Benji mencapai jam tangan yang diletakkan di atas meja. Sudah hampir pukul 8.30 pagi rupanya. Benji bergegas bangun menuju ke bilik air.
Terdapat lebih daripada sepuluh orang hadir di taklimat yang dikatakan oleh Adam termasuk Inspektor Jalil yang pernah menemuinya beberapa kali sebelum ini. Nampak dengan jelas satu kumpulan yang kebanyakannya berbangsa Eropah dan satu kumpulan lagi kebanyakannya datang daripada Polis Diraja Malaysia.
Tepat pukul 10.00 pagi, taklimat dimulakan. Semua peserta taklimat dibawa untuk menyelami kisah Noor Chenta yang telah dicuri oleh Notarbartolo dalam rompakan agungnya di Diamond Trade Centre, Antwerp. Noor Chenta pada waktu itu berada dalam simpanan syarikat Sotheby’s yang sepatutnya mengadakan lelong amal di Antwerp dan berlian itu dijangka dapat dilelong mencecah beberapa juta dolar. Menurut kajian beberapa orang peniaga berlian, Noor Chenta adalah serpihan kepada berlian terkenal, Hope Diamond yang sedang dipamerkan di Smithsonian Institute, Washington, Amerika Syarikat. Walaupun belum dibuktikan secara saintifik lagi, kaitannya dengan Hope Diamond membuatkan Noor Chenta diberi penilaian yang sangat tinggi.
Menurut laporan, berlian ini dinamakan Noor Chenta kerana sesiapa yang pernah memilikinya akan menemui cinta sejati dan hidup dengan aman. Jika Hope Diamond mempunyai sumpahan, Noor Chenta dikatakan penawar kepada sumpahan tersebut.
Walau bagaimanapun, semasa Notarbartolo ditangkap, dia tidak mengaku pernah mencuri Noor Chenta. Menurutnya, peti simpanan yang mengandungi Noor Chenta kosong semasa dia melakukan rompakan tersebut. Begitu juga dengan beberapa buah peti simpanan yang lain, seolah-olah ada yang tahu dia akan melakukan rompakan dan empunya barangan di situ telah memindahkan berlian-berlian tersebut secara rasmi atau tidak rasmi. Menurut Notarbartolo, hal ini mungkin sebuah penipuan insurans yang telah dirancang terlebih dahulu.
Benji agak terkejut dengan maklumat dalam taklimat itu. Rupa-rupanya, selama ini dia menyimpan sebutir berlian yang berharga beberapa juta dolar.
Notarbartolo membawa Freddie ke sebuah kawasan yang agak jauh dari bandar raya Kuala Lumpur. Kawasan itu tidak mempunyai jalan bertar, cuma laluan denai yang hanya muat dilalui oleh sebuah kereta. Di hujung jalan itu, kelihatan satu kawasan yang agak lapang dengan sebuah bangunan usang. Mungkin sebuah gudang yang sudah lama ditinggalkan. Kelihatan dua buah kereta sudah pun berada di kawasan lapang di hadapan gudang itu.
Raoul keluar dari bangunan itu untuk menyambut kedatangan mereka berdua. Sebaik sahaja Nortarbartolo memberhentikan kereta, dia membuka cermin kereta dan berbicara dengan Raoul dalam bahasa Itali.
“Semua sudah berada di dalam. Seorang pembuka kunci yang mahir, seorang pakar penggera dan seorang perompak tambahan,” Raoul bersuara.
“Ha? Perompak tambahan?” Freddie membalas.
...bersambung
Bab akan datang:
Apakah rancangan Notarbartolo akan berjaya kali ini?
Share this novel