“Kau ni Benji, apa yang kau waswaskan lagi ni?”
“Malam tu, baru aku dapat tahu Alara juga pandai mencanai berlian. Dia juga mempunyai panahan pisau yang tepat. Dia bukan orang biasa, Faizal!”
“Kau ni banyak sangat tengok televisyen. Ini macam cerita spy. Mula-mula kau kata dia fasih berbahasa Melayu dan dia bekerja sebagai penterjemah. Lepas tu sekarang, kau kata dia pandai mencanai berlian. Dia tipu kau agaknya,” Faizal menjawab sambil menghirup sedikit minuman.
“Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri!” Benji menangkis kata-kata Faizal.
“Ataupun kau sengaja buat cerita supaya aku jauhkan diri daripada Alara? Cuba kau ceritakan sedikit bagaimana rupa Alara ni, cantik macam Puteri Lindungan Bulan ke?” Faizal cuba menduga.
Benji membiarkan beberapa saat berlalu sebelum dia menjawab permintaan Faizal. Dia melihat ke arah beberapa orang gadis Eropah yang berpakaian menjolok mata berjalan-jalan di sekitar kaki lima bangunan di hadapannya.
“Alara!” Benji terkejut.
“Ya, aku tahu namanya Alara. Cuba ceritakan kulitnya, badannya, mukanya.” Faizal mengeluh.
“Itu, di kaki lima bangunan itu. Itulah Alara!” Benji menjawab.
Faizal mengalihkan pandangannya ke arah yang diberitahu oleh Benji.
“Ada ramai orang di sana tu, yang mana satu?” Faizal bertanya. Dia nampak sekumpulan lima orang gadis muda yang sedang mengadakan persembahan tarian sambil dikerumuni oleh penonton yang semakin ramai. Muzik yang dimainkan berupa gendang, tamborin dan serunai yang dimainkan oleh beberapa orang lelaki di belakang mereka.
“Dia salah seorang yang menari, yang rambutnya berwarna emas. Yang lain semua berambut hitam.”
“Wah, cantik! Kau kata dia boleh bercakap Melayu dengan fasih? Mak aku mesti suka kalau jadi calon isteri aku,” Faizal menjawab sambil tersengih.
“Faizal, cuba fikir. Semua perkara mengenai Alara tak masuk akal. Dia fasih lima bahasa Asia dan dia menari di tengah-tengah jalan waktu malam sebegini!”
“Itu adalah orang Gipsi. Mereka memang pandai dalam seni persembahan dan kebanyakannya tidak ada kerja tetap. Aku selalu nampak mereka menari di kawasan ini tapi aku tak pernah nampak pula Alara dalam kumpulan ini. Kebanyakan orang Gipsi ini berambut hitam,” Faizal menjawab.
Kedua-dua mereka cuma memerhatikan sahaja tarian yang dipersembahkan oleh Alara dan kawan-kawannya. Kadangkala ada yang bersorak sambil melemparkan wang syiling ke arah mereka.
Dengan tidak semena-mena, bunyi siren polis kedengaran. Semakin lama, semakin dekat ke kawasan itu. Alara dan kawan-kawannya lekas-lekas berkemas dan lari meninggalkan kawasan itu secepat mungkin.
“Kena kejar lagi!” Benji mengeluh.
Sebuah kereta mewah berhenti di laluan itu dan Alara terus masuk ke dalam kereta itu berseorangan. Kereta itu memecut laju meninggalkan kawasan tersebut.
...bersambung
Bab akan datang:
Kemana Alara pergi dengan kereta mewah itu?
Share this novel