Dia juga tidak menyiasat latar belakang Alara dengan teliti. Entah bagaimana, Alara telah berjaya mencuri berlian Noor Chenta yang menjadi simbol kejayaannya selama ini. Beberapa butir berlian lain juga sudah hilang daripada simpanannya. Semuanya hilang semasa dia berada di Kuala Lumpur atas urusan perniagaan.
Notarbartolo menarik nafas panjang. Dia masih ingat lagi, sebaik sahaja dia mendapat maklumat itu, dia telah mengarahkan sekumpulan samseng tempatan untuk membelasah Alara untuk mendapatkan maklumat lokasi kesemua berlian itu dan mayatnya dibakar.
Notarbartolo menyelak lembaran buku notanya, kembali pada muka surat yang mempunyai catatan terakhir. Rahul telah berjaya mendapat maklumat Noor Chenta melalui Abbas. Noor Chenta kini berada di tangan Benji!
Notarbartolo mengangkat teropongnya sekali lagi untuk melihat rumah Benji di Taman Permata. Dia nampak Inspektor Jalil keluar dari rumah itu. Benar seperti tekaannya, Inspektor Jalil pasti akan bertemu dengan Benji setelah Rahul membunuh Abbas. Senyumannya semakin lebar.
Sudah banyak kali Benji berfikir. Niatnya untuk pergi berjoging sudah terbantut semenjak kedatangan Inspektor Jalil awal pagi tadi. Fikirannya kembali melayang kepada bait-bait ayat dalam surat Alara; Sekiranya berlaku sebarang pembunuhan yang dikaitkan dengan awak, itu tandanya lokasi Noor Chenta telah dihidu. Mereka tidak akan bunuh awak dahulu, tetapi mereka akan bunuh orang-orang di sekeliling awak. Itu cara mereka. Lekas cari seorang pencanai berlian bernama Nasaruddin. Dia dapat ditemui di Chinatown, Jalan Petaling, Kuala Lumpur. Pergi ke Restoran Lim Kian Kee dan katakan kepada pengurus restoran itu yang awak mahu membeli batu jed berwarna biru. Dia akan bawa awak menemui Nasaruddin.
Kerana bait-bait ayat itu, dia sekarang berada di luar Restoran Lim Kian Kee. Dia sepatutnya membawa Azhari bersama, sekurang-kurangnya ada peneman untuk berfikir. Tetapi setelah menerima berita kematian Abbas, dia tidak mahu mengambil risiko. Dia mula mempercayai segala-gala yang ditulis oleh Alara dalam suratnya.
Benji masuk ke restoran itu dan terus menuju ke kaunter bayaran.
“Saya mahu berjumpa dengan pengurus,” Benji menegur salah seorang pelayan yang berada di situ.
“Manager tarak.” Lelaki yang sudah berumur yang menjaga mesin wang di situ menjawab dengan loghat Cina.
“Saya mahu beli batu jed berwarna biru,” Benji berbisik kepada lelaki itu.
Lelaki itu memberikan pandangan yang tajam sebaik sahaja Benji berkata begitu. “Siapa nama kamu?”
“Benji.”
“Kamu mahu beli daripada siapa?” Lelaki Cina itu bertanya dengan kasar.
Benji terkedu seketika. Maklumat itu tidak ada dalam surat Alara.
“Hei, tauke. Kamu mahu beli daripada siapa?” Sekali lagi lelaki Cina itu bertanya.
“Nasaruddin.” Benji cuba meneka.
Pantas lelaki Cina itu mendail nombor di telefon yang berdekatan.
...bersambung
Bab akan datang:
Bagimanakah Nasaruddin dapat membantu Benji tentang berlian itu?
Share this novel