Benji gembira kerana Alara sudah boleh berbicara mengenai hal-hal peribadi kepadanya. Jauh di sudut hatinya, dia berasa agak bangga dengan pencapaiannya malam itu. Pasti Faizal akan cemburu dengannya nanti.
“Saya pula, ibu saya yang beragama Islam. Bapa saya adalah seorang penganut agama Buddha sebelum berkahwin dengan ibu saya. Tapi akhirnya, bapa saya menjadi lebih warak daripada ibu saya.”
“Warak? Apa itu warak?”
“Religious. Rasanya perkataan ini berasal daripada perkataan Arab.”
“Oh!” Alara membalas sambil meneliti menu di tangannya.
Tiba-tiba badan seorang lelaki dihentak ke dinding kaca restoran itu, betul-betul di tempat Benji duduk. Benji terkejut lantas bangun dari tempat duduknya diikuti dengan Alara.
Semua pelanggan yang duduk berdekatan dengan dinding itu mula bangun bergerak ke tengah restoran. Pandangan mereka tertumpu ke arah apa yang berlaku di luar dinding kaca.
Tiga orang lelaki meluru ke arah lelaki itu sekali lagi dan menolaknya ke kaca tingkap itu sambil memaki-maki dalam bahasa Perancis.
Setelah melihat dengan teliti, barulah Benji sedar mangsa pergaduhan itu adalah pengemis yang menegur Alara tadi.
Seketika kemudian, kedengaran bunyi kaca berderai apabila dinding kaca itu pecah dirempuh. Tubuh lelaki pengemis itu terhumban masuk ke dalam restoran. Terdengar jeritan beberapa orang wanita yang berada di dalam restoran tersebut.
Alara menarik lengan Benji dan membawanya ke bahagian dapur restoran. Beberapa orang lelaki menerpa masuk ke dalam restoran itu seolah-olah mencari seseorang. Dua orang tukang masak yang berada di restoran itu juga keluar ke ruang depan restoran itu untuk melihat apa yang berlaku.
Berlainan pula dengan apa yang dilakukan oleh Alara, dia terus menyusup masuk ke bahagian dapur untuk mencari pintu keluar.
Alara mengambil dua bilah pisau dan sebuah botol berisi minyak. Dia menuangkan minyak itu ke atas lantai dapur.
Salah seorang daripada tiga lelaki yang memulakan pergaduhan di luar tadi masuk ke ruang dapur dan mula tergelincir.
Alara mengambil sebilah pisau dan membaling ke arah lelaki tersebut. Tepat mengenai lengan bajunya.
Dia terlekat pada dinding kayu di belakangnya. Seorang lagi lelaki yang masuk seketika kemudian juga tergelincir.
Alara mengambil sebilah pisau lagi dan membaling ke arahnya. Pisau itu mengenai kot baju lelaki tersebut dan dia juga terlekat pada dinding.
Alara menarik lengan Benji dan mereka terus keluar melalui pintu belakang. Alara memecut melalui beberapa lorong diikuti dengan Benji yang masih lagi terkejut dengan apa yang berlaku.
“Sini Benji!” Sambil berlari, Alara membawa Benji masuk ke sebuah lorong gelap.
Di hujung jalan itu, terdapat sebuah dinding batu bata. Alara menekan-nekan dinding pada beberapa bahagian dan dengan tiba-tiba dinding itu terbuka sedikit seperti sebuah pintu rahsia.
...bersambung
Bab akan datang:
Siapakah Alara sebenarnya? Apakah yang dimahukan oleh lelaki-lelaki itu?
Share this novel