Bab 73

Romance Completed 41738

“Mungkin dia lari dengan Noor Chenta!” Raoul menjawab dengan nada tidak berpuas hati.

“Dia berada di dalam pesawat ini,” Notarbartolo menjawab ringkas.

“Kenapa kita duduk di kelas ekonomi?” Freddie tidak begitu berpuas hati dengan tempat duduknya.

Notarbartolo tidak menghiraukan kata-kata Freddie. Wanita yang berpakaian serba hitam tadi masuk dan duduk betul-betul di sebelah Notarbartolo.

Ketika kapten yang bertugas membuat pengumuman bahawa pesawat akan berlepas sebentar lagi, kesemua penumpang memakai tali pinggang keledar dan pesawat itu mula bergerak dari landasan.

Walaupun sudah banyak kali dia menaiki pesawat, hati Notarbartolo masih lagi berdebar-debar setiap kali kapten mengumumkan masa memulakan perjalanan. Dia pasti akan menutupkan mata dan memasang ipod yang berisi lagu-lagu klasik untuk menenangkan fikirannya sehingga pesawat itu sudah berada di latitud tinggi.
Setelah setengah jam berlalu, barulah Notarbartolo membuka matanya.

“Sudah selamat, Leo.” Suatu suara kedengaran di telinganya.

Notarbartolo tersenyum. Dia tahu suara itu milik wanita berpakaian hitam di sebelahnya.

“Bagaimana perjalanan kau?” Notarbartolo bertanya.

“Tidak begitu mudah pada mulanya tapi semuanya selamat,” wanita itu menjawab sambil menyerahkan loket yang dipakainya kepada Notarbartolo.

“Bagus. Oh ya, kau nampak cantik dalam pakaian wanita, Antonio. Aku hampir tergoda,” Notarbartolo menjawab sambil mengusik.

Antonio hanya mengerutkan dahinya. Raoul dan Freddie sudah mula tidur.

Notarbartolo membuka loket itu. Di dalamnya terdapat sebutir berlian berwarna biru. Tidak semena-mena, Notarbartolo mengeleng sambil menghentak-hentakkan tangannya ke kerusi.

“Kenapa, Leo?” Antonio bertanya.

“Ini bukan Noor Chenta yang asli. Batu ini tiruan, langsung tidak bernilai. Nampaknya Adam sudah semakin bijak,” Notarbartolo menjawab dengan nada tidak berpuas hati.

Antonio terdiam. Banyak masanya dihabiskan untuk merancang semua yang dilakukannya hari ini. Dia sanggup menyamar sebagai seorang wanita untuk membawa batu permata itu masuk ke pesawat tetapi ternyata semua usahanya sia-sia sahaja.

DALAM keadaan yang amat tegang, Adam menjerit kepada orang-orang bawahannya dalam bahasa Perancis. “Aku mahu semua lapangan terbang dipantau untuk mencari Antonio Lombardi. Aku mahu dia ditangkap secepat mungkin!”

Adam mengambil gambar Antonio Lombardi dan mencampakkannya ke atas meja dengan kasar. Kepalanya dirasakan berasap. Dia masih dapat menerima kenyataan bahawa Notarbartolo telah berjaya melepaskan diri sekali lagi.

Orang-orang bawahannya masih melihat Adam dengan pandangan yang keliru. Operasi untuk menjejak dan menangkap Antonia Lombardi belum diluluskan oleh pihak ibu pejabat lagi. Mereka masih menunggu jawapan daripada Moreau, Pengarah Operasi Interpol di Lyon, Perancis.

Adam melihat sekeliling. Hatinya semakin panas apabila dia melihat kesemua orang bawahannya masih tercegat di hadapannya lagi.

...bersambung

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience