“Saya lakukan ini demi Alara. Saya mahu kematiannya terbela,” Benji menjawab dengan nada yang lebih tenang daripada semalam. Walaupun dia tidak dapat tidur dengan lena malam tadi, dia kini dapat berfikir dengan lebih jelas.
“Saya mahu tunjukkan beberapa keping gambar yang kami ambil semasa menemui mayat Alara beberapa hari lepas. Gambar-gambar ini agak mengerikan. Awak bersedia?” Inspektor Jalil bertanya sambil mengambil sebuah fail di tepi mejanya dan meletakkannya di atas meja.
“Saya sudah bersedia,” jawab Benji.
Inspektor Jalil membuka fail tersebut dan mula menunjukkan beberapa keping gambar kepada Benji. “Alara diikat, dicurah minyak tanah dan dibakar. Mayatnya dihumban ke dalam parit di tepi sebuah ladang kelapa sawit.”
Benji hanya mampu melihat sekilas sahaja gambar-gambar yang ditunjukkan oleh Inspektor Jalil. Rupa tubuh Alara yang kehitam-hitaman setelah dibakar membuatkan Benji berasa mual. Benji melemparkan pandangannya ke luar tingkap seketika.
“Tapi kalau tubuhnya dibakar sebegini, bagaimana polis boleh begitu pasti ini adalah Alara?” Benji mengajukan pertanyaan.
“Berdasarkan saiz susuk tubuh dan dokumen pengenalan yang terdapat pada mangsa.”
“Apa motif pembunuhan ini sebenarnya, Inspektor? Jika dokumen pengenalan masih ada pada tubuh mangsa, adakah pembunuhan ini disengajakan atau tidak disengajakan?”
“Kami masih menyiasat, Benji. Mungkin pembunuhan ini adalah amaran kepada kawan-kawannya yang lain.”
“Apa maksud, Inspektor, amaran untuk kawan-kawannya yang mana?”
“Saya belum tahu cerita sepenuhnya, Benji. Kes ini masih lagi dalam siasatan, tapi saya tertarik dengan apa yang awak katakan semalam. Dia pernah berjanji dengan awak, apa yang dia janjikan, Benji? Saya mahu awak ceritakan dari mula bagaimana awak berkenalan dengan Alara.”
Benji terdiam seketika. Dia mengambil nafas panjang. “Saya mula berkenalan dengan Alara di Brussels, semasa saya bertugas di sana. Kami tinggal di dalam unit apartmen yang sama.”
“Oh, jadi awak berdua sudah mula mempunyai hubungan cinta semenjak di Brussels lagi?”
“Tidak, pada waktu itu saya terpaksa menyewa di apartment itu kerana syarikat saya tertinggal nama saya. Saya sepatutnya tinggal di apartment yang lain. Dari situlah saya berkenalan dengan Alara, hampir setahun lalu.”
“Apakah pekerjaan Alara waktu itu?”
“Menurutnya, dia adalah penterjemah. Saya juga ada nampak dia menari. Tapi yang peliknya, dia selalu sahaja dikejar dan selalu pulang ke rumah dengan keadaan lebam-lebam. Suatu hari, dia keluar dari rumah tanpa memberitahu saya ke mana dia pergi. Setelah saya kembali ke sini, saya bertemu dengannya semula di satu poolside party yang dianjurkan oleh KH Intelligence.”
“KH Intelligence? Bagaimana awak mendapat jemputan? Daripada Alara?”
“Tidak, saya sebenarnya mendapat tawaran bekerja di KH Intelligence, kerana itulah saya mendapat jemputan daripada empunya syarikat, Encik Badrul. Kami selalu panggil dia Bard.”
...bersambung
Bab akan datang:
Mengapa Inspektor itu menyoal siasat mengenai Alara? Adakah Alara orang yang sangat dikehendaki pihak polis?
Share this novel