“Tak ada apa-apa yang berlaku pada waktu itu, Adam,” Benji menjawab dengan penuh keyakinan. Selepas mendengar jawapan itu, Adam merenung ke tanah.
“Kemudian, semasa dia diarahkan bertugas di Singapura dan Kuala Lumpur menjejak Notarbartolo, saya nampak awak berdua selalu bertemu. Pada waktu itu, saya tahu dia sudah jatuh cinta lagi,” Adam membalas.
Benji tunduk malu.
Adam menyambung, “Saya minta maaf, Benji, tapi untuk menjadi seorang ejen yang baik, pada pandangan saya, tidak boleh ada perasaan cinta kerana itu hanya akan membuatkan tumpuan kerja terganggu. Tapi saya rasa dia tidak menghiraukan nasihat saya itu.”
Keadaan sepi seketika.
“Saya rasa selepas itu, awak tahu apa yang berlaku. Apakah maklumat ini cukup sebagai bayaran untuk Noor Chenta?” Adam bertanya.
“Ya, cukup,” Benji membalas.
“Serahkan Noor Chenta kepada saya.” Adam menghulurkan tangannya meminta.
“Terima kasih, Adam. Ini dia Noor Chenta.” Benji menyerahkan sebuah kotak yang dibungkus kemas dengan sehelai sapu tangan.
Adam mengambil kotak itu daripada tangan Benji. Kemudian, dia menyerahkan kotak itu kepada salah seorang pegawai yang berada bersamanya.
“Saya balik dulu, Adam.” Benji berpusing dan mengambil langkah untuk pergi dari situ.
“Nanti dulu, Benji. Saya sebenarnya perlukan bantuan awak.” Adam cuba menahan Benji.
Benji berpaling. “Saya tak mahu terlibat lagi dengan kisah Noor Chenta, saya sudah serahkannya kepada awak dan saya tak mahu terlibat lagi.”
“Tidak semudah itu, Benji. Saya minta maaf atas apa yang Alara telah lakukan kepada awak. Dia telah membawa orang awam seperti awak terlibat dalam bahaya. Awak masih belum selamat lagi,” Adam cuba memujuk.
“Tak ada apa-apa yang dapat saya bantu lagi, Adam. Saya sudah serahkan Noor Chenta kepada awak.” Benji tetap meneruskan perjalanan.
Adam mengejar dan memintas Benji. “Cerita ini belum berakhir, Benji. Jika awak keluar dari kawasan ini, saya tak dapat menjamin keselamatan awak. Lihat saja apa yang berlaku kepada Abbas.”
Benji berhenti sebaik sahaja dia mendengar nama Abbas disebut.
“Saya ada pasukan yang dapat selamatkan awak tapi itu juga tidak datang dengan percuma.”
“Baiklah, apa yang awak mahu saya lakukan?”
“Awak harus bantu saya menangkap semua yang terlibat dalam kes ini terutamanya Notarbartolo. Kita selesaikan kes yang dibuka oleh Alara ini bersama.” Adam cuba untuk mendapatkan persetujuan Benji.
Agak lama Benji berfikir. Jauh di sudut hatinya, dia mahu melupakan segala-galanya.
“Kita lakukan ini untuk Alara!” Adam menuturkan kata-kata ini dengan perlahan tetapi penuh dengan harapan.
Benji memandang Adam. Matanya menunjukkan kata-katanya ikhlas. Benji akhirnya mengangguk, tanda bersetuju.
“Mereka akan bawa awak kembali ke Hotel Suria. Markas sementara kami ada di sana. Saya telah sediakan semua pelan tindakan,” sambung Adam sambil memberi isyarat kepada dua orang pegawai yang berada berdekatan untuk membawa Benji ke Hotel Suria kembali.
...bersambung
Bab akan datang:
Apakah rancangan mereka untuk menjejak Alara?
Share this novel