“Semua perlu berada dalam keadaan sempurna untuk sistem back up mengambil alih. Ada sesiapa yang pernah menguji sistem ini semasa ia mula dipasang?” Gaston bertanya.
Jacques dan Basile memandang antara satu sama lain, kemudian kedua-duanya menggeleng. Gaston hanya menjeling.
“Di mana bateri back up itu diletakkan?” Gaston bertanya.
“Di dalam bilik Adam,” Jacques dan Basile menjawab hampir serentak.
Gaston berjalan menuju ke arah bilik kerja Adam yang berada di hujung sekali. Di kawasan dapur, dia melihat sampah berupa kotak piza, tin minuman dan beberapa bekas makanan masih bertaburan.
Gaston memandang ke arah bilik kerja Adam pula. Pintunya kelihatan terbuka separuh dan langsir bilik itu kelihatan berkibar sedikit. Tingkap bilik itu juga terbuka luas.
Hati Gaston pantas merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia kembali kepada kawan-kawannya. “Basile, rasanya ada seorang tukang cuci yang datang sebelum bekalan elektrik terputus tadi, bukan?”
Mata Basile terbeliak sambil menjawab, “Ya, dia datang tadi. ”
“Sampah masih bersepah lagi,” Gaston menjawab.
“Oh, tidak!” Jacques yang mendengar perbualan mereka berkejar ke dalam bilik Adam. Gaston dan Basile mengikut dari belakang.
“Notarbartolo memang bijak. Kita sudah dipermainkan lagi!” Jacques menggeleng beberapa kali.
Basile dan Gaston yang baru sahaja masuk ke dalam bilik itu nampak wayar-wayar sistem bateri back up yang ada di bilik itu sudah dipotong. Peti besi yang menyimpan Noor Chenta juga sudah terbuka luas dan Noor Chenta hilang sekali lagi.
SEBAIK sahaja dilepaskan oleh Adam, Freddie terus memandu menuju ke selatan bersama Raoul dan Notarbartolo.
Notarbartolo yang duduk di kerusi belakang kereta itu mengunyah makanan ringan untuk menghilangkan rasa mengantuk. Mereka baru sahaja memasuki kawasan negeri Melaka. Jam tangannya sudah menunjukkan pukul 3.00 pagi. Mereka harus memasuki Singapura sebelum subuh.
Notarbartolo menyentuh pergelangan tangannya yang masih lagi terasa sakit kerana digari tadi. Adam masih lagi seperti dahulu, sangat mudah untuk dijangka.
Dia masih ingat lagi pertemuan pertamanya dengan Adam di rumah yang disewanya di Antwerp sepuluh tahun lalu. Adam datang bersama beberapa orang pegawai polis dengan waran tangkap. Adamlah yang menggarinya pada hari itu dan dia disumbatkan ke dalam beberapa penjara semenjak hari itu.
Mula-mula dia disumbatkan ke dalam lokap di balai polis dan Adam jugalah yang telah membuat soal siasat. Pada hari itu, dia sudah dapat membaca perwatakan Adam. Dia adalah seorang lelaki bekerja keras untuk menjadi seorang polis yang berpangkat. Dia pandai membuat kajian dan dia sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mendapatkan apa yang dia mahukan. Itu adalah kelebihan Adam yang menyebabkan dia sendiri tertangkap dan dipenjarakan selama sepuluh tahun.
...bersambung
Share this novel