“Ya, Brussels.”
“Alara juga dari Brussels?”
“Ya, Alara juga dari Brussels. Seperti yang saya terangkan dahulu, saya tinggal satu rumah dengan Alara di Brussels.”
“Menurut kata pengawal keselamatan, awak seakan-akan bergaduh dengan Abbas malam itu.”
“Saya mahu menempah sebentuk cincin untuk ibu saya sebagai hadiah hari jadinya minggu depan. Saya minta dia buat dengan harga yang terlalu murah. Mungkin itu sebabnya dia marah. Saya sebenarnya tak berapa pasti atas sebab apa dia marah,” Benji cuba menjawab dengan tenang.
“Sudah ada dua pembunuhan yang ada kaitan dengan awak, Benji. Ada apa-apa yang awak mahu beritahu saya? Perkara yang mungkin saya tak nampak dalam siasatan saya?”
Benji terdiam seketika. Kepalanya ligat berfikir. Perlukah dia memberitahu Inspektor Jalil tentang Noor Chenta? Dia masih ingat lagi akan kata-kata yang ditulis dalam surat Alara; Sesiapa yang mengetahui mengenai Noor Chenta selepas awak membaca surat ini berpotensi menjadi pembunuh atau mangsa pembunuhan kerana nilainya yang sangat tinggi. Ini termasuk pihak polis. Jadi, pilih dengan tepat siapa yang awak mahu libatkan. Keputusan di tangan awak, Benji!
“Tidak ada, Inspektor!” Benji menjawab setelah senyap seketika.
Inspektor Jalil mengurut kepalanya yang semakin botak.
Melalui teropong binokular yang dipegangnya, Notarbartolo memerhati sebuah rumah di Taman Permata dengan teliti. Inspektor Jalil baru sahaja memasuki rumah tersebut yang menurut orang bawahannya, tempat kediaman Benji.
Nortarbartolo meneliti semula nota yang baru sahaja dicatatnya selepas menemui salah seorang anak didiknya, Raoul, pencuri terbaik yang pernah dilatihnya di School of Turin. Turin adalah sebuah bandar di negara asalnya, Itali. School of Turin adalah sekumpulan anak muda yang kebanyakannya lelaki yang hidup merempat di bandar Turin. Dia telah mengumpul anak-anak muda berumur belasan tahun ini dan melatih mereka menjadi pencuri terbaik di dunia dengan reputasi membuat rompakan berlian terbesar di dunia pada masa ini.
Nortarbartolo mengambil pen yang selalu berada di dalam poket kemejanya dan mula membulatkan beberapa nama yang tercatat dalam buku nota itu; Benji, Puan Maria, Inspektor Jalil dan Abbas. Semua nama ini ada kaitan dengan Alara, gadis yang berjaya mencuri beberapa butir berlian dalam simpanannya.
Setiap kali nama Alara bermain dalam mindanya, perasaan marahnya membuak-buak. Reputasinya terasa bagaikan dicabar. Bagaimana ketua kumpulan pencuri yang terbaik di dunia boleh terpedaya dengan seorang wanita seperti Alara? Bagaimana Alara dapat mencuri berlian daripadanya, seorang pencuri berlian terbaik di dunia? Tidak mungkin dia dapat memaafkan dirinya sampai bila-bila jika dia tidak berjaya mendapatkan semula kesemua berlian tersebut.
Masih segar lagi dalam ingatannya bagaimana dia mula merancang rompakan di Diamond Trade Centre, Antwerp.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah benar Notarbartolo yang membunuh Alara?
Share this novel