Benji merenung ke dalam mata Alara yang berwarna hazel. Kulitnya putih bagaikan telur dikupas, sepertimana kebanyakan gadis Eropah yang ditemuinya hari itu.
“Nama saya Benji,” Benji menjawab sambil mula memegang tuala yang diletakkan pada kepalanya. Dia masih berasa agak janggal berbual dalam bahasa Melayu dengan seorang wanita Eropah.
“Berapa lama awak akan tinggal di sini?” tanya Alara sambil melepaskan pegangan tuala di kepala Benji.
“Sekurang-kurangnya, enam bulan. Mungkin lebih, bergantung kepada projek yang saya sedang buat sekarang,” jawab Benji.
“Baiklah. Rumah ini ada tiga buah bilik. Bilik awak di sana.” Alara menuding ke arah sebuah pintu bilik berdekatan. “Saya ambil dua buah bilik, sebuah bilik tidur dan sebuah lagi bilik kerja. Saya ada bilik air sendiri. Awak boleh gunakan bilik air di sini.” Alara menunjuk ke arah satu pintu lagi.
Benji berjalan ke arah bilik-bilik yang ditunjuk oleh Alara. Dia melihat bilik air dan kemudian masuk ke dalam biliknya sendiri. Semua kelengkapan telah sedia ada; katil, tilam, almari pakaian dan sebuah meja kecil.
“Bagaimana? Okey?” Alara bertanya selepas membiarkan Benji meneliti bilik tidurnya selama beberapa minit.
“Okey,” Benji menjawab akhirnya.
“Saya perlu pergi kerja sekarang. Jumpa lagi nanti.” Alara terus mengambil tas tangannya di atas meja dapur dan keluar melalui pintu utama.
“Bagaimana dia boleh begitu fasih berbahasa Melayu?” Benji bertanya kepada dirinya sendiri dengan kehairanan.
Hari pertama Benji mula bertugas di Brussels, dia masih belum biasa dengan semua yang terlibat dengan projek tersebut. Faizal yang sudah beberapa tahun bekerja di situ pula sibuk dengan kerjanya dan sering dipanggil untuk menghadiri mesyuarat.
Projek De Beers Diamond atau lebih dikenali sebagai Projek DBD dalam kalangan pekerja AvioNet telahpun dimulakan oleh beberapa jurutera perisian semenjak beberapa bulan lalu. Walau bagaimanapun, untuk masuk ke fasa seterusnya, lebih banyak jurutera perisian diperlukan.
Benji bersama tiga orang jurutera perisian lagi dibawa melawat ke seluruh bangunan AvioNet untuk bertemu dengan hampir kesemua pekerja yang terlibat dalam projek itu.
Mungkin kerana keletihan disebabkan perjalanan jauh merentasi benua untuk sampai ke Brussels membuatkan Benji berasa sangat penat hari itu. Badannya masih belum menyesuaikan diri dengan perubahan waktu siang dan malam di Eropah. Sebaik sahaja waktu bekerja tamat, dia terus pulang ke rumahnya untuk berehat.
“Hai, Alara,” Benji menegur Alara sebaik sahaja dia nampak kelibat gadis itu di ruang tamu. Benji membuka kasutnya.
“Hai, Benji!” Alara menjawab sambil memakai anting-anting dan menggayakannya di hadapan sebuah cermin di ruang tamu.
Benji masuk ke ruang tamu dan bau minyak wangi Eropah menusuk ke hidungnya
...bersambung
Bab akan datang:
Ke manakah Alara mahu pergi? Adakah Benji akan ikut sekali?
Share this novel