“Cuma satu perkara yang saya fikirkan. Jika saiz Hope Diamond ini sepertiga daripada saiz asal, apa yang terjadi kepada dua pertiga lagi berlian ini?”
“Mungkin dipecah menjadi cincin, subang atau kerongsang. Sudahlah, Benji. Sekarang sudah hampir pukul 4.00 pagi, saya rasa mereka yang mengejar tadi mungkin sudah pergi. Kita patut pulang,” Alara menjawab. Dia menutup lampu meja dan mula bergerak ke arah pintu masuk tadi.
Benji mengikut tanpa banyak soal.
MALAM itu AvioNet akan mengadakan jamuan makan malam untuk semua yang terlibat dalam projek DBD di Restoran Chez Vincent.
Oleh sebab Benji keluar terlalu awal, dia mengambil keputusan untuk melawat The Grand Place, yang terletak tidak begitu jauh dari restoran tersebut. The Grand Place adalah tarikan utama pelancong kota Brussels dan telah diiktiraf sebagai Tempat Bersejarah Dunia oleh UNESCO.
Semasa sampai ke kawasan dataran The Grand Place, Benji sudah merasakan dia berada di dunia lain. Kawasan ini merupakan pusat pentadbiran utama pemerintahan beraja pada waktu itu dan menempatkan istana, dewan bandar raya dan perniagaan runcit yang penting. Terdapat ruang kosong berupa dataran berbentuk segiempat sebesar sebuah padang bola sepak dan dataran ini dikelilingi oleh bangunan-bangunan setinggi empat tingkat dengan yang dibina pada kurun ke-10. Ciri-ciri pembinaannya hampir menyerupai gereja Notre Dame di Paris dengan kubah yang tirus.
Berada di tengah-tengah The Grand Place, ketika pandangan mata ditutupi oleh bangunan-bangunan lama ini, untuk seketika, Benji merasakan dia tidak lagi berada di Brussels, tetapi berada di dalam kawasan istana lama Eropah.
Setelah puas menikmati keindahan The Grand Place, Benji mula berjalan ke jalan Rue des Bouchers yang agak sempit dan dipenuhi dengan kedai-kedai makan. Kebanyakan empunya kedai makan di sini meletakkan sebaris meja di luar kedai mereka. Terdapat juga gerai yang menjual buah-buahan dan pakaian terpakai. Suasana ini mengingatkan Benji kepada pasar malam dan arked di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman di bandar raya Kuala Lumpur.
Benji kemudian berjalan masuk ke jalan Rue des Dominicains untuk sampai ke Restoran Chez Vincent. Beberapa orang peserta projek DBD sudahpun berada di sana termasuk Faizal.
“Benji! Ingatkan tak datang tadi!” Faizal menyambut Benji dengan huluran tangan. Sebelah tangannya lagi memegang segelas minuman.
“Aku pergi ke The Grand Place sekejap tadi,” Benji menjawab.
Faizal membawanya mengambil minuman dan mereka berdiri berhampiran dengan ruang terbuka yang berhadapan dengan jalan utama.
“Maaflah pasal makan malam dengan Alara hari tu, ada masalah sikit dengan klien. Jadi, macam mana? Seronok tak makan dengan Alara?” Kening Faizal diangkat sedikit.
“Aku semakin waswas dengan Alara ni!” Benji menjawab.
...bersambung
Bab akan datang:
Mengapa Benji berkata dia waswas dengan Alara?
Share this novel