Benar kata rakan sekerjanya tadi, Leornado Notarbartolo adalah seorang pencuri genius!
Benji terus membaca artikel tersebut dan akhirnya menemui sesuatu yang lebih menarik.
Noor Chenta!
Noor Chenta adalah salah satu butiran berlian yang didapati hilang semasa rompakan tersebut dan tidak pernah ditemui selepas itu. Noor Chenta juga pernah dikaitkan dengan Hope Diamond dan mungkin juga serpihan daripada berlian asal yang digelar Tavernier Diamond semasa ia mula-mula dibawa dari India. Sebelum kejadian rompakan itu berlaku, Noor Chenta dijadualkan akan dilelong dengan harga sekurang-kurangnya USD15 juta.
Berlian Noor Chenta berada dalam simpanan sebuah keluarga di tanah Jawa selama hampir seratus tahun sehinggalah ia dijual semula kepada seorang peniaga berlian yang berasal dari Eropah. Noor Chenta seolah-olah penawar kepada Hope Diamond yang dikatakan mempunyai sumpahan. Sesiapa yang pernah memiliki Noor Chenta akan bertemu dengan cinta sejati.
“Noor Chenta! Inilah berlian yang dihadiahkan oleh Adam kepada Alara! Berlian Noor Chenta ada bersama Alara!” Benji bertempik.
Faizal yang duduk di sebelahnya sedikit terkejut. “Berlian Noor Chenta tak pernah dijumpai, Benji. Cuba baca betul-betul artikel tu!” Faizal tidak bersetuju dengan kata-kata Benji.
“Betul, Faizal! Aku tahu di mana Alara simpan Noor Chenta!” Benji menjawab, tidak mahu mengalah.
“You know what, she is freaky. Alara is freaky! Aku tak mahu dengar cerita pasal Alara ni lagi!” Faizal memandang ke luar tingkap tanpa menghiraukan Benji.
Hati Benji tidak senang selama seminggu di Antwerp. Persoalan mengenai Alara lebih banyak bermain dalam fikirannya. Bagaimana Noor Chenta boleh berada dalam tangan Alara? Siapakah sebenarnya Adam? Mungkinkah dia ada kaitan dengan Leornado Notarbartolo?
Perkara itulah yang bermain dalam fikiran Benji ketika dia dihantar ke rumahnya petang itu. Kerja-kerja di Antwerp sudah pun selesai dan kini dia sudah pun pulang ke Brussels. Dia berjalan dengan perlahan menghampiri pintu rumahnya. Tubuh dan mindanya agak penat. Dia mengambil kunci dari dalam poket seluarnya untuk membuka pintu, tetapi pintu itu nampaknya tidak berkunci.
Hati Benji berdebar-debar. Sayup-sayup kedengaran suara seorang lelaki dan seorang perempuan yang berbual-bual dalam bahasa yang tidak difahaminya. Mungkin bahasa Perancis, Belanda atau German. Semua bahasa itu adalah bahasa utama Belgium dan bunyinya pula hampir-hampir sama. Suara-suara itu semakin lama semakin dekat ke pintu.
“Ops! Benji!” Seorang lelaki yang dikenali tiba-tiba keluar dari pintu itu. Nyaris-nyaris dia terlanggar Benji.
“Lionel?” Benji menegur Lionel dengan nada kehairanan. Lionel adalah ejen hartanah yang telah mencadangkan rumah itu dahulu kepadanya.
“Alara said you are in Antwerp. I’m just showing some people Alara’s room for rental these few days,” Lionel menjawab.
“What happened to Alara?” Benji semakin kehairanan.
...bersambung
Bab akan datang:
Benarkah permata biru yang dipunyai Alara itu adalah Noor Chenta?
Share this novel