Bab 50

Romance Completed 41738

Hampir sebulan dia minum di sebuah kafe di jalan Hoveniersstraat, jalan utama segi tiga perniagaan yang dipanggil Diamond District. Dia pernah membuat banyak rompakan selama ini. Semuanya rompakan kecil bersama School of Turin. Satu rompakan sudah cukup untuk belanja sara hidup selama setahun. Tidak ada kerja yang lebih baik baginya selain melakukan rompakan. Kejayaannya selama ini, pada pandangannya, adalah kerana kebijaksanaannya merancang. Berpuluh-puluh rompakan yang dilakukannya bersama School of Turin tidak pernah menyebabkan mereka tertangkap. Mereka berada di puncak kejayaan.

Di kafe, dia dapat melihat bagaimana berlian-berlian mentah dibawa untuk disimpan di pusat simpanan bawah tanah yang mempunyai sepuluh lapisan keselamatan yang tidak mungkin dapat ditembusi dengan cara-cara yang biasa dia lakukan. Setiap kali penghantaran berlian mentah ini dibuat, ia sentiasa diawasi oleh beberapa orang pengawal keselamatan bersenapang dan dibawa dengan van-van keselamatan. Lama-kelamaan, dia mula dapat membaca cara penghantaran mereka dan kelemahan-kelemahan dalam proses penghantaran itu.

Syarikat gergasi De Beers selalunya menghantar beberapa guni kecil berlian mentah yang belum dicanai dan dipotong sebulan sekali, pada hari Selasa minggu pertama setiap bulan selepas waktu makan tengah hari. Berlian ini diagih-agihkan kepada peniaga-peniaga berlian dengan memasukkannya terus ke dalam peti-peti simpanan bawah tanah kepunyaan peniaga-peniaga. Peniaga-peniaga berlian itu boleh mengambil stok berlian itu bila-bila masa selepas itu. Pada minggu pertama setiap bulan, nilai berlian yang ada di dalam peti simpanan itu dianggarkan berjumlah USD100 juta, satu angka yang amat mengasyikkan.

Di pintu hadapan Diamond Trade Centre pula, peniaga-peniaga berlian dari seluruh dunia masuk untuk menyimpan barang-barang dagangan mereka. Kebanyakannya berlian yang telah dicanai. Mereka menyimpan di pusat simpanan bawah tanah itu juga. Membayangkan kekayaan yang ada di situ, sudah cukup untuk memberi motivasi kepada Nortarbartolo.

Lebih menarik, Antwerp mempunyai peraturan yang sangat longgar untuk jenayah rompakan berlian. Seutas rantai berlian yang dicuri di Itali, boleh dirungkai daripada ikatannya dan batu-batu itu dapat dijual secara berasingan, tidak ada sekatan. Menjual berlian di Antwerp adalah seperti menjual belon untuk kanak-kanak, tidak memerlukan sebarang lesen dan urusan jual beli boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan ada yang menjual dan ada yang membeli. Sudah banyak berlian curi yang dijualnya di kota itu dengan harga pasaran dan hingga kini belum ada sesiapa lagi yang mengesyaki kegiatannya itu.

Otaknya berfikir dengan lebih keras. Walaupun dia tertangkap selepas rompakan, hasil rompakan itu sahaja sudah cukup untuk membayar segala wang perbicaraan dan dia boleh duduk tenang di dalam penjara menunggu hari untuk dibebaskan. Senyuman sentiasa bermain di bibirnya setiap kali dia duduk di kafe berkenaan.

...bersambung

Bab akan datang:
Adakah suatu hari nanti rompakan mereka akan tertumpas?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience