Bab 46

Romance Completed 41738

Jadi, saya membuat keputusan untuk menyerahkannya kepada awak. Awaklah orang yang paling saya percayai.

Tetapi awak perlu berhati-hati, Benji. Oleh sebab saya banyak kali bertemu awak di Kuala Lumpur, awak mungkin dalam bahaya. Mereka yang menjejaki saya pasti akan menjejaki awak.

Maaf, Benji. Saya bertemu awak kerana saya cintakan awak, tetapi kerja-kerja saya ini akhirnya mungkin akan membawa bahaya kepada awak.

Walau bagaimanapun, saya telah merancangkan segala-galanya untuk menyelamatkan awak.

Sesiapa yang mengetahui mengenai Noor Chenta selepas awak membaca surat ini berpotensi menjadi pembunuh atau mangsa pembunuhan kerana nilainya yang sangat tinggi. Ini termasuk pihak polis. Jadi, pilih dengan tepat siapa yang awak mahu libatkan. Keputusan di tangan awak, Benji!

Sekiranya berlaku sebarang pembunuhan yang dikaitkan dengan awak, itu tandanya lokasi Noor Chenta telah dihidu. Mereka tidak akan bunuh awak dahulu, tetapi mereka akan bunuh orang-orang di sekeliling awak. Itu cara mereka.

Selepas awak membaca surat ini, lekas cari seorang pencanai berlian bernama Nasaruddin. Dia dapat ditemui di Chinatown, Jalan Petaling, Kuala Lumpur. Pergi ke Restoran Lim Kian Kee dan katakan kepada pengurus restoran itu yang awak mahu membeli batu jed berwarna biru. Dia akan bawa awak menemui Nasaruddin.

Nasaruddin akan memberitahu awak apa yang awak patut lakukan selepas itu.

Saya doakan awak sentiasa akan selamat.

Alara

Azhari membaca surat itu beberapa kali untuk memahami isi kandungannya.

“Noor Chenta, berlian biru yang disebut dalam surat ini, ada pada kau?” Azhari bertanya dengan nada yang masih waswas.

Benji memasukkan tangan kanannya ke dalam poket seluarnya. Dia mengeluarkan sebuah kotak kecil yang dibalut dengan kain baldu berwarna hitam.

“Ini dia,” jawab Benji sambil menunjukkan kotak itu kepada Azhari. Ketika Azhari mahu mengambil kotak itu daripada tangan Benji, Benji menjauhkan kotak itu daripada tangan Azhari. “Bolehkah aku percayakan kau?”

“Sudah terlambat untuk kau persoalkan sekarang. Aku dah tahu segala-galanya. Kalau kau tak percayakan aku, kau takkan datang jumpa aku hari ini. Jawapan itu ada dalam diri kau sendiri.” Azhari menekan jari telunjuknya pada dada Benji sehingga dia jatuh terduduk di atas sofa.

Azhari menghulurkan tangan kanannya dengan tapak tangan terbuka sebagai isyarat menyuruh Benji menyerahkan kotak itu kepadanya. Tanpa berfikir panjang, Benji terus sahaja meletakkan kotak itu di atas tapak tangan Azhari. Azhari membuka kotak itu dengan perlahan. Sebutir berlian berwarna biru yang telah diikat menjadi sebentuk cincin kelihatan bersinar di bawah cahaya lampu.

“Aku rasa, mula-mula sekali kau kena periksa dahulu adakah ini berlian tulen. Jika benar-benar tulen, baru kita fikir sama ada kita akan ikut atau tidak arahan surat itu,” Azhari bersuara lalu menutup kotak itu dan menyerahkannya kepada Benji semula.

…bersambung

Bab akan datang:
Kemanakah Benji dan Azhari akan bawa berlian itu untuk membuktikan ia adalah tulen?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience