Berlian lama seperti Noor Chenta pula apabila dipotong sedikit, sudah hilang identitinya dan sudah tidak dapat dibuktikan sebagai berlian asal. Dia pernah mencuri banyak barang dalam hidupnya tetapi yang paling menguntungkan ialah rompakan berlian. Rompakan bank tidak semenarik rompakan berlian kerana nombor siri wang masih dapat dijejak. Tetapi berlian, langsung tidak dapat dijejak terutama berlian mentah.
Keputusannya mengambil Freddie sebagai ahli kumpulan sebenarnya tidak sia-sia. Walaupun dia tahu di mana berlian-berlian itu disembunyikan, rahsia itu tidak pernah pecah. Kini, kesemua ahli kumpulan rompakan itu hidup senang-lenang daripada hasil jualan sebahagian berlian rompakan itu setelah meringkuk di dalam penjara selama beberapa tahun.
Notarbartolo membuka lembaran-lembaran lain dalam buku notanya kembali. Beberapa kali nama Alara muncul dalam lembaran-lembaran itu.
Notarbartolo mengenali Alara dalam satu majlis keramaian di Brussels. Di situ, Alara dan kumpulan Gipsi yang datang bersamanya membuat satu persembahan tarian dan akrobatik. Sejak kecil lagi, dia selalu kagum dengan kumpulan-kumpulan sarkas yang selalu membuka fun fair di Itali. Lompatan mereka tepat dan jitu. Pergerakan mereka seirama. Kesilapan yang sedikit boleh meragut nyawa mereka. Oleh itu, mereka harus melakukan pergerakan dengan ketepatan paling tinggi tanpa sebarang kesilapan. Seperti juga kerjayanya sebagai seorang pencuri berlian, kesilapan yang sedikit dalam perancangan hanya akan mengundang bencana jangka panjang. Semua harus berjalan dalam kesempurnaan.
Pada mulanya, Alara hanya dikenalinya sebagai penghibur yang selalu membuat persembahan di kaki-kaki lima bersama beberapa orang kawannya yang tidak mempunyai rumah yang tetap. Ahli-ahli kumpulan itu pula tidak tetap dan sering bertukar ganti. Ada yang bekerja sebagai penulis dan masuk ke dalam kumpulan ini untuk mencari duit tambahan. Ada pula yang sedang menunggu tawaran lakonan dan nyanyian dan masuk untuk menghilangkan rasa bosan untuk menunggu. Menurut Alara, dia juga sedang menunggu tawaran kerja dan hanya akan berada dalam kumpulan ini dalam jangka masa yang pendek.
Kumpulan tarian ini pada pandangannya berpotensi tinggi untuk dilatih. Kebanyakan mereka sebatang kara dan tidak mempunyai pegangan hidup yang kuat. Mereka mudah dipengaruhi. Jika diberikan peluang dan latihan yang baik, mungkin dia dapat memulakan School of Brussels bermula dengan kumpulan Gipsi ini.
Dia sebenarnya telah mula melatih Alara selepas beberapa kali bertemu dengan kumpulan itu. Padanya, Alara mempunyai stamina yang tinggi, tangkas, cekap dan bijak. Alara pernah mengatur satu rompakan kecil di sebuah kedai batu permata di pinggir bandar raya Brussels. Alara berjaya melakukannya tanpa sebarang masalah. Dia mula memberi kepercayaan yang tinggi kepada Alara.
Tetapi hari ini, baru dia sedar dia telah meletakkan kepercayaan kepada Alara terlalu awal.
...bersambung
Bab akan datang:
Dimanakah Alara? Adakah dia telah melarikan diri atau disembunyikan? Benarkah dia dibunuh?
Share this novel