Bab 56

Romance Completed 41738

Namanya Frediano Russo atau lebih biasa dipanggil Freddie.

Notarbartolo melihat Freddie makan kentang putar dan ayam panggang tanpa sebarang kata-kata.

Dalam lamunannya, dia teringat bagaimana pertama kali dia menemui Freddie, berbelas-belas tahun dahulu, di sebuah kedai makan di bandar Turin, Itali. Muka dan rambut Freddie comot, mungkin sudah beberapa hari tidak membersihkan diri. Pakaiannya pula koyak-rabak dan berbau. Sebaik sahaja kentang putar dan ayam panggang dihidangkan, Freddie terus menyambar makanan itu dan makan dengan lahap. Mungkin juga pada waktu itu dia sudah lama tidak makan.

Selepas kenyang, Freddie bercerita mengenai dirinya. Ibu bapanya bercerai dan menghantar Freddie ke rumah anak-anak yatim kerana kedua-duanya tidak mampu untuk menyara Freddie. Neneknya pula sakit dan tidak mampu menyekolahkan Freddie. Seluruh keluarga Freddie hidup dalam kemiskinan tegar. Suatu hari, Freddie nekad untuk keluar dari rumah anak-anak yatim itu dan hidup di jalanan di bandar Turin dan menyara dirinya sendiri dengan mencuri makanan dari pasar dan kedai-kedai.

Orang-orang seperti Freddie menjadi kegemaran Notarbartolo yang pada waktu itu sedang mencari dan melatih sekumpulan pencuri muda di School of Turin. Pemuda-pemuda yang berumur belasan tahun, mempunyai masalah keluarga dan tidak mempunyai tempat bergantung amat mudah untuk ditarik menjadi pencuri. Pada hari yang sama juga, dia mengambil Freddie sebagai anak murid dan dia telah dilatih untuk menjadi penyeluk saku yang mahir.

Hanya satu perkara mengenai Freedie yang selalu membuatkan Notarbartolo risau. Freddie cepat panik dan sentiasa berada dalam keadaan resah. Walau bagaimanapun, Freddie juga mempunyai kelebihan sendiri. Kelebihannya, dia menyimpan rahsia dengan kejap. Tidak ada apa-apa pun yang boleh menyebabkan rahsia keluar daripada mulutnya walaupun dia diseksa dengan teruk. Dia pernah tertangkap dan dibelasah oleh polis di Itali tetapi dia tetap tidak membocorkan sebarang rahsia kumpulan School of Turin dan akhirnya polis terpaksa melepaskannya.

Semenjak hari itu, Freddie menjadi orang yang paling dipercayai oleh Notarbartolo. Dia hanya akan bercerita kepada Freddie semua rancangan awal rompakan yang dirancang. Freddie juga sebenarnya agak bijak membantunya merancang. Dia mempunyai fikiran yang kritis dan boleh berfikir daripada beberapa sudut yang kadangkala Notarbartolo sendiri tidak nampak jelas.

“Leo, kau mahu pesan makanan?” Kata-kata itu membuatkan Notarbartolo tersentak daripada lamunan. Leo adalah panggilan mesra rakan-rakan terdekat Notarbartolo.

“Tak mengapa, nanti aku pesan,” Notarbartolo menjawab sambil melihat-lihat keadaan sekeliling.

“Kenapa kau ajak aku berjumpa di sini? Ada rancangan baru?”

“Freddie, aku ada tugas baru untuk kau.”

“Tugas apa, bos?”

“Kita akan ambil semula Noor Chenta, bawa balik ke Eropah, kita potong sedikit untuk hilangkan identitinya dan kita jual semula. Perkara biasa yang kita selalu lakukan.”

...bersambung

Bab akan datang:
Apakah strategi mereka kali ini untuk mendapatkan Noor Chenta?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience