang Benji dengan pandangan yang sinis.

“Apa yang telah awak lakukan, Benji? Apa yang berlaku antara awak berdua di rumah itu?” Adam bertanya dengan nada antara marah dan mengejek.

...bersambung

Bab akan datang:
Adakah Benji pemangkin semangat Alara dalam meneruskan hidupnya semasa mereka bersama?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience