Adam pula tidak pernah menerima berlian-berlian kecil tersebut.
“Mungkinkah…? Tak Mungkin!” Sesuatu yang datang ke dalam mindanya dicantas dengan segera.
Benji melihat sekeliling restoran itu. Restoran ini masih baharu. Catnya masih cantik. Perabotnya juga gaya moden dan masih baharu. Ada yang plastiknya masih belum dibuka.
Benji tersenyum sendiri. Rasanya, dia sudah dapat merungkai segala-galanya sekarang. Surat yang dihantar oleh Alara. Kehadiran Aishar di Restoran Lim Kian Kee, Jalan Petaling. Kehadiran Aishar di taman rekreasi dan memberi cadangan untuk memeriksa surat. Semuanya jelas dalam mindanya.
Sambil tersenyum lebar, Benji bangun dan berjalan ke arah Aishar yang masih berdiri berdekatan dengan tingkap kaca.
“Saya minta maaf, Cik Aishar,” Benji menegur Aishar sambil tersenyum. “Saya sudah nampak dengan jelas sekarang. Awak telah merancang semuanya dengan teliti dan bijak.”
Aishar mula memandang Benji. “Apa maksud awak?”
“Awak sebenarnya Alara.”
“Saya Alara? Bagaimana awak boleh membuat kesimpulan sebegitu?”
“Awak adalah ejen Interpol. Baru sebentar tadi saya dapat fikirkan semuanya. Awak ada pengetahuan dan kenalan-kenalan yang diperlukan untuk buat semua ini,” ujar Benji lagi.
Aishar menggeleng. “Buat apa, Benji? Apa yang awak rasa saya telah buat?”
“Selama ini saya tak nampak dengan jelas. Begitu juga dengan semua yang terlibat. Awak memang seorang yang genius.”
“Benji, saya tak faham apa yang awak cakapkan.”
“Awak ditugaskan untuk mencuri Noor Chenta dan memerangkap Notarbartolo. Pada masa yang sama, awak juga mencuri beberapa butir berlian lain yang lebih kecil. Notarbartolo sendiri yang memberitahu perkara ini kepada Adam tetapi Adam tak mungkin percaya apa yang dikatakan oleh Nortarbartolo kerana Notarbartolo adalah seorang penjenayah. Siapa yang akan percayakan kata-kata seorang penjenayah?”
“Saya masih tak faham.”
“Awak adalah Alara. Tanda lahir di belakang cuping telinga awak tu, tak mungkin dua orang yang bersaudara mempunyai tanda lahir di tempat yang sama. Saudara kembar pun tak mungkin ada tanda lahir yang sama.”
Alara mula memegang cuping telinga kanannya. Dahinya mula berkerut-kerut.
“Mayat yang ditemui di ladang kelapa sawit itu terbakar teruk. Polis mengenal pasti mayat itu berdasarkan kad pengenalan yang ada pada mayat tersebut. Pemeriksaan DNA tidak pernah dijalankan. Jadi tidak ada bukti kukuh sebenarnya yang boleh mengatakan Alara sudah terbunuh.”
Pada waktu ini Aishar hanya diam membisu.
“Mungkin awak telah melakukan pembedahan plastik untuk menukar wajah awak. Ya, saya rasa awak telah lakukan pembedahan untuk tukar wajah awak agar awak nampak seperti gadis Melayu,” Benji menyambung.
“Dan saya rasa awak juga yang telah menghantar surat kepada saya beberapa kali.”
Aishar menarik nafas panjang. Dia tidak lagi menafikan kata-kata Benji.
...bersambung
Bab akan datang:
Benarkah semua yang dijelaskan Benji? Masihkah Aishar mahu menafikannya lagi?
Share this novel