“Tak pernah. Semua surat yang sampai kepada saya telah pun saya tunjukkan kepada awak.”
“Ada sebarang petunjuk?”
“Maaf, Adam. Saya memang tidak ada sebarang petunjuk lagi.”
Adam terdiam seketika dengan jawapan Benji. “Noor Chenta harganya beberapa juta dolar. Kenapa awak tak jual saja Noor Chenta? Alara sudah tidak ada, tak ada sesiapa yang tahu Noor Chenta berada di tangan awak. Jika awak jual, awak boleh jadi kaya-raya. Kenapa awak pilih untuk serahkan kepada saya?”
“Saya hanya menjalankan wasiat Alara. Saya mahu kematiannya terbela. Hanya awak yang dapat membantu. Kalau saya jual, tidak ada sesiapa akan tahu apa yang telah berlaku kepada Alara. Tanpa Alara, wang tidak mempunyai apa-apa makna kepada saya,” Benji cuba meyakinkan Adam.
“Awak seorang yang ikhlas!” Tepukan Adam di bahunya mengakhiri pertemuan mereka malam itu.
Sebulan kemudian…
BENJI meletakkan akhbar yang baru sahaja dibelinya tadi di atas meja berhadapan dengan televisyen. Di muka hadapan akhbar itu tertera tajuk berita utama “Bersama Semula Setelah Lebih 300 Tahun Terpisah.”
“Eh, mana Azhari? Dia tak bersarapan di sini ke, Benji?” Puan Maria bertanya semasa Benji sedang menaiki tangga.
“Dia minta maaf tak dapat sarapan di sini, mama. Dia kata dia kena jemput kawannya di KLIA. Lepas joging tadi, dia terus balik rumah,” Benji sempat menjawab sebelum naik ke bilik mandi.
Puan Maria terus menyiapkan bihun goreng untuk sarapan pagi itu. Niatnya untuk menggoreng pisang nangka yang dibelinya semalam dibatalkan, takut tidak habis jika hanya mereka berdua yang makan. Benji mempunyai perut yang kecil, dia tidak makan banyak. Puan Maria sendiri tidak begitu lapar pagi itu.
“Mama, Azhari kata dia akan datang esok.” Suara Benji yang tiba-tiba masuk ke cuping telinganya itu membuatkan Puan Maria terkejut.
“Isy, kamu ni, terkejut mama!” Puan Maria menyampaikan rasa tidak puas hati.
Benji hanya menahan ketawa. Badannya yang terasa segar selepas mandi membuatkan dia berasa lebih gembira pagi itu. Dia mula menghidupkan siaran televisyen dan mula membaca akhbar yang dibawanya tadi.
Tajuk utama akhbar itu cukup menarik. Seperti yang tertera, Hope Diamond yang sedang dipamer di Smithsonian Institute sudah menemui pasangannya semula setelah terpisah melebihi 300 tahun.
Telefon bimbit yang ada di sisinya tiba-tiba berbunyi. Nombor yang tertera terlalu panjang, mungkin bukan panggilan tempatan.
“Helo, Benji. Saya Adam daripada Skuad Alpha, Interpol,” satu suara menjawab di talian dalam bahasa Inggeris.
“Helo, Adam. Apa khabar? Awak telefon dari mana ni?”
“Saya telefon dari Washington DC. Saintis di sini baru sahaja mengesahkan Noor Chenta adalah serpihan kepada Hope Diamond.”
...bersambung
Bab akan datang:
Bagaimana pula untuk menangkap Notarbartolo?
Share this novel