Pulang dari fun fair selepas menemui Alara, Benji tiba di kawasan perumahan Taman Permata hampir pukul 12.00 tengah malam. Malam hujung minggu selalunya dia akan meluangkan masa bersama Azhari dan kawan-kawan lain sehingga pagi tetapi malam itu atas permintaan Alara, dia tidak keluar bersama kawan-kawannya.
Benji memberhentikan keretanya berdekatan dengan rumah kepunyaan ibunya. Hatinya merasakan malam masih terlalu awal. Dia masih mahu berjalan-jalan. Selalunya menjelang tengah malam, Azhari dan kawan-kawannya akan berkumpul di rumah Azhari untuk menonton perlawanan bola sepak. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.
“Benji, jom tengok bola!” Kedengaran suara Azhari menjerit dalam talian dengan hingar-bingar keadaan sekelilingnya.
“Di mana?”
“Rumah akulah, macam biasa!” Azhari menjawab.
“Okey, sekejap lagi aku datang,” Benji menjawab dan terus mematikan talian.
Benji menghidupkan enjin keretanya semula dan mula bergerak perlahan-lahan. Mindanya masih mengenang saat-saat bersama Alara sebentar tadi. Sudah beberapa kali mereka bertemu di Kuala Lumpur dan dia mula merasakan dia sudah jatuh cinta dengan Alara.
Benji berhenti di simpang jalan apabila lampu isyarat menjadi merah. Lampu isyarat ini selalunya mengambil masa yang agak lama untuk bertukar warna. Benji melihat ke arah kiri dan kanan kalau-kalau ada kereta yang akan lalu. Pandangannya terhenti pada sebuah rumah yang berada di sebelah kiri jalan tersebut. Itulah rumah ibu bapa Zahra yang mana Zahra tinggal sekarang.
Sejak kebelakangan ini, hatinya sayu mengenangkan Zahra, gadis yang dicintainya semenjak sekolah menengah. Dia mahu Zahra bahagia tetapi kebahagiaan Zahra pasti akan menghancurkan hatinya sendiri. Dia harus pasrah dan dia perlu meneruskan kehidupannya tanpa perasaan cinta terhadap Zahra selepas ini.
Bunyi hon sebuah kereta di belakang keretanya mengejutkan Benji daripada lamunan. Lampu isyarat warna merah sudah bertukar hijau. Benji memecut laju ke arah jalan utama.
Adam memasuki tandas awam di sebuah stesen minyak Petronas malam itu. Dia membasuh tangan dan menyalakan sebatang rokok. Kedua-dua bilik tandas di situ kosong. Keadaan ini akan lebih memudahkan tugasannya hari ini.
Seorang lelaki Melayu masuk dan mula membasuh tangannya. Dia mengambil sedikit air dan membasuh mukanya pula.
“Baju putih akan ke Brussels minggu hadapan. Tiket penerbangan sudah ditempah,” lelaki Melayu itu tiba-tiba bersuara tanpa memandang ke arah Adam.
“Berapa lama?” Adam bertanya sambil menyedut rokok.
“Beberapa minggu, dia sedang merancang satu rompakan lagi. Itu saja yang saya tahu buat masa ini,” lelaki Melayu itu menyambung sambil berkumur.
“Itu sudah cukup buat masa ini,” Adam menjawab dan terus keluar dari tandas tersebut.
Lelaki yang ditemuinya tadi adalah salah seorang pemberi maklumat upahannya untuk merungkai kes penyiasatan ke atas Notarbartolo. Baju putih adalah nama kod untuk Notarbartolo kerana dia gemar memakai pakaian serba putih.
...bersambung
Bab akan datang:
Rompakan apa pula yang akan berlaku seterusnya?
Share this novel