Seketika kemudian, seorang gadis Cina berpakaian ceongsam merah turun dari tangga menemui Benji.
“Encik Benji, Nasaruddin berada di tingkat atas. Sila ikut saya,” ucap gadis Cina itu dengan bahasa Melayu yang cukup fasih.
Dengan hati yang berdebar-debar, Benji mengikut sahaja gadis Cina itu naik ke ruang atas restoran. Dia dibawa ke ruang belakang restoran itu melalui sebuah pintu yang terlindung di sebalik kain langsir. Dari pintu masuk, Benji dapat melihat dua orang pemuda sedang sibuk meneliti dan mencanai batu permata.
“Benji!” Seorang lelaki melaungkan suaranya dari jarak jauh. Lelaki itu berjalan menghampirinya. Lelaki itu berbangsa Melayu dan bertubuh agak kecil.
Sebaik sahaja berada jarak dua kaki daripada Benji, dia terus menegur, “Sudah lama saya nantikan kedatangan awak. Sila duduk. Saya Nasaruddin.”
Benji duduk dengan perlahan, masih lagi waswas dengan tindakannya datang ke tempat itu berseorangan.
“Saya ditugaskan untuk memberikan awak sepucuk surat.” Nasaruddin menghulurkan sekeping sampul surat kecil kepada Benji.
“Surat lagi,” keluh Benji.
“Saya tak pasti apa yang awak harapkan, tapi saya hanya ditugaskan untuk memberikan surat ini kepada awak,” Nasaruddin menjawab sambil meletakkan surat itu di atas meja kecil di tepi sofa yang didudukinya.
“Siapa yang suruh awak sampaikan surat ini kepada saya?” Benji bertanya sambil memegang sampul surat tersebut.
“Seorang wanita, dia tidak meninggalkan sebarang nama. Katanya, awak mungkin akan datang lambat beberapa hari daripada tarikh jangkaan, tapi awak pasti akan datang,” jawab Nasaruddin.
Benji mengambil sampul surat itu dan menyimpannya di dalam poket seluar. Dia masih belum bersedia untuk membaca surat itu lagi.
“Terima kasih, Nasaruddin,” Benji membalas. Gadis Cina yang berpakaian ceongsam itu tadi mengajaknya turun semula.
Ketika dia ditemani oleh gadis itu untuk turun semula ke ruang bawah restoran, Benji nampak seorang gadis Melayu menjeling dan tersenyum kepadanya dari salah sebuah meja di situ. Hatinya pantas mengatakan yang dia mengenali gadis itu, berambut hitam berkilat dan mempunyai senyuman yang menawan.
Sambil berjalan di kaki lima, dia cuba mengingati siapa gadis itu. Sebiji bola keranjang tiba-tiba jatuh di tepi kakinya. Beberapa orang kanak-kanak berlari cuba mendapatkan bola itu yang bergolek semakin jauh. Peristiwa itu mengingatkan dia akan sesuatu.
“Aishar!” Nama itu tiba-tiba terpacul daripada mulutnya. Gadis Melayu itu adalah gadis yang ditemuinya di taman rekreasi dan menasihatinya untuk memeriksa surat di dalam peti surat rumahnya.
Benji bergegas ke restoran itu kembali. Dia harus menemui Aishar. Tidak mungkin Aishar secara kebetulan tahu mengenai surat yang dihantar oleh Alara. Mungkin Aishar mengetahui sesuatu.
“Tauke, mana perempuan yang duduk di situ?” Benji bertanya kepada lelaki Cina yang ditemuinya tadi sebaik sahaja dia tiba di restoran itu kembali.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah Aishar adalah Alara?
Share this novel