Adam menggeleng. “Saya pertaruhkan seluruh hidup saya di Skuad Alpha. Tuan tak boleh buat saya macam ni.”
“Adam, saya terbang dari Lyon untuk selamatkan awak.”
“Baiklah, apa rancangan tuan?”
“Noor Chenta yang asli masih dalam simpanan awak?”
“Ya.”
“Smithsonian Institute di Washington DC ada menyediakan hadiah berupa wang saguhati sebanyak 10 ribu dolar kepada sesiapa yang menyerahkan berlian serpihan Hope Diamond. Saya difahamkan ada tiga yang dipercayai masih belum ditemui.”
“Ya, saya ada dengar berita itu baru-baru ini.”
“Jangan gunakan berlian itu sebagai umpan lagi. Serahkannya kepada Smithsonian Institute.”
“Tapi kalau saya serahkan, saya tak mungkin akan berjaya menangkap Notarbartolo.”
“Adam, awak harus lupakan Notarbartolo. Awak bawa Noor Chenta ke Smithsonian Institute dan lakukan semua ujian. Jika benar Noor Chenta adalah serpihan Hope Diamond, awak akan jadi hero. Wang saguhati itu boleh diberikan kepada lelaki yang menyerahkan Noor Chenta kepada awak. Ini saja cara awak mahu selamatkan diri awak, Adam.”
“Tapi tuan, tugas utama Interpol adalah menangkap orang jahat, bukan penghantar batu permata.”
“Adam, saya sedang cuba selamatkan karier awak. Saya sudah tidak ada cara lain nak selamatkan awak. Jika Noor Chenta diserahkan ke sana, itu boleh dikira sebagai pencapaian Skuad Alpha dan saya boleh cadangkan Skuad Alpha diteruskan. Katakan saja ya, Adam.”
Adam masih tidak berpuas hati tetapi dia tahu dia tidak ada pilihan lain. Akhirnya, sambil mendengus kasar, Adam menjawab, “Ya.”
“Ya maksudnya awak akan serahkan Noor Chenta kepada Smithsonian Institute?”
“Ya, saya akan serahkan.”
“Ya juga maksudnya awak akan bawa seluruh Skuad Alpha kembali ke Lyon?”
“Ya, saya akan arahkan mereka semua untuk pulang.”
“Bagus, Adam. Saya tidak akan membayar penginapan di Hotel Suria lagi. Saya bagi awak tempoh sehingga esok untuk berkemas keluar.
“Baiklah,” Adam bersetuju walaupun jauh di sudut hatinya, dia tidak ikhlas.
BENJI masuk ke markas sementara Skuad Alpha selepas makan malam untuk berbincang dengan Adam akan tindakan mereka seterusnya dengan lebih lanjut. Dia agak hairan melihat kesemua anak buah Adam sedang berkemas.
Sebaik sahaja bertemu dengan Adam, Benji terus bertanya, “Apa yang berlaku?”
“Kami diarahkan untuk pulang ke ibu pejabat di Lyon.”
“Bagaimana dengan Notarbartolo?” Benji bertanya lagi.
“Kami akan uruskan dari sana. Ini arahan daripada pihak atasan.”
“Bila akan berangkat?”
“Kami akan berangkat dengan segera. Salah seorang pegawai saya sedang cuba mendapatkan tiket kapal terbang secepat mungkin.”
“Cepatnya!”
“Terima kasih, Benji, atas segala bantuan awak. Saya cuma mahu tanya awak satu perkara mengenai Alara.”
“Apa dia?”
“Notarbartolo menyatakan Alara bukan hanya mencuri Noor Chenta tetapi dia juga telah mencuri beberapa butir berlian yang lebih kecil. Ada Alara ceritakan apa-apa mengenai berlian-berlian lain yang dia curi itu?”
...bersambung
Bab akan datang:
Benarkah Alara ada mencuri berlian yang lain?
Share this novel