Bab 65

Romance Completed 41738

Adam hanya tiba di Hotel Suria semula pada pukul 12.00 tengah malam. Tidak banyak yang dapat mereka bincangkan kerana malam sudah agak lewat.

Benji diberikan sebuah bilik di Hotel Suria untuk menjaga keselamatannya sehingga perbincangan seterusnya pada hari esok.

Sebaik sahaja dia masuk ke biliknya, dia terus merebahkan dirinya di atas katil. Semua perkara mengenai Alara yang diceritakan oleh Adam bermain dalam fikirannya satu per satu. Benji menutup matanya sambil berfikir.

Cerita-cerita mengenai Alara membuatkan hatinya terasa lebih dekat dengan gadis itu. Dia dapat membayangkan bagaimana Alara membesar bersama kumpulan sarkas yang disertai oleh ibunya. Disebabkan itulah Alara boleh membaling pisau dengan tepat semasa kejadian kejar-mengejar di sebuah kedai makan di Brussels. Dia masih ingat lagi bagaimana pengemis itu dipukul dan dihumban masuk melalui dinding kaca kedai itu. Dia juga masih ingat pengemis itu menyerahkan sesuatu kepada Alara sebelum itu. Pengemis itu mempunyai rambut yang ikal dan dahi yang berkerut-kerut.

Tiba-tiba matanya terbuka luas. Kini dia ingat siapa lelaki yang duduk berdekatan dengannya ketika menunggu Adam di lobi Hotel Suria tadi. Muka lelaki itu saling tidak tumpah seperti muka pengemis yang berada di Brussels pada hari itu. Mengapa lelaki pengemis itu berada di Kuala Lumpur?

Benji mengalihkan baringannya. Kelopak matanya dirasakan semakin berat. Pandangannya semakin lama semakin gelap.

Malam itu Benji bermimpikan Zahra. Zahra yang memakai tudung dan jubah putih memanggilnya beberapa kali. Mereka berdua berada di sebuah padang pasir yang berwarna putih.

“Benji, saya masih cintakan awak.” Suara Zahra bergema memecah angin di padang pasir.

“Saya juga cintakan awak, Zahra. Saya minta maaf sebab tak lafazkannya. Saya minta maaf sebab buat awak menunggu bertahun-tahun. Saya yang bersalah,” Benji menjawab sambil

“Saya terpaksa lupakan cinta kita. Saya mahu mulakan hidup baru,” Zahra menjawab dengan perlahan. Terasa jari-jemarinya mengurut lembut rambut Benji.

Dengan keadaan masih melutut, Benji menjawab, “Maafkan saya, Zahra. Maafkan saya.” Benji mengangkat mukanya untuk memandang wajah Zahra. Pada waktu itu, Zahra sudah tidak ada bersamanya lagi. Benji memandang ke setiap penjuru padang pasir itu. Dia langsung tidak nampak kelibat Zahra.

“Zahra!!!” jerit Benji beberapa kali tetapi Zahra tetap tidak kelihatan.

BENJI terjaga daripada tidur semasa telefon di dalam biliknya berbunyi beberapa kali. Dia bangun untuk menjawab.

“Benji, kami akan mulakan taklimat dalam masa satu jam setengah lagi. Awak boleh bersiap dan ambil sarapan pagi di kafe tingkat bawah. Kemudian, awak terus ke Business Centre.” Benji mendengar suara Adam memberi arahan.

“Baiklah, Adam. Saya akan segera ke sana nanti,” Benji menjawab sebelum meletakkan kembali gagang telefon.

...bersambung

Bab akan datang:
Mengapa Benji termimpikan Zahra? Mungkinkah itu merupakan sesuatu petanda?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience