Benji meninggalkan beg pakaian yang dibawanya di salah sebuah bilik perbincangan dan turun ke kafeteria. Semua pekerja MegaPixel International yang pernah bekerja di sini selalu bercerita mengenai kafeteria di pejabat AvioNet yang menyediakan makanan percuma kepada semua pekerja mereka.
Lebih menarik lagi, AvioNet juga menyediakan makanan khas untuk vegetarian dan makanan halal untuk mereka yang beragama Islam.
Sebaik sahaja Benji tiba di kafeteria, dia ternampak seorang lelaki yang amat dikenalinya.
“Hei, Faizal! Apa khabar? Lama tak jumpa,” Benji menegur lelaki itu.
“Benji, kau kerja kat sini ke?” Faizal menjawab dengan nada yang agak terkejut.
“Consultant untuk projek De Beers Diamond,” Benji menjawab.
“Nampaknya kita akan bekerja bersama,” Faizal menjawab sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.
“Kali terakhir kita jumpa di universiti, bukan?”
“Yes, good to see you again.”
“Makanan di sini nampak sedap. Semua makanan di sini percuma?”
“Betul tu. Bagus, bukan?”
“Gemuklah aku nanti,” Benji menjawab dengan tertawa sedikit.
“Semalam aku ada nampak nama kau, dalam senarai project partner. Tapi rupa-rupanya Bunyamin Lee tu datang dari negara China.” Faizal menarik kerusi untuk duduk.
“Jadi, itulah masalahnya. Aku cuba daftar hari ini, tapi pengurus itu kata Bunyamin Lee sudah mendaftar semalam.”
“Ada orang curi identiti kau ke?”
“Siapalah yang nak curi identiti aku ni? Harta pun tak ada. Nama sama agaknya.”
“Nama kau pun memang macam nama orang dari negara China.”
“Habis tu, memang arwah bapa aku berbangsa Cina. Tapi aku tetap orang Malaysia, okey!” Benji menjawab dengan tegas.
Faizal ketawa sedikit.
Mereka mengambil masa untuk bertukar-tukar cerita setelah hampir tiga tahun tidak bertemu. Seperti Azhari, Faizal juga adalah rakan satu universitinya semasa di Massachusetts Institute of Technology (MIT).
Faizal adalah antara rakan sekelasnya yang paling bijak dan dia mendapat tawaran bekerja di AvioNet sebelum keputusan akhir peperiksaan mereka keluar.
“Benji!” Pengurus Sumber Manusia menegur Benji.
“Yes, sir!” Benji menjawab sambil berdiri tanda hormat.
“Now I understand what happened. There are two Bunyamin Lee participating in this project. One is our partner from China and another one is yourself, from Malaysia. We are arranging an accomodation for you as we speak. The person in charge will call you as soon as he managed to find a place for you.”
“Thank you,” Benji membalas. Pengurus itu kemudian keluar dari kafeteria dan hilang daripada pandangan.
“Jadi, malam ni kau tak ada tempat tinggal lagi?” Faizal bertanya.
“Yalah. Kena cari masjidlah malam ni. Ada ke masjid di kota Brussels ni?” Benji mengeluh.
Faizal hanya ketawa.
...bersambung
Bab akan datang:
Dapatkah Benji tempat untuk bermalam? Atau dia memang akan tidur di masjid?
Share this novel