“Ya, saya baru saja baca berita dalam akhbar. Bertemu semula selepas 300 tahun.”
“Benji, sebenarnya ada saguhati kepada sesiapa yang berjaya menemui Noor Chenta. Saya rasa awak adalah orang yang terbaik untuk menerima saguhati ini.”
“Saya membantu dengan ikhlas, Adam. Awak simpan sajalah saguhati itu.”
“Tak boleh, Benji. Saya polis bertugas, tak boleh terima sebarang saguhati.”
“Saya hanya membantu sedikit, Adam. Layakkah saya menerima saguhati itu?”
“Tidak ada sesiapa yang lebih layak daripada awak, Benji. Saya sudah cadangkan nama awak.”
“Baiklah, Adam. Berapa jumlah saguhati itu?”
“Tak banyak, cuma USD10 ribu saja. Pihak Institut akan menghubungi awak nanti.”
“Banyaklah tu. Terima kasih, Adam. Saya akan tunggu panggilan mereka nanti.” Benji meletakkan telefon. Hatinya berasa lebih tenang sekarang. Noor Chenta sudahpun selamat berada di tempat yang sepatutnya.
Setiap kali nama Noor Chenta dan Hope Diamond terngiang di telinganya, dia pasti akan teringatkan Alara. Adakalanya dia masih merindui gadis itu. Hilai tawa gadis itu amat sukar dilupakan. Walau bagaimanapun, dia berharap Alara akan hidup dengan aman di dunia sana.
Tiga bulan kemudian…
SUDAH berapa bulan kita tak bertemu, Benji?” Ustaz Amir menghulurkan tangan untuk bersalaman.
Benji menyambut tangan Ustaz Amir dengan kejap. “Aku tak pergi ke mana-mana, kau berdua yang terlalu sibuk. Maklumlah pasangan pengantin baru!” Benji menjawab dengan berseloroh.
“Inai pun dah hilang ni, dah jadi pengantin lama dah ni!” Ustaz Amir membalas.
Benji mempersilakan pasangan Ustaz Amir dan Zahra masuk ke dalam rumah. Zahra nampak manis memakai tudung berwarna biru. Zahra kini hanya memakai pakaian yang menutup aurat. Jauh di sudut hati Benji, dia bersyukur dengan perubahan tersebut. Zahra harus menyesuaikan dirinya dengan status “Ustaz” yang dibawa oleh Ustaz Amir.
“Kami tak lama. Kami datang hanya nak serahkan hadiah,” Zahra mencelah.
“Hadiah?” Benji kehairanan.
“Hadiah hari jadi awaklah. Ini dia, ikhlas daripada kami berdua!” Zahra menghulurkan sebuah kotak kek.
“Kami tak tahu nak beli apa, jadi kami beli kek hari jadi. Nanti bolehlah makan dengan Puan Maria,” Ustaz Amir menambah.
“Terima kasih. Aku pun tak ingat hari ini hari jadi aku. Mama aku, cuti sekolah macam ni tak tahu ke mana dia berjalan. Agak-agaknya dia pun lupa,” Benji menjawab sambil mengambil kotak kek tersebut.
“Kami balik dululah, Benji,” Zahra meminta diri.
“Eh, sekejapnya! Nak pergi datinglah tu ya?” Benji mengusik.
“Pergi melawat saudara-mara, nak berkenalan antara satu sama lain. Itulah aktiviti orang dah kahwin ni, sibuk dengan hal keluarga. Tak apa, lepas ni giliran kau pula!” Ustaz Amir membalas lantas berjalan kembali ke arah kereta mereka.
...bersambung
Bab akan datang:
Bagaimana kehidupan Benji selepas ini?
Share this novel