Bab 42

Romance Completed 41738

Benji duduk di sebuah kerusi yang tersedia di luar gelanggang sambil memerhatikan permainan kedua-dua anak muda itu. Semasa dia seusia mereka, dia juga selalu bermain bola keranjang di situ bersama Azhari. Kelengkapan taman rekreasi itu masih lagi sama seperti sepuluh tahun dulu. Satu gelanggang bola keranjang, satu padang bola sepak dan satu laluan joging.

Benji mengalihkan pandangannya ke arah kanan seketika. Kelihatan beberapa orang gadis sedang berkumpul di bawah pokok. Mereka baru sahaja lepas berjoging di sekitar taman rekreasi itu.

Pandangan Benji tertumpu kepada seorang gadis genit yang berdiri membelakanginya. Gadis itu bertubuh genit dan berambut separas bahu berwarna hitam berkilat. Cara gadis itu berdiri, dengan tumit kaki sebelah kiri ditekan ke tanah sehingga bahagian hadapan kakinya terjungkit ke atas, saling tidak tumpah seperti Alara. Sekali-sekala terdengar hilai tawa gadis itu sambil berbual-bual dengan kawan-kawannya. Gaya ketawanya juga sama seperti Alara.

Gadis itu berpaling ke arahnya dan melemparkan satu senyuman yang manis. Senyuman yang hampir sama seperti senyuman Alara. Pandangan mereka bertemu seketika. Pandangan itu juga seperti pandangan Alara.

Benji berpaling seketika. Kenangan bersama Alara masih bermain-main dalam mindanya. Dia menutup mata seketika. Dia harus kuat. Dia mahu melupakan Alara walaupun bayangan Alara sentiasa datang dalam dirinya.

Buk!

Benji membuka matanya. Kelihatan gadis itu sudahpun berada di hadapannya bersama sebiji bola keranjang di tangannya.

“Maaf, kak!” Kedengaran pemuda di dalam gelanggang itu meminta maaf kepada gadis itu.

“Nasib baik tak kena abang yang sedang tidur ni. Main elok-elok, dik,” ujar gadis itu sambil melemparkan bola itu ke dalam gelanggang semula.

Benji tergamam. Suara gadis itu juga saling tidak tumpah seperti suara Alara.

“Nasib baik tak kena awak tadi!” gadis itu menyapanya.

“Terima kasih,” Benji membalas. Suaranya tersekat-sekat. Hatinya berdebar-debar.

“Awak nampak macam tak sihat saja, awak sakit ke?”

“Err… Tak… Saya sihat!” Hati Benji berdegup deras.

“Muka awak pucat. Nasib baik tak kena bola tu tadi. Kalau kena, boleh pengsan!”

Gadis itu terus duduk di sebelahnya tanpa meminta izin. Dia menggerak-gerakkan leher dan tangannya. Antara gerakan-gerakan biasa untuk warm down selepas bersukan.

“Cik baru lepas berjoging?” Benji cuba memulakan perbualan.

“Jangan panggil saya cik. Nama saya Aishar. Saya joging dengan kawan-kawan tu tadi, tapi mereka semua nak pulang dulu. Awak tunggu girlfriend ke?”

“Girlfriend saya tak mungkin akan kembali lagi walaupun seribu tahun saya tunggu,” Benji menjawab dengan perlahan seolah-olah bercakap dengan dirinya sendiri.

“Putus cinta rupanya! Patutlah nampak tak sihat!”

Benji tidak mengendahkan kata-kata gadis itu walaupun banyak perlakuannya menyerupai Alara.

...bersambung

Bab akan datang:
Siapa pula Aishar yang tiba-tiba sahaja muncul?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience