Bab 34

Romance Completed 41738

Dia perlu bertahan untuk beberapa hari lagi. Dia tahu bagaimana Adam bekerja. Jika ditangkap, Adam akan membiarkan ejennya selama seminggu sebelum dia menghantar pasukan penyelamat. Itulah yang berlaku semasa tugasannya di Timur Tengah.

Alara menutup matanya seketika bagi mengingati kembali kenangannya di Baghdad. Tugasan di Baghdad adalah tugasan pertamanya sebagai pegawai Interpol setelah dipilih oleh Adam selepas melalui berbagai-bagai ujian. Dia diamanahkan untuk menjejaki Muneeb Al-Fatah, seorang ketua sindiket penjual senjata api yang paling sukar dijejaki di Timur Tengah.

Muneeb hanya berusia 30 tahun, usia yang agak muda bagi mengetuai sebuah gerakan bawah tanah yang licik. Dia mempunyai pengikut yang setia dan bukti-bukti yang menunjukkan operasi kumpulannya dibiayai oleh beberapa pemilik perniagaan di beberapa buah negara seluruh dunia. Dia juga dikehendaki oleh pihak berkuasa di sepuluh buah negara.

Pertama kali Alara menemui Muneeb, dia dapat melihat dengan jelas tokoh kepimpinan yang ada pada lelaki itu. Perancangan sangat teliti. Paling menarik, ucapannya sudah cukup untuk membakar semangat pengikut-pengikut bawahannya untuk berjuang. Inilah ciri-ciri lelaki idamannya; bijak, berani dan penuh karisma.

Pertama kali mereka bertentangan mata, hidangan yang dibawa oleh Alara jatuh ke lantai. Hatinya begitu berdebar-debar. Kain khemah yang dihuni oleh Muneeb menjadi kotor sedikit kerana simbahan air kopi yang terjatuh. Jilbab yang dipakainya tertarik sehingga menampakkan keseluruhan rambutnya yang berwarna emas. Muneeb bingkas bangun untuk membantunya mengutip barang-barang yang terjatuh.

Dalam bahasa Arab, Muneeb menegur Alara, “Jangan takut, saya tahu kamu baru di sini. Kamu cedera?”

“Tidak, tuan. Saya tidak cedera. Maaf, tuan. Saya akan bawa hidangan lain untuk tuan,” Alara menjawab sambil membetulkan jilbabnya semula.

“Kamu bukan orang Badwi, kamu berasal dari mana?”

“Menurut bapa saya, ibu saya dari Eropah. Bapa saya berketurunan campuran Arab. Kedua-duanya sudah meninggal dunia.”

“Bagaimana kamu boleh berada di sini?”

“Saya menggantikan kawan saya, Simrah yang menjadi pekerja dapur. Simrah jatuh sakit minggu lepas,” Alara menjawab. Untuk mendapatkan kepercayaan Muneeb, dia merenung tepat ke dalam matanya. Hatinya lemah melihat cahaya mata Muneeb.

“Kamu sudah berkahwin?”

“Saya tidak ada harta dan saya tidak ada suami, saya juga tidak berpelajaran tinggi. Saya harap tuan dapat menerima saya bekerja di sini. Saya minta maaf kerana kelalaian saya tadi.” Alara tunduk sedikit sambil meminta maaf.

“Bawa hidangan baru untuk saya sekarang,” Muneeb membalas.

Alara bingkas bangun dan terus menuju ke dapur untuk mengambil hidangan baru.

Semenjak hari itu, Muneeb hanya mahu Alara sahaja membawa hidangan untuknya di markas utama kumpulannya itu. Pada mulanya, Alara hanya membawa makanan tetapi lama-kelamaan dia dijemput untuk makan bersama Muneeb jika orang-orang kuatnya tidak makan bersama.

...bersambung

Bab akan datang:
Bagaimana Alara memerangkap Muneeb?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience