Bab 3

Romance Completed 41738

“Bagaimana dengan sekolah?” Benji cuba mengalih topik seperti yang dicadangkan. Dia perlu menghilangkan perasaan gementarnya dahulu sebelum meluahkan isi hatinya.

“Macam biasa, ada budak nakal. Ada budak yang bagus,” Zahra menjawab.

Benji dapat mendengar dengan jelas yang suara Zahra sudah tidak segembira tadi. Mungkin Zahra bosan berbual dengannya. Sejak sekolah menengah lagi, Zahra sentiasa nampak gembira jika berada bersama Ustaz Amir tetapi menjadi agak dingin jika berada bersamanya.

“Ustaz Amir datang ke kelas saya minggu lepas untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar saya,” Zahra tiba-tiba menyambung. Kali ini intonasi suaranya agak berlainan. Dia lebih ceria. Wajahnya dipenuhi senyuman dan cahaya kegembiraan.

“Awak kahwin sajalah dengan Ustaz Amir tu. Sesuai dengan awak.” Benji sengaja menduga perasaan Zahra. Dia membuka botol air mineral yang dibawanya dan meneguk sedikit air itu untuk menghilangkan rasa gugupnya.

“Eh, awak ni. Ke situ pula, tak naklah!” Zahra membalas.

Walaupun Zahra cuna menidakkan tetapi Benji nampak senyumannya menguntum dan matanya bercahaya apabila nama Ustaz Amir disebut.

“Ataupun awak kahwin dengan saya sajalah!” Benji mencuba. Entah bagaimana kata-kata itu boleh terpacul keluar daripada mulutnya.

“Eh, awak ni. Kalau awak nak kahwin, kahwin sajalah. Jangan libatkan saya,” Zahra menjawab sambil ketawa dengan sinis.

“Zahra, hujung minggu ini kamu sibuk tak?” Puan Maria tiba-tiba memanggil Zahra.

Zahra berjalan ke arah Puan Maria, meninggalkan Benji bersendirian.

Benji melepaskan keluhan yang amat berat. Sehingga kini, dia masih belum berjaya menyuarakan perasaan hatinya kepada Zahra.

Azhari yang terdengar suara Puan Maria, menjeling kepada Benji sambil mengangkat keningnya sedikit sebagai isyarat bertanya perkembangan rancangan mereka.

Benji hanya menggeleng lantas terus membawa troli ke kaunter perlepasan.

Bunyamin Lee? Well, according to my records, he reported yesterday.” Seorang lelaki berkulit putih dalam usia empat puluhan memeriksa senarai di tangannya.

Menurut kata penyambut tetamu tadi, lelaki ini adalah Pengurus Sumber Manusia untuk syarikat AvioNet, syarikat yang memenangi kontrak dengan syarikat gergasi De Beers Diamond.

“What do you mean he reported yesterday? I am here now. I am Bunyamin Lee!” Benji menjawab dengan nada yang agak marah.

“Mr Lee, I’m gonna have to check with the Project Management Team. This might take some time. Meanwhile you can grab a bite at our cafeteria. It’s on the house. I will be in touch with you there later. Give me an hour or so.”

“Just call me Benji. Allright, just give me a call later when you are done,” Benji menjawab.

Hatinya agak panas dengan apa yang berlaku hari itu. Sebaik sahaja dia tiba di pejabat AvioNet beberapa jam yang lalu, penyambut tetamu di syarikat itu memberitahunya bahawa namanya tidak ada dalam senarai jurutera perisian yang sepatutnya tiba pada hari itu.

Setelah dihubungi, anak syarikat AvioNet di Malaysia, MegaPixel International, terpaksa menghantar semula surat perlantikan Benji sebagai perunding projek itu.

Hanya setelah hampir dua jam menunggu, barulah Pengurus Sumber Manusia itu datang memberi penjelasan.

...bersambung

Bab akan datang:
Apakah yang berlaku? Mengapa nama Benji tidak tersenarai?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience